Categories
SELANGOR

MPAJ : Insiden Tiga Tertimbus Kerana Kecuaian Bukan Kegagalan Struktur

mpaj

SHAH ALAM 4 JULAI : Kemalangan di tapak pembangunan Sierra Ukay di Ampang semalam yang mengorbankan tiga pekerja dan mengakibatkan seorang cedera parah, berpunca daripada kecuaian dan ketiadaan pengurusan keselamatan ketika pelaksanaan kerja.

Menurut Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) insiden tersebut tiada kaitan dengan kegagalan struktur atau runtuhan cerun.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat MPSJ, Rosliza Mohd berkata, pekerja tersebut tertimbus ketika aktiviti korekan tanah dilakukan.

“Akibat korekan tanah yang dilakukan telah mengakibatkan tebing tanah setinggi 3.5 meter telah terjatuh dan menimbus pekerja binaan yang sedang bekerja bersebelahan tebing tersebut.

“Tindakan segera dibuat MPAJ bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan membuat lawatan di tapak kemalangan selepas kejadian itu semalam.

“Berikutan itu, MPAJ mengeluarkan notis berhenti kerja dengan serta merta,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata pemaju juga telah diarahkan mengemukakan laporan teknikal berkaitan punca berlakunya kemalangan serta cadangan penyelesaian yang merangkumi kajian kestabilan dan rekabentuk.

“Pemilik tanah harus bertangungjawab terhadap sebarang permasalahan dan berkemungkinan atas kegagalan memelihara serta menyelenggara sehingga menimbulkan kacau ganggu ke kawasan sekitar.

“MPAJ juga telah memaklumkan perkara ini kepada CIDB serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

PBT Bakal Siarkan Mesyuarat Bulanan Secara Langsung

teng lawat MBSA 14 jun 01

SHAH ALAM, 14 JUN : Sebagai usaha mendemokrasikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri memutuskan supaya setiap PBT menyiarkan mesyuarat bulanan mereka secara langsung di laman web masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tindakan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mementingkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, langkah ini akan dilaksanakan oleh lapan buah PBT, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Juga terlibat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

“Tindakan ini diambil memandangkan kita banyak menerima aduan daripada orang ramai yang mengatakan pihak PBT tidak melaksanakan tugas, mereka tidak tahu apa yang pihak Majlis buat.

“Jadi dengan terlaksananya projek ini, pihak Majlis akan menjadi lebih terbuka dan telus dan ia merupakan cara terbaik untuk orang ramai faham tentang pentadbiran PBT,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi pertemuan bersama MBSA, di di sini hari ini.

Beliau berkata, minit mesyuarat PBT juga akan dipaparkan di laman web, sejajar dengan semangat Kerajaan Negeri yang telah meluluskan enakmen kebebasan maklumat dua tahun lalu.

Tambahnya, pihak Majlis diberi masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lengkap bagi memastikan projek ini berjalan lancar apabila sampai waktunya.

“Selangor akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan projek ini apabila ia dilancarkan kelak. Kita harap prosesnya akan berjalan lancar.

Empat PBT lagi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), tidak dapat melaksanakan usaha itu pada waktu ini kerana kekurangan wang.

Projek ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) yang telah diperakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PAS Perak Fail 3 Petisyen – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 12062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam dua kes kematian semasa dalam tahanan polis tidak menyumbang menangani masalah salahlaku polis, tegas Naib Presiden PKR N Surendran.

2. PAS Perak mengfailkan tiga petisyen Pilihan Raya Umum ke- 13(PRU 13) di Mahkamah Tinggi Ipoh kira-kira jam sepuluh pagi tadi untuk membantah keputusan PRU-13 pada Mei lalu.

3. Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diharap dapat menangani masalah ketiadaan air dengan lebih efisyen.

4. Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerbu tiga premis perniagaan tanpa lesen di bandar itu yang dipercayai menawarkan perkhidmatan urutan “extra” dengan layanan wanita selain urutan refleksologi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Ukay Perdana Puas Hati Prestasi PR

Saari Sungib

HUKU KLANG 28 APRIL: Penduduk Ukay Perdana yang ditemui melahirkan rasa puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Mereka juga mengharapkan wakil rakyat yang akan dipilih nanti dapat mengekalkan prestasi sekarang dan berharap ia dapat dipertingkatkan dalam beberapa perkara berbangkit.

