Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri cari penyelesaian pentadbiran sempadan Selangor-KL

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 26 OKT: Kerajaan Negeri akan mencari jalan menyesuaikan kordinasi antara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya beberapa tugas di kawasan persempadanan Selangor-Kuala Lumpur dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau mengambil maklum pandangan yang dikemukakan agensi Kerajaan Negeri ketika mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), pagi tadi.

“Kita harap menyelesaikan perkara itu kerana perjalanan kerjasama yang lebih efektif boleh dilakukan sekiranya ada kordinasi antara semua pihak.

“Kita sedia maklum Daerah Gombak terletak di pinggiran Kuala Lumpur dan timbul soal sempadan pengurusan pentadbiran,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Jamek Al-Amaniah, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan mencari jalan penyelesaian beberapa isu berbangkit seperti lokasi pembuangan sampah haram walaupun sudah berjaya diselesaikan sekitar 70 peratus selain masalah banjir kilat di Daerah Gombak.

Turut dibincangkan adalah kertas pelaburan ke luar negara dan misi pelancongan ke London pada 4 dan 5 November hadapan yang bakal disertai beberapa EXCO Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Cantuman jajaran Bas Smart Selangor beri kelebihan untuk rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 24 OKT: Jajaran Bas Samart Selangor diharapkan dapat menghubungkan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dibawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke Kuala Lumpur.

Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, cantuman jajaran bas Smart Selangor ini penting supaya pengguna dapat menikmatinya secara berterusan.

“Bas percuma Smart Selangor paling penting dan perlu ada kesinambungan. Kawasan Selayang dan Ampang Jaya tidak bercantum disebabkan Kuala Lumpur.

“Bas MPAJ sampai Melawati tetapi tidak disambung kepada Klang Gates. Saya telah memohon MPAJ memanjangkan perkhidmatan bas Smart Selangor ke Klang Gates dan seterusnya ke LRT Melati kerana ia merupakan lokasi terakhir bas MPS.

“Di daerah Gombak, orang yang tinggal di Hulu Klang boleh menikmati bas percuma ini jika ingin ke Rawang. Sekarang, kalau orang Hulu Klang nak ke Rawang, tiada bas yang menghubungkan,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu sudah diketengahkan supaya perkhiamatan Bas Smart Selangor dapat diperluaskan serta menggabungkan dua daerah selain berharap isu sempadan Kuala Lumpur-Selangor dapat diselesaikan segera.

Katanya, perkhidmatan bas percuma dibawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu memberikan reaksi positif kepada rakyat dan diharapkan kesepakatan pentadbiran di Putrajaya- Selangor boleh mempercepatkan urusan itu.

Categories
SELANGOR

Semak dan bayar kompaun dalam talian 

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil inisiatif memberi kemudahan kepada orang awam menyemak dan membayar kompaun melalui sistem dalam talian.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, usaha itu diambil bagi menggalakan orang awam menggunakan kemudahan itu bagi memudahkan urusan berkaitan perkara itu.

“Jumlah tunggakan bayaran kompaun di MPAJ amat tinggi dan kita mempergiatkan usaha memudahkan orang awam membayar kompaun.

“Antaranya melalui semakan dan bayaran dalam talian operasi tunda kenderaan buruk secara berterusan termasuk Sabtu juga Ahad selain memendekkan tempoh proses pelupusan dari 90 hari ke 60 hari,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik langkah Kementerian Pengangkutan untuk memendekkan tempoh proses pelupusan kepada sebulan kerana ia dapat membantu menyelesaikan aduan halangan parkir dan pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, MPAJ juga adalah PBT pertama melaksanakan semakan tunda secara dalam talian dan pengguna boleh membuat semakan melalui aplikasi MPAJ Parking atau Smart Selangor Parking.

“Hasil diperoleh daripada aktiviti pelupusan kereta bagi 2016 membabitkan 391 unit berjumlah RM202,000 manakala bagi tahun lalu membabitkan 527 unit (RM213,000) dan tahun ini 362 unit (RM161,360.27).

