Categories
PBT SELANGOR

MDSB: Larangan guna plastik Bazar Ramadan kekal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 JUN: Majlis Daerah Sabak Bernam menguatkuasakan larangan penggunaan plastik dan polisterina di Bazar Ramadan seluruh pentadbirannya.

Setiausaha MDSB, Awaluddin Zakaria berkata, ketetapan itu dibuat seiring komitmen Kempen Bebas Polisterina dilaksanakan di sleuruh negeri bermula awal 2017 lalu.

“Peniaga diingatkan supaya melaksanakan kempen bebas polisterina serta memastikan bekas atau balang makanan dibasuh bersih,” katanya lapor Sinar Harian.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengedarkan maklumat pekeliling kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak pertengahan tahun ini terhadap larangan penggunaan beg plastik dan polisterin di Selangor.

Keputusan itu dibuat selaras komitmen menjadikan negeri itu sebagai peneraju karbon rendah di Malaysia.

Bagaimanapun, pengunaan ‘biodegrable bag’ dibolehkan bagi tujuan bungkusan makanan dan perniagaan sebagai alternatif kepada larangan penggunaan plastik juga polisterin.

Dalam perkembangan lain, MDSB akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang gagal menjaga kebersihan makanan dan tapak niaga.

Awaluddin Zakaria berkata, Unit Penguatkuasaan MMDSB akan ditempatkan di bazar ramadan seluruh Sabak Bernam bagi menjalankan pemantauan.

“Sekiranya kita dapati ada peniaga yang gagal jaga kebersihan, kita akan tegur terlebih dahulu.

“Tetapi sekiranya masih berdegil, mereka akan berdepan tindakan kompaun maksimum RM1,000,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

MDSB iktiraf penyumbang emas SUKMA

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 23 DIS: Penyumbang pingat emas bagi kotinjen Selangor, pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak terus diiktiraf sebagai galakan dan motivasi kepada atlet untuk lebih cemerlang.

Terbaru, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) terus menghargai kecemerlangan atlet Silat dan Tinju menerusi pemberian insentif kepada atlet yang berjaya meraih emas dalam kejohanan terbabit.

Atlet Pencak Silat kategori solo, Muhammad Ziyad Irham, 20, berkata penghargaan itu menjadi pendorong kepadanya untuk lebih berjaya, pada masa akan datang.

“Terima kasih atas penghargaan itu, namun saya akan terus fokus dan berusaha gigih untuk meraih lebih banyak kejayaan bagi mengharumkan nama Selangor dan Malaysia,” katanya.

Bagi Dedi Syedputra, 21, kejayaan manis yang diraih itu turut dikongsi bersama rakan lain bagi melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang boleh memberi manfaat kepada golongan muda.

img_20161222_212635_276“Saya sarankan supaya lebih ramai golongan muda untuk turut serta dalam bidang sukan yang berfaedah kerana jika kita komited dan yakin, sukan boleh mengubah nasib juga masa depan ke arah lebih baik,” katanya.

Lebih 10 atlet menerima insentif kewangan daripada MDSB, pada Majlis Hi Tea bersama Media dan Atlet SUKMA di Dewan Seri Bernam Sungai Besar, semalam.

Penyerahan insentif disampaikan Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman.

-AA-

Categories
SELANGOR

MDSB ikut acuan Smart Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 23 DIS: Agenda pembangunan Smart Selangor menjadi teras utama pengurusan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) ke arah menjadikannya sebagai pentadbiran majlis mampan menjelang 2017.

Yang Dipertua MDSB, Azlina Azman berkata, pelaksanaannya mencakupi agenda pembangunan hijau sebagai komponen utama menyahut gagasan Smart State yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2015.

“Kami optimis ke arah itu dengan meneruskan dasar terbabit di peringkat PBT dan menggalakkan masyarakat untuk tidak menggunakan plastik juga polisterina, pada 2017.

“Malahan, daerah Sabak Bernam sebelum ini juga dipilih sebagai salah satu majlis daerah untuk City Smart Selangor yang sifar polisterina,” katanya.

Pada masa sama, katanya, MDSB juga akan memanfaatkan peruntukan sedia ada bagi pembangunan Smart City di perkampungan Bagan Terap untuk mengukuhkan agenda itu di kawasan luar bandar.

img_20161222_212655_712“MDSB juga kini giat membina penempatan berkonsepkan Smart Selangor dengan sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri.