Bagi Khaizir Irwan Nordin, beliau berpuas hati dengan tahap keselamatan di kawasan ini selain mengharapkan masalah jalan dapat dipertingkatkan.Khaizir Irwan Nordin

“Setakat ini semua okey, kes-kes (jenayah) pun tidak banyak.

“Di sini masalah yang kita nampak adalah jalan walaupun ada perlu dinaik taraf.

“Dari segi sampah pula tiada masalah memandangkan saya tinggal di Apartment Sri Putri semua mengikut jadual,” jelasnya.

Manakala Abdul Malik Mohamed Ibrahim berkata, secara keseluruhan beliau puas hati dan mengharapkan keadaan ini dapat dikekalkan.

Beliau menyarankan agar peniaga-peniaga diberi ruang perniagaan yang lebih bersistematik berbanding sekarang yang agak berselerak.

“Ruang perniagaan yang berselerak ini menyebabkan sistem pengurusan sampah agak bermasalah,”katanya.

Sementara itu, penyandang DUN Hulu Kelang, Saari Sungib dalam reaksi awal menjelaskan, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyediakan hampir 400 unit tong sampah terutama di kawasan komersil.

Apa yang penting katanya, sistem pemantauan kutipan secara terus perlu dibuat oleh MPAJ agar ia lebih berkesan.

Beliau turut mengharapkan agar pihak MPAJ dapat mempertingkatkan harga kontrak projek kebersihan dan membaik pulih infra memandangkan ada segelintir kontraktor berhadapan masalah kekurangan peralatan serta pekerja untuk melaksanakan tugas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dewan Baru Penduduk Kampung Pandan

dewan kampung pandan dalam mb 02

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Empat bulan dari sekarang, penduduk Kampung Pandan Dalam di sini bakal menerima sebuah dewan serbaguna baru yang lebih luas bagi menggantikan dewan sedia ada.

Keprihatinan ini dizahirkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang terus konsisten mendengar keperluan rakyat terutama dalam aspek keselesaan infrastruktur awam.

Dengan kos RM 341,000 melalui peruntukkan Geran Selangorku, gerak kerja pembinaan dewan yang telah dipohon sejak November tahun lalu akan dilakukan dalam masa terdekat oleh kontraktor lantikan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

dewan kampung pandan dalam mb 01Semalam Majlis Pecah tanah dilakukan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut hadir Exco Perumahan dan Pembangunan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Pengerusi JKKK Kampung Pandan, Abu Hanifah Abdul Rahman serta penduduk setempat.

Difahamkan, dewan baru ini dibina secara terbuka bagi fasa pertama dan pihak Dun Cempaka akan membuat permohonan peruntukkan tambahan untuk fasa kedua bagi kerja-kerja tambahan struktur dewan secara tertutup yang dilengkapi pendingin hawa.

Tan Sri Abdul Khalid dalam ucapan ringkas berkata, Kerajaan Negeri lebih selesa menyediakan peruntukkan yang cukup terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman berhubung projek pembangunan prasarana rakyat.

“Iskandar konsisten dalam memohon keperluan rakyat. Kita kalau nak janji, kena ada duit baru boleh buat dewan,? katanya pada Majis Kesyukuran Sempena Pembinaan Dewan Baru di Jalan Medan Kampung Pandan (Jalan H), Kampung Pandan Dalam.

dewan kampung pandan dalam mb 03?Jadi malam ini kalau saya diberitahu bahawa kita datang baru hendak bercakap ‘saya akan membuat dewan’, saya tidak mahu.

“Hanya membuang masa orang kampung. Jadi saya datang, duit sudah ada pada MPAJ, kontraktor sudah ada, Menteri Besar boleh datang dan beritahu rakyat supaya mereka boleh semak perkara ini.”

Geran Selangorku diwujudkan Kerajaan Selangor hasil daripada usaha pengutipan semula hutang Talam Corporation yang bernilai RM 390 juta yang sebelum ini diabaikan pentadbiran Umno-BN.