“MPAJ turut mengutamakan kemudahan pengguna parkir orang kelainan upaya (OKU) dengan menambah petak OKU dari 20 kepada 35 dan akan menambahnya dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang mewujudkan petak parkir khas untuk wanita pada masa akan datang.

Categories
SELANGOR

MPAJ pasang perangkap monyet, babi hutan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 12 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memasang perangkap monyet dan babi hutan di Padang Melur Fasa Dua dan Tiga, di sini, bagi mengurangkan gangguan hidupan liar terbabit.

Ahli Majlisnya, Mohamad Samat berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu bersama Pejabat Ahli Dewan Negeri Teratai, Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPAJ Zon 23 dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (PERHILITAN).

Katanya, sebanyak lapan ekor monyet dan lima ekor babi hutan berjaya ditangkap selepas sangkar itu diletakkan sejak pertengahan bulan lalu.

“Sebuah perangkap babi hutan dipasang di hadapan Surau At-Taqwa, Taman Saga. Walaupun masih kelihatan beberapa monyet berkeliaran tetapi haiwan berkenaan tidak menceroboh kediaman atau surau seperti yang berlaku sebelum ini.

“Babi hutan merosakkan tanaman dan tong sampah penduduk juga tidak kelihatan lagi,” katanya dalam kenyataan.

Sebelumnya, terdapat laporan dibuat berhubung gangguan monyet dan babi hutan sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk di sekitar Taman Melur dan Taman Saga.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Samat turut meluahkan sedikit rasa kesal terhadap tindakan masyarakat yang didakwa melepaskan monyet liar daripada sangkar dipasang di kawasan perumahan terbabit.

Katanya, sikap segelintir masyarakat mengganggu kegiatan penangkapan haiwan liar ini disifatkan sebagai kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas.

“Saya berharap penduduk dapat bersama membantu bagi melancarkan proses tangkapan haiwan liar ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPAJ komited pulih 3 hotspot denggi

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG JAYA, 29 JUN: Sebanyak 1,051 kes denggi direkodkan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sehingga 18 Jun 2018 dengan satu kematian.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, MPAJ mengenalpasti tiga kawasan tumpuan (hotspot) iaitu Taman Mega Jaya, Taman Dagang dan Kampung Pandan.

“Taman Mega Jaya melibatkan Pangsapuri Mega Indah melibatkan lapan kes dengan tempoh wabak selama 52 hari dan jangka wabak tamat pada 25 Jun.

“Lokaliti Taman Dagang melibatkan Jalan Dagang 1/1 hinga 1/11 mencatatkan enam kes dengan tempoh wabak selama 31 hari dan jangka wabak tamat pada 22 Jun.

“Sementara Lorong B1 hingga B9, Kampung Pandan pula mencatatkan tujuh kes dalam tempoh wabak selama 45 hari dan jangka tamat wabak pada 27 Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ Bil 6/2018 yang Bangunan Ibu Pejabat MPAJ, hari ini.

Menurutnya, antara tindakan kawalan dilakukan adalah pemusnahan tempat pembiakan, menganjurkan Program Lorong Belakang Bersih Bebas Aedes (LOBBA) dan pendekatan ekosistem.

Turut dilakukan adalah menjalankan aktiviti promosi dan pendidikan di sekolah-sekolah, taklimat kepada warga asing, operasi Zero Larva (OZEL) serta penggunaan Outdoor Residual Spray (ORS).

Categories
SELANGOR

4 bulan MPAJ berjaya kumpul 21,000 kg minyak masak terpakai

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MEI: Komited melaksanakan program kitar semula, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya mengumpul 21,769 kilogram (kg) minyak masak terpakai bermula Januari hingga April tahun ini.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, program kitar semula dan kutipan minyak masak terpakai digerakkan di setiap lokasi gotong-royong, premis kedai makanan, pasar malam dan bazar Ramadan.

“Ia bersesuaian dengan objektif utama meningkatkan kesedaran pengguna terutamanya peniaga supaya tidak membuang minyak masak terpakai ke tempat tidak sepatutnya.

