Categories
AGENDA NASIONAL

Pelbagaikan sumber hasil tingkat pendapatan negara

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Kerajaan akan terus meneroka pelbagai pilihan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara termasuk mempelbagaikan sumber hasil kerajaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata keutamaan dan fokus pada masa ini adalah untuk melindungi rakyat dan menyokong perniagaan agar ekonomi negara dapat diperkukuh dan dipulihkan.

Tengku Zafrul berkata defisit fiskal negara dijangka meningkat antara 5.8 peratus sehingga 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding 3.2 peratus KDNK yang diunjurkan sebelumnya.

Ini berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia pada purata US$41 setong antara Januari dan Jun tahun ini berbanding purata US$61 setong yang digunakan pada Belanjawan 2020, katanya.

“Bagi setiap penurunan harga minyak sebanyak US$1 setong, ia akan mempunyai impak sebanyak RM300 juta kepada Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, defisit Kerajaan Persekutuan akan naik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi bernilai RM295 bilion sebelum ini adalah bersifat ‘one-off’ dan tidak akan terus membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka sederhana dan panjang.

Pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi ini hanya melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion.

“Ini adalah antara strategi kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka sederhana secara berperingkat dan seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan pernah menurunkan kadar defisit sebelum ini kepada 3.8 peratus pada 2013 dan 3.4 peratus pada akhir 2019 daripada 6.7 peratus pada 2009 selepas krisis ekonomi dunia.

“Pada masa ini, kerajaan menggunapakai Kerangka Fiskal Jangka Sederhana sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal untuk jangka sederhana (tiga hingga lima tahun) di samping selari dengan Rancangan Malaysia jangka panjang.

“Selain itu, kerajaan juga dalam proses merangka Akta Kebertanggungjawaban Fiskal untuk memastikan pengurusan fiskal dan hutang yang lebih baik dan telus. Oleh itu, kerajaan yakin defisit fiskal akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MIDF Research: Unjuran harga minyak 2020 US$41 setong

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: MIDF Research mengekalkan andaian harga minyak mentah pada US$41 setong di celah-celah laporan negatif mengenai Covid-19 dan pemulihan permintaan yang lembap.

Dalam satu nota penyelidikan, firma itu berkata perkembangan negatif berhubung Covid-19 akan terus menjejaskan harga minyak memandangkan kes-kes baharu kian meningkat di 16 negara yang menguasai kira-kira 70 peratus penggunaan minyak mentah global.

Selain daripada itu, kemerosotan harga minyak susulan keputusan menurunkan pengurangan pengeluaran oleh Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan negara sekutu dijangka dapat dihalang oleh penurunan inventori minyak mentah seluruh dunia diikuti dengan permintaan yang kian pulih.

“Dengan demikian, kami menjangkakan pemulihan dalam permintaan untuk minyak mentah dalam suku akan datang. Bagaimanapun, kami juga percaya ianya tidak cukup kuat untuk menangani kesan perang dagangan antara AS-China,” katanya.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan ‘neutral’ untuk kedua-dua sub-segmen hiliran dan huluan industri minyak dan gas berikutan terdapatnya beberapa peristiwa yang menjejaskan kestabilan harga minyak, pengurangan dalam perbelanjaan modal penggalian dan pengeluaran luar pesisir serta pemulihan permintaan secara berperingkat untuk produk berkaitan minyak seluruh dunia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.2600/2650 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh dagangan harga minyak mentah yang stabil walaupun lengang, kata penganalisis.

Setakat 9 pagi ini, unit tempatan meningkat kepada 4.2600/2650 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.2720/2770 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata industri dilihat lebih tertumpu pada pemacu jangka sederhana dan panjang bagi minyak mentah, namun pada masa sama, peniaga memantau tanda-tanda reaksi terhadap data pengeluaran AS serta laporan mengenai jumlah kes baharu Covid-19.

