Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

ADN Taman Templer bina pusat jualan, bantu peniaga terjejas wabak

Wakil rakyat Taman Templer merangka inisiatif khas bagi membantu penduduk terjejas akibat penularan Covid-19 untuk kembali bangkit menjana pendapatan.

Menerusi program yang diselenggara pusat khidmatnya, Mohd Sany Hamzan, 43, menyediakan bantuan pinjaman pelbagai peralatan perniagaan.

Mana-mana individu yang mahu memulakan perniagaan boleh meminjam dapur, payung, kerusi dan mesin tebu untuk digunakan pada bila-bila masa.

“Juga disediakan mesin pemotong rumput bagi mereka yang hendak menjalankan perkhidmatan itu. Kita turut bantu dari segi pengurusan kewangan dan permohonan lesen sementara daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta mencari lokasi perniagaan.

Mohd Sany Hamzan

“Setakat ini, ada 15 penerima disenarai pendek bagi mendapatkan bantuan pinjaman peralatan,” katanya kepada SelangorKini.

Hasrat Mohd Sany untuk meningkatkan pendapatan rakyat diperkukuhkan dengan membuka Templer Mart yang dijadual beroperasi pada November depan. Premis di Taman Selayang Segar akan menempatkan pelbagai produk yang dihasilkan penduduk.

Beliau berharap premis kendalian Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya (PWB) menjadi platform golongan kurang berkemampuan dan wanita mengubah nasib mereka melalui jualan produk.

“Mereka boleh letakkan apa jua barangan dari makanan hingga kraftangan. Saya lihat banyak produk dihasilkan penduduk Taman Templer berpotensi untuk dipasarkan. Kita juga bantu dari segi promosi dengan menghasilkan video khas,” katanya.

Pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd Sany memfokus kepada penyaluran bantuan makