Categories
AGAMA SELANGOR

MAPIM gerak usaha Transformasi Qaryah, sasar 5,000 penggerak masyarakat

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 2 SEPT: Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan Program dan Modul Tranformasi Qaryah (Pelan Tiga Tahun) ke arah membina masyarakat yang dinamik, berdikari dan mengamalkan ciri-ciri khaira ummah.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, MAPIM kini berusaha menggerakkan program terbabit di seluruh negara.

Katanya, usaha itu adalah untuk membawa perubahan di peringkat setempat dengan mengembeleng warga kariah dengan menggunakan masjid sebagai paksi masyarakat.

“Ini akan memungkinkan perubahan yang diinginkan dan dizahirkan dengan lebih berkesan.

“Dengan melihat realiti dan usaha dibawa kerajaan, universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta, namun gejala negatif dalam masyarakat khususnya masalah sosial tidak dapat diperangi dengan berkesan.

“Kami berpendapat kepimpinan masyarakat diperingkat akar umbi jelas tidak digembeleng untuk menangani isu sosial, ekonomi, pengurusan sumber tempatan, pendidikan dan budaya hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Geno Hotel sempena pelancaran modul terbabit, di sini.

Mohd Azmi berkata, MAPIM akan melatih seramai 5,000 penggerak masyarakat di peringkat kariah bagi menjayakan proses tranformasi dingini itu.

Katanya, ia meliputi aspek kepimpinan, keorganisasian, ketrampilan, pemikiran kritikal, komitmen bertugas, berdisiplin, keupayaan memberi motivasi dan kemampuan memobilisasikan komuniti.

“Dengan latihan itu, MAPIM akan berusaha menggerakkan 300 masjid terpilih sebagai contoh dengan kerjasama Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri.

“Dari sekitar 6,400 masjid dan 27,000 surau yang ada dalam negara, kami merasa gerakan perubahan minda dan sikap masyarakat boleh dilaksanakan melalui program ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mahu masjid dijadikan institusi paling strategik membawa perubahan itu dengan beranggapan dinamika dan upaya komuniti hanya boleh dizahirkan sekiranya semua aspek pembinaan insan dilaksanakan dari masjid.

“Gerakan tranformasi masyarakat berpaksikan pembinaan nilai hidup manusia, minda dan sikap kritikal, partisipatisi aktif serta kepimpinan berkesan.

“Kami mengharapkan supaya kerajaan memberi sokongan dan bantuan dalam usaha menggerakkan program ini,” katanya.

10 modul dalam Program Transformasi Qaryah yang membabitkan perlindungan zuriat, pembinaan keluarga, hidup mandiri, pembangunan wanita dan generasi muda, interaksi antara kaum, institusi sekolah dan masjid.

Categories
AGAMA NASIONAL

Pembangunan mesra rakyat, mahu laksana modul MAPIM secara ‘smart partnership’

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 2 SEPT: Kerajaan hari ini komited dalam membangunkan pembangunan bersifat mesra rakyat dan mengutamakan kesejahteraan semua.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia membabitkan pelbagai golongan dan peringkat sama ada dari sebuah kariah sehingga peringkat negara.

Katanya, usaha digerakkan oleh kerajaan tidak akan lengkap dan berkesan sekiranya tiada kerjasama dari masyarakat setempat.

“Oleh itu, program Transformasi Qaryah yang menyediakan wadah lokal sebagai medan perubahan di peringkat mikro akan membantu kerajaan untuk merealisasikan perubahan di peringkat makro.

“Kita sedar dan insaf terhadap realiti masyarakat kita kini berdepan dengan cabaran sosial budaya, ekonomi dan pengurusan masyarakat yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Tiga Tahun Transformasi Qaryah Malaysia di Geno Hotel, di sini, malam tadi.

Dr Wan Azizah berkata modul yang disediakan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu adalah untuk merealisasikan suatu pembinaan masyarakat yang lebih berdikari dan berdaya saing dalam melaksanakan tanggungjawab membangun umat terbaik.