“Menerusi peruntukan RM2 juta disalurkan kepada MDSB, kami yakin pembangunan Smart City di Bagan Terap dapat dijayakan,” katanya.

Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelan jangka panjang dan inisiatif mengukuhkan Smart Selangor sejak 2015.

Meliputi 12 teras utama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mensasarkan 2025 untuk menjadikan Selangor sebagai Smart State pertama di Malaysia.

-AA-

Categories
SELANGOR

Beroperasi tanpa CCC, Jamal dikompaun RM250,000

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 23 DIS: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengesahkan resort yang dimiliki Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak memiliki sijil perakuan siap dan pematuhan, Certificate of Completion and Compliance (CCC).

Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman berkata, pelbagai notis dan kompaun sudah dikeluarkan sejak lima tahun lalu kepada pemilik premis, namun operasi perniagaan hotel itu masih diteruskan.

“Notis sudah diberikan, malahan kompaun juga dikenakan sehingga sebelum penutupan operasi dibuat, kompaun terakhir yang dikenakan terhadap pemilik adalah RM250,000.

“Kesalahan itu tertakluk di bawah kegiatan operasi perniagaan tanpa CCC yang dikeluarkan, pada 8 Disember lalu dan pemilik perlu menjelaskan kompaun terbabit.

“Kami konsisten mengambil tindakan sewajarnya kerana MDSB tidak menghalang aktiviti perniagaan dijalankan di daerah ini tetapi mesti mengikut undang-undang sah,” katanya selepas Majlis Hi-Tea bersama Media dan Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) di Dewan Seri Bernam Sungai Besar, semalam.

img_20161222_212655_712MSDB sebelum ini mengeluarkan notis bertarikh 22 Disember lalu memaklumkan Jamal melakukan kesalahan terbabit di atas Lot 13081,13082 dan 13083 Jalan Pantai Redang, Sekinchan.

Bagaimanapun, Azlinda berkata, perobohan dan sitaan premis dilakukan di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah Daerah.

Terdahulu, resort terbabit dibina di atas tanah seluas 25 hektar menyediakan 158 bilik dan 30 chalet tepi pantai dengan kos pembinaan RM12 juta.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada unsur sabotaj roboh hotel Jamal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 23 DIS: Tiada unsur sabotaj berhubung tindakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) merobohkan resort milik Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman berkata, tindakan itu dilakukan ekoran resort terbabit tidak mempunyai sijil perakuan siap dan pematuhan, Certificate of Completion and Compliance (CCC).

“Untuk makluman, perkara ini berlanjutan sejak 2011 dengan pihak perunding juga MDSB sudah memaklumkan kepada pemilik, namun ia enggan dipatuhi.

“Memandangkan syarat itu tidak dipenuhi, maka kami mengambil tindakan berpandukan proses (SOP) dan lunas undang undang sedia ada untuk meneruskan sitaan,” katanya.

Mengulas dakwaan Jamal bahawa perobohan itu bermotif politik, Azlinda menyifatkan kenyataan terbabit sebagai dangkal memandangkan MDSB sudah mengeluarkan kompaun juga amaran sebelum ini.

Terdahulu, MDSB menghantar notis perintah tutup operasi resort berkenaan dan merobohkannya ekoran pemilik didapati menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa mengikut UUK 3(1) Undang-undang Kecil Hotel MDSB, 2013.

Notis itu turut menyebut Jamal melakukan kesalahan terbabit di atas Lot 13081,13082 dan 13083 Jalan Pantai Redang, Sekinchan.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDSB roboh hotel haram Jamal

SHAH ALAM, 22 DIS: Resort yang dimiliki Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dirobohkan oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), hari ini.

MDSB berbuat demikian kerana beliau menjalankan aktiviti perhotelan secara haram.

Notis bertarikh 22 Disember itu menyebut Jamal melakukan kesalahan terbabit di atas Lot 13081,13082 dan 13083 Jalan Pantai Redang, Sekinchan.

Ng Suee LimAhli Dewan Negeri (ADN), Ng Suee Lim berkata, tindakan perobohan itu tidak mempunyai kaitan dengan bantahan yang dibuat Jamal sebelum ini.

“Tiada dendam… ini (hanya) kebetulan. Aktiviti itu dijalankan tanpa lesen yang sah,” katanya lapor MalaysiaKini.

