Categories
SELANGOR

Kes rempuh pelanggan, MPSJ sudah beri amaran pada peniaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 23 NOV: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah memberi amaran awal kepada peniaga yang sesuka hati meletakkan kerusi dan meja di atas jalan raya sehingga membahayakan nyawa pelanggan.

Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Noraini Roslan berkata, sejak tiga tahun lalu pihaknya sudah mengenakan lebih 200 kompaun dan denda kepada peniaga degil tersebut.

“Apabila MPSJ ambil tindakan merampas meja dan juga kerusi, kami dikatakan zalim dan tidak mempunyai belas kasihan.

“Sekarang bila sudah berlaku kejadian kereta merempuh pelanggan yang sedang makan, adakah anda melihat undang-undang MPSJ ini sekadar suka-suka.

“Oleh itu, saya meminta kerjasama peniaga supaya tolonglah prihatin dengan keselamatan pelanggan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Sabtu lalu, seorang wanita maut manakala empat lagi cedera apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas di sebuah restoran di Taman Equine, di sini.

Melalui rakaman video, didapati kenderaan tersebut merempuh pelanggan yang sedang makan di sebuah restoran yang meletakkan meja dan juga kerusi di atas jalan raya.

Mengulas lanjut, Noraini meminta kerjasama orang ramai supaya tidak memilih premis makanan yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

“Ia sama seperti dengan kedai kotor, jika pemilik kedai masih berdegil, anda sebagai pelanggan ada hak untuk tidak mengunjungi kedai tersebut sehingga kedai berkenaan kembali bersih.

“Sama seperti premis yang meletakkan meja dan juga kerusi di atas jalan raya ini, mereka membahayakan orang awam, anda ada hak untuk memilih dengan tidak mengunjunginya.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, undang-undang yang dibuat ini bukan untuk main-main, tetapi demi kesejahteraan orang ramai,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ tambah baik infrastruktur atasi banjir

OLEH HAFIZAN TAIB

PUCHONG, 5 OKT: Penambahbaikan infrastruktur dilakukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pihak berkaitan diharap dapat mengatasi isu banjir kilat di kawasan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) KM23.8 berdekatan susur keluar Bandar Puteri, di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, usaha itu juga diharap membawa kebaikan kepada MPSJ dan penduduk dengan kelancaran lalu lintas.

“Dengan langkah telah diambil itu, saya berharap pemantauan berterusan di kedua lokasi ini supaya banjir kilat tidak berlaku lagi,” katanya kepada media selepas lawatan ke lokasi berlaku banjir kilat itu di sini, hari ini.

Hujan lebat berlaku di kawasan itu pada 2 Oktober lalu, menyebabkan beberapa kawasan dalam pentadbiran MPSJ seperti Kampung Sri Aman, Kampung Kenangan, Kampung Tengah, Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Sri Andalas, Persimpangan Bertingkat Pucohng Utama dan kawasan LDP berhampiran susur keluar daripada Bandar Puteri di sini, ditenggelami air akibat banjir kilat.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pihaknya mendapati antara punca kejadian itu adalah disebabkan penerimaan taburan hujan amat tinggi berbanding hari biasa serta terdapat halangan di jajaran longkang.

“Kebiasaan taburan hujan pada sekitar 60 milimeter (mm) tetapi kali ini 117 mm dan ia antarabancaan paling tinggi yang kita dapat pada tahun ini.

“Akibat daripada itu, sistem yang ada tidak dapat menampung air hujan yang banyak walaupun ia berlaku pada waktu yang singkat dan ia menjadi lebih teruk apabila terdapat sampah dan bahan buangan di bahagian bawah jambatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, MPSJ mengadakan lawatan tapak dan memanggil pihak berkaitan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), IOI Properties, Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK) bagi menambahbaik infrastruktur sedia ada di kawasan ini.

Katanya, kerja dan tindakan pemantau akan terus dilakukan sehingga berakhir musim hujan.

