Categories
NASIONAL

10 NGO Islam Gesa Rakyat Tolak Politik Lucah, Samseng Dan Rasuah

politik lucah 01

SHAH ALAM, 12 APRIL : 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama negara ini menggesa rakyat menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan sebagai alat untuk mencari populariti politik dalam jangka pendek.

Dalam kenyataan media bersama itu NGO-NGO Islam memandang berat perbuatan mencipta video lucah, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina ke atas seseorang sewenang-wenangnya di khalayak ramai.

“Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah berkaitan dalam mana-mana saluran media,” kata kenyataan media bersama itu.

NGO-NGO Islam itu juga menyatakan pendirian agar umat Islam di negara ini rakyat menolak budaya politik fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini.

“Walaupun demokrasi membuka ruang seluas-luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

“Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat,” kata mereka.

Mereka juga menyeru umat Islam untuk menolak sekeras-kerasnya amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas rakyat.

“Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa.

“Amalan-amalan tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka,” kata mereka.

NGO-NGO tersebut terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kumpulan PRIHATIN, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Persatuan Hafiz Malaysia (PAHAM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Turut sama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulama? Malaysia (PUM), Sekretariat Himpunan Ulama? Rantau Asia (SHURA), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gagal Beri Penjelasan Wang Haram RM200 Bilion, Menteri Perlu Letak Jawatan

Duit_contoh_selangorku

SHAH ALAM,19 DIS : Menteri Kewangan perlu menjelaskan bagaimana hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari Malaysia pada tahun 2010 yang meletakkan negara di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jika beliau tidak dapat menjelaskan kedudukan isu dengan telus dan jujur maka menteri tersebut wajar meletakkan jawatan.

“Ini adalah suatu kepincangan yang sangat besar untuk diketepikan tanpa pertanggungjawapan penuh dari Menteri Kewangan.

“Di peringkat antarabangsa aliran wang haram adalah suatu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Azmi dalam kenyataan medianya.

Beliau menjelaskan, laporan dari badan badan pemantau – Global Financial Integrity (GFI) dalam laporan terbarunya yang menjejaki pengaliran modal menyatakan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia – dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38 bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.

“Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih 10 tahun – dari 2001-2010 – Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico.

“Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion, dan Mexico, AS$476 bilion,” katanya.

Tegas Azmi, ekonomi negara mengalami kerugian pada tahap berbilion ringgit jika isu ini tidak di atasi dengan tegas.

Ia bukan sahaja akan mengakibatkan negara kehilangan pendapatan yang sangat tinggi dari cukai malah integriti pengurusan kewangan negara dilihat sangat lemah dan wang negara akan terjejas teruk bila aliran keluar wang berlaku tanpa kawalan.

“Kini kita berhadapan dengan pengeluaran wang keluar dari Malaysia secara haram yang menunjukkan tahap pengawasan sangat lemah dan begitu mudah untuk bolos keluar,” ujar beliau.

Beliau berkata, Menteri Kewangan(Datuk Seri Najib Razak) harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini yang melambangkan kelemahan dan kepincangan yang amat ketara yang melibatkan masa depan ekonomi negara .

“Jika Menteri berkenaan tidak boleh mengatasi masalah ini maka beliau perlu melepaskan jawatan dan diserah kepada seorang yang lebih kompeten dan berkelayakan untuk menguruskan kewangan negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Sumbang USD50 Ribu Bina Hospital Gaza

SHAH ALAM 11 SEPT: Prihatin dengan nasib dan masa hadapan rakyat Palestin, Kerajaan Negeri Selangor menyumbang USD50,000 untuk membiayai pembinaan hospital di negara bergolak itu.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Menteri Kesihatan Gaza-Palestin, Dr Basem Naim dalam majlis makan malam sempena lawatan delegasi itu ke Selangor semalam.

Ketika mengalu-alukan kedatangan Dr Basem, Abdul Khalid dalam ucapannya berharap semuga sumbangan itu menjadi permulaan yang baik ke arah itu.

“Ini mungkin tidak banyak dan tidak meliputi sepenuhnya keperluan bangunan hosital yang lengkap, tetapi kita berharap ia akan memberi satu permulaan yang baik ke arah itu,” katanya dalam majlis yang diadakan di Hadramot Restaurant, Hotel Concorde di sini.

Di samping berharap hubungan dua hala Selangor-Palestin dapat diperkukuhkan, Abdul Khalid juga menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Palestin untuk membangunkan negaranya.

“Selangor menyokong usaha membangunkan Negara Palestin dan mengukuhkan hubungan dua hala serta membina masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Palestin,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Basem pula berkata selain mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih, beliau turut melahirkan keyakinan masyarakat di Malaysia, khususnya di Selangor akan terus membantu untuk memenuhi dana pembinaan hospital di Palestin.

“Saya percaya sumbangan ini akan mendorong pihak di sini termasuk NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) menyumbang untuk tujuan itu,” katanya.

Beliau turut memberitahu, selain keperluan membina hospital, Kerajaan Palestin turut berhadapan dengan masalah membekalkan eletrik ke hospital-hospital yang menuntut kos tinggi.

Dalam majlis tersebut, turut mengiringi Dr Basem adalah, Pengarah Hospital Shifa, Palestin, Dr Manhat A.K Hasan.

Majlis yang dihadiri kira-kira 70 tetamu itu antaranya Exco-exco Negeri Selangor, Dr Halimah Ali, Dr Xavier Jayakumar, Rodziah Ismail, Dr Yaakob Sapari, Dr Ahmad Yunus Hairi, Ronnie Liu, Teresa Kok dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abd Hamid.

Selain itu turut kelihatan dalam majlis sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Adun Meru, Dr Rani Osman.