Katanya, 10 modul dalam Program Transformasi Qaryah yang membabitkan perlindungan zuriat, pembinaan keluarga, hidup mandiri, pembangunan wanita dan generasi muda, interaksi antara kaum, institusi sekolah dan masjid jelas menyentuh aspek penting dalam pembinaan masyarakat.

“Modul-modul ini sangat membantu penggerak masyarakat untuk memulakan proses perubahan. Ia boleh memberi panduan kepada pemimpin masyarakat untuk memulakan inisiatif perubahan diperingkat lokal.

“Saya faham bahawa inisiatif ini bukan mudah, dengan segala jentera dan dana kerajaan yang ada belum tentu mampu membawa agenda perubahan.

“Kita mahu beranjak dari budaya kebergantungan, feudal dan penting diri kepada hidup berdikari, demokratik dan mengutamakan kepentingan kolektif,” katanya.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah mahu modul itu dapat dikemukakan oleh MAPIM dengan intensif kepada jabatan-jabatan dan kementerian yang berkaitan untuk dilaksanakan secara ‘Smart Partnership’.

“Cabaran kira yang pelbagai memerlukan usaha semua pihak. Modul ini adalah projek besar MAPIM untuk menyumbang kepada islah masyarakat berdikari dan berinisiatif.

“Ini adalah gerak kerja yang sangat serius, merentas generasi, sangat terfokus dan merangkumi seluruh masyarakat,” katanya.

 

Categories
AGAMA NASIONAL

MAPIM anjur Ibadah Korban bantu umat Islam kebuluran di luar negara

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 OGOS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mempelawa seluruh umat Islam di negara ini melaksanakan Ibadah Korban merentasi sempadan.

Naib Presidennya, Dr Ahmad Sani Araby berkata, sebanyak 98 bahagian lembu lagi diperlukan bagi Projek Korban Afrika sebelum 12 Ogos akan datang.

Katanya, pihaknya memberi fokus bantuan daging korban ini kepada negara yang mempunyai umat Islam yang diuji dengan perang, kebuluran, ditindas serta dizalimi.

“Korban sumbangan anda ini memberi makna sangat besar kepada mereka, rebutlah peluang ibadah yang mulia ini, sertailah dengan keluarga tersayang.

“Dengan RM350 sahaja, anda mampu memberi makan kepada saudara Islam Afrika yang kebuluran menerusi Program Ibadah Global Qurbani MAPIM di 10 negara Afrika,” katanya kepada SelangorKini.

Sani berkata, bagi mereka yang berminat untuk menderma bagi seekor lembu ialah sebanyak RM 2,450 sementara bagi sebahagian seekor lembu pula berharga RM 350.

“Marilah mengambil peluang menjadi sebahgian dari insan yang membantu saudara memerlukan, terdapat dua cara mudah untuk menyertai korban ini iaitu daftar secara online di www.ibadahqurban.com.

“Atau orang ramai boleh menghubungi whatsapp MAPIM di talian 0133989784,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

MAPIM: Bantu pelarian Rohingya, pastikan keselamatan terjamin

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 APR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersedia membantu pelarian Rohingya yang dilaporkan dalam perjalanan menuju ke kawasan perairan Malaysia.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata MAPIM, dengan ini merayu kerajaan untuk memberi akses kepada kumpulan pelarian itu untuk memasuki negara atas pertimbangan kemanusiaan.

“MAPIM akan bekerjasama dengan pihak keselamatan untuk memberi bantuan segera terutama kepada kanak-kanak dan wanita.

“Kita sedang mengaktifkan pusat operasi MAPIM di Langkawi untuk tujuan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, laporan media menyatakan terdapat bot pengangkutan membawa penumpang dipercayai pelarian Rohingya berhenti di pantai Thailand, dalam usaha memasuki Malaysia.

Katanya, MAPIM percaya ia kemungkinan sekumpulan pelarian Rohingya yang memutuskan menempuh pelayaran berisiko dari Myanmar ke perairan Thailand dan Malaysia melalui sindiket pemerdagangan manusia.

“Keadaan di Myanmar dan Bangladesh yang tidak stabil menyebabkan kumpulan mangsa memilih untuk menyertai pelayaran itu.

