Categories
NASIONAL

Muhyiddin arah KPN siasat isu patung berhala di surau

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat secara terperinci pihak yang bertanggungjawab meletakkan patung berhala, di Surau Sabilul Huda, Klang.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, beliau berkata, perbuatan terkutuk itu jelas berbaur hasutan dan provokatif yang berniat jahat untuk menghina Islam dan menjejaskan keharmonian kaum serta agama berkenaan.

Justeru, katanya, tindakan tegas berasaskan undang-undang perlu diambil terhadap pihak terbabit.

“Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Mereka yang melakukan perbuatan keji ini perlu ditahan mengikut proses undang-undang, didakwa di mahkamah dan dihukum jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian penghinaan terhadap Islam termasuk mesej penghinaan yang disebarkan di media sosial sejak kebelakangan ini amat berbahaya dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

“Terbaharu ialah kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan suspek kes ini sudah dikenal pasti serta siasatan diselesaikan polis.

“Saya percaya Timbalan Pendakwaraya akan membuat keputusan berkenaan pendakwaan suspek itu, di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, penduduk Taman Pendamar Indah terkejut apabila mendapati sebuah patung berhala diletakkan bersebelahan pintu masuk utama, di Surau Sabilul Huda.

Patung itu dipercayai diletakkan individu tidak bertanggungjawab sebelum disedari siak yang datang membuat persiapan solat Asar, di surau berkenaan.

 

Categories
NASIONAL

Berita baik berkaitan tol dalam masa terdekat

OLEH AFIX REDZUAN

SEMENYIH, 22 FEB: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan Kerajaan Persekutuan dijangka mengumumkan berita gembira berkaitan tol lebuh raya dalam tempoh terdekat.

Ketika menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih di Kampung Batu 26, Beranang, semalam, beliau memaklumkan perkara itu sedang dibincangkan kabinet.

“Kita baru-baru ini ada berbincang mengenai isu tol dan mungkin dalam sehari dua ini, akan ada kenyataan mengenainya.

“Saya tidak boleh nak cakap lebih mengenai perkara ini, biarlah menteri berkaitan yang membuat pengumuman,” katanya.

Dalam ucapan sama, Muhyiddin turut mengulangi komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mendukung prinsip Perlembagaan Persekutuan terutama membabitkan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Categories
NASIONAL

KDN bincang calon Ketua Polis Negara, Timbalan dalam masa terdekat

SEMENYIH, 9 FEB: Senarai calon bagi mengisi jawatan ketua polis negara dan timbalannya akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, satu perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dibuat bagi memilih calon untuk kedua-dua jawatan penting badan keselamatan negara itu.

“Kita akan putuskan nanti pengganti bagi kedua-dua jawatan penting dalam (pasukan) polis. Insya-Allah saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (Dr Mahathir) dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa BERSATU Hulu Langat dan ketua kampung serta menziarahi keluarga mantan Anggota Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Allahyarham Bahtiar Mohd Nor.

Sebelum ini, dilaporkan kontrak perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim akan tamat pada Mei ini.

Sementara itu, ditanya tentang isu gejala dadah ketika ini, Muhyiddin secara peribadi mengakui masalah terbabit semakin membimbangkan.

“Trend dadah membimbangkan kerana ada dadah jenis baharu dan sudah tersebar luas serta membabitkan orang awam serta golongan bawah umur 18 tahun.

“Bagaimanapun, KDN (Kementerian Dalam Negeri) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai rancangan khusus yang berterusan untuk menangani masalah itu,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 115,000 kes dadah dikesan bagi tempoh 2014 hingga tahun lalu dengan 3.2 peratus atau 3,680 kes membabitkan golongan bawah 18 tahun.

Categories
NASIONAL

Muhyiddin: Menteri & MP tiada ketika perbahasan bukan isu besar

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Menteri dan Ahli Parlimen (MP) tiada dalam dewan semasa sesi perbahasan dijalankan di Parlimen bukan isu besar, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Katanya, perkara perbahasan akan dicatat dan dimasukkan dalam ‘hansard’, serta setiap menteri juga mempunyai pegawai yang akan memaklumkan perbincangan berhubung isu ditimbulkan.

“Saya fikir ia terserah kepada menteri, MP sama ada mahu dengar atau tidak, saya juga tidak tahu kenapa mereka tidak mahu dengar, mungkin sudah selalu dengar.

