Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah meningkat

SINGAPURA 27 FEB: Harga minyak mentah Brent menokok pagi ini berikutan lebihan minyak global kelihatan sudah mula reda, tetapi peningkatan pengeluaran Amerika Syarikat (AS) mengehadkan kenaikan.

REUTERS melaporkan Brent menokok 0.04 peratus kepada AS$56.01 satu tong, manakala West Texas Intermediate pula tidak berubah pada AS$53.99 satu tong.

Harga minyak jatuh Jumaat lalu selepas data Pentadbiran Tenaga (EIA) AS menunjukkan inventori minyak mentah AS menokok untuk tujuh minggu berturut-turut.

Bagaimanapun, pasaran disokong dalam jajaran sempit antara AS$4 hingga AS$5 sejak November, apabila OPEC dan pengeluar utama lain bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran.

“Data EIA menunjukkan stok meningkat 564,000 tong kepada 518.7 juta minggu lalu,” kata ANZ dalam satu nota.

“Sekiranya aliran import rendah dan peningkatan perlahan dalam inventori berterusan dalam minggu-minggu mendatang, ia menunjukkan bahawa usaha pengurangan pengeluaran yang diusahakan OPEC mula memberikan impak.”

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI

Harga minyak mentah dunia jatuh pagi ini

NEW YORK 14 FEB: Harga minyak mentah menurun sekitar dua peratus pagi ini, iaitu penurunan terbesar sejak pertengahan bulan lalu, susulan tekanan pengukuhan Dolar Amerika Syarikat (AS) dan petunjuk kenaikan pengeluaran daripada pengeluar AS.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan penurunan prestasi itu berlaku walaupun pelabur disogok dengan laporan OPEC yang membuktikan pelaksanaan persetujuan pengurangan tahun lalu dilaksanakan sepenuhnya oleh negara ahli.

Dagangan hadapan Brent kerugian AS$1.11, atau dua peratus kepada AS$55.59 setong manakala WTI jatuh 93 cent atau 1.7 peratus kepada AS$52.93 setong. Kedua-duanya menunjukkan penurunan terbesar untuk kedua-dua kontrak sejak 18 Januari 2017.

“Kejatuhan harga minyak mentah adalah disebabkan pengukuhan dolar dalam sesi dagangan awal, diburukkan lagi dengan peningkatan jumlah pengeluaran minyak AS serta lonjakan produktiviti jumlah telaga minyak syal di AS,” kata Presiden Perunding Tenaga WTRG Economics, James Williams, di Arkansas.

Harapan kepada pengurangan cukai AS dapat melonjakkan keuntungan pegangan korporat dan pelaburan berjaya mengangkat dolar mencecah paras tertinggi tiga minggu berbanding mata wang lain, sekali gus memberi tekanan besar bagi minyak yang didominasi mata wang itu.

Pengeluaran Minyak Syal AS bagi Mac dijangka meningkat ke paras tertinggi untuk tempoh lima bulan berdasarkan data dikeluarkan kerajaan itu Isnin lalu, selepas syarikat tenaga melonjakkan aktiviti penggalian sebaik harganya kembali berlegar sekitar AS$50 setong.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: BN terus permainkan rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 FEB: Progam pemberian minyak percuma selepas kenaikan harga minyak oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) Taman Medan, baru-baru ini membuktikan sikap hipokrit dan mempermainkan rakyat.

Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha berkata, Kerajaan Persekutuan pimpinan BN meneruskan prestasi terburuk dalam sejarah apabila terus menambah derita rakyat dengan kenaikan 20 sen bagi RON95 dan RON 97 serta diesel.

“Harga dinaikkan kemudian beri minyak percuma. Ini jelas membuktikan hipokritnya pimpinan BN dan berlagak baik serta terus memperbodohkan rakyat.