Beliau berkata, MDSB menghantar notis kepada Jamal mengenai sepanjang tempoh lima tahun lalu berhubung hotelnya yang tidak mematuhi peraturan tanah dan pembangunan.

“Notis sudah banyak kali dikeluarkan juga saman kompaun untuk minta beliau merobohkan tetapi ingkar.

“MDSB dan Pejabat Tanah mengambil tindakan tegas kerana beliau melanggar undang-undang,” katanya.

Suee Lim berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan sesiapa sahaja menjalankan perniagaan di Sekinchan sekiranya undang-undang dipatuhi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MDSB ingatkan jelaskan cukai taksiran elak sitaan

SABAK BERNAM 2 FEB : Pemegang harta diingatkan melaksanakan tanggungjawab dengan menjelaskan cukai taksiran yang bermula Januari lalu.

Penolong Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Noraini Ahmad berkata Unit Penguakuasaan MDSB akan menjalankan tindakan penguatkuasaan dari masa ke semasa kepada pemegang harta yang mempunyai tunggakan cukai taksiran.

MDSBKatanya, MDSB melaksanakan ‘Ops Sita’ Februari ini dalam memastikan pemegang harta membayar cukai mengikut jadual ditetapkan.

“Mana-mana pemegang harta yang belum menerima bil cukai taksiran boleh berurusan di kaunter MDSB untuk semakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, waktu urusan kaunter bayaran setiap Isnin hingga Khamis bermula jam 8 pagi sehingga 4 petang.

Manakala pada Jumaat kaunter dibuka dari jam 8.00 pagi sehingga jam 12.30 tengah hari dan dibuka semula pada 2.30 petang sehingga 3.30 petang.

EZY

Categories
SELANGOR

“Ada Apa Dengan Gender” Mewujudkan Kefahaman dan Sikap Menghormati

SABAK BERNAM 15 OKT: Rata-rata peserta yang menghadiri Seminar ‘Ada Apa Dengan Gender’ mendapat kefahaman yang lebih jelas mengenai fungsi dan tanggungjawab gender.

Mereka juga berkata forum tentang isu yang kerap-kali disalah tafsir ini mampu memupuk sikap saling menghormati diantara lelaki dan wanita.

Seorang peserta, Wasanthe Sinasamy, 58, berkata, setiap orang perlu tahu peranannya sebagai lelaki dan wanita dan mengenalpasti sumbangan mereka dalam masyarakat.

“Melalui seminar yang dianjurkan ini, saya merasakan setiap individu perlu menghormati dirinya sendiri dan mereka yang berlainan gender.

?Ini supaya peranan masing-masing dapat disatukan demi keharmonian sesebuah masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas seminar itu berakhir.

Seminar yang berlangsung sehari itu dianjurkan Exco Hal-Ehwal Wanita Selangor Rodziah Ismail dengan kerjasama Pejabat Daerah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar hari ini.

Ia dihadiri Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Zainal Mohd Noor dan Setiausaha Yang Dipertua MDSB, Haznil Hakim Yazid serta kira-kira 300 peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan di Selangor.

Rodziah di dalam ucapannya berkata, program yang julung kali diadakan ini diharap mampu memberikan kefahaman mengenai fungsi dan peranan lelaki dan wanita dalam usaha menjadikan Selangor sebuah negeri yang aman dan harmoni.

“Seminar yang bertujuan mengenengahkan isu gender ini diharap dapat memberikan manfaat kepada setiap rakyat untuk menjadikan negeri ini terus maju tanpa sebarang konflik melanda diantara rakyatnya,” katanya.

Seorang lagi peserta, Siti Hajar Min, 50, berkata, seminar seperti ini memberikan penerangan secara lebih terperinci mengenai maksud gender serta kepentingannya.

“Sebelum ini kita anggap gender ini tidak penting dan minda kita tidak terbuka mengenai kepentingannya namun sebenarnya gender mempengaruhi banyak aspek dalam kehidupan kita,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Naik Taraf Jalan Perkampungan Nelayan Bagan Siap Sehari

SEKINCHAN 4 SEPT : Dengan peruntukan RM22,000 melalui Geran Selangorku jalan di Kampung Nelayan Bagan di sini siap dinaik taraf untuk kegunaan dan keselesaan penduduk melakukan aktiviti harian.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, projek menurap jalan tersebut dibuat ekoran jalan yang ada sebelum ini berlubang dan tidak sempurna digunakan sejak sekian lama.