Hasil kutipan berkenaan dipulangkan kepada rakyat melalui program penambahbaikkan infrastruktur awam di Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

DUN Cempaka Buka Bilik Gerakan, Sedia Pam Air

iskandar

SHAH ALAM, 9 JAN : Ekoran kejadian bekalan air terputus di sekitar Ampang dan Cheras sejak 10 hari lalu, Pusat Khidmat DUN Cempaka mengambil inisiatif membuka sebuah bilik gerakan di kawasan itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata, bilik gerakan bertempat di Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya itu berfungsi membantu penduduk setempat yang kini berhadapan gangguan bekalan air untuk membuat laporan.

Menurutnya, petugas di bilik gerakan itu juga akan berhubungan dengan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi memastikan kawasan yang terlibat mendapat bekalan air secukupnya sama ada melalui lori tangki mahupun lori statik.

“Dalam satu pertemuan yang diadakan bersama wakil Syabas pada 4 Januari lepas, saya menegaskan bahawa syarikat konsesi itu mesti membekalkan air yang secukupnya ke kawasan-kawasan yang terlibat. Mereka mesti memastikan tangki-tangki statik sentiasa diisi untuk kegunaan penduduk.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga mempunyai lori-lori tangki air tetapi jumlahnya amat terhad. Pusat Khidmat saya juga akan mendapatkan 10 pam air untuk membantu penduduk di pangsapuri. Mereka yang inginkan khidmat pam itu bolehlah menghubungi bilik gerakan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Iskandar, petugas dari Unit Amal Pandan juga dikerah membantu warga emas dan mereka yang tidak berkemampuan mengangkut air.

Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan bolehlah menghubungi talian 010-2637662(Zahriezan), 0197598622(Suhaimi) dan 0132469027(Hafiz).

Kira-kira 500,000 penduduk di Gombak, Ampang dan Cheras berhadapan gangguan bekalan air selama lebih 10 hari apabila rumah pam Wangsa Maju gagal berfungsi akibat tidak diselenggara Syabas.

Categories
SELANGOR

Waspada Terhadap Hakisan Bawah Tanah di Taman Muda

jenice

AMPANG, 31 DIS : Penduduk di Jalan Bunga Tanjung, Taman Muda di sini dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak meletakkan kenderaan berhampiran padang permainan di situ ekoran berlakunya mendapan dan hakisan bawah tanah.

Adun Teratai, Jenice Lee ketika membuat tinjauan di kawasan itu pagi tadi berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira minggu lalu akibat hujan lebat yang turun hampir setiap hari.

Ekoran itu, katanya, tanah mula menjadi lembab hingga menyebabkan longkang sepanjang 200 meter juga runtuh, walaupun kawasan itu bukan dikategorikan sebagai tanah cerun dan berbukit.

“Kita lihat tanah runtuh tetap berlaku di kawasan itu walaupun ia bukan tanah cerun. Malah kejadian ini juga tidak mempunyai kaitan dengan penyelenggaraan padang yang sedang giat dijalankan. Ia mungkin berlaku disebabkan pergerakan bawah tanah.

“Oleh itu, saya meminta agar penduduk untuk tidak lagi meletakkan kenderaan berhampiran kawasan itu buat sementara waktu sehingga masalah ini dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang media.

Sehubungan itu, tegas Jenice, beliau akan membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk mengkaji masalah berkenaan supaya ia tidak berlanjutan.

Dalam sidang media sama, Jenice turut meminta orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak meletakkan kenderaan sesuka hati di bahu jalan terutamanya di kawasan Pasar Pagi Taman Muda.

Ia katanya, bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan memudahkan pengguna jalan raya lain untuk menggunakan laluan tersebut.

“Kita perlukan kerjasama daripada semua pihak baik orang ramai mahupun penjaja untuk meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta yang disediakan. Sekiranya masalah ini masih gagal diselesaikan, kita akan mengarahkan MPAJ untuk mengenakan tindakan tegas,” jelasnya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Kampung Pandan Bakal Terima Dewan Baru

SHAH ALAM, 13 DIS : Penantian lebih 30 tahun penduduk Kampung Pandan, Ampang untuk mendapatkan dewan serbaguna baru bakal berakhir kelak setelah permohonan pembinaan semula dewan itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan media berkata, pembinaan semula dewan orang ramai di Jalan Pandan Medan itu akan menggunakan peruntukan Geran Selangorku.

