Categories
NASIONAL SELANGOR

Sungai Selangor Sumber Alternatif Ganti Langat 2

Khalid Ibrahim

MORIB 27 APRIL : Sebahagian Sungai Selangor di Bestari Jaya bakal dimajukan dengan kaedah takungan bagi menghasilkan satu sumber air mentah untuk Lembah Klang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Projek tersebut mampu menyalurkan 2,000 juta liter sehari (JLH) iaitu penambahan 20 peratus dari jumlah air yang diperlukan sehari di Lembah Klang.

Projek itu merupakan alternatif kepada projek mega Langat 2  yang akan menyalurkan air dari Pahang ke Selangor dan yang bakal menelan belanja RM4 bilion.

“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berusaha untuk mencari punca-punca air baru untuk ditakung supaya dapat dibekalkan kepada penduduk,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Hari Air Sedunia peringkat Selangor, di sini.

Hadir sama, Pengarah Luas, Md Khairi Selamat.

LUAS sedang mengkaji kaedah untuk mengepung air hujan di sungai itu dan salah satu cara yang sedang dipertimbangkan adalah dengan membina kolam takungan.

“Kajian itu mendapati, air hujan akan masuk ke sungai seterusnya ke laut. Kita terus ke laut sebab jika terlalu banyak ia akan berlaku banjir.

“Kita juga akan kenal pasti punca-punca sumber air yang lain. Kajian kita menunjukkan ini cara yang terbaik.

“Bagi operasi loji rawatan dan takungan air akan disatukan bagi memudahkan perlaksanaan dan menjimat kos,” kata Abdul Khalid.

Beliau menambah pihaknya sedang menilai kos bagi projek tersebut.

Beliau berkata projek tersebut akan diumumkan dalam dua atau tiga bulan akan datang.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan sehingga minggu lepas, paras air di empangan Selangor berada di tahap 85 peratus.