Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS terima dua pengiktirafan MLAA

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 7 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berjaya meraih dua pengiktirafan oleh Malaysia Landscape Architect Award (MLAA), bagi kategori Inisiatif Hijau anjuran Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM).

MDHS dalam kenyataan berkata, antara anugerah diterima adalah Merit Award 2018 dan Honour Award yang akan diterima pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, pada hujung bulan ini.

Katanya, kedua-dua anugerah berprestij tinggi itu mengiktiraf arkitek landskap, PBT, pemaju dan perunding dalam Malaysia mahupun luar negara.

“Oleh itu, MDHS komited menganjurkan program World Landscape Architecture Month (WLAM) yang kini sudah memasuki tahun keempat sejak 2016 bertujuan mengiktiraf seni bina landskap yang ada di dunia sama ada tapak awam atau kawasan individu.

“Sehingga kini, MDHS adalah PBT pertama menganjurkan sambutan WLAM di negara ini dan semoga ia menjadi contoh kepada PBT lain supaya turut bersama menganjurkan program ini di kawasan penatdbiran masing-masing,” katanya.

Program WLAM yang diadakan selama dua hari sejak semalam itu dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd Daik di Taman Awam Padang Jenjarum, Bukit Beruntung, di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin; Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Raja Muzaffar Raja Redzwa; Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsuid Hui dan Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar.

Bertemakan “Hulu Selangor ke Arah Bandar Rendah Karbon”, program itu seiring Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon MDHS.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya Langkah Alam WLAM, senamrobik bersama GO PLAY, menyusun jigsaw puzzle dan fun with AXIATA.

Selain itu, kejohanan sukan WLAM turut diadakan membabitkan pertandingan bola jaring, sepak takraw dan Penalty Shoot Out.

Pameran juga diadakan membabitkan Jabatan Landskap Negara, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perancang Bandar MDHS bagi mempromosi program berkaitan bandar rendah karbon.

Categories
PBT SELANGOR

“Plogging” daya tarikan terbaharu Hari Tanpa Kenderaan MDHS

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 31 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memperkenalkan aktiviti “plogging” sebagai daya tarikan terbaharu Selangor Hari Tanpa Kenderaan yang diadakan semalam, di Jalan Orkid, Bandar Bukit Sentosa.

MDHS dalam kenyataan berkata, “plogging” adalah aktiviti mengutip sampah di kawasan sekitar karnival secara santai sambil berjalan dan melakukan aktiviti riadah oleh pengunjung yang hadir.

“Aspirasi ini diambil semasa MDHS membuat lawatan ke Muar baru-baru ini, sekali gus MDHS mengambil peluang menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama di Selangor menjalankan aktiviti ini.

“Program ini diadakan bertujuan memupuk kesedaran masyarakat berkenaan perntingnya menjaga alam sekitar selain menjadi landasan kepada warga Hulu Selangor untuk beriadah bersama keluarga,” katanya.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan antaranya kayuhan santai, larian santai, senamrobik, permainan PS4, Flea Market, berkuda dan Face Painting.

Difahamkan, penganjuran turut mendapat sokongan gerai pameran dan kaunter perkhidmatan bergerak dari agensi kerajaan dan swasta seperti Air Selangor, Pusat Wanita Berdaya, Prudential, Bank Simpanan Nasional dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menariknya, pengunjung berpeluang mengikuti bengkel membuat bunga dari barang terpakai, masakan, solekan muka dan tarian asas kanak-kanak.

Malah, program juga diserikan dengan persembahan seni pertahankan diri dan tarian kebudayaan seperti silat, taekwando, zapin dan tarian kuda kepang moden.

“Sambutan sepanjang program berlangsung cukup baik dan meriah apabila hampir 1,300 pengunjung hadir,” katanya.

Menariknya, program itu mendapat sambutan amat baik dan seramai hampir 500 pengunjung terawal menerima tshir secara percuma dan 50 cabutan bertuah dengan hadiah utama adalah televisyen LCD.

Antara yang hadir memeriahkan program itu adalah Ahli Parlimen Hulu Selangor,June Leow Hsuid; Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad dan Setiausaha MDHS, Awaludin Zakaria.