Beliau berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ) bertanggungjawab menguruskan pembinaan dewan seluas 5,500 kaki persegi itu dengan kos sekitar RM500,000.

“Dewan baru itu bakal dilengkapi dengan dua gelanggang badminton dan akan mengambil masa lebih kurang lapan bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

“Menurut laporan MPAJ, mereka sudah menyiapkan dokumen dan lukisan tender bagi pembinaan semula dewan itu dan hanya menunggu surat arahan daripada Jawatankuasa Geran untuk meneruskan tugas mereka,” katanya.

Tambahnya, pembinaan dewan serbaguna ini merupakan satu keperluan mendesak memandangkan ia digunakan penduduk setempat untuk program-program kemasyarakatan.

Kata Iskandar lagi, Kerajaan Umno-BN sering mendakwa mereka memperjuangkan nasib orang Melayu, namun gagal menyediakan kemudahan awam yang baik kepada penduduk di Kampung Pandan.

“Kampung Pandang merupakan sebuah kampung Melayu yang ketinggalan dari segi kemudahan awam berbanding dengan taman-taman berdekatan sejak sekian lama. Masalah-masalah  pemberi milikan tanah di kampung tersebut yang begitu lama tertangguh juga hanya dapat diselesaikan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Masih Terdapat Penduduk Yang Dicaj Bil Air Tahap Komersial

CHERAS, 25 OKT : Penduduk Selangor yang masih dikenakan harga air pada tahap komersial oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) disarankan supaya merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing untuk tindakan lanjut.

Ia bagi membolehkan penduduk menikmati pemberian 20 meter padu air percuma yang diberikan Kerajaan Selangor dan mengelakkan mereka daripada dikenakan kadar caj perniagaan yang jauh lebih tinggi berbanding caj kediaman.

Terbaru, 23 kediaman di kawasan Pandan Perdana mengadu yang mereka dikenakan caj perniagaan oleh Syabas bermula bulan ini walaupun mereka telah menikmati air percuma pada kadar kediaman dari 2008.

Kes tersebut didedahkan Adun Teratai, Jenice Lee kepada pemberita dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

“Penghuni yang mengalami masalah ini dinasihatkan supaya merujuk terus kepada majlis perbandaran di kawasan masing-masing bagi membolehkan PBT mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan premis perniagaan telah dijadikan sebagai kediaman.

“Kita tidak mahu penduduk setempat terus berhadapan masalah sama kerana ia akan membebankan mereka apabila terpaksa membayar kadar tarif air yang tinggi,” katanya.

Dalam kes hari ini, 23 unit kediaman itu dikenakan caj perniagaan sejak Oktober tahun lalu akibat salah tafsir Syabas terhadap premis yang didiami penduduk.

Ekoran itu, penduduk terpaksa membayar antara RM36 hingga RM60 sebulan untuk bil air.

Bagaimanapun, setelah merujuk kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai perkara tersebut, Syabas akhirnya bersetuju membatalkan caj air perniagaan yang dikenakan dan mengembalikannya kepada caj air kediaman.

Jenice berkata, masih banyak lagi kediaman di kawasan Pandan Jaya dan Pandan Indah yang mengalami nasib sama.

“Justeru, penduduk perlu segera merujuk kepada MPAJ untuk tindakan lanjut. Jangan hanya berdiam diri kerana ia akan membebankan penduduk sendiri. Air percuma adalah hak rakyat Selangor,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Duduk Di Rumah Tetapi Bil Air Umpama Perniagaan


AMPANG 01 OKT : Seramai 26 penduduk pangsapuri di Pandan Jaya membantah tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang didakwa bertindak menukar status meter air mereka daripada “kediaman” kepada “perniagaan”.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad berkata mengikut laporan penduduk, perkara itu berlaku sejak tahun lalu. Kes terbaru berlaku dua bulan kebelakangan ini.

Katanya, penukaran itu menyebabkan penduduk terpaksa membayar bil air empat kali ganda berbanding sebelum ini.