“Selain itu, ia dapat memupuk kesedaran kepada orang ramai menjaga alam sekitar,” katanya ketika berucap pada Majlis Program Bazar Ramadan Mampan MPAJ 2018 di Bazar Ramadan, Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, di sini, semalam

Majlis disempurnakan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim itu turut dihadiri Timbalan Pengarah MySaveFood, Pusat Komunikasi Korporat dan Kualiti MARDI, Aniadila Kamaruddin dan Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Sementara itu, Izham memuji komitmen berterusan MPAJ menjayakan Program Bazar Ramadan Mampan bagi mendidik masyarakat setempat tentang kepentingan penggunaaan ‘ ‘biodegradable bag’ selain mengurangkan beg plastik dan polistirena.

 

Categories
SELANGOR

MPAJ-MARDI kolaborasi jayakan ‘mysavefood’

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 25 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengerakkan program ‘mysavefood’ bertujuan memupuk kesedaran masyarakat tentang pembaziran makanan.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, menerusi program itu, makanan dibuang atau berlebihan boleh diberi kepada mereka memerlukan sekali gus mengurangkan jumlah tan sisa buangan sampah.

“Sekiranya makanan tersebut rosak atau tidak boleh dimakan, ia boleh dijadikan penghasilan baja kompos selain dapat menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Bazar Ramadan Mampan MPAJ 2018 di Bazar Ramadan, Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, di sini, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim yang turut dihadiri Timbalan Pengarah MySaveFood, Pusat Komunikasi Korporat dan Kualiti MARDI, Aniadila Kamaruddin dan Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Sementara itu, Abd Hamid berkata, antara objektif utama Program Bazar Ramadan Mampan adalah untuk menggalakan penggunaan ‘biodegradable bag’ selain mengurangkan beg plastik dan polistirena.

“Program Bazar Ramadan Mampan bertujuan memupuk kesedaran kitar semula, kempen kitar semula minyak masak terpakai dan menyampaikan hal ehwal pengguna,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPAJ ajak masyarakat jayakan Smart Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 23 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggesa masyarakat sedia memberi kerjasama menjayakan program Smart Selangor yang akan digerakkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, sasaran utama dalam program itu termasuklah kedai runcit, gerai, kendera saji (food truck), medan selera, pasar tani dan pasar malam di kawasan MPAJ.

“Dalam Belanjawan Selangor 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sudah memaklumkan negeri ini ke arah Smart State terulung di rantau Asean menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.

Abd Hamid berkata, Mohamed Azmin turut mahu melihat Selangor berjaya mempraktikkan ‘Cashless Society’ menjelang 2022, dan membina infrastruktur serta masyarakat ‘cashless’.

“Cashless adalah penggunaan kad kredit, kad debit, cek, kiosk, e-wallet dan online banking.

“Justeru, melalui program Smart Selangor ini, besar harapan MPAJ supaya masyarakat di kawasan ini juga dapat memberi kerjasama demi kesejahteraan mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPAJ tutup beberapa jalan pada hari penamaan calon

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menutup beberapa laluan sempena hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pada 28 April ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, penutupan jalan terlibat membabitkan dua kawasan Parlimen di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu iaitu di Parlimen Ampang dan Parlimen Pandan.

“Bagi tempat penamaan calon P99 Ampang di Dewan Dato’ Ahmad Razali, antara jalan-jalan terlibat adalah Jalan Besar Ampang di kedua-dua arah.

“Orang awam boleh menggunakan laluan Kampung Melayu Ampang, Taman Resmi Jaya Bukit Indah dan Taman Kosas sebagai laluan alternatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ, di Menara MPAJ, pagi ini.

Sementara itu katanya, bagi kawasan tempat penamaan calon di P100 Pandan yang akan dibuat di Dewan Pandan Indah, jalan ditutup adalah di Jalan Susur Pandan Indah berhadapan dengan Dewan Pandan Indah.

“Pengguna trafik boleh menggunakan laluan alternatif melalui jalan Kencana dan Jalan Utama Pandan Indah,” katanya.