“Saya sudah lama berada di Parlimen, kadang-kadang ada juga seorang MP berbahas tapi tiada orang dalam dewan, dia tetap berucap hari-hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing dengan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran di Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Facebook beliau mempersoalkan berkenaan ketiadaan menteri dan timbalan menteri semasa beliau berbahas di Parlimen.

“Bila saya tulis di FB, ada yang panggil saya bawa ke Parlimen, Bila saya bawa ke Parlimen, ramai menteri dan timbalan menteri hilang. Lain kali saya tulis di FB, sudah,” tulisnya.

Sementara itu, M. Kulasegaran turut mengulas bahawa dengan wujudnya teknologi terkini, perbahasan di Parlimen disiarkan secara langsung menerusi pelbagai medium dan boleh diakses di mana sahaja.

“Walaupun di sini (bilik mesyuarat) kami diberitahu perkara yang berlaku, tidak bermakna kami perlu berada di Parlimen,” katanya.

Categories
NASIONAL

Struktur Jabatan Imigresen & PDRM akan dirombak

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JUN: Struktur Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dirombak serta disusun semula kerana keadaan dua agensi itu yang disifatkan sebagai ‘berserabut’.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dua agensi itu mempunyai jumlah aduan paling tinggi di bawah kementerian beliau sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai terhadap kerajaan.

Beliau bekata, rombakan itu penting bagi memastikan dua agensi berkenaan dan beberapa agensi lain melaksanakan dasar serta undang-undang negara dengan telus tanpa kompromi.

“Keputusan rombakan mana-mana jawatan pegawai tinggi agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dimuktamadkan selepas saya mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam waktu terdekat ini.

“Langkah penyusunan semula pegawai tertinggi di PDRM mungkin membabitkan beberapa agensi lain di bawah KDN dan sudah tentu membabitkan kepemimpinan sedia ada,” katanya memetik laporan BH Online.

Muhyiddin berkata, KDN menerima banyak aduan berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan apabila diteliti masalah itu, struktur berserabut dan perlu dirombak kembali.

Katanya, rombakan itu juga diharap dapat memperbetul dan menyelesaikan beberapa kepincangan yang dikesan dalam agensi berkaitan sebelum ini antaranya berhubung proses pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Berkenaan isu lain, beliau yakin polis akan mengambil langkah sewajarnya untuk menangkap Jho Low, individu dipercayai suspek utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Arahan untuk menangkap Jho Low dan membawa balik beliau sudah lama saya minta PDRM buat. Jadi, tunggulah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Minta bantuan Indonesia cari Jamal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta bantuan pihak berkuasa Indonesia bagi memburu Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan Jamal didakwa melarikan diri ke negara republik itu.

“Nak berselindung apa. Dia tahu dia buat salah, lepas itu dia lari.

“Saya sedang minta Ketua Polis Negara untuk memburu beliau, katanya dia berada di Indonesia, jadi kita akan minta kerjasama dari pihak polis di sana, cari beliau bawa ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan di Masjid Jabatan Penjara Malaysia, Kajang.

Pada masa sama, Muhyiddin menolak rayuan Jamal untuk mendapatkan jaminan perlindungan.

Katanya, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa mengikut undang-undang sekiranya beliau bersalah.

Terdahulu, Jamal pada Rabu gagal menghadirkan diri ke IPD Ampang Jaya bagi memberi keterangan kepada polis susulan dakwaan melarikan diri sebelum proses ikat jamin selesai.

Beliau kemudian memuat naik rakaman video yang memperlihatkan dirinya berada di sebuah ladang kelapa sawit.

Polis Selangor turut memperhebatkan pemburuan Jamal, semalam.

Categories
NASIONAL

PR cadang penambahbaikan sistem operasi dan pengurusan polis

liew_chin_tong_02

KUALA LUMPUR 29 OKT : Satu kertas putih harus dikemukakan Menteri Dalam Negeri kepada Parlimen berkenaan 125 cadangan penambahbaikan Suruhanjaya DiRaja dalam meningkatkan sistem operasi dan pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, berkata kaedah itu diutarakan berikutan kementerian berkenaan tidak menjawab secara terperinci berhubung cadangan penambahbaikan pengurusan polis, sejak lapan tahun lalu.

Katanya, Suruhanjaya DiRaja terbabit diumumkan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Disember 2003, manakala laporan akhir diserahkan kepada kerajaan pada April 2005.

“Laporan itu kemudian dikemukakan kepada semua dengan terbitan buku laporan, pada 16 Mei 2005. Lapan tahun selepas laporan terbabit dikemukakan kepada rakyat, kerajaan tidak pernah menjawab secara terperinci berkenaan cadangan suruhanjaya itu.