“Rakyat kini tertekan dengan kenaikan itu ditambah pula dengan keperitan pembayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya dalam kenyataan.

hanizaHaniza yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN berkata, impak kenaikan itu sejak awal Januari memberi kesan maksimum kepada kenaikan barangan dan perkhidmatan seterusnya melonjakkan ketirisan perbelanjaan rakyat apabila sudah dibebani dengan pelbagai kenaikan sebelum ini.

“Kita membidas kenyataan pimpinan Umno-BN yang berterusan mencanang propaganda menyatakan harga minyak di negara ini antara terendah di dunia tanpa mengira faktor lain yang perlu diambil kenyataan.

“Jika begitu lebih baik menyatakan harga minyak di Malaysia lebih murah daripada planet Marikh!,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan langkah kerajaan untuk membantu mengurangkan impak kesengsaraan rakyat.

“Rakyat mempersoalkan ke mana penggunaan setiap sen cukai GST dikutip yang dikatakan lebih RM40 bilion setahun.

“Kita juga mempertikaikan ke mana perginya ‘hero jadian’ yang kononnya bersungguh-sungguh dalam isu 20 sen beg plastik di Selangor tetapi dalam isu kenaikan harga bahan api ini diam membisu,” katanya.

Katanya, mekanisme pengapungan harga dilaksanakan Kerajaan Persekutuan juga perlu dikaji dari semasa ke semasa dan Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan dasar prorakyat bukan terus mengeringkan kantung wang rakyat.

“Kenaikan harga bahan api ini dan pelbagai jenis kenaikan harga dan perkhidmatan hanya membuktikan kegagalan ‘Najibnomics’ dalam mengurus ekonomi tatkala hutang negara terus melambung serta skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

-NFN-

Categories
EKONOMI

Harga minyak AS naik susulan dolar lemah

SINGAPURA 24 JAN: Harga minyak AS menokok hari ini berikutan kelemahan nilai dolar AS, tetapi peningkatan aktiviti penggerudian di negara itu berkemungkinan mengehadkan kenaikan harga.

West Texas Intermediate (WTI) naik 14 cent kepada AS$52.89 satu tong pada 0023 GMT, lapor REUTERS.

Dolar AS susut ke paras terendah tujuh minggu berbanding beberapa mata wang utama, dipengaruhi kebimbangan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Dolar yang lebih lemah menjadikan komoditi dalam dolar lebih murah bagi pengimport.

“Satu lagi peningkatan aktiviti penggerudian di AS membayangi usaha OPEC dan pengeluar utama bukan OPEC dalam mengawal pengeluaran sebelum ini,” menurut ANZ dalam satu laporan.

“Komen Trump bahawa AS akan menamatkan penggantungan ke atas minyak import juga menambahkan lagi kebimbangan di pasaran.”

Jumlah pelantar penggerudian bagi minyak dan gas di Amerika Syarikat (AS) mencatat rekod tertinggi satu minggu dalam tempoh lebih lima tahun.

Jumlah pelantar minyak dan gas yang aktif melonjak sebanyak 35 kepada 694 minggu lalu, demikian menurut syarikat penyedia perkhidmatan lapangan minyak Baker Hughes.

Namun tidak dinafikan kerancakan semula aktiviti penggerudian di AS itu memberikan cabaran kepada ahli OPEC dan penggerudi minyak syal itu sendiri.

Jumlah pelantar penggerudian bagi minyak dan gas meningkat sebanyak 290, atau lebih 70 peratus, daripada paras terendah kitaran pada akhir Mei 2016.

Peningkatan pengeluaran mengancam adalah reaksi kepada kenaikan harga minyak dan gas yang menyebabkan aktiviti penggerudian kembali aktif.

Ancaman daripada minyak syal adalah antara sebab pembuat dasar di OPEC dan bukan ahli OPEC mahukan mereka diberi pilihan terbuka sama ada akan melanjutkan persetujuan pengurangan pengeluaran semasa.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia meningkat sedikit

SINGAPURA 18 JAN: Niaga hadapan minyak mentah meningkat sedikit pagi ini dengan kelemahan dolar yang menjejaskan pasarannya.