“Kegagalan agensi antarabangsa menghentikan kekejaman rejim Myanmar terhadap Rohingya, mengakibatkan pengusiran berterusan mereka ke negara jiran yang mana beban harus ditanggung negara penerima,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

MAPIM tubuh gerakan kembali ke Palestin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Hasil perbincangan melalui mesyuarat khas yang diterajui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebulat suara bersepakat menubuhkan satu gerakan kembali ke Palestin.

Pengerusi MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid mendukung sepenuhnya agenda dan pelaksanaan itu bagi memberi peluang kepada pelarian Palestin pulang ke rumah mereka untuk menyambut ulang tahun Hari Nakbah.

“Kita akan bergerak seiring dan berganding bahu dengan apa jua cara sekalipun untuk memastikan pelarian Palestin dapat pulang ke tanah air mereka.

“Meskipun, Israel tidak memberi keizinan untuk pulang tetapi kita yakin dengan komitmen dipamerkan badan-badan NGO dan penyatuan rakyat di negara ini ia sedikit sebanyak memberi nafas baru buat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas Majlis Pelancaran Peringatan Hari Nakbah Palestin 70 Tahun, di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Malaya, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata gerakan yang akan dibuat pada 31 Mac ini adalah sebahagian daripada tanda sokongan menggesa pelarian Palestin untuk pulang setelah sekian lama tidak merasai kehidupan di tanah air sendiri.

“Justeru, kita sentiasa berusaha sedaya upaya mencari bantuan sepatutnya untuk diberi berikutan kesengsaraan dihadapi mereka tidak pernah berkesudahan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyeru orang ramai supaya menyatukan suara bersama dengan menunjukkan rasa simpati dan prihatin terhadap nasib menimpa penduduk Palestin.

=EZY=

Categories
NASIONAL

MAPIM mulakan usaha hantar misi bantuan ke Palestin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) optimis dalam menggerakkan usaha menghantar pasukan khas ke Palestin bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara bergolak itu.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembentukan pasukan khas itu bertujuan meninjau keadaan semasa yang berlaku di sana, selain menghulurkan bantuan berbentuk makanan dan ubatan.

Katanya, buat masa ini MAPIM sedang giat memulakan pelbagai gerak kerja yang lebih proaktif untuk memberi keutamaan yang lebih mendesak.

“Pihak kami menjalin kerjasama erat bersama Majlis NGO Pembangunan Gaza supaya misi menyalurkan bantuan kemanusiaan nanti berjalan lancar.

“Bagaimanapun kami mengharapkan perancangan untuk menyusul ke Gaza bagi membawa dana bantuan pada tahun ini tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Peringatan Hari Nakbah Palestin 70 Tahun, di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Malaya, di sini, semalam.

Terdahulu, MAPIM dan 30 persatuan yang dianggotai Badan Bukan Kerajaan (NGO) mengadakan mesyuarat serampang dua mata dengan mengusulkan cadangan aktiviti yang bakal dijalankan sempena memperingati peristiwa tragis 15 Mei 1948 yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Antarabangsa digesa segera bertindak selesaikan krisis Rohingya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengadakan Program Persidangan Meja Bulat bagi menggerakkan usaha menyelesaikan krisis pelarian etnik Rohingya.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rapat temu kali ini lebih menjurus kepada analisis strategi dengan mengetengahkan 12 resolusi untuk melobi segala tindakan mengekang keganasan Kerajaan Myanmar.

Katanya, nyawa etnik Rohingnya yang terbunuh akibat kekejaman Kerajaan Myanmar seolah-olah dibutakan daripada penglihatan dunia antarabangsa.

“Justeru, kita bersama-sama dalam perbincangan ini untuk melontarkan idea dan mencari jalan penyelesaian menghalang kejahatan tersebut daripada terus berlanjutan.

“Namun, kezaliman dilakukan bukan hanya membabitkan etnik Rohingya, malah etnik minoriti lain turut terkesan sama melalui penindasan hebat rejim berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas Program Perbincangan Meja Bulat: Krisis Rohingya, di Hotel Carlton, di sini, semalam.

Tambahnya, di samping menghulurkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, minuman dan pakaian, adalah menjadi tanggunjawab secara kolektif untuk menangani isu asas yang melibatkan kezaliman.