“Brent dilihat ditutup dalam julat US$40 hingga US$45 setong, sementara risiko jangka pendek tetap cenderung menyusut, ini mungkin petanda positif bagi minyak mentah tanpa mengambil kira sebarang pencapaian penghasilan ubat atau terapeutik bagi Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi peringkat tempatan, memandangkan pasaran mula menjangkakan pengurangan kadar faedah Bank Negara Malaysia pada September, ini seharusnya menggalakkan aliran masuk Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Hasil sebenar MGS bertempoh 10 tahun dilihat amat menarik jika dibandingkan dengan bon AS yang setara. Saya berpandangan ringgit akan mencapai prestasi lebih baik hari ini susulan dolar AS yang lebih lemah secara keseluruhan di seluruh papan,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9698/9756 daripada 3.9703/9768 ketika ditutup pada Rabu serta rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0614/0657 daripada 3.0600/0642.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.8279/8352 daripada 4.8167/8236 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.3727/3807 daripada 5.3503/3587.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, sentimen positif di Wall Street

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, didorong oleh gelombang harga minyak mentah yang meningkat serta sentimen positif di Wall Street dalam tempoh semalaman susulan keyakinan terhadap vaksin Covid-19.

Pada 9.05 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KCLI (FBM KLCI) melonjak 11.20 mata atau 0.79 peratus kepada 1,421.36 daripada 1,410.16 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 9.61 mata lebih tinggi kepada 1,419.77 hari ini.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 466 berbanding 89, sementara 204 kaunter tidak berubah, 1,132 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 926.86 juta unit bernilai RM298.06 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata prestasi Wall Street melonjak pada Isnin susulan harapan terhadap kejayaan awal vaksin Covid-19, justeru pasaran serantau dijangka turut mengalami sedemikian.

Di peringkat tempatan, pihaknya menjangkakan FBM KLCI akan mencatatkan aliran lebih tinggi pada sesi awal namun mungkin mengalami beberapa pengambilan untung di sepanjang dagangan.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras tersebut menguji paras 1,425 dan ditutup pada sekitar 1,420.

“Namun demikian, kami terus menasihati para pelabur supaya berhati-hati,” menurut Rakuten Trade.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd mengunjurkan FBM KLCI mengekalkan kedudukan di atas paras psikologi 1,400.

“Sokongan belian berterusan dijangka dapat mendorong bursa tempatan untuk menguji semula paras rintangan 1,430 sebaliknya paras sokongan segera ditetapkan pada paras 1,380,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Setakat 9.37 pagi, harga minyak mentah Brent meningkat 1.44 peratus kepada US$35.31 setong.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals meningkat 17 sen kepada RM5.73, Public Bank naik 24 sen kepada RM15.60, Maybank menokok lapan sen kepada RM7.49, Genting menambah 16 sen kepada RM4.14 dan Tenaga meningkat 10 sen kepada RM12. 22.

Saham paling aktif dikuasai kaunter berkaitan minyak dan gas dengan Velesto naik dua sen kepada 19 sen, Sapura Energy menokok satu sen kepada 11 sen, Icon Offshore dan KNM masing-masing menambah 2.5 sen kepada 15 sen dan 26.5 sen.

Kaunter berkaitan teknologi Eduspec naik setengah sen kepada 3.5 sen.

Saham untung ialah KLK, yang meningkat 44 sen kepada RM20.94 sementara saham rugi Kossan merosot 35 sen kepada RM7.38.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 99.97 mata kepada 10,079.30, Indeks FBMT 100 naik 93.42 mata kepada 9,908.86, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 85.14 mata pada 11,385.06.

FBM ACE menambah 42.05 mata kepada 5,445.36 dan FBM 70 melonjak 180.64 mata kepada 12,511.08.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 54.37 mata kepada 896.58 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 146.68 mata kepada 12,477.77.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.99 mata kepada 123.58 dan Indeks Perladangan menambah 59.46 mata kepada 6,393.14.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.3300/3400 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas didorong kenaikan harga minyak mentah global, di tengah-tengah pengumuman awal pagi oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) bagi mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.3300/3400 berbanding dolar AS daripada 4.3450/3500 ketika ditutup semalam.

Penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent naik 4.61 peratus kepada US$23.56 setong ketika peniaga tenaga berspekulasi bahawa permintaan minyak mentah akan terus meningkat susulan paras pengeluaran global dikurangkan selepas kapasiti penyimpanan semakin berkurangan.

Penganalisis Kanan Pasaran Oanda, Edward Moya berkata Fed akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah sehingga mereka yakin ekonomi AS akan pulih semula.

Beliau berkata Fed juga akan mendapatkan pakar kesihatan dalam menentukan unjuran, oleh itu bank pusat tersebut tidak dapat memberi sebarang ketetapan hari ini.

