Categories
SELANGOR

63 kawasan terjejas, MPAJ kenal pasti punca kejadian paip pecah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 30 MAC: Bekalan air di 63 kawasan perumahan di sepanjang Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Ulu Klang ke Ampang terjejas ekoran masalah paip pecah berhampiran Dataran Ukay, pagi ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Hamid Hussain berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk lanjutan proses baikpulih secepat mungkin.

“Bekalan dijangka akan dibuka selepas kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya, namun menurut SYABAS, kita tidak dimaklumkan jangka waktu pembaikan ini.

“Namun, punca paip pecah masih tidak dikenalpasti lagi, tapi di kawasan punca terdapat projek Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

“Jadi kita sedang kenalpasti sekiranya kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu (menjadi punca) dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada kontraktor projek berkenaan,” katanya.

Dilaporkan, kesesakan teruk hampir lima kilometer di laluan berkenaan ekoran kejadian paip pecah jam 5 pagi tadi.

Ia turut menyebabkan lorong kiri laluan berkenaan terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

Sehingga jam 9.30 pagi ini, laluan berkenaan masih dipenuhi air dan kebanyakan pengguna terpasa meredah laluan berair.

Bagaimanapun MPAJ memaklumkan, paip utama sudah ditutup sejak awal pagi ini, dan keadaan trafik mula beransur lancar sehingga jam 12 petang tadi.

Categories
SELANGOR

Cukai Taksiran: MPAJ raih RM46.06 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 30 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meraih pendapatan RM46.06 juta hasil perolehan kutipan Cukai Taksiran bagi tempoh suku pertama, tahun ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, 120,786 bil diedarkan kepada komuniti dengan pengecualian cukai melibatkan 51,287 unit milikan tanah dan premis bangunan dengan nilai RM9.87 juta.

“Pemilik premis rumah kediaman, bangunan perniagaan, bangunan industri dan kawasan tanah lapang di dalam kawasan MPAJ diseru membuat pembayaran Cukai Taksiran tanpa penangguhan.

“Orang ramai digalakkan membuat pembayaran menggunakan perkhidmatan online iaitu Penggunaan Icomm bagi mengelakkan isu kesesakan kaunter dan tempat letak kereta,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan pemilik premis bangunan menyelesaikan tunggakan Cukai Taksiran boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 151 (5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Sementara itu, MPAJ kini giat melaksanakan Operasi Kutipan Cukai Taksiran menerusi penghantaran Notis E dan Waran Februari 2018 kepada pemilik yang masih gagal menyelesaikan tunggakan.

“Penghantaran notis dilaksanakan di kawasan berikut iaitu di Menara Mutiara, Menara Indah, Menara Impian, Menara Kayangan dan Pangsapuri Bukit,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hamid mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bil 3/2018 di Menara MPAJ, pagi ini.

Mesyuarat turut memfokuskan permasalahan komuniti bandar dan inisiatif berterusan MPAJ membangunkan fasiliti dan kebajikan masyarakat di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Categories
SELANGOR

MPAJ komited laksana kempen Earth Hour

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terus komited menjayakan kempen Earth Hour 2018 di Melawati Mall, Taman Melawati pada 24 Mac lalu.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, program kali ke empat itu merupakan simbolik MPAJ serius serta menyokong usaha isu pemanasan bumi, penjimatan tenaga dan alam sekitar.

“Ia bertujuan mengingati Hari Earth Hour Dunia disambut pada setiap tahun selain membantu mengurangkan masalah perubahan iklim di dunia dan pembaziran tenaga.

“Pelbagai usaha dilakukan MPAJ ke arah bandar rendah karbon antaranya penukaran lampu jalan LED, hari tanpa kenderaan, kempen bebas plastik, kempen kitar semula, tanam pokok dan baja kompos,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, MPAJ komited melaksanakan bandar rendah karbon dengan melaksanakan perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor, penambahbaikan laluan basikal dan penjalan kaki, program penjimatan elektrik dan air.

Abd Hamid berkata, antara objektif lain penganjuran Kempen Sambutan Earth Hour MPAJ 2018 adalah memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak dan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya pemuliharaan alam sekitar dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, orang ramai turut berpeluang menyertai aktiviti sampingan seperti Kraftangan Quilling Earth Hour, mencari harta karun, mencerap bintang dan ceramah penjimatan elektrik sepanjang kempen berlangsung.