Menyedari hakikat itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya memecahkan perbincangan kepada beberapa aspek supaya setiap resolusi digariskan dapat dibincangkan dengan lebih mendalam.

“Umpamanya, strategi mengheret jeneral-jeneral tentera Myanmar ke mahkamah jenayah antarabangsa, mengenakan tindakan undang-undang penalti dan strategi menyekat kezaliman.

“Kita juga mahu kenal pasti dari mana mereka mendapatkan senjata dan kempen yang patut dilaksanakan bagi mempengaruhi China serta Rusia supaya tidak menghalang keputusan dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN),” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa pihak berwajib memberi perhatian sewajarnya terhadap isu pemerdagangan manusia melibatkan pelarian Rohingya yang semakin merebak kesan daripada sindiket pemerdagangan di sempadan Thailand dan Malaysia.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

MAPIM: Islam perlu bangkit bantah pencabulan Baitulmaqdis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 DIS: Masjid di seluruh negara diminta mengadakan demonstrasi berhubung isu pengambilalihan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang bakal diisytihar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, khutbah Jumaat juga disarankan dibaca khas untuk isu terbabit.

Katanya, maruah umat Islam ketika ini dicabar AS dan Israel, malah terdapat negara yang mengkhianati umat Islam dengan bersekongkol bersama negara itu.

“Maruah umat sedang dicabar AS dan Israel. Ada Negara Arab yang mengkhianati umat Islam dengan bersekongkol dengan AS dan Israel,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi berkata, seluruh umat Islam dan pencinta kebenaran perlu bangkit segera menyatakan bantahan keras terhadap pencabulan Zionis ke atas Baitulmaqdis.

“Kesedaran berkenaan kepentingan mempertahan Al-Quds perlu dicetuskan di seluruh negara di seluruh peringkat,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman yang bakal dibuat Trump untuk mengiktitaf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel bermakna seluruh kota suci dan Masjid Al-Aqsa sudah dikuasai mutlak oleh Zionis Yahudi.

“Ini jenayah besar ke atas umat Islam yang tidak boleh dikompromi. Setiap imam di setiap masjid perlu memimpin kebangkitan pada Jumaat ini sebagai hari kemarahan umat seluruh negara,” katanya.

“Inilah masanya umat bersatu demi Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa. Jangan ada khilaf politik mahupun perpecahan sektarian yang menghalang umat bersatu menentang Zionis dan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Al-Quds,” katanya.

Categories
GLOBAL NASIONAL

MAPIM sasar 100,000 masjid & surau pertahan Masjid Al-Aqsa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 NOV: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) buat julung kalinya menubuhkan sekretariat Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Masjid Al-Aqsa (AMSA)

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mensasarkan penyertaan 100,000 masjid dan surau dari seluruh dunia untuk bersama mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

“Gabungan masjid dan surau bertujuan menyatukan seluruh tempat suci itu di dunia bagi melindungi masjid ketiga suci umat Islam ini.

“Semua umat Islam sama ada Palestin atau orang Arab harus tahu tanggungjawab mempertahankan Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran AMSI, di pejabat MAPIM Seksyen 13, di sini, hari ini.

Mohd Azmi berkata, di negara ini sahaja, terdapat lebih kurang 6,400 masjid dan 40,000 surau.

“Setakat ini, lebih 100 masjid dan surau bersetuju menyertai gabungan AMSA ini.

“Buat permulaan, kita tubuhkan AMSA di Malaysia dahulu malah kita juga sudah mendapat reaksi positif dari masjid di Indonesia dan Thailand yang berminat menyertai AMSA,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun hadapan pihaknya akan mula jelajah di beberapa negara Asean untuk meramaikan lagi sekretariat AMSA.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Hantar pelarian Rohingya pulang risiko tinggi dibunuh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru pihak berkuasa, di Bangladesh dan Myanmar mengadakan rundingan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan menghantar pulang pelarian Rohingya ke kampung halaman masing-masing.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tentera pengaman wajar diletakkan di wilayah berdarah, di Rakhine bagi memastikan keselamatan etnik Rohingya yang dihantar pulang.