Ketika berlaku banjir kilat, pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPSJ juga turun ke lokasi bagi tujuan pengurusan banjir serta membuat kerja pemotongan pokok yang menghalang lalu lintas.

Categories
SELANGOR

MPSJ laksana persiapan awal cegah banjir kilat

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 4 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) komited melaksanakan persiapan awal memantau dan menyelenggara sistem saliran dengan lebih kerap di kawasan pentadbirannya.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, ia membabitkan kawasan tumpuan banjir kilat bagi memastikan bencana berkenaan tidak berulang.

Katanya, MPSJ juga memantau lokasi banjir serta membantu kerja pemotongan pokok tumbang yang menghalang perjalanan lalulintas disebabkan ribut dan hujan yang lebat yang melanda.

“Selasa lalu, di bawah pentadbiran MPSJ ditenggelami air akibat daripada kejadian banjir kilat yang berlaku dan menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk.

“Antaranya di Kampung Sri Aman, Kampung Kenangan, Kampung Tengah, Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Sri Andalas, Persimpangan Bertingkat Puchong Utama dan juga di kawasan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berdekatan dengan susur keluar Bandar Puteri, Puchong.

“Bagi mengatasi permasalahan banjir itu, pihak MPSJ mengambil tindakan dengan menghantar bantuan awalan melalui Pasukan PANTAS MPSJ,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, MPSJ turut mengadakan lawatan tapak di lokasi berkenaan serta melaksanakan kerja pemeriksaan longkang secara menyeluruh di lokasi.

Katanya, ia bagi memastikan tiada sebarang halangan yang boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat.

“Dalam kejadian ini, MPSJ mendapati antara puncanya adalah disebabkan oleh penerimaan taburan hujan amat tinggi berbanding hari biasa iaitu sebanyak 117mm.

“Ia juga disebabkan limpahan lumpur yang menyebabkan banjir kilat itu berlaku,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penduduk harap sampah haram Taman Damai diatasi segera

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 SEPT: Penduduk berharap masalah longgokan sampah di tapak pembuangan haram di Damai Utama 7, Taman Damai, Subang Jaya, diatasi segera.

Ini kerana masalah itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk sekitarnya yang terpaksa menghidu bau busuk akibat pembuangan sampah dalam skala besar.

Seorang pengguna laman sosial dikenali sebagai Zaimi, dipercayai penduduk di kawasan itu memberi reaksi positif terhadap tindakan Exco Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa menjalankan tinjauan serta siasatan di situ, hari ini.

“Terima kasih semua kerana menjalankan pemeriksaan. Kawasan persekitaran terutama sebelah malam berbau busuk.

“Tak pasti sama ada dari tempat pembuangan sampah ini atau dari logi rawatan berhampiran. Masalah lalat yang agak banyak,” luahnya melalui akaun twitternya, @ahmadzaimi.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han bersama petugas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pejabat Daerah Petaling meninjau lokasi yang tercemar dengan longgokkan sampah haram.

Tinjauan mendapati sejumlah sampah dibuang hingga memasuki dan mengotorkan tasik di kawasan itu.

“Tindakan dilakukan setelah MPSJ menerima aduan penduduk sekitar kawasan itu lebih kurang dua minggu lalu.

“Siasatan dijalankan MPSJ dan Pejabat Daerah Petaling dengan notis serta amaran diberikan kepada pemilik tanah.

“Jika tiada tindakan, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak merampas kawasan tanah ini,” katanya.

Pemilih tanah, sebuah syarikat pemaju dan seorang individu dikenakan kompaun RM25,000 setiap satu dua minggu lalu ekoran kesalahan itu serta operasi pembersihan dikatakan akan dijalankan selepas ini.

Difahamkan pemilik tanah sudah memohon kebenaran MPSJ bagi tujuan pembangunan kawasan seluas kira-kira empat ekar itu.

 

.