Bagaimanapun, kenaikan dihadkan oleh jangkaan bahawa pengeluar minyak Amerika Syarikat (AS) akan menambah pengeluaran, lapor REUTERS.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) menokok tiga cents pada AS$52.51 menjelang 0058 GMT.

Minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak pula meningkat AS$55.51 setong.

Dolar hampir ke paras terendah dalam enam minggu berbanding sekumpulan mata wang selepas bakal Presiden, Donald Trump berkata mata wang yang kukuh menjejaskan daya saing AS.

Dolar lebih lemah menjadikan minyak mentah dalam harga mata wang itu lebih murah bagi pengguna mata wang lain.

“Gabungan dolar AS yang lemah dan kenyataan menyokong daripada Arab Saudi menyaksikan harga minyak mentah meningkat,” kata ANZ dalam satu nota kepada pelanggan.

Minyak menarik sokongan daripada pengeksport minyak mentah terbesar, Arab Saudi yang berkata ia akan mematuhi komitmen untuk mengurangkan output di bawah perjanjian antara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia naik sedikit

SINGAPURA 11 JAN: Harga minyak naik sedikit diniagakan kepada AS$50.98 setong pada 0028 GMT, 16 sen lebih tinggi daripada penutup terakhirnya, namun 6.25 peratus lebih rendah daripada permulaan tahun ini.

REUTERS melaporkan kenaikan itu disokong pemotongan kecil bekalan oleh pengeksport minyak mentah Arab Saudi ketika pasaran kekal di bawah tekanan berikutan isyarat pelaksanaan rancangan pengurangan pengeluaran OPEC yang kurang memberangsangkan.

Harga minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa diniagakan kepada AS$53.77 setong pada 0130 GMT, naik 13 sen berbanding penutup semalam.

“Peniaga terus bimbang dengan kenaikan bekalan minyak AS dan pematuhan OPEC ke atas persetujuan mengurangkan bekalan,” kata ANZ Bank hari ini.

Semalam, Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) berkata, peningkatan aktiviti penggerudian dijangka meningkatkan pengeluaran minyak mentah sebanyak 110,000 tong sehari (bpd) tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Bulan lalu, EIA berkata pengeluaran mungkin susut sebanyak 80,000 bpd.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Harga minyak dunia susut 2.5%

NEW YORK 10 JAN: Harga minyak susut 2.5 peratus sebagai tanda peningkatan pengeluaran Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan peningkatan eksport Iraq mengenai pertambahan pengeluaran akan menjejaskan pasaran.

Agensi berita antarabangsa REUTERS melaporkan ini sekali gus melemahkan usaha Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan bekalan.

Niaga hadapan minyak mentah AS diniagakan AS$52.66 setong, jatuh AS$1.33 pada 10.51 pagi ET (1551 GMT).

Niaga hadapan Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak jatuh AS$1.40 setong pada AS$55.70 setong.

Di Iraq, pengeluar kedua terbesar OPEC, mengeksport minyak dari pelabuhan Basra selatan mencecah rekod tertinggi 3.51 juta tong sehari (bpd) pada Disember, menurut kementerian minyaknya.

Walaupun kementerian minyak negara berkenaan menekankan paras tertinggi itu tidak akan mempengaruhi keputusan mereka untuk mengurangkan pengeluaran pada bulan ini bagi mematuhi perjanjian OPEC, kebimbangan mengenai keputusan itu tetap ada.

“Kami akur dengan negara Teluk, tetapi yang lain dilihat masih kurang yakin,” kata Robert Yawger, pengarah sektor niaga hadapan di Mizuho Securities USA.

“Dengan jumlah pengeluaran begitu besar dari pelabuhan Basra selatan bagi Disember…ia membayangkan Iraq mungkin melanggar perjanjian OPEC itu,” katanya.

