Categories
PBT SELANGOR

Inisiatif Food Truck luar bandar, Exco puji MDHS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 DIS: Inisiatif perniagaan trak bergerak (Food Truck) pinggir bandar yang diperkenalkan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) disambut baik Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Beliau memuji komitmen berkenaan yang diyakini mampu menjana pulangan pendapatan kepada usahawan muda negeri.

Lebih membanggakan katanya, langkah MDHS mengenakan kadar bayaran minimum permit perniagaan berkenaan itu dilihat mampu menarik lebih ramai usahawan muda untuk terlibat sama dalam bidang itu.

“Saya sangat berpuas hati kerana projek sebegini mendapat kerjasama yang baik di antara peniaga dan orang ramai.

“Malah, langkah pihak majlis mengenakan kadar bayaran permit yang rendah pada tahun pertama sekitar RM15.00 adalah berkesan dan lebih rendah berbanding dengan Pihak Berkuasan Tempatan (PBT) lain,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MDHS berjaya melancarkan perniagaan food truck bergerak di daerah berkenaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda dengan ciri perniagaan trak mudah alih.

Pengarah Jabatan Perlesenan (MDHS) Kamaruzzaman Abdul Rahman berkata, program ini bertujuan diadakan sempena menyampaikan amanat yang diberi oleh Kerajaan Negeri serta menjamin aktiviti perniagaan teratur dan sistematik.

“Program ini diadakan bertujuan untuk menjamin kebersihan peniaga serta memberi inspirasi kepada peniaga lain bahawa penggunaan trak bergerak adalah lebih bersifat efektif serta penyelenggaraan yang lebih mudah berbanding berniaga di kaki lima,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu juga dilaksanakan bagi memberi inspirasi kepada usahawa untuk lebih bersifat efektif untuk menjana pulangan pendapatan pada kadar maksimum.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MDHS laksana Projek Naik Taraf Imej Bandar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 APR: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) melaksanakan Projek Naik Taraf Imej Bandar sebagai usaha pembangunan ke arah status perbandaran.

Pengarah Landskap MDHS, Mohd Fadhil Mohd Lani berkata, kerja naik taraf seperti pembersihan pokok liar, semak samun dan struktur haram di jalan utama sudah bermula, sejak 3 April lalu.

“Projek ini membabitkan beberapa peringkat dan bagi fasa pertama, notis sudah dikeluarkan pada 16 Mac lalu melalui kain rentang di lokasi terbabit.

“Antara kerja pembersihan fasa pertama membabitkan laluan di sepanjang jalan utama dari tol Bukit Beruntung ke Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Fadhil berkata, kawasan dibersihkan membabitkan tanaman pokok teduhan seragam bagi mengindahkan jalan utama termasuk di zon penampam Jalan Semarak Bukit Beruntung.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak membina struktur tanpa kebenaran di bahu jalan utama.

-AA-

Categories
PBT SELANGOR

MDHS tegas tangani papan iklan haram

HULU SELANGOR 8 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bertindak tegas dengan merobohkan papan iklan yang dibina tanpa kebenaran di dalam Daerah Hulu Selangor.

Pegawai Komunikasi Korporat MDHS, Junainah Abdullah berkata, operasi perobohan yang dijalankan bermula 6 Februari lalu diketuai oleh Jabatan Bangunan MDHS turut mendapat kerjasama pihak PDRM dan PLUS.

Katanya tindakan perobohan papan iklan luar (billboard) tanpa kebenaran itu berdasarkan Seksyen 70 (1) Akta 133 Akta Jalan, Parit Dan Bangunan yang menyatakan “tiada seseorang boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan”.

Selain itu tindakan juga boleh diambil dibawah Sekyen 19 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 , Akta 172 yang melarang apa apa pemajuan dijalankan tanpa kebenaran merancang.

“Kegagalan mematuhi kehendak akta ini membolehkan pemilik dikenakan tindakan di bawah Seksyen 27 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu , MDHS mengeluarkan notis kepada semua pemilik papan iklan untuk tampil bagi mengemukakan permohonan.