 

Categories
SELANGOR

MPSJ anjur Program Generasi Sihat dan Merdeka 4 September ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal menganjurkan Program Generasi Sihat dan Merdeka, pada 4 September ini, di Surf Deck, Sunway Lagoon,

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, penganjuran menerusi Program Generasi Bestari (Smart Gen) itu merupakan salah satu modul di bawah Anugerah Sekolah Sejahtera yang dirancang selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030.

“Program ini termasuk dalam teras kedua pelan strategik MPSJ iaitu Perancangan dan Pembangunan Mampan serta Mesra Alam, juga teras kelima meliputi Pembentukan Masyarakat Madani dalam mewujudkan masyarakat sihat dan sejahtera.

“Ia melibatkan penyertaan 43 sekolah merangkumi sekolah menengah dan rendah, berkonsepkan ‘Treasure Hunt’ di kawasan Sunway Theme Park,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.8/2018, di Bilik Mesyuarat Kenanga, Aras 2 Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Noraini berkata, program terbabit direalisasikan secara kolaborasi bersama badan korporat iaitu Sunway Lagoon Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS) dan Jabatan Pendidikan Petaling Perdana (JPPP), sebagai usaha mengeratkan kerjasama antara badan kerajaan serta korporat.

Terdahulu, Anugerah Sekolah Sejahtera dilancarkan MPSJ pada 10 Januari lalu, merangkumi tiga aspek utama iaitu kesihatan dan kebersihan, kelestarian alam sekitar, landskap dan keceriaan.

Melalui aspek itu, tujuh program dilaksanakan di bawahnya seperti pemeriksaan dan pemusnahan Aedes, program kompos sisa organik, cabaran minda hijau, landskap kreatif serta pemeriksaan juga penarafan bintang tandas sekolah.

Categories
SELANGOR

Karnival Merdeka MPSJ sedia pelbagai aktiviti menarik

SHAH ALAM, 23 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menganjurkan Karnival Merdeka MPSJ 2018, pada 26 Ogos ini.

Bertempat di Perkarangan Arena MPSJ, Persiaran Perpaduan USJ 5, program dijadual berlansung pada 7.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, penganjuran karnival itu bertujuan memberi kesedaran dan memupuk semangat patriotisme cintakan negara.

“Ia juga dianjurkan sebagai platform mengeratkan lagi hubungan silaturahim melalui penyertaan masyarakat di dalam aktiviti yang dianjurkan semasa karnival ini berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara aktiviti disediakan adalah Merdeka Fun Walk & Fun Ride, Persembahan Kombo, Kelas Kraftangan, Eco Free Market dan Wish List.

Selain itu, turut dianjurkan Pertandingan Indoor Games, mewarna, sukan traditional, sepakan penalti, soccer kids, karaoke serta gubahan manisan.

“Hadiah wang tunai menanti pengunjung yang hadir memakai pakaian bertemakan kemerdekaan.

“Sebanyak 500 pokok herba diberi kepada peserta Fun Walk terawal,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ gesa orang ramai hapus denggi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 31 JUL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menggesa masyarakat setempat memberi kerjasama dalam usaha mengekang wabak denggi di kawasan pentadbiran itu.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, ia amat diperlukan bagi memastikan penularan kes demam denggi dapat dikurangkan.

“Setiap anggota rumah boleh melaksanakan kempen 10 minit secara kerap dengan memeriksa dan menghapuskan kawasan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Semua penduduk juga digalak melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan kediaman mereka tanpa perlu mengharapkan sepenuhnya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Mesyuarat MPSJ Bil 07/2018, di Bilik Mesyuarat Kenangan Aras 2, di sini, semalam.

Terdahulu, sejumlah 2,284 kes demam denggi dicatatkan setakat minggu epid ke 30 (sehingga 22 Julai) di kawasan pentadbiran MPSJ.

Difahamkan, sebanyak 2,273 kes denggi adalah Demam Denggi Klasik (DDK), manakala 11 kes membabitkan Demam Denggi Berdarah (DDB).