Penutupan jalan-jalan terlibat bermula dari jam 6:00 pagi hingga 1:00 tengah hari.

Pengguna jalan raya dinasihatkan mengelakkan melalui jalan berkenaan dan disaran mengikut arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan terperangkap di dalam kesesakan lalulintas.

Categories
SELANGOR

MPAJ: Elak sepanduk provokasi parti politik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengingatkan parti-parti politik bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) supaya tidak memasang sepanduk atau plakad berunsur provokasi terhadap pihak tertentu.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, parti politik hanya dibenarkan memasang bendera parti masing-masing sahaja sehingga proses penamaan calon dibuat.

“Parti politik tidak dibenarkan memasang sepanduk, kain rentang bersifat provokasi atau gambar calon-calon mereka sebelum proses penamaan calon dibuat.

“Untuk tempoh ini, kami hanya membenarkan pemasangan bendera dibuat di kawasan pentadbiran MPAJ mengikut syarat dan piawaian keselamatan perbandaran.

“Sekiranya ada parti melanggar ketetapan ini, sepanduk mereka akan diturunkan dan selepas penamaan calon barulah pemasangan sepanduk (tidak berunsur provokasi) dibenarkan dipasang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Menara MPAJ, pagi ini.

Untuk rekod, tempoh penamaan calon dibuat pada 28 April ini.

Dalam perkembangan sama Abdul Hamid berkata, setakat ini lebih 1,000 sepanduk diturunkan selepas pengumuman pembubaran Parlimen dibuat.

“Antara sepanduk yang telah diturunkan adalah di Taman Kosas dan Keramat.

“Kami berharap agar parti politik bertanding mematuhi peraturan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPAJ raih RM3.3 juta pendapatan tambahan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mencatatkan perolehan lebihan pendapatan RM3.3 juta bagi tempoh sehingga suku pertama tahun ini.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, peningkatan itu didorong hasil pertumbuhan positif pembangunan pesat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

“Kami percaya, perkembangan positif ini dapat dikekalkan, selepas proses pengauditan dan penyata pendapatan bersih diperolehi nanti,” katanya pada Mesyuarat Penuh di Menara MPAJ, pagi ini.

MPAJ mensasarkan pendapatan PBT itu menerusi perolehan kutipan cukai dan bukan cukai sepanjang tahun.

Selain itu, hasil kutipan pendapatan dibuat menerusi caj-caj perkhidmatan perbandaran, kompaun dan perlesenan.

Abdul Hamid berkata, hasil perolehan pendapatan digunakan bagi tujuan peningkatan fasiliti dan kemudahan awam komuniti.

“Orang ramai diseru menyelesaikan sebarang kompaun atau urusan lain demi kelangsungan dan manfaat komuniti di perbandaran ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jom saksikan Mak Jemah FC vs MPAJ esok

OLEH HAZIQ ISMAIL

AMPANG, 5 APR: Peminat bola sepak tempatan dijemput hadir memeriahkan perlawanan persahabatan di antara pasukan pilihan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Mak Jemah FC di Stadium MPAJ, Pandan Perdana, esok.

MPAJ dalam kenyataan berkata, perlawanan dijadual berlangsung jam 8.30 malam itu sempena Majlis Perasmian Stadium MPAJ.

 

Terdahulu, MPAJ menjangkakan 5,000 warga Ampang hadir memeriahkan Majlis Pembukaan Stadium MPAJ, pada 8 April ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dijangka hadir merasmikan pelancaran pembukaan stadium milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Stadium yang menelan belanja RM23 juta dengan keluasan 5.87 ekar itu bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan pelbagai fasiliti dan kemudahan terbaik disediakan MPAJ.

Pelbagai aktiviti disediakan antaranya Zumba, memanah, kayuhan santai dan sepak raga.

1,000 pengunjung terawal akan mendapat sarapan pagi, makan tengahari, baju serta cabutan bertuah.

Pendaftaran acara boleh dibuat seawal jam 6:30 pagi bagi acara kayuhan santai, Fun walk dan zumba.