Beliau berkata hasil siasatan dan pemantauan MDHS mendapati terdapat lebih 224 papan iklan luar yang dibina di daerah ini dan hanya lapan daripadanya mengemukakan permohonan kepada MDHS.

Operasi fasa pertama ini melibatkan 52 papan iklan dan dijangkan selesai dalam tempoh dua bulan.

“Dinasihatkan pemilik papan iklan luar mengemukakan permohonan kebenaran merancang dan permohonan pelan struktur bagi mengelakkan dikenakan tindakan di bawah undang–undang yang diterima pakai MDHS,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pekan KKB inspirasi 30 pelukis

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 30 pelukis antarabangsa dari 14 negara termasuk Malaysia menghasilkan karya, pada bangunan lama dalam Festival Seni Antarabangsa Kuala Kubu Bharu (KKB), baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Darah Hulu Selangor (MDHS), Mohamad Zain Abd Hamid berkata, antara negara yang terlibat adalah dari Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina, Australia, China, Korea Selatan, Taiwan, Bangladesh, India dan Nepal.

Katanya, festival itu antara usaha berterusan menjadikan pekan kecil itu ‘hidup’ dengan kegiatan pemikiran selain tempat persinggahan pengkarya, pelukis, penulis dan pengarca.

“Kuala Kubu Bharu akan menjadi rumah kedua untuk berkarya dan kami akan menyediakan persekitaran yang mesra pengkarya, pelukis, pengarca dan penulis.

“Mudah-mudahan sebuah pekan kecil yang sempurna dengan perpustakaan, galeri sejarah, galeri seni dan sastera, mungkin sebuah muzium peringatan atau galeri alam sekitar boleh ditubuhkan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamad Zain turut berharap pekan KKB akan terus makmur menjadi pusat kegiatan seni, malahan sebagai produk pelancongan yang tidak mungkin boleh didapati di pekan lain di seluruh negara.

????????????????????????????????????

“Kami mengharapkan pekan ini akan menjadi tempat seniman melepaskan lelah dan bersembang menajamkan pemikiran.

“Pekan kecil ini juga bakal menjadi persinggahan tetap pengkarya, pelukis dan pengarca setiap dwitahunan bagi menghasilkan karya yang tidak terucap nilainya serta diperkatakan sepanjang zaman,” katanya.

Antara aktiviti dijalankan pada festival itu adalah karyawan melukis di sekeliling tembok kosong di bangunan lama di di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor sepanjang 10 hari ia berlangsung.

Selain itu, turut terhasil karya ‘Measured Drawing’ dari pelukis muda pelajar Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, sekolah di sekitar KKB turut dipamerkan di Perpustakaan Awam KKB, Galeri Seni KKB dan khemah perasmian.

Program itu adalah anjuran Persatuan Seni Sasaran, MDHS, Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Sejarah Kuala Kubu.

-AA-

Categories
SELANGOR

Terdapat kesilapan cukai taksiran MDHS

SHAH ALAM 26 JULAI : Semakan ke atas aduan diterima Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mendapati terdapat kesilapan pada kenaan cukai taksiran.

Ia melibatkan kawasan perumahan Taman Rasa Utama Jalan 9, Jalan 10 dan Jalan 11 yang mana merupakan kawasan perumahan kos rendah dan melibatkan sebanyak 96 unit rumah.

Pegawai Komunikasi Korporat MDHS, Junainah Abdullah, berkata pihak majlis terdahulu menghantar bil tahun 2016 bagi penggal 1 ( Januari- Jun) dan penggal 2 ( Julai- Disember) yang turut diterima penduduk di kawasan itu.

Logo Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)Katanya penduduk yang tinggal di kawasan  dinyata boleh mengabaikan bil diterima.

“MDHS akan melakukan pelarasan ke atas akaun cukai dikenakan pada tahun ini.

“Walaubagaimanapun, tunggakan bagi tahun sebelumnya tetap perlu dijelaskan bagi mengelakkan dari dikenakan tindakan sitaan,” katanya dalam kenyataan media.

Sebarang keraguan mengenai perkara ini, penduduk yang terlibat diminta segera menghubungi Jabatan Perbendaharaan di talian 03 6064 1331 #135.