Bagaimanapun Noraini berkata, pihaknya segera menjalankan modus operandi setelah menerima laporan kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Petaling.

Katanya, ia berikutan peningkatan daripada tiga kepada 14 lokaliti ‘hotspot’ yang direkodkan pihak jabatan kesihatan, sejak Jun lalu.

“Baru-baru ini pihak kami bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Pembangunan Masyarakat menjalankan gotong-royong perdana di USJ 2/4, yang turut disertai ADN Michelle.

“Selain melakukan kerja pembersihan dan pemeriksaan, kami juga mengadakan sesi taklimat pada waktu solat jumaat dan ini merupakan pendekatan baru menarik perhatian jemaah di masjid,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sambutan Aidilfitri MPSJ meriah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 29 JUN: Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) meriah dengan kehadiran hampir 2,000 pengunjung termasuk kakitangan meskipun sudah masuk di pertengahan Syawal.

Timbalan Yang Dipertuan MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, aktiviti tahunan itu bertujuan merapatkan silaturrahim diantara warga kerjanya dengan pengurusan tertinggi, ahli majlis serta rakan sinergi.

“Bagi memeriahkan majlis kali ini, kita menyediakan 20 gerai juadah raya yang diuruskan setiap jabatan.

“Antara jamuan makan yang dihidangkan termasuk rendang, sate, kambing golek, nasi hujan panas beraneka lauk serta variasi pilihan kuih-muih dan air minuman bagi membangkitkan suasana Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018, di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Zulkurnain berkata, pihaknya turut mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan MPSJ 2018 untuk kali ke 4.

“Seramai 15 peniaga bazar telah dipilih untuk dianugerahkan sebagai peniaga contoh berdasarkan penialaian pematuhan aspek perlesenan, menjaga kebersihan, keceriaan dan melaksanakan inisiatif hijau.

“Para pemenang menerima pemberian wang insentif sebanyak RM500 dan mereka diberi kelebihan memilik mana-mana petak berniaga di sebarang lokasi untuk Bazar Ramadan tahun depan,” katanya.

Selain itu, seramai 12 peniaga telah dikenakan tindakan Notis Tawaran Kompaun dan permit mereka ditarik serta disenari hitamkan kerana melanggar peraturan.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagi menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Hadir sama memeriahkan, YDP MPSJ, Noraini Roslan dan mantan YDP MPSJ pertama, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail.

Categories
SELANGOR

Pastikan premis makanan Gred A,B, baru boleh makan – MPSJ

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 29 JUN: Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan gred sesebuah premis makanan berada pada Gred A atau B sebelum menjamu selera.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkarnain Che Ali berkata, hanya premis bergred itu berada dalam keadaan bersih hasil pemeriksaan dan pemantauan ketat pihaknya saban tahun.

“Orang ramai boleh rujuk gred ini di setiap premis sebelum makan.

“MPSJ tidak teragak-agak menutup premis makanan yang mempunyai lipas selama dua minggu, serta terpaksa menjalankan kerja pembersihan sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika operasi pemeriksaan ke atas 206 premis makanan di sekitar SS15 bersama anggota penguatkuasa MPSJ.

Untuk rekod, Gred A diklasifikasikan pada tahap terbaik iaitu anggaran markah penilaian dari 90 hingga 100, sementara Gred B ialah dari 80 hingga 90.

Mohd Zulkarnain berkata, MPSJ melakukan pemeriksaan berkala ke atas 2,800 premis makanan termasuk kantin sekolah.

Katanya, sehingga kini 1,400 premis sudah diperiksa sepenuhnya.

“Kami mahu tempat memasak juga bersih sama seperti tempat penyediaan makanan di bahagian hadapan.