Pada masa sama,kempen tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Belia Dan Masyarakat MPAJ, Melawati Mall dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Categories
SELANGOR

MPAJ laksana Hari Tanpa Kenderaan minggu kedua setiap bulan

 

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat, pada 11 Februari lalu.

Tang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, program yang sarat dengan pelbagai acara itu akan dilangsungkan setiap minggu kedua setiap bulan.

“Program bermula dari jam 6.30 hingga 10 pagi di sepanjang Jalan Pandan Utama dan padang Perbandaran Pandan Indah diisi dengan pelbagai acara antaranya kayuhan santai, pameran, hiburan busking, aktiviti kanak-kanak, sukan dan penjualan hasil kebun komuniti,” katanya.

Beliau berkata, MPAJ juga berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan sekolah di kawasan itu dalam menggerakkan aktiviti dan kempen menjaga alam sekitar.

Katanya, ia antara usaha bagi merealisasikan Pelan Tindakan Ampang Jaya Bandar Rendah Karbon 2030 yang mensasarkan penurunan karbon sebanyak 30 peratus menjelang tahun berkenaan.

“Selain itu MPAJ juga mempunyai kebun komuniti dan sangat aktif melaksanakan aktiviti bercucuk tanam dalam kawasan taman perumahan dengan kita memberi kelonggaran kepada penduduk menggunakan rezab kawasan lapang dan longkang untuk melaksanakan aktiviti berkebun.

“Sehingga kini MPAJ mempunyai 10 kebun komuniti sangat aktif berkebun dan menjual hasilnya seperti KRT AU2 Taman Keramat, JMB Ukay Perdana, KRT Merpati B Pandan Indah, Komuniti Ar Raihan Pandan Indah, KRT Pandan Mewah dan JKP 20 Taman Cheras Indah,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPKj – MPAJ jalin kerjasama cegah denggi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 28 FEB : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalin kerjasama melaksanakan bengkel kesedaran pencegahan denggi, Mac ini.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuti Bakar berkata, inisiatif berkenaan dijayakan bagi meningkatkan pemahaman umum terhadap aspek kebersihan dan bahaya denggi di Selangor.

“MPKj terus komited memerangi denggi bersama agensi kerajaan terlibat termasuklah bekerjasama dengan MPAJ melaksanakan program dan bengkel menilai masalah denggi ini supaya ia dapat diselesaikan.

“Pemilihan MPAJ kerana PBT itu turut bertangungjawab mengurus pentadbiran di daerah Hulu Langat dan mukim ini bagi memberi tumpuan terhadap aspek denggi secara menyeluruh di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, MPKj terus mencatatkan kumulatif kes denggi sebanyak 7 kematian denggi bagi tempoh sehingga 24 Februari lalu.

Mohd Sayuti optimis pelan perancangan dan kempen berterusan dilaksanakan PBT itu mampu mendidik masyarakat untuk lebih peka terhadap bahaya denggi.

“Trend penurun kes denggi boleh dicapai sekiranya masyarakat mempunyai kesedaran tinggi memerangi denggi di kediaman dan persekitaran masing-masing,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPAJ: Pembinaan SJKC Choon Hwa tidak penuhi piawaian

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 31 JAN: Tidak mematuhi piawaian dan dokumen tidak lengkap antara punca permohonan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choon Hwa di Batu 18, Hulu Langat masih tidak diluluskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, tidak ada unsur menafikan pembinaan sekolah tersebut dan kelulusan segera akan diberikan selepas semua garis panduan dipatuhi.

“Terdapat 17 perkara yang gagal dipatuhi perunding dilantik antaranya permohonan tidak menyatakan cadangan pembangunan akan datang bagi baki blot bersebelahan iaitu enam ekar selebihnya.

“Ini kerana tanah tersebut ada sembilan ekar, namun hanya tiga ekar sahaja yang dinyatakan untuk membina sekolah maka selebihnya tidak dimaklumkan,” katanya dalam sidang media selepas mesyurat penuh MPAJ, baru-baru ini.

Selain itu, Hamid berkata, konsultant juga tidak mengikut garis panduan Kerajaan Negeri dimana untuk membina sebuah sekolah harus seluas lima ekar, namun tiga ekar yang dimohon untuk membina sekolah.