“Contohnya, kementerian hanya memberi maklumat peratusan cadangan yang diterima dan dilaksanakan dalam jawapan pertanyaan yang dilampirkan, yang mana kebanyakan cadangan hanya dilaksanakan secara ‘superficial’,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau juga tidak berpuas hati apabila cadangan untuk menjadikan Perintah Tetap Ketua Polis Negara sebagai perundangan subsidiari di bawah Akta Polis 1967 yang membolehkannya diakses pegawai polis melalui internet tidak dapat dilaksanakan.

“Tetapi seperti yang disyorkan Laporan Suruhanjaya, polis perlu memposisikan sendiri tugas mereka sebagai ‘police service’ dan bukan ‘police force’. Polis mesti lebih responsif terhadap rakyat dan bukan lagi beraksi sebagai satu pertubuhan militari,” katanya.

Dalam pertanyaan lisan, Liew meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan secara terperinci tahap keberkesanan pelaksanaan cadangan 20 hingga 45 di bab lapan dalam Laporan Suruhanjaya DiRaja bagi penambahbaikan perjalanan dan pengurusan PDRM terkini.

Bagaimanapun, jawapan bertulis itu hanya menyatakan terdapat 125 cadangan penambahbaikan suruhanjaya berkenaan tanpa menyatakan lebih terperinci berkenaan pelaksanaannya. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

Umno dan Najib gagal laksana transformasi

umno-kekal

SHAH ALAM 20 OKTOBER : Pengekalan status quo bagi tiga penyandang Naib Presiden Umno membuktikan bahawa parti itu gagal melaksanakan transformasi seperti yang diuar-uarkan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata pengekalan itu bermakna Umno-BN menolak sebarang perubahan dan secara jelas, rakyat tidak dapat mengharapkan sebarang dasar baru yang akan dilakukan Umno-BN.

Seperti diramal, Menteri Dalam Negeri Datuk  Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjaya mengekalkan jawatan mereka dalam parti politik terbabit.

Tian Chua berkata, pengekalan itu juga membuktikan parti itu akan secara terus mengamalkan budaya rasuah yang ketika ini membimbangkan.

“Ini akan mengekalkan kegiatan rasuah berterusan. Rasuah kekal rasuah, curi lembu kekal curi lembu dan kaki pukul kekal kaki pukul.

“Pilihan Umno tetap sama, Umno tidak mahu berubah sebenarnya, oleh itu mereka masih kekal sama mahu teruskan cara hidup dan kepimpinan yang sama,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Selain itu, Tian Chua menyifatkan kekalahan Datuk Mukhriz Tun Mahathir dalam merebut jawatan Naib Presiden menyebabkan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad akan hilang pengaruhnya dalam kepimpinan Umno.

“Secara implikasinya, beliau (Mahathir) akan hilang pengaruh. Boleh dikatakan beliau sudah ditewaskan dan beliau akan berundur dari pentas politik Umno, beliau tidak lagi berpengaruh utama dalam penentu arah tuju,” katanya.

Dalam pemilihan bagi jawatan itu, Ahmad Zahid mendapat 173 undi, Mohd Shafie 160 undi dan Hishammuddin 96 undi.

Manakala Datuk Mukhriz Tun Mahathir, yang memberi saingan hebat dalam pertandingan itu memperolehi 83 undi.

Dua lagi calon, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendapat lapan dan tujuh undi masing-masing.

Keputusan itu menyerupai pertandingan jawatan Ketua Pemuda dan Wanita Umno Sabtu lalu di mana penyandang Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengekalkan jawatan masing-masing.

Sebelum ini Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri bantu keluarga C Sugumar

C Sugumar

HULU LANGAT, 15 OKTOBER: Kerajaan Negeri Selangor menghulurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga C Sugumaran yang meninggal dunia semasa di tahan polis.

Sumbangan diserahkan sendiri oleh Exco Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail kepada ibu mendiang Sugumaran, Manaigalai Kuppamuthu, baru-baru ini di kediaman keluarga mangsa di Taman Sri Nanding.

Kunjungan Rodziah itu ditemani Adun Dusun Tua, Razaly Hassan.

“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri berhati-hati dan bersifat berperikemanusiaan bila beliau bercakap mengenai isu keselamatan dan nyawa rakyat. Apakah menteri memikirkan nyawa di tangan beliau sehinggakan mengeluarkan kenyataan kalau berlaku begini, kita tembak dahulu? Apakah dengan tembak itu penyelesesaian terbaik?” soalnya.