Categories
PBT SELANGOR

Kilang kitar semua plastik terima notis penutupan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA KUBU BHARU, 14 MAC: Sebuah lagi kilang mengitar semula plastik di kawasan Perindustrian Zuhrah, menerima notis penutupan daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) ekoran gagal menyediakan laporan Kajian Impak Alam Sekitar.

Setiausaha MDHS, Awaluddin Zakaria berkata, melalui notis itu, premis terbabit diperintah tutup selama 14 hari dan jika gagal memenuhi syarat ditetapkan, lesen peniagaan akan ditarik.

“MDHS memberi notis penutupan serta-merta kepada kilang berkenaan kerana didapati beroperasi dalam keadaan tidak mematuhi undang-undan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan operasi bersepadu, di kawasan berkenaan, hari ini.

Katanya, kilang terbabit turut diberi notis menghendaki kacau ganggu dihapuskan kerana pengusahanya meletakkan timbunan plastik yag menjadi tempat pembiakan nyamuk, lalat dan vermin.

“Notis ini di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menghendaki pengusaha dalam tempoh tujuh hari menghapuskan segala kacau ganggu seperti dinyatakan,” katanya.

Operasi itu membabitkan 100 anggota diketuai Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin.

Turut bersama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Khee Hiong.

Categories
SELANGOR

MDHS sita kilang kitar semula plastik tanpa lesen

HULU SELANGOR, 14 MAC: Sebuah kilang kitar semula plastik import di Kawasan Perindustrian Zuhrah, disita Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) kerana beroperasi tanpa lesen.

Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, pengusaha kilang terbabit masih belum mendapatkan sokongan daripada Jabatan Alam Skitar untuk menjalankan operasi setelah gagal mengemukakan laporan Kajian Impak Alam Sekitar seperti yang diperlukan.

“Hasil pemantauan MDHS mendapati kilang ini masih meneruskan operasi walaupun notis memberhentikan aktiviti perniagaan dikeluarkan Jabatan Penguatkuasaan, pada 17 Januari lalu.

“Tindakan penyitaan dilakukan hari ini ekoran kegagalan syarikat terbabit mematuhi peraturan untuk memberhentikan aktiviti perniagaan.

“Tindakan ini tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil Prelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007, yang membolehkan pihak berkuasa tempatan menyita apa-apa barang boleh alih yang berkaitan dengan kesalahan yang dilakukan di lokasi yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi selama satu jam, di kilang terbabit, di sini, hari ini.

Ketika operasi dijalankan, tiada wakil syarikat berada di kawasan berkenaan dan hanya terdapat hasil pemprosesan plastik, mesin serta jentera.

Turut serta dalam operasi itu ialah EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

Dalam operasi itu, MDHS terpaksa memecahkan pintu utama pejabat yang dikunci bagi menyita beberapa aset milik kilang terbabit, iaitu empat buah fork-lift, komputer CCTV (satu unit), tiga walkie-talkie dan satu unit tong gas serta kipas.

Turut dirampas water jet (satu unit), pemecah konkrit (satu unit), gergaji rantai (satu unit), pemotong besi (satu unit), pemotong (tiga unit) serta dua unit troli hidraulik.

Shukri berkata, pengusaha mempunyai tempoh sebulan untuk menuntut semua barangan dengan syarat memindahkan operasi dari Hulu Selangor dan jika gagal, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil secepat mungkin.

“Jika ada ruang, kita juga akan mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyewakan premis ini.

“Jika disabitkan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan denda RM500,000 serta penjara,” katanya.

Secara keseluruhan, terdapat hampir 10 kilang mengusahakan aktiviti kitar semula plastik dengan empat daripadanya mempunyai lesen import, di sekitar daerah Hulu Selangor.

Categories
SELANGOR

Jom meriahkan Hari Tanpa Kederaan MDHS Sabtu ini

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU SELANGOR, 21 FEB: Orang ramai dijemput memeriahkan Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Sabtu ini.

MDHS dalam kenyataan memaklumkan, program bertempat di tapak pasar malam, Jalan Orkid Bukit Sentosa itu dijadualkan berlangsung mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

MDHS turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya canting batik, berbasikal, menunggang beca dan larian santai sejauh satu kilometer (km)

Seramai 500 pengunjung terawal turut berpeluang menerima hadiah misteri manakala 500 kanak-kanak pula akan menerima ang pow sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu, MDHS turut membuka kaunter kitar semula pada program itu dan pengunjung yang hadir turut berpeluang mendapatkan hadiah misteri selain menebus barangan kitar semula.