EZY

Categories
SELANGOR

MDHS disaran tangguh sistem letak kereta berbayar

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) disarankan menangguhkan pelaksanaan sistem letak kereta berbayar sehingga memperolehi pilihan lebih baik dan tidak membebankan rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong, berkata beliau kesal dengan kenyataan MDHS berhubung isu pelaksanaan parkir berbayar di pekan itu.

Katanya beliau terkejut apabila MDHS kononnya terpaksa menanggung kerugian kepada syarikat konsesi bernilai jutaan ringgit.

bukit beruntung2“Syarikat mendapat keuntungan tanpa melaksanakan perkhidmatan sekiranya sehingga tamat tempoh perjanjian MDHS masih belum melaksanakan sistem letak kereta berbayar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mempersoalkan perjanjian ditandatangani MDHS pada 1999 bagi tempoh 20 tahun itu seolah-olah berat sebelah dan tidak dilakukan demi kepentingan awam.

“Adakah tempoh konsesi selama 20 tahun dalam perjanjian itu berkuatkuasa pada tarikh pelaksanaan dan bukannya tarikh perjanjian ditandatangani.

“Seterusnya, memandangkan MDHS tidak melaksanakan sistem letak kereta berbayar itu pada 17 tahun lepas. Adakah ini bermaksud sekiranya ia dilaksanakan pada tahun ini maka ianya hanya tamat pada 2036?,” soalnya.

Katanya, persoalan itu perlu mendapat penerangan jelas dan semua pihak berhak mengetahui perjanjian konsesi terbabit.

“Saya menulis surat kepada Dato’ Menteri Besar memohon agar Kerajaan Selangor membuat pengelasan semula atau melaksanakan pengklasifikasian semula terhadap status perjanjian konsesi agar perjanjian itu.

“Kita mahu dokumen perjanjian itu tidak lagi tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, seterusnya memberi akses kepada awam untuk mengetahui dan membuat penilaian terhadap keseluruhan isi kandungan perjanjian konsesi,” katanya.

Beliau berkata dengan mengkelaskan semula dokumen itu, orang ramai dapat meneliti semua aspek perjanjian konsesi itu dan memberi pandangan atau cadangan terbaik bagi mengelakkan MDHS mengalami kerugian besar.

Katanya, beliau sentiasa menyokong MDHS mendapatkan bantuan Kerajaan Negeri apabila merasa keberatan menampung kos perkhidmatan pembersihan berjumlah RM146,100 sebulan iaitu RM1.68 juta setahun.

“Difahamkan lebih 2,000 penduduk sekitar Kuala Kubu Bharu membantah pelaksanaan sistem letak kereta berbayar di pekan Kuala Kubu Bharu.

“MDHS perlu menjadi PBT peduli rakyat, mengambil kira pandangan ramai dan lebih mesra apabila hendak melaksanakan sesuatu dasar baru,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Konvoi semarak merdeka jelajah Hulu Selangor 29 Ogos

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 OGOS: Orang ramai berpeluang menyertai program Konvoi Berbasikal Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-58.

MDHSProgram anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) itu dijangka melalui laluan menarik bermula di Hulu Bernam sehingga Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan, pada 29 Ogos ini.

Pada masa sama, peserta boleh menyertai pertandingan menghias basikal bagi merebut pelbagai hadiah menarik.

Selain itu, terdapat pertandingan bacaan puisi kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dan acara cabutan bertuah turut disediakan.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat MDHS di talian 03-60641155.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MDHS jadi PBT pertama diiktiraf Bank Negara ‘Oustanding Billers’

SHAH ALAM 24 APR: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) melakar sejarah menjadi agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) pertama menerima pengiktirafan dari Bank Negara sebagai “Outstanding Billers” bersama Maxis dan Telekom Malaysia.

Pegawai Komunikasi Korporat MDHS, Junainah Abdullah berkata, majlis penyampaian anugerah itu disampaikan Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhamad Ibrahim, pada 9 April lalu.

Katanya, usaha MDHS bermula 2002 rentetan daripada aduan kesukaran pelanggan membuat bayaran.