“Kita tidak mahu perkara ini dibangkitkan orang ramai kemudian hari kononnya MPAJ meluluskan pembinaan sekolah yang tidak memenuhi piawaian.

“Jika segala syarat lengkap, kita akan luluskan dengan segera,”katanya.

Categories
SELANGOR

Kejadian bongkah batu jatuh, SUKE diarah henti pembinaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 27 JAN: Kerja-kerja di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihentikan serta-merta selepas kejadian bongkah batu terjatuh di kawasan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain berkata, kejadian berlaku berhampiran Jalan Saga 28, Taman Bukit Saga, 23 Januari lalu.

“Syarikat SUKE diarah berhenti kerja bagi mengemukakan laporan kejadian dan tindakan pencegahan agat kejadian tidak berulang.

“Terdapat 10 rumah terlibat dengan percikan lumpur kesan daripada jatuhan batu tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat penuh MPAJ, di sini, semalam.

Hamid berkata, terdahulu MPAJ membuat semakan tapak dan mendapati terdapat bongkah batu jatuh semasa penggunaan jentera membina laluan masuk Lebuhraya SUKE.

Bongkah batu yang jatuh ke kaki cerun yang berlumpur menyebabkan percikkan air lumpur terkena pada rumah dan kenderaan berhampiran.

Walaubagaimanapun, Hamid berkata, terdapat pagar besi keselamatan dan batuan konkrik dibina sebagai penghadang keselamatan dalam jarak 30 meter dari rumah penduduk berhampiran.

Categories
SELANGOR

MPAJ gesa SUKE perkukuh tebing tanah, elak banjir lumpur berulang

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 26 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggesa Syarikat Pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) emperkukuhkan tebing tanah bagi mengelak banjir lumpur berulang.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, tebing tanah dibina di tepi jajaran laluan tanah oleh kontraktor terhakis oleh aliran air dibahagian paling atas cerun dan menyebabkan tebing pecah.

“Aliran air menyebabkan dua berm drain tersumbat dan dipenuhi air dengan tanah lumpur.

“SUKE diarah mengalihkan aliran air dari laluan pembinaan bertanah bagi mengelak hakisan lanjut dan tebing tanah perlu diperkukuh,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPAJ, di sini pagi tadi.

Selain itu, Hamid berkata, kerja pembersihan longkang tepi cerun ‘berm drain’ perlu dilaksanakan bagi mengawal aliran air pada cerun.

Tambahnya lagi, kontraktor SUKE juga diarahkan berhenti melakukan kerja serta merta dan memberikan laporan kejadian dan tindakan pencegahan dan pembaikan perlu dilaksanakan.

Terdahulu, kejadian banjir lebat pada 23 Januari lalu menyebabkan banjir lumpur berlaku di kawasan tempat letak kereta Pangsapuri Saga Suria, Ampang.

Hasil pemeriksaan MPAJ, mendapati terdapat limpahan air larian menuruni cerun yang telah mengakibatkan kerosakan pada cerun dengan kelebaran tiga meter.

Categories
SELANGOR

Warga Ampang Jaya disaran jelas cukai taksiran

 

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 26 JAN: Sebanyak 120,786 cukai taksiran bernilai RM46.06 juta dikeluarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kepada pemilik harta bagi penggal pertama.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, seluruh warga Ampang Jaya disaran menjelaskan Cukai Taksiran bagi 2018 dan tahun sebelumnya.

“Manakala pengecualian Cukai Taksiran Rumah Kos Rendah dan Kampung hanya pada 2016, 2017 dan 2018, maka tunggakan 2015 dan tahun sebelumnya harus dijelaskan.

“Oleh itu, pemilik harta perlu jelaskan cukai taksiran sebelum 28 Februari bagi mengelak tindakan sita dan denda,” katanya dalam mesyuarat penuh MPAJ, di sini, pagi tadi.

Hamid berkata, pihaknya turut mengambil maklum ke atas pemaju dan individu yang masih belum mengemas kini butiran dan membuat bayaran, tindakan tuntutan sivil bakal dilaksanakan.

Disember lalu, pihaknya melaksanakan operasi kepada 21 pemilik terlibat dengan jumlah tunggakan mengikut waran bernilai RM49,806.