Sumber juga memberitahu Reuters, Oil Marketing Company (SOMO) dari Iraq memberikan peruntukan bekalan penuh kepada tiga pembeli di Asia dan Eropah untuk Februari.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Trend harga minyak global, ringgit dibuka rendah

SHAH ALAM, 4 NOV : Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan mata wang utama lain hari ini berikutan harga minyak meneruskan kejatuhannya dalam pasaran global susulan kebimbangan lebihan bekalan dalam inventori minyak mentah AS, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada paras 4.1900/1950 berbanding dolar AS daripada 4.1850/1900, semalam.

Naib Presiden Pasaran FXTM, Jameel Ahmad, berkata harga minyak akan terus menerima impak negatif jika Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden AS minggu depan.

ringgit“Jika Donald Trump menjadi Presiden AS akan memberi kesan dalam unjuran pertumbuhan yang akan direndahkan sekurang-kurangnya dalam tempoh sederhana berikutan ketidaktentuan pelabur dan daripada segi teori akan melemahkan permintaan bagi komoditi seperti minyak dan menjejaskan penilaian terhadap minyak,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetikm dari BERNAMA.

Harga minyak mentah Brent jatuh 1.09 peratus pada paras AS$46.35 setong, sementara minyak mentah AS jatuh 1.50 peratus kepada AS$44.66 setong.

Mata wang tempatan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0259/0311 daripada 3.0208/0255 semalam dan menyusut berbanding yen kepada 4.0719/0780 daripada 4.0659/0727, sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding pound kepada 5.2283/2349 daripada 5.1722/1805 yang dicatatkan semalam dan jatuh berbanding euro kepada 4.6517/6590 daripada 4.6428/6496 sebelum ini.

-NFN-

Categories
GLOBAL

Harga minyak dunia jatuh ketara pagi ini

NEW YORK 1 NOVEMBER: Harga minyak mentah jatuh ketara pagi ini mencecah paras terendah satu bulan disebabkan kebimbangan berhubung kemampuan OPEC dalam melaksanakan rancangan pengurangan pengeluaran, manakala harga saham global pula kurang stabil berikutan sentimen semasa.

Agensi berita antarabangsa, Reuters melaporkan harga minyak mentah jatuh lebih tiga peratus disebabkan keraguan berhubungan keupayaan pelaksanaan cadangan pengurangan pengeluaran OPEC.

OPEC yang dijangka menunjukkan rekod pengeluaran tertinggi pada Oktober, turut mempengaruhi pasaran.

“Pasaran menjadi sedikit tidak bermaya,” kata Kyle Cooper, penganalisis di ION Energy di Houston.

“Melainkan OPEC dapat meyakinkan ahlinya dan pemain minyak dan gas lain dalam menyertai usaha pengurangan pengeluaran, pasaran akan menjadi skeptikal.

” Brent jatuh AS$1.41, atau 2.84 peratus pagi ini, pada AS$48.30 satu tong, manakala minyak mentah AS pula susut AS$1.84, atau 3.78 peratus, pada AS$46.86. Harga minyak yang lebih rendah mempengaruhi saham berkaitan tenaga di Wall Street dan bursa saham Eropah.

EZY

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kenaikan harga minyak tertinggi tahun ini hari ini

SHAH ALAM 1 NOV: Harga baru RON 95 ditetapkan pada RM1.95 seliter, RON97 pada RM2.30 seliter dan diesel pada RM1.90 seliter bermula hari ini.

Kenaikan 15 sen untuk setiap jenis minyak bermula tengah malam tadi 1 November.

Harga baru ini juga sekali gus mencatat rekod sebagai harga bahan bakar tertinggi untuk tahun ini.

Harga baru ini lebih tinggi berbanding Januari tahun ini apabila RON95 ditetapkan pada harga RM1.85 seliter, RON97 (RM2.25) dan diesel (RM1.60).

Harga jualan paling rendah tahun ini dicatat pada bulan Mac.

Berbanding harga itu, harga diesel menunjukkan perbezaan 48 peratus.

RON95 naik 22 peratus sejak Mac manakala RON97 pula 18 peratus.

Kerajaan Persekutuan menentukan harga minyak melalui sistem apungan terkawal yang mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kekuatan mata wang negara untuk bulan sebelumnya.