“Jumlah minimum barangan kitar semula yang mahu ditebus merangkumi 20 naskah surat khabar, 30 tin susu atau sardin, 25 botol plastik 500 mililiter (ml), 15 botol plastik 1.5 liter, 10 kotak tetra-pack 1 liter, 15 kotak tetra-pack 200 ml ke atas dan 20 tin aluminium.

“Setiap bahan yang dibawa perlu dalam keadaan bersih dan tiada sisa air atau makanan, bagi botol plastik dan tin aluminium perlu dikemekkan, manakala kotak minuman perlu diratakan,” katanya.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melawat kaunter pameran perkhidmatan daripada agensi kerajaan dan swasta.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS sedia 44 tong RORO lupus barangan pukal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyediakan 44 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) secara percuma bagi memudahkan orang ramai melupuskan barangan pukal, sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Junainah Abdullah berkata, perkhidmatan tong RORO bersaiz tiga tan itu diletakkan di beberapa kawasan sekitar, sejak semalam hingga 14 Februari ini.

“Ia termasuk di Batang Kali, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa dan Kuala Kubu Bharu.

“Orang ramai boleh membuang sampah pukal seperti perabot lama dan barangan elektrik iaitu almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit serta sampah kebun.

“Bagaimanapun, penduduk dilarang sama sekali membuat sampah sisa pepejal kedalam tong RORO ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa penduduk supaya dapat memberi kerjasama dengan membuang sampah pukal ke dalam tong RORO yang disediakan.

Katanya, hal itu bagi memudahkan kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar supaya berada dalam keadaan bersih, selesa serta terurus.

Jika mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan tong RORO, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MDHS di talian 03-60641331 atau 03-60641050.

Berikut adalah lokasi spesifik perkhidmatan tong RORO:

1. Perumahan Melur 1, Bukit Beruntung
2. Lot Banglo Anggerik, Prima Beruntung, Bukit Beruntung
3. Perumahan Anggerik/ Kemboja, Bukit Beruntung
4. Kg. Air Panas, Kerling
5. Perumahan Tanjung, Bukit Sentosa
6. Perumahan Teluki, Bukit Sentosa
7. Balai Penghulu Ulu Yam Bharu (Desa Kelisa), Hulu Yam Bharu
8. Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Bharu
9. Taman Lembah Damai, Kerling
10. Bandar Utama Batang Kali, Seksyen 3
11. Kampong Sejantung, Kalumpang
12. Taman Tanjak, Kuala Kubu Bharu
13. Taman Merpati Titiwangsa, Kalumpang
14. Perumahan Anggerik 5, Bukit Sentosa
15. Perumahan Seroja 3, Bukit Sentosa
16. Perumahan Ros 1, Bukit Sentosa
17. Kampung Hassan, Hulu Bernam
18. Pekan Hulu Yam Lama
19. Taman Belida, Hulu Yam
20. Taman Desa Patin, Hulu Yam
21. Kg. Bukit Chandang, Batang Kali
22. Kg. Seri Serendah, Serendah
23. Taman Cempaka, Serendah
24. Taman Idaman, Serendah
25. Kg. Dato Harun & Kg. Dato Harun Tambahan, Serendah
26. Rumah Kilat, Serendah
27. Rumah Murah, Serendah
28. Kg. Damai, Serendah
29. Taman Desa Kiambang 1, Serendah
30. Kg. Assam Kumbang, Kuala Kubu Bharu
31. Perumahan Semarak, Bukit Beruntung
32. Taman Desa Anggerik, Serendah
33. Pekan Hulu Yam Baru (tapak pasar)
34. Pekan Hulu Yam Baru (berdekatan YST)
35. Kg. Sg. Chik Tambahan, Hulu Yam
36. Kg. Baru Tambahan dan Kg. Pisang, Hulu Yam
37. Perumahan Mawar/ Kekwa, Bukit Beruntung
38. Perumahan Inai, Bukit Beruntung
39. Kg. Chuang 6, Rasa
40. Taman Rasa Jaya, Rasa
41. Taman Rasa Utama, Rasa
42. Kg. Kandaiah, Rasa
43. Taman Semarak, Batang Kali
44. Jalan Macau, Serendah

Categories
PBT SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MDHS diteruskan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 31 OKT: Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bakal diteruskan setiap bulan selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin berkata, tempoh percubaan selama tiga bulan berjaya mencapai sasaran ditetapkan dengan penyertaan lebih 2,000 pengunjung.