“MAPIM tidak setuju mereka dihantar balik sehingga operasi tentera di wilayah itu dihentikan kerana tiada jaminan mereka tidak akan dibunuh.

“Selain itu, banyak kawasan terdapat jerangkap samar yang sudah tentu membahayakan nyawa mereka. Jika tiada tentera pengaman diletakkan di sana, bererti kepulangan mereka sama seperti menyerahkan tengkuk sendiri untuk disembelih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Pejabat MAPIM, di Carlton Holiday & Suites, di sini, semalam.

Selain MAPIM, turut sama dalam sidang media itu adalah The European Rohingya Council (ERC) dan Myanmar Ethnics Rohingya Human Rights (MERHROM).

Pada masa sama, Mohd Azmi berkata, pelarian Rohingya juga tidak mempunyai kediaman sempurna di kampung halaman masing-masing ekoran kebanyakannya sudah dibakar golongan pelampau.

Katanya, MAPIM juga akan menghantar memorandum kepada Kerajaan Bangladesh dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terus berlaku.

“Dijangka terdapat 40 NGO lain akan turut serta menghantar memorandum itu,” katanya.

Dalam pada itu, ERC turut menggesa rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada penduduk Rohingya yang berhadapan kekejaman tentera Myanmar.

Pada masa ini, dianggarkan terdapat kira-kira 600,000 pelarian Islam Rohingya yang menyeberang sempadan Bangladesh, sejak Ogos lalu bagi mengelakkan daripada dibunuh dalam operasi tentera Myanmar dan penganut Buddha.

Categories
AGAMA NASIONAL

MAPIM seru jemaah haji solat hajat lindungi etnik Rohingya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Semua jemaah haji di Mekah khususnya dari Malaysia diseru berdoa dan bersolat hajat kepada Allah untuk melindungi warga Rohingya di Myanmar.

Gesaan disuarakan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) demi keselamatan mereka yang ketika ini diserang tanpa belas kasihan oleh tentera Myanmar dan ektrimis Buddha di negara berkenaan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata penindasan terhadap etnik Rohingya memerlukan pembelaan setiap muslimin dan ibadah haji dijalankan ketika ini perlu dimanfaatkan bagi tujuan itu.

rohingya“Adalah menjadi tanggungjawab semua kaum Muslimin membela kaum dizalimi maka kesempatan berada di tanah suci perlu digunakan untuk berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah.

“Ia supaya malapetaka besar menimpa etnik Rohingya di Arakan dipelihara Allah dan mereka bertanggungjawab menerima balasan serta dihukun dengan balasan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, erti persaudaraan dalam Islam tidak bermakna sekiranya kaum muslimin tidak berdoa untuk warga Rohingya yang kini dizalimi musuh.

“Keadaan kini sangat parah, kanak-kanak dan wanita Rohingya tidak berdosa dibunuh dengan zalim dengan setakat ini lebih 40 kampung musnah dibakar manakala lebih 500 orang terkorban.

“Malangnya tiada sebarang tindakan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam, Kesatuan Eropah mahupun Asean,” katanya.

=EZY=

Categories
AGAMA NASIONAL

Rohingya: MAPIM desak PBB ambil tindakan segera

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) untuk mengambil tindakan segera berhubung operasi ketenteraan yang dilancarkan ke atas penduduk Rohingnya di daerah Maungdaw Buthidaung, semalam.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengutuk operasi ketenteraan itu yang menyebabkan beribu penduduk Rohingnya terkorban.

MAPIM - AZMI HAMID“Masyarakat antarabangsa tidak boleh bertolak ansur dengan pembunuhan beramai-ramai Rohingya yang sudah berapa dekad dilakukan.

“Kami mahu tentera perdamaian antarabangsa untuk ditempatkan segera bagi menghentikan pertumpahan darah,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi berkata, kerajaan Myanmar tidak bertanggungjawab terhadap keputusan oleh PBB dan Pertubuhan Negara Islam (OIC) yang mahu penindasan terhadap kaum itu dihentikan.

“Malah, perwakilan dari PBB dihalang memasuki Myanmar. Agensi ini harus bertindak sekarang sebelum lebih banyak nyawa hilang akibat pencerobohan ketenteraan,” katanya.