Tinjauan di laman sosial mengecam kenaikan itu yang pada masa sama bermula harga baru untuk minyak masak selain paket 1kg.

EZY

Categories
NASIONAL

Harga petrol naik, Facebook Najib diserang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JUL: Pelbagai pihak turun ke ‘muka buku’ dan menyerang ‘Facebook’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi meluahkan kemarahan dan ketidakpuasan hati ekoran kenaikan harga petrol.

Tinjauan Selangor Kini mendapati hampir semua ‘post’ yang dibuat ke laman berkenaan bersifat negatif dan tiada yang memuji tindakan terbabit.

Najib1Ramai yang kecewa dan mengaitkan kenaikan itu sebagai bebanan berganda selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pada April lalu.

“Pak Jib, sekarang belum selesai isu harga barang naik(SST+GST), harga rumah naik, minyak pun turut naik. Sampai darah pun naik sama. Terima kasihlah banyak-banyak Pak Jib atas ‘kasih-sayangmu’ pada rakyat Malaysia ini,” sindir Roslin Nicholas.

“Salam. Tidak cukupkah kau menekan rakyat dengan beban GST. Hari ini kau tambah pula dengan kenaikan harga minyak,” soal Khairul Azri Karim.

Alasan Najib bahawa kenaikan minyak adalah demi menjamin kesejahteraan rakyat turut dipersenda warga ‘Facebook’.

Najib2“Demi kesejahteraan rakyat saya sokong minyak dinaikkan RM5 seliter,” sindir Ajmal Zainin.

“Terima kasih pentadbiran kerajaan kerana bersungguh-sungguh memastikan setiap rakyat di Malaysia memperoleh kesejahteraan hidup.

“Kalau boleh kami nak sumbang GST untuk RON95, diesel, beras, semuanya GST kan saja. Yang penting proses untuk kesejahteraan rakyat tetap dilaksanakan. Tahniah,” kata Shafie Rahman.

Najib6“Kalau ada rakyat yang mati kebulur kat Malaysia ni memang kaulah puncanya baghal. Kau dengan Maslan memang serupa, KFC memang penuh tapi kau nampak apa dia orang makan?

“Kau takpa kaya raya senang lenang, makan duit hasil mencuri duit rakyat. Dunia akhirat aku tak halalkan, kau tanggunglah kat kubur nanti,” sumpah Bumble Hawa Bee.

Terdahulu, Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Maslan dalam satu ‘tweet’ di Twitter berkata rangkaian restoran KFC masih dipenuhi dan itu petanda rakyat sebenarnya tidak terbeban.

Bermula tengah malam tadi, RON95 dinaikkan RM0.10, RON95 sebanyak RM0.20 sementara harga diesel kekal.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pasaran antarabangsa masih rendah, kerajaan perlu kembalikan subsidi

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 3 JUN: Amaran kerajaan kepada peniaga supaya tidak menaikan harga barang ekoran kenaikan petrol 10 sen seliter tidak mampu memberi jaminan kepada rakyat.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, harga barang tidak boleh dikawal kerajaan kerana ia bergantung kepada kos bekalan.

FOMCA“Amaran Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan supaya harga barang tidak dinaikkan gagal memberi kesan kerana kawalan harga barang adalah di luar bidang kuasa kerajaan.

“Seharusnya tidak ada sebab kerajaan naikkan harga petrol bulan ini kerana berdasarkan pasaran antarabangsa ia masih lagi di paras rendah,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Mohd Yusof berkata, petrol adalah bahan bakar asas yang menjadi keperluan untuk pengangkutan dan memberi kesan ketara kepada rakyat.

“Memandangkan ia bergantung pada pasaran dunia, kerajaan harus kembalikan semula subsidi supaya harga minyak tetap.

“Kerajaan juga perlu meletakkan satu paras tetap apabila harga minyak sampai ke tahap kerajaan perlu memberi subsidi untuk dinikmati rakyat. Kerajaan harus beri langkah proaktif untuk rakyat,” katanya.

-NFN-