“Kita harap dengan adanya jalan ini, penduduk selesa dan tidak berhadapan masalah menjalankan urusan mereka.

“Diharap juga ia dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di kawasan ini,” jelasnya yang memaklumkan maklumat ini hasil inisiatif JKKK kampung berkenaan yang memaklumkan kepada beliau berhubung masalah jalan tersebut .

Dalam pada itu, Ng turut menyeru agar penduduk dapat bersama menjaga kemudahan infrastruktur jalan berturap itu dengan baik.

“Saya menyeru agar tiada kenderaan berat seperti lori melalui jalan berkenaan kerana dikhuatiri tidak dapat menampung bebanan (kenderaan berat) tersebut,” ujar beliau.

Ng turut meluangkan masa turun padang meninjau perlaksanaan projek oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) itu yang bermula seawal jam 11 pagi.

Kerja menurap Jalan 11, Bagan sepanjang 100 meter itu siap dalam masa sehari.

Categories
SELANGOR

“Selangor Shines” Berjaya Menarik Lebih Pelancong

SHAH ALAM 20 MAC: Jumlah pelancong yang datang ke Selangor meningkat kepada 6.04 juta pada tahun 2011 berbanding 5.83 juta pada tahun 2010 selepas Kerajaan negeri melancarkan Tahun Melawat Selangor Selangor, “Selangor Shines”.

Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Yap Ee Wah, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata peningkatan itu merupakan satu rekod baru bagi Kerajaan Negeri berbanding kerajaan sebelum ini.

Katanya, pada suku tahun 2012, jumlah kedatangan pelancong pula sebanyak 1.87 juta.

“Sepuluh kawasan khas yang menjadi tumpuan pelancong antaranya Masjid Negeri, I-City, Sunway Lagoon dan Hutan Lipur Congkak,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini Kerajaan Negeri turut memberi peruntukkan khas melalui Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) kepada Sabak Bernam khususnya DUN Sekinchan.

“Dalam mesyuarat Exco Pelancongan baru-baru ini, kita mengesyorkan untuk menaiktaraf empat daerah yang menjadi tumpuan pelancongan antaranya Sekinchan dan Hulu Langat bagi kerja membaiki kawasan dan kemudahan.

“Kita juga akan mengindahkan kawasan Sekinchan sempena Bulan Melawat Sekinchan akan datang,” katanya ketika menjawab soalan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Categories
SELANGOR

Kutipan Sampah Terkawal, Kerajaan Negeri Sedia 50 Buah Mesin Kompaktor

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan 50 buah mesin kompaktor baru untuk kegunaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan urusan pengendalian kutipan sisa pepejal di seluruh negeri menjadi lebih efisyen.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu memaklumkan, pembelian ini dibuat memandangkan beberapa kontraktor yang mendapat tander kutipan sampah namun tidak mempunyai kompaktor memandangkan jumlah sampah yang tinggi di beberapa kawasan.

Pembelian ini sebagai langkah memantapkan gerak kerja kutipan sisa pepejal yang dilakukan oleh PBT bermula 1 Mac tahun ini.

Menurutnya kompaktor yang ditempah akan tiba pada April ini dan kadar sewa yang akan diberikan juga berpatutan.

“Kerajaan negeri akan menentukan harga yang berpatutan,” katanya.

Jelasnya pembelian kompaktor ini dibuat kerana terdapat aduan bahawa ada usaha mensabotaj kontraktor yang tidak mempunyai kompektor apabila dikenakan caj sewaan yang tinggi sehingga RM16,000 sebulan.

Situasi ini akan mengakibatkan peningkatan kos kepada kontraktor sehingga mereka tidak mampu untuk melakukan tugas dengan baik.

Berhubung lanjutan masa pengutipan sampah sehingga jam 11.00 malam, langkah ini diambil ekoran terdapat beberapa kawasan yang mengalami masalah kutipan sampah terutama perumahan yang dikawal oleh pegawai keselamatan persendirian.

Biasanya kawasan ini sukar mendapat kerjasama daripada pengawal keselamatan sekaligus menyukarkan kontraktor menjalankan tugasnya.

Turut dimaklumkan kutipan sampah di kawasan pangsapuri mula beroperasi selama enam hari seminggu kecuali hari ahad selain mensasarkan untuk membuat kutipan sampah sebanyak dua kali sehari untuk kawasan komersil.