“Operasi ini akan dijalankan secara mengejut pada bila-bila masa,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ jayakan Program Rakan Masjid, Imarah Ramadan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 JUN: Dalam usaha mendekatkan golongan remaja dengan amalan murni sempena Ramadan, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Program Rakan Masjid dan Imarah Ramadan secara Smart Partnership sejak 17 Mei hingga 12 Jun ini.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Abdul Rashid berkata, program bertujuan
mengukuhkan iman golongan belia menjadi insan mulia dan mempunyai pengetahuan ilmu agama tinggi.

“Secara tidak langsung hal ini dapat memupuk dan mendekatkan supaya hati sentiasa terpaut dengan masjid.

“Program itu juga diadakan untuk mengimarahkan masjid di bulan yang
mulia dengan aktiviti solat Dhuha, tadarus al-Quran, berbuka puasa, kuliah ramadan dan qiamullail,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Azfarizal berkata, pihaknya juga melaksanakan aktiviti bertadarus dalam kalangan kakitangan MPSJ.

Katanya, seramai 133 kakitangan terdiri daripada 100 wanita dan 33 lelaki yang telah berjaya menamatkan bacaan al-Quran

Justeru, bagi meraikan serta menghargai para peserta, MPSJ menyumbangkan cenderahati berupa makan serta kain pasang kepada setiap peserta.

Categories
SELANGOR

MPSJ ubah laluan atasi kesesakan waktu puncak

OLEH HAZIQ ISMAIL

SUBANG JAYA, 1 JUN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia bekerjasama melaksanakan pengurusan baru di persimpangan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Persiaran Kewajipan bermula 9 Jun depan.

Menurut MPSJ, pengurusan itu akan dilakukan dalam tempoh dua bulan untuk menangani dan mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di persimpangan yang terlibat.

“Antara kerja yang dilakukan ialah penutupan satu lorong paling kiri di atas jambatan Persiaran Kewajipan arah Subang Jaya dan penutupan pusingan ke kanan ke arah Kuala Lumpur.

“Pusingan U di persimpangan berlampu isyarat Persiaran Kewajipan dan Persiaran Murni juga akan ditutup,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, notis pemberitahuan dan ‘concrete barrier’ akan dipasang di lokasi yang berkenaan bagi melancarkan aliran ltrafik serta membantu pengguna jalan raya mengikut sistem ditetapkan.

MPSJ yakin pengguna lebuhraya dapat membiasakan dengan sistem pengurusan lalulintas yang baru.

Categories
SELANGOR

MPSJ komited laksana bandar mesra wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM,18 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan Lab MPSJ Bandar Hijau Mesra Wanita di Kinrara Resort, pada 15 Mei lalu.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, lab itu diadakan bertujuan memperkasakan kerjasama awam swasta bagi mendapatkan pandangan membentuk rangka kerja Bandar Hijau Mesra Wanita MPSJ.

“Subang Jaya merupakan sebuah bandar dengan jumlah penduduk 790,000 dan dianggarkan 64 peratus daripadanya adalah perempuan.

“Selaras dengan matlamat Lokal Agenda 21, penyertaan masyarakat dalam pembangunan perbandaran dan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030, kita komited berusaha mempertingkatkan perkhidmatan serta pembangunan bagi mencapai sasaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama menjadi bandar mesra wanita di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, ia selaras dengan saranan Kerajaan Negeri yang mahukan MPSJ sebagai PBT pertama melaksanakan Bandar Mesra Wanita.

Beliau berkata, antara objektif lain pelaksanaan lab itu adalah bagi mengenal pasti aspek atau elemen dalam aktiviti penambahbaikan dan penjenamaan Bandar Hijau Mesra Wanita MPSJ 2030 yang berkait dengan program promosi dan penambahan fasiliti terkini mengikut keperluan dan kehendak pelanggan.

Terdahulu, Lab MPSJ Bandar Hijau Mesra Wanita itu disertai 120 peserta membabitkan wakil Jawatankuasa penduduk, pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta rakan sinergi, Sunway Medical Centre.