Namun, hanya 12 tunggakan sahaja berjaya diselesaikan melibatkan 18 lokasi antaranya di Flat Bukit Segar, Flat Cengal Flat Cemara dan Flat Pandan Ria.

Categories
SELANGOR

RM700 kompaun kepada peniaga yang lewat baharui lesen

 

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 JAN: Kompaun sebanyak RM700 bakal dikenakan keatas peniaga yang lewat memperbaharui lesen.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain berkata, nilai itu akan dikenakan kepada peniaga yang lewat pembaharui lesen bermula April hingga Disember ini.

“Bermula 2 Januari lalu, Jabatan Perlesenan telah membuka kaunter pembaharuan lesen dan kompaun bagi pemegang lesen yang lewat.

“Kompaun sebanyak RM200 sudah dikenakan bagi pemegang lesen yang lewat hingga Mac ini, manakala bermula April kompaun sebanyak RM700 bakal dikenakan,” katanya ketika mesyurat penuh MPAJ, di sini, pagi ini.

Hamid menasihatkan pemilik perniagaan untuk memperbahrui lesen segera sebelum bagi mengelak dikenakan kompaun yang lebih tinggi atau sebarang tindakan penguatkuasaan lanjut diambil.

Tambahnya lagi, sehingga kini sebanyak 396 premis telah memperbaharui lesen perniagaan dan 396 kompaun juga telah dikeluarkan.

Categories
SELANGOR

KDEBWM bekal 52 lori RORO, mudah kerja pembersihan sampah pukal MPAJ

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JAN: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan menyediakan sejumlah 52 lori Roll On Roll Off (RORO) bagi memudahkan kutipan pembersihan sampah pukal di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hujung bulan ini.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, setakat ini KDEBWM menyediakan 46 lori kompaktor bagi memudahkan kegunaan kutipan sisa pepejal dan domestik sahaja.

“Oleh kerana, kutipan sampah pukal tidak boleh menggunakan kompaktor yang ada, jadi kita menyediakan lori RORO untuk kutipan sampah pukal di seluruh kawasan pentadbiran MPAJ.

“Ini bagi melancarkan operasi kutipan pembersihan sampah pukal di sini bagi terus memberi keyakinan penduduk sekitar terhadap perkhidmatan ditawarkan KDEBWM,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ramli berkata hanya terdapat empat aduan bagi sisa domestik pada Disember lalu berbanding 225 aduan pada Mac, manakala 126 aduan bagi pembersihan pukal.

Untuk rekod, Disember lalu, KDEBWM merekodkan kutipan sejumlah 13995.75 tan sampah dengan purata harian kutipan sebanyak 451.5 tan.

Terdahulu, KDEBWM mengambil alih 100 peratus kerja pembersihan awam di kawasan pentadbiran MPAJ.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula menggalas tanggungjawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan berjaya mengurangkan jumlah aduan daripada 800 sehingga tujuh, pada Jun lalu.

Pada 1 Mac 2017, KDEBWM mula mengambil alih pembersihan awam di MPK secara berperingkat.

Pada masa sama, KDEBWM diberi tanggungajawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

KDEBWM adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) yang bertanggungjawab sebagai koordinator pengurusan projek di kawasan pentadbiran MPK, MPAJ dan MPS.

Categories
SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MPAJ Ahad ini

SHAH ALAM, 10 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan MPAJ, pada 14 Januari ini.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Norhayati Ahmad berkata, acara bermula 6.30 pagi hingga 10.00 pagi itu membabitkan jalan sepanjang Jalan Pandan Utama, Pandan Indah dan sekitar Padang Perbandaran MPAJ.

“Justeru, pengguna jalan raya terlibat dinasihat merancang perjalanan dengan memilih laluan alternatif lain bagi mengelakan kesesakan lalu lintas.

“MPAJ memohon maaf diatas segala kesulitan sepanjang program ini berlangsung.

“Penganjuran program ini juga selari dengan misi MPAJ ke arah bandar rendah karbon ,” katanya dalam kenyataan.

Pelbagai aktiviti juga dianjurkan antaranya Zumba & Warrior Fitness, Roller Blade, Skate Board, Tanam Pokok Untuk Kanak-Kanak.

Selain itu, kutipan minyak masa terpakai dan pengumpulan barang kitar semula juga dianjurkan.

Lebih menarik, 1,000 pax sarapan percuma turut disediakan kepada peserta.