MDHS“MDHS tidak lagi melihat perancangan penambahan kaunter kutipan dengan melibatkan kos besar dari segi kos pembinaan dan penyediaan aset serta kos tinggi penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, pada permulaan MDHS hanya berjaya menyediakan perkhidmatan bayaran atas talian hanya tiga bank iaitu Maybank, Public Bank Dan Bank Bumiputera.

Namun, usaha demi usaha dilakukan dan 2013 bilangan bank memberi kerjasama sehingga bertambah menjadi 15 bank.

Sehingga penghujung 2014, MDHS berjaya melengkapkannya kepada 42 sebagai rakan kongsi dalam rangkaian perkhidmatan di atas talian itu termasuk usahasama dengan JomPAY.

“MDHS turut bekerjasama dengan Pos Malaysia Berhad, Pejabat Tanah dan PBT seluruh Selangor.

“Ini menjadikan MDHS memiliki lebih daripada 45 ejen saluran pembayaran membolehkan pelanggan memilih mengikut keselesaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDHS perlu kaji kualiti jalan yang dibaiki kontraktor

BUKIT BERUNTUNG, 6 JAN: Masalah hakisan tanah yang sering berlaku di laluan alternatif berhampiran Jalan Jasmine, di sini, akan diambil tindakan dalam masa terdekat oleh pihak kontraktor bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), June Leow berkata, pihaknya juga akan memohon MDHS supaya mengkaji semula kualiti jalan yang dibaik pulih kontraktor bagi mengelakkan ia kembali rosak.

Katanya, kerja baik pulih itu perlu dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan sejajar dengan saranan Dato’ Menteri Besar yang mahu jalan di negeri itu berada dalam keadaan baik.

hakisan“Jika ia dibaik pulih secara ala kadar, permasalahan ini akan berulang dan menyebabkan kerosakan semula,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Sebelum ini, laluan berkenaan dibina selepas mendapat permohonan daripada sebilangan pemilik premis di pusat perindustrian berhampiran kawasan itu.

Namun, ia mula rosak dan terhakis sekitar September lalu dan ia memberi ancaman kepada pengguna lalu lintas selepas dibina awal Januari 2014.

Laluan itu terhakis ekorana masalah sistem saliran pada culvert di bahagian bawah jalan berkenaan.

Categories
SELANGOR

MDHS pergiat operasi banteras kegiatan haram

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 SEPT : Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) giat menjalankan beberapa operasi sepanjang Ogos lalu bagi membanteras kegiatan serta aktiviti yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Penolong Pegawai Penerangan MDHS, Junainah Abdullah, berkata antara operasi dijalankan melibatkan sitaan pusat siber tanpa lesen, pembuangan sampah haram, denggi, premis makanan tanpa lesen serta aktiviti karaoke terbuka di tempat awam.

operasiBeliau berkata bagi operasi ke atas pemantauan pembuangan sampah haram, sebanyak empat buah kompaun dikeluarkan terhadap orang awam yang didapati membuang sampah di kawasan larangan.

Katanya tindakan itu adalah berdasarkan Undang Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan,dan Pelupusan Sampah (MDHS) 2007.

“Sikap tidak bertanggungjawab orang awam membuang sampah di situ kerana lokasi adalah jalan di kawasan perumahan dan berhampiran pusat perniagaan yang mana orang ramai melalui kawasan tersebut.

“Penduduk sekitar diseru bekerjasama dengan memberikan maklumat kepada MDHS bagi memastikan aktiviti seperti ini dapat dibanteras,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi pusat siber kafe yang beroperasi tanpa lesen, Junainah berkata sebanyak lima kompaun serta tiga notis am suah dikeluarkan ke atas dua buah premis yang diserbu.

Katanya dalam operasi itu, sebanyak 67 unit komputer telah disita berdasarkan Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (MDHS) 2007.

Manakala bagi operasi pemantauan premis makanan yang beroperasi tanpa lesen, sebanyak 15 premis diperiksa dan satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Undang Undang Kecil Perlesenan, Establismen makanan (MDHS) 2007.