“Bagi saya pembelaan kepada rakyat adalah bila mana kesaksamaan itu dilakukan tidak kira beliau itu siapa, kalau pihak itu salah, tampilkan ke muka pengadilan supaya dapat dibuktikan dengan sewajarnya,” katanya.

Rodziah berkata Pejabat Dun Sungai Tua dicadang menguruskan pendaftaran ibu mangsa di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Sementara itu, sepupu mendiang Sugumaran, K Anantha Kannan yang ditemui berharap mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian mendiang dibawa ke muka pengadilan dan didakwa dibawah Seksyen 302.

Menurutnya, sekatat ini kes belum difailkan di mahkamah sivil dan pihak keluarga menolak inkues yang dilakukan polis.

“Polis telah mendapatkan semua dokumen yang lama mengatakan dia pesakit psikatri untuk mengaibkan mendiang C Sugumar. Kita rasa macam terhina sebab ini salah polis,” kata Anantha dengan nada sedih.

“Polis dah gari kemudian palit serbuk kari dekat muka dia. Dia jatuh dan orang berhampiran kedai kopi datang pukul. Polis hanya memerhatikan sahaja. Setakat ini hanya satu saksi disoal di Mahkamah Majisterit Kajang,” katanya.

Katanya lagi terdapat beberapa saksi yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada pendengaran kes selepas Hari Raya Aidiladha.

Sugumar, seorang pengawal keselamatan ditahan Januari tahun ini selepas didakwa mengalami masalah mental dan merosakkan harta awam.

Bedah siasat melaporkan beliau meninggal kerana sakit jantung, namun saksi semasa penahanan itu mendakwa seorang anggota polis memijak leher mendiang semasa  digari.

Gambar kejadian juga menunjukkan wajah mangsa dipalit serbuk kunyit.

Saksi mendakwa kira-kira 20 orang dari restoran berhampiran turut membantu polis menahan dan kemudian membelasah mendiang beramai-ramai.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kumpulan “bumper cha cha” diburu

Sinopsis

FOKUS Untuk 09102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Polis kini sedang giat memburu tujuh anggota kumpulan ‘Bumper Cha Cha’ yang aktif menyamun di sekitar Selangor.

2. DAP membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan kenyataannya bahawa kumpulan “Tiga Line” adalah kawan beliau dan juga arahan menembak penjenayah jika dapat bukti.

3. Putrajaya seolah-olah sengaja berlengah untuk mengemukakan rayuan terhadap dua polis komando yang dibebaskan daripada pendakwaan kes berprofil tinggi iaitu membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kata peguam veteran, Karpal Singh.

Categories
NASIONAL

KPN perlu dihadap ke Jawatankuasa Khas Ketua Audit Negara

Audit-Polis

SHAH ALAM 9 OKT : Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberi penjelasan tentang kehilangan senjata api dan aset polis, bukannya menjadi anggota jawatankuasa berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara ini penting kerana Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menafikan bahawa polis memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan 44 pucuk senjata api dan aset polis lain.

“Ambrin menyangkal beberapa laporan menyebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa satu laporan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara berkenaan barangan polis yang hilang tetapi penjelasan dalam laporan tersebut tidak dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Atas sebab ini, Ketua Polis Negara perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas untuk memberi penjelasan penuh dan memuaskan tentang kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kit Siang berkata, adalah sesuatu yang menggusarkan kerana tiada tanda Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ingin memanggil KPN untuk memberi penjelasan tentang kehilangan aset polis itu.

“Agak menghairankan mengapa PAC tidak menyenaraikan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta sebagai salah satu perkara yang perlu segera disiasat.

“Sedangkan orang awam mengharapkan perkara ini diberikan keutamaan dalam senarai siasatan oleh PAC,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Karnival erat hubungan MPK dan pengguna – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 07102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil inisiatif merapatkan hubungan dengan penduduk dalam wilayah pentadbirannya, disamping memperkenalkan pengguna kepada khidmat-khidmat yang ditawarkan.

2. Pertengahan September lalu, Menteri Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hassan Malik memberi jaminan harga gula dan tepung tidak akan naik.Namun, hari ini menteri yang sama memberikan bayangan, kerajaan akan menurunkan subsidi untuk kedua-dua barangan keperluan utama itu dengan alasan memperkukuhkan ekonomi.

3. Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi digesa menghormati tugas wartawan menanyakan soalan berkepentingan awam.