Katanya, inisiatif program itu selaras pelaksanaan Program Teknologi Hijau Tahun 2018 dan Sustainable Development Goals (SDG).

“Program ini dapat memberi kesedaran pentingnya mencintai alam sekitar dan kami menjadi Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf majlis daerah pertama, di negeri ini yang menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, bandar Kuala Kubu Bharu dipilih sebagai lokasi program berdasarkan kesesuaiannya daripada segi susun atur jalan dan bandar.

Katanya, pengunjung turut berpeluang menikmati keindahan landskap dan reka bentuk bangunan bersejarah yang dirancang menggunakan konsep bandar taman.

“Program ini akan diadakan pada setiap Sabtu minggu ketiga, bermula jam 7 pagi hingga 12 tengahari.

“Eco Free Market antara yang menjadi tumpuan apabila memberikan pelbagai barangan hasil sumbangan orang ramai kepada pengunjung secara percuma,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS gesa penduduk ambil berat soal kebersihan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 23 OKT: Penduduk di daerah ini digesa supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan menjauhi amalan membuang sampah di merata tempat, terutama di atas jalan raya.

Jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam kenyataan berkata, pihaknya berasa kesal serta kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang membuang sampah domestik juga mengambil sikap sambil lewa terhadap permasalahan itu.

Katanya, ia disyaki sebagai tindakan protes kerana tapak pembuangan sampah haram di bahu jalan sudah dibersihkan, bahkan ditutup menggunakan ‘Cordon Tape’ untuk mengelakkan kejadian terbabit berulang.

“Sisa di kawasan komersial Jalan Melati 2, Bukit Beruntung itu diletakkan di tengah jalan dan berisiko menyebabkan kemalangan atau kacau ganggu kepada pengguna jalan raya.

“Kemungkinan untuk kacau ganggu oleh anjing adalah lebih tinggi ekoran plastik berkenaan boleh dikoyakkan dan menyebabkan kotoran di atas jalan,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, kutipan sisa pepejal di kawasan komersial adalah setiap hari dan pemegang lesen harus menyediakan tong sampah mencukupi seperti ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Contohnya, tong sampah bertutup dan berkapasiti minimum 120 liter seperti dinyatakan dalam Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan, dan Perindustrian MDHS 2007,” katanya.

Justeru, MDHS mengharapkan kerjasama setiap penduduk di Hulu Selangor untuk bersama menjaga kebersihan, di kawasan terbabit.

Categories
PBT SELANGOR

Kuala Kubu Bharu kini tanpa tunai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kuala Kubu Bharu menjadi perintis dalam pelaksanaan transaksi pembayaran tanpa tunai di daerah Hulu Selangor melalui aplikasi e-dompet dan boosts.

Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berkata, lokasi itu adalah perintis sebelum sistem terbabit diperluaskan ke seluruh kawasan.

Katanya, ia adalah kerjasama Smart State Delivery Unit (SSDU) dan Syarikat Telekomunikasi Axiata sebagai rakan kongsi pemasaran MDHS dalam menjayakan program terbabit.

“MDHS menyahut cabaran Kerajaan Negeri seiring arus pembangunan inovasi bagi menjadi bandar masyarakat ‘cashless’, iaitu masyarakat tanpa tunai atau cashless society dengan segala urusniaga tanpa membabitkan wang fizikal,” katanya dalam kenyataan.

MDHS berkata, pelaksanaan transaksi tanpa tunai berjaya dilaksanakan di bazar Ramadan Mampan 2018 daerah Hulu Selangor.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung mewajibkan peniaga menggunakan aplikasi e-wallet atau boost bagi menjayakannya.

“Penggunaan boost ini juga diperluaskan kepada semua peniaga pasar malam dan peniaga di premis Bandar Kuala Kubu Bharu.

“MDHS menyasarkan seluruh komuniti bandar Kuala Kubu Bharu sebagai masyarakat pertama tanpa tunai sebelum penghujung tahun,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS anjur Hari Tanpa Kenderaan pada 25 Ogos

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bakal menganjurkan Program Hulu Selangor Hari Tanpa Kenderaan, di kawasan parkir berhadapan Pejabat Pos Bandar Kuala Kubu Bharu, pada 25 Ogos ini.