Mereka juga tidak mendapat air percuma 20 meter padu yang diberikan oleh Kerajaan Selangor.

Iskandar berkata penduduk turut mempertikaikan mengapa Syabas bertindak demikian sedangkan mereka sudah menetap di kawasan itu sejak 20 tahun.

“Jika sebelum ini mereka membayar minimum RM0.57 sahaja, kini dinaikkan kepada minimum RM2.07. Jumlah itu menjadikan bil mereka dicaj sehingga RM80 hingga lebih RM100 sebulan.

“Setakat ini, kita baru menerima laporan 26 penduduk ini, namun kita percaya perkara sedemikian mungkin berlaku dibeberapa kawasan lain di sekitar negeri,” katanya dalam sidang media di Pandan Jaya, hari ini.

Jelasnya, dalam perbincangan dengan pihak Syabas baru-baru ini, Syabas meminta penduduk yang mahu menukar kembali ke meter asal untuk memohon pengesahan dari pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Mereka turut memberikan alasan yang saya tidak terima. Dakwa mereka (Syabas) menukar meter itu berdasarkan status tanah, bagaimanapun terdapat juga sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama daripada penduduk supaya membuat aduan kepada Adun atau Ahli Majlis di kawasan masing-masing supaya memudahkan urusan menghantar senarai nama kepada MPAJ.

Katanya, pihaknya turut mendesak Syabas supaya membayar rebet kepada penduduk selepas meter itu ditukarkan kepada asal.

“Ini kerana ada yang terlibat sudah hampir setahun, ia merugikan penduduk. Jika Syabas tidak boleh mengembalikan rebet, kita meminta Syabas memotong bayaran pada bil mereka yang akan datang ini.

“Perkara ini melibatkan ribuan penduduk dan melibatkan banyak kediaman daripada perniagaan. Saya harap kerjasama daripada penduduk supaya mereka dikenakan caj yang betul (kediaman) bukannya perniagaan.

“Perkara ini seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena, kita tidak mahu pihak Syabas berterusan mempolitikkan isu air ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Skuad Denggi SMK Bandar Baru Ampang Bantu Mencegah Denggi

AMPANG, 8 SEPT: Seramai 30 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Ampang dipilih untuk menyertai Skuad Denggi anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Skuad tersebut bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran sekolah sentiasa berada di dalam keadaan bersih supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Pelajar-pelajar tersebut juga akan membantu MPAJ melakukan pemeriksaan rumah-rumah di tepi sekolah sebelum dan selepas waktu persekolahan kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar.

Kawasan sekolah adalah lokasi pembiakan nyamuk Aedes yang tertinggi selepas rumah terbengkalai dan kawasan kilang.

“Kawasan sekolah penting kerana anak-anak kita akan pergi sekolah mulai jam 6.30 pagi sehingga 7.30 pagi dan pada waktu itulah nyamuk aedes aktif,” katanya.

Guru sekolah Mogana Sudari berkata beliau menyambut baik langkah MPAJ bersama pihak sekolah bagi mempergiatkan aktiviti mencegah wabak ini.

“Saya setuju program yang ini dan ia harus diteruskan ke sekolah-sekolah yang lain,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran program tersebut di Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, Dr Xavier turut melancarkan Skuad Combi bagi penduduk Pangsapuri Seri Nilam.

Dr Xavier bekata terdapat 13 kes denggi dilaporkan bagi kawasan Ampang mulai Januari sehingga September 2012.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain.

Di samping itu, Dr Xavier berkata kerajaan negeri akan menerbitkan risalah denggi di dalam pelbagai bahasa bagi mendidik pekerja-pekerja asing tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dan mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, risalah tersebut akan diedarkan di kawasan-kawasan di mana pekerja asing menjadi penyewa.

“Kita faham di Selangor, pekerja-pekerjanya datang daripada pelbagai negara seperti Bangladesh, Myanmar dan Vietnam.

?Mereka tidak faham bahasa Malaysia dan sebab itu kita ambil inisiatif menerbitkan risalah ini sebagai pemberitahuan kepada mereka supaya menjaga kebersihan dan membuang sampah di tempat yang sepatutnya,” katanya.