Dolar AS meneruskan penurunan selepas Fed mengatakan sekiranya sokongan lanjutan diperlukan, bank pusat AS itu akan mempertingkat langkah rangsangan ekonomi, katanya.

“Pelbagai rangsangan oleh Fed bagi menangani pandemik Covid-19 ini berkemungkinan menjadikan dolar AS lebih lemah,” katanya.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata lengkungan rata jangkitan Covid-19 di Malaysia, kenaikan harga minyak mentah serta komitmen Jawatankuasa Terbuka Fed yang melaksanakan dasar monetari bagi Fed untuk mengewangkan hutang, merupakan petunjuk baik bagi Malaysia.

“Sentimen risiko global semakin meningkat dan semua faktor ini seharusnya memberi dorongan kepada ringgit,” katanya.

Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0653/0739 daripada 3.0720/0757 ketika ditutup pada Rabu, dan tinggi berbanding yen kepada 4.0551/0652 daripada 4.0790/0849.

Mata wang tempatan juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3870/4003 daripada 5.3948/3023 dan stabil berbanding euro kepada 4.7019/7132 daripada 4.7165/7228 semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.3580/3680 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini sejajar dengan harga minyak mentah global yang pulih.

Pada 9.14 pagi, unit tempatan naik kepada 4.3580/3680 berbanding dolar AS daripada 4.3610/3680 semasa ditutup semalam.

Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent naik 3.71 peratus kepada US$21.19 setong berikutan pengurangan pengeluaran oleh OPEC+ yang memberi sokongan.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata sensitiviti harga ringgit berterusan berdasarkan harga minyak mentah global.

“Bekalan (minyak mentah global) lebih daripada maksimum, yang daripada perspektif asas, akan memberi sedikit keselesaan kepada ringgit,” katanya.

Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0783/0856 daripada 3.0787/0847 semasa ditutup pada Selasa, bagaimanapun rendah berbanding yen kepada 4.0893/0999 daripada 4.0872/0945.

Berbanding pound, ringgit meningkat kepada 5.4349/4478 daripada 5.4425/4521 manakala berbanding euro, ia naik kepada 4.7280/7406 daripada 4.7404/7493 semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.2330/2370 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Ringgit meneruskan penyusutan apabila dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi ini berikutan kebimbangan ketara membabitkan penularan Covid-19 dan kejatuhan harga minyak global, kata peniaga.

Pada jam 9.07 pagi, ringgit susut kepada 4.2330/2370 daripada paras 4.2130/2170 sewaktu ditutup pada Isnin.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata kejatuhan harga minyak itu memberi kesan meluas kepada pasaran kewangan berikutan kegagalan persetujuan bekalan minyak antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Rusia pada Jumaat.

“Pasaran kini dalam proses menerima kesan perang harga minyak yang ketara dan menjangkakan kalangan pengeluar bahan api itu akan mengoptimumkan bahagian pasaran masing-masing di tengah-tengah peningkatan permintaan global yang dipacu oleh perkembangan Covid-19 berkenaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Pada masa ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, meningkat 5.7 peratus kepada AS$36.32 setong.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5236/5297 daripada 5.5325/5395 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0895/0945 daripada 4.1086/1137.

Ia bagaimana pun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0565/0612 daripada 3.0428/0467 dan rendah berbanding euro kepada 4.8176/8238 daripada 4.7982/8044, sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari, harga minyak dunia jatuh

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup rendah pada tengah hari ini sejajar dengan penurunan harga saham global selepas harga minyak jatuh menjunam sebanyak 30 peratus hari ini.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 44.75 mata atau 3.01 peratus lebih rendah kepada 1,438.35 daripada paras penutup 1,483.10 pada Jumaat minggu lepas.

Selepas dibuka turun 23.29 mata kepada 1,459.81 pagi ini, indeks tempatan bergerak antara paras 1,430.89 dan 1,459.81 sepanjang sesi pagi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,112 berbanding 80, dengan 95 kaunter tidak berubah, 711 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 3.90 bilion saham bernilai RM1.82 bilion.

Menurut seorang peniaga, saham permodalan kecil, kewangan, tenaga dan perladangan merupakan antara kaunter yang terjejas teruk ekoran kegagalan perjanjian bekalan minyak antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Rusia.

