Categories
PBT SELANGOR

MPKj buka 33 lokasi bazar, tiga karnival Ramadan tahun ini

SHAH ALAM, 25 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meluluskan pembukaan 33 tapak bazar Ramadan dalam kawasan pentadbirannya untuk tahun ini.

Yang Dipertua Najmuddin Jemain berkata mesyuarat jawatankuasa kawalan perniagaan dan penjaja turut meluluskan penganjuran tiga karnival Ramadan bagi memudahkan masyarakat mendapat keperluan raya.

“Pemohon dan penganjur yang berjaya diwajibkan hadir taklimat pada 3 Mac bertempat di Hotel Bangi Resort. Surat tawaran akan diserahkan pada sesi berkenaan,” katanya berucap dalam majlis mesyuarat bulanan hari ini.

Pada 21 Februari EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti lebih banyak lokasi bazar bagi mengelak kesesakan pengunjung.

Langkah itu akan memudahkan pemantauan serta memastikan peniaga dan pengunjung patuh tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj bantu bersih rumah mangsa ribut

SHAH ALAM, 22 FEB: Ribut kencang pada petang Ahad lalu, mengakibatkan beberapa rumah sekitar Taman Kota Cheras, Cheras rosak atau musnah sebahagiannya.

Susulan itu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengarahkan kakitanganya membantu mangsa membersihkan kawasan rumah termasuk mengutip sampah pukal.

“Ada rumah penduduk mengalami runtuhan sengkuap (awning) dan beberapa struktur lain.

“Bagaimanapun tiada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara kerana kesemua mangsa menumpang di rumah keluarga terdekat,” kata MPKj menerusi Facebook hari ini.

Pada masa sama, Yang Dipertua MPKj Najmuddin Jemain turut mengunjungi kawasan kejadian pada pagi Isnin untuk menilai kerosakan yang ditanggung mangsa.

 

Categories
PBT SELANGOR

Sempena sambutan Jubli Perak, MPKj tawar diskaun 25 peratus sewa dewan

SHAH ALAM, 7 FEB : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menawarkan diskaun sebanyak 25 peratus bagi sewaan dewan komuniti di sekitar kawasan pentadbirannya sepanjang Mei.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan tawaran dibuat sempena sambutan Jubli Perak serta terbuka kepada semua pihak yang mahu menyambut keraian.

Menurut MPKj, pemberian diskaun tertakluk kepada program seperti majlis perkahwinan, pertunangan, kesyukuran, aqiqah, makan malam, ‘hi tea’ dan hari jadi.

Sebarang pertanyaan boleh hadir ke kaunter pentadbiran am dan keurusetiaan di tingkat 1 Menara MPKj atau hubungi talian 03-87377899, sambungan 7037 atau emel kepada: [email protected].

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dakwaan Terima Dana Asing, Anwar Saman BH – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 16072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Negeri perlu meneliti dan melihat perkembangan kelancaran siaran langsung mesyuarat majlis PBT di peringkat perbandaran dan bandaraya jika mahu ia dilaksanakan di peringkat daerah.

2. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan untuk menyaman akhbar Berita Harian berikutan laporan fitnah kononnya Ketua Pembangkang itu mendapat dana besar pihak asing dari Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk aktiviti perhimpunan Black 505.

3. Pakatan Rakyat akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan program Tahun Melawat Malaysia 2014.

4. Isu tapak bazar ramadan di jalan Redko Sentral 2 selesai apabila Majlis Perbandaran Kajang menyediakan dua kawasan baru bagi mengantikan tapak tersebut yang ditutup awal minggu lalu.

Pemandu Perlahan Juga Boleh Jadi Mangsa AES

SHAH ALAM, 20 NOV: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) didakwa tidak tepat dalam mengesan kenderaan yang melebih had laju kerana ia boleh menyebabkan kenderaan yang tidak melebihi had laju juga disaman.

Ini kerana kamera AES yang statik akan menyebabkannya merakam kenderaan yang tidak melebihi had laju yang kebetulan berada di hadapan kamera secara serentak dengan kenderaan lain yang laju.

Dakwaan tersebut dibuat Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu semalam.

Ronnie berkata beliau mengetahuinya melalui kajian yang dilakukan baru-baru ini termasuk membuat rakaman video di salah satu tapak kamera AES yang ada di Selangor baru-baru ini.

“Ia bukan macam kamera yang dikendalikan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalanraya) atau polis trafik yang boleh terus tembak kepada kenderaan yang dipandu laju, tetapi AES ia statik.

“Kalau anda pandu perlahan, tak lebih had laju pun, tetapi kalau ada orang lain yang (melebihi had laju) potong pada saat itu, ‘flash’ kamera itu akan tangkap gambar semua kenderaan yang berada di situ pada masa itu.

“Kalau ada tiga kenderaan pada masa itu, ketiga-tiga kenderaan pun akan kena termasuk pemandu yang melebihi had laju itu sekali,” kata Ronnie.

Ronnie juga memberitahu lokasi sebenar AES di Selangor terletak dalam kawasan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan bukannya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) seperti yang disebut sebelum ini.

Menurutnya lagi notis 14 hari arahan merobohkan kamera AES yang dikeluarkan oleh MPKj baru-baru ini juga ditarik semula.

“Maaf, sebelum ini ada sedikit kesilapan, hari ini notis 14 hari itu telah dikeluarkan semula oleh MPSp,” katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan bahawa pegawai MPSp telah bersedia untuk tampil menjadi saksi di mahkamah sekiranya dipanggil dalam perbicaraan yang melibatkan saman AES nanti.

Categories
SELANGOR

Kerja Baikpulih Kawasan Tanah Runtuh Di Kajang Bermula

KAJANG 11 APRIL : Bahagian Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) sedang giat menjalankan kerja membaik pulih di kawasan tebing tanah runtuh berhampiran kawasan perumahan Taman Kantan Permai, Jalan Empat, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lee Kim Sin berkata kerja pemasangan besi cerucuk penahan itu yang dimulakan hari ini dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima minggu lagi.

Katanya, berdasarkan pematauan MPKJ masalah itu boleh diatasi dengan pemasangan besi cerucuk penahan di sepanjang kawasan tebing runtuhan itu.

“MPKJ juga akan memperbaiki permukaan tanah dan longkang di sekitar rumah terbabit serta tembok bagi mengukuhkan struktur tanah,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang dua hari lalu, lereng bukit bersebelahan rumah sederet itu runtuh dipercayai berpunca daripada hujan lebat sejak tiga hari sebelumnya.

Berikutan kejadian itu, dua keluarga diarahkan mengosongkan rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata perumahan itu dibina pada 1994 dan kurang mendapat perhatian daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sebelum tahun 2008, banyak aduan yang dilaporkan mangsa kepada PBT berkaitan hakisan dan keretakan bahagian lantai dan dinding rumah, bagaimanapun tiada maklum balas dari PBT.

“Jadi penduduk menjalankan inisiatif sendiri dengan meletakkan batu dan tanah untuk mengelakkan tanah mendap dan merekah dari terus berlaku,” katanya.