Dalam operasi lain, MDHS turut bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor dalam usaha menggempur penularan wabak denggi dan mengeluarkan Notis Am terhadap pemilik rumah yang gagal menjaga kebersihan rumah.

“Tindakan diambil di bawah seksyen 81, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan kesalahan bagi mana mana orang yang membiarkan rumah dalam keadaan kotor .

“Operasi ini dilaksanakan bagi membendung penularan demam denggi yang semakin berleluasa,” katanya lagi.

Selain itu, notis am turut dikeluarkan ke atas operasi melibatkan aktiviti karaoke di tempat terbuka serta dikenakan kepada pemilik kereta buruk yang diletakkan ditempat awam.

EZY

Categories
SELANGOR

Bazar Ramadhan Mampan MDHS tawar hadiah keseluruhan RM9,600

SHAH ALAM, 1 MEI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menetapkan enam lokasi untuk dijadikan Bazar Ramadhan tahun ini sempena Kempen Program Bazar Ramadhan Mampan.

Penolong Pegawai Penerangan MDHS, Junainah Abdullah, berkata program itu turut menganjurkan pertandingan menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM9,600.

“Pemenang pertama hingga kelima setiap lokasi tapak bazar dijamin tapak untuk tahun hadapan selain wang tunai dan sijil,” katanya.

MDHSBeliau berkata, enam lokasi itu adalah Jalan Seroja Bukit Sentosa, Jalan Meranti 2 Bandar Utama Batang Kali, Tapak Pasar Pagi Taman Sri Batang Kali, Taman Cempaka Serendah, Sebelah Medan Selera Sungai Buaya dan Kawasan Perniagaan Merpati Kalumpang.

Beliau berkata, borang mula dijual di pejabat MDHS Kuala Kubu Bharu, jam 8 pagi, pada 5 Mei ini.

“Pemohon perlu melengkapkan borang dan menghantar permohonan lengkap sebelum 23 Mei ini.

“Pembelian borang adalah secara terbuka di kaunter dan keputusan dimaklumkan kepada yang berjaya atau tidak sebelum 30 Mei ini.

Keutamaan kepada penduduk tempatan bermastautin di Hulu Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media.

Junainah berkata, pemilihan dilakukan oleh Jawatan Kuasa Pemilihan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua peniaga Bazaar Ramadhan terpilih di enam lokasi dinyatakan.

“Sepanjang tempoh Ramadhan ini, kempen hari tanpa beg plastik diadakan setiap hari Sabtu dengan setiap kutipan disumbangkan kepada rumah anak yatim,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MDHS semak sistem longkang atasi banjir kilat

HULU SELANGOR 13 JAN : Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan menyemak semula kesemua sistem longkang di kawasan Bukit Sentosa bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku terutamanya ketika hujan lebat.

Yang Dipertuanya, Tukiman Nail berkata, pihaknya juga akan terus mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertanggungjawab membuat longkang di kawasan terbabit.

MDHSKatanya, reka bentuk longkang dibuat JKR sementara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) jua mempunyai sistem takungan air yang akan dilepaskan secara terkawal.

“Dahulu kawasan kedai yang dibangunkan mempunyai longkang sendiri tapi apabila ada pembangunan perumahan, longkang terpaksa dikongsi bersama hingga menyebabkan risiko banjir dan ini perlu disemak.

“Kita akan dapatkan perkembangan mengenai longkang tersebut dan saya minta ia dibuat memandangkan ia merupakan kawasan jalan utama,” katanya yang ditemui di Majlis Kesyukuran Kemenangan Perumahan Daisi pada Program Indah Persekitaran 2013.

Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah banjir yang sering berlaku di Jalan Meranti 2A, Bukit Sentosa di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil perbincangan MDHS dengan pihak pemaju, masalah banjir itu didapati berlaku kerana longkangnya yang terlalu kecil hingga menyebabkan air melimpah memasuki longkang di kawasan itu.

“Sebenarnya longkang yang ada itu merupakan longkang tadahan sahaja.

“Sekarang, kita berjaya kenal pasti masalah, maka kita akan minta pemaju untuk ambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi masalah itu,” katanya lagi dipetik Sinar Harian.