“KLCI dijangka terus jatuh seiring dengan prestasi komoditi dan ekuiti global berikutan kesan berganda penurunan harga minyak mentah dan peningkatan penularan COVID-19 di Eropah,” kata Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa kepada Bernama.

Beliau berkata penularan Covid-19, kejatuhan harga minyak, prospek lemah eksport dan ketidakpastian tentang pelaksanaan biodiesel dan unjuran pengeluaran tinggi akan menjejaskan pasaran minyak sawit pada minggu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit terus dibuka rendah 4.1970/2020 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Ringgit meneruskan penurunan minggu lepas untuk dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini apabila para pelabur beralih kepada mata wang selamat berikutan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 dan kejatuhan harga minyak global, kata para peniaga.

Pada jam 9.20 pagi, unit tempatan berada pada 4.1970/2020 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1700/1750 pada Jumaat minggu lepas.

Seorang peniaga berkata lebih 107,000 dijangkit virus itu di seluruh dunia setakat ini ketika ia semakin menular ke lebih banyak negara dan mengakibatkan lebih banyak gangguan ekonomi.

Ekonomi utama Eropah, Itali mengenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar di bahagian utaranya termasuk Milan, ibu kota kewangannya.

Sementara itu, harga minyak mentah jatuh lebih daripada 20 peratus selepas Arab Saudi, pengeksport utama dunia, memutuskan untuk meningkatkan pengeluarannya selepas kegagalan perjanjian pengurangan bekalan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Russia.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit juga diniagakan rendah.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0482/0522 daripada paras penutup 3.0222/0267 pada Jumaat dan turun berbanding yen Jepun kepada 4.0364/0423 daripada 3.9643/9701.

Unit tempatan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4922/5004 daripada 5.4156/4237 dan menguncup berbanding euro kepada 4.7732/7806 daripada 4.7088/7161 sebelumnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pasaran getah dijangka alami dagangan berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan berhati-hati minggu depan, berikutan pertambahan kes Covid-19 baharu meningkatkan kebimbangan mengenai penularannya dan impak ke atas ekonomi global, kata peniaga.

Menurut laporan Persatuan Pengilang-pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), industri sarung tangan getah terus mencatatkan prestasi kukuh pada 2020 memandangkan permintaan global terhadap sarung tangan dijangka merekodkan kadar pertumbuhan tahunan pada 12 peratus.

“Unjuran itu akan meningkatkan keperluan pengilang sarung tangan terhadap salutan lapisan polimer bagi pengeluaran sarung tangan terutama sarung tangan bebas serbuk,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata permintaan terhadap getah dijangka bergantung kepada pergerakan harga minyak mentah serta ringgit.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk gred tayar SMR 20 meningkat 17.5 sen kepada 568.00 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun setengah sen kepada 465.00 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang, harga rujukan getah fizikal LGM bagi SMR 20 menokok 13.5 sen to 567.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 1.5 sen kepada 465.00 sen sekilogram .

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah dunia turun

VIENNA 29 NOV: Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Rusia berada di landasan untuk bersetuju melanjutkan pemotongan bekalan bagi keseluruhan 2018 tetapi dengan pilihan untuk menyemaknya pada Jun, demikian menurut sumber OPEC.

Syor dibuat jawatankuasa bersama delegasi OPEC dan bukan OPEC, termasuk Russia tetapi belum diluluskan menteri daripada jawatankuasa itu Rabu dan kemudiannya oleh mesyuarat penuh pertubuhan itu, Khamis ini, lapor REUTERS.

Harga minyak mentah meneruskan kejatuhan dua hari dengan berita itu, yang dilihat pasaran sebagai lanjutkan pemotongan bekalan itu hanya selama tiga bulan sehingga Jun 2018 dan bukan untuk setahun penuh.

Harga minyak ditarik turun ketidaktentuan berhubung hasil mesyuarat OPEC minggu ini.

Harga juga buat sementara menerima tekanan selepas kebakaran berlaku di kilang penapisan milik Exxon Mobil Corp di Beaumont, Texas.

Brent mengakhiri sesi dengan mencatat penurunan 23 cent, atau 0.4 peratus, pada AS$63.61 satu tong.

West Texas Intermediate (WTI) turun 12 cent, atau 0.2 peratus pada AS$57.99, selepas jatuh 1.4 peratus dalam sesi sebelumnya.

=EZY=