Beliau menambah, stesen pemindahan sampah Shah Alam di bawah kendalian World Wide mula beroperasi dan sehingga kini menguruskan sejumlah 1,200 tan sampah sehari.

Selain itu, semua PBT juga diberikan peluang membentuk pasukan sendiri untuk menjalankan operasi kutipan sampah dengan syarat tidak melebihi 15 peratus jumlah keseluruhan kontraktor yang ada. Dengan syarat mereka mempunyai kompektor dan beberapa alatan yang diperlukan.

Langkah ini mula dipraktikan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Ujarnya lagi, kerajaan negeri turut memberikan bantuan kewangan untuk semua PBT bagi menambah kawasan ‘Zon Bersih’.

Ronnie menegaskan, masalah kutipan sampah kini berada dalam keadaan terkawal dan pihak bertanggungjawab masih memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap aduan yang diajukan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya memohon Jabatan Audit Negara untuk menyemak semua sistem tender terbuka yang dilakukan bagi memastikan proses pemberian tander kutipan sisa pepejal ini dapat dilakukan secara telus.

 

 

 

Categories
SELANGOR

Cadangan Skim Baikpulih Rumah Kediaman Luar Bandar

SABAK BERNAM, 26 FEB : Kerajaan Negeri akan dicadangkan mewujudkan satu lagi tabung khas sepertimana Skim Ceria bagi program membaikpulih rumah kediaman di kawasan luar bandar di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya akan megemukakan cadangan itu kepada Kerajaan Negeri di dalam mesyuarat exco akan datang.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian sama sepertimana rumah kediaman di kawasan bandar di mana kebanyakan pangsapuri dibaikpulih menerusi skim Ceria atau Caring Goverment For Residence Improvement Aid dengan peruntukan RM9.7 juta.

“Kalau kita telah menunaikan tanggungjawab kita kepada mereka di bandar, mungkin kita perlu lihat satu program yang sama di luar bandar. Sekarang kita ada program rakyat termiskin iaitu juga CSR tetapi saya akan membangkitkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan satu lagi tabung untuk baik pulih sepertimana tabung bagi rumah-rumah di pangsapuri-pangsapuri.

“Saya melihat bahawa ada keperluan seperti Ceria ini tetapi di kawasan luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas Program CSR Perbadanan Kemajuan Negeri Sselangor (PKNS) – Baikpulih Rumh Asnaf Fakir Miskin di Bagan Terap di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Peembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Sabak Bernam, Jasman Syazry Mohd Saari dan Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Azril Hakim Nohd Yazid.

Dalam majlis itu, PKNS menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyampaikan bantuan kepada asnaf fakir dan miskin kepada Zamri Sakiman, 39, di mana rumahnya dibaikpulih kembali.

Menyentuh perkara itu, Iskandar berkata, usaha PKNS itu wajar dipuji dan pihaknya merakamkan perhergaan terima kasih kepada PKNS di mana telah menyediakan satu peruntukan yang besar bagi tujuan itu.

“Dalam program ini PKNS telah memperuntukkan RM396,000 untuk membaikpulih 22 buah rumah di daerah Sabak Bernam. Kawasan-kawasan yang dibaikpulih adalah di Tebuk Pulai, Kampung Bagan Terap, Kampung Tok Khalifah, Bagan Nira, Sepintas dan Jalan Masjid,” katanya.

Iskandar berkata, PKNS akan memberikan pengagihan dalam RM15,000 hingga RM118,000 bagi setiap sebuah rumah.

 Tahun ini juga, katanya, PKNS telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta wang zakat bagi program CSR untuk asnaf fakir dan miskin, muallaf dan fisabilillah.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan PKNS dalam memberikan semula keuntungan kepada rakyat Selangor melalui aktiviti sosial dan kebajikan itu sangat dihargai dan ini membuktikan PKNS tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawabnya walaupun perniagaan utamanya adalah dalam sektor hartanah.

Tambahnya, diharapkan langkah diambil PKNS itu akan dicontohi oleh perbadanan mahupun anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

“Keseluruhan untuk rumah kos rendah sama ada pengurusan atau pembinaan dan subsidi, PKNS telah membelanjakan lebih kurang RM30 juta setahun.

“Cuma saya harap PKNS dapat melihat di kawasan seperti luar bandar ini ada usaha untuk kita membaiki lebih banyak kerana yang kita lihat masih ada banyak lagi rumah-rumah yang memerlukan baik pulih,” katanya lagi.