Menampilkan kelainan dengan mengetengahkan tema ‘Hari Kemerdekaan’, program itu adalah inisiatif MDHS ke arah menggalakkan amalan gaya hidup sihat kepada komuniti setempat.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporatnya berkata, tema itu dipilih bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk dan masyarakat luar yang bakal menyambutnya, pada 31 Ogos ini.

“Orang ramai dipelawa untuk bersama menjayakan program yang akan bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari ini.

“Pendaftaran adalah secara ‘walk in’ dan t-shirt percuma diberikan kepada 400 penyertaan terawal,” katanya dalam kenyataan, di Facebook.

MDHS berkata, program itu juga adalah pendekatan pihaknya untuk mengurangkan penggunaan kenderaan, sekali gus dapat mengawal pencemaran udara.

Katanya, program terbabit turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai masyarakat awam

“Ia termasuk larian santai kemerdekaan sejauh 1.3 kilometer, basikal santai, jalan kaki, senamrobik, ‘Skutter Blade’, ‘Roller Blade’,’Skate Board’ dan kereta bateri untuk kanak-kanak.

“Selain itu, terdapat aktiviti lain seperti ‘Line Dance’, ‘Buskers’, sukan tradisional, sewaan basikal dan mewarna terbuka serta membuka tapak ‘Food Truck’, jualan produk PPDK, pameran agensi kerajaan juga swasta, kaunter cukai MDHS selain pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya.

“Dalam kesempatan itu, kami juga menjalankan program ‘Flea Market’ dan ‘Eco Free Market’ serta lebih 50 cabutan bertuah,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung program itu, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Perancang Bandar MDHS di talian 03-60641331 atau layari Facebook Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

24 angkat sumpah Ahli Majlis MDHS

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 30 JUL: Seramai 24 dipilih untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang baru hari ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Mesyuarat MDHS itu dilangsungkan di hadapan Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin sambil disaksikan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Tze Han.

Tze Han berkata, pelantikan Ahli Majlis MDHS ini melengkapkan pelantikan kesemua Ahli Majlis seluruh Selangor.

“Angkat sumpah Ahli Majlis MDHS ini merupakan yang terakhir di mana selesainya pelantikan di seluruh Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MDHS di Dewan Mesyuarat MDHS di sini, hari ini.

Sementara itu, Shukri menggesa supaya Ahli Majlis yang dilantik menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan tidak melanggar peraturan sedia ada.

“Ada muka lama dan ada muka baru. Saya harap mereka memegang lafaz sumpah untuk berkhidmat dengan baik dan bertanggungjawab kepada masyarakat di tempat masing-masing,” katanya.

Shukri berkata, seramai 24 orang Ahli Majlis telah mengangkat sumpah dan seorang lagi akan mengangkat sumpah sebaik sahaja pihak MDSB menerima watikah pelantikan.

Categories
KENYATAAN MEDIA PBT

MDHS sedia 31 tong roro secara percuma lupus barangan pukal

Adalah dimaklumkan sempena dengan sambutan Perayaan Aidilfitri yang bakal tiba, pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah menyediakan perkhidmatan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO).

Ia bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal seperti perabut lama dan barangan elektrik iaitu almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit dan sebagainya serta sampah kebun.

Sebanyak 31 buah tong RORO bersaiz 3 tan disediakan di kawasan sekitar Hulu Selangor iaitu di Batang Kali, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu dan lain2 kawasan.

Perkhidmatan yang disediakan secara percuma ini bermula dari 12 Jun hingga 25 Jun 2018 dengan meletakkan tong RORO di lokasi seperti yang disenaraikan di lampiran untuk kemudahan penduduk.

Pihak Majlis berharap agar penduduk memberikan kerjasama dengan membuang sampah pukal tersebut ke dalam tong RORO yang disediakan bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar agar berada dalam keadaan bersih dan selesa.

Sampah “SISA PEPEJAL” (SISA MAKANAN/SAMPAH DOMESTIK) adalah DILARANG sama sekali untuk dibuang kedalam tong RORO ini.

Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan tong RORO, sila hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MDHS di talian 03-60641331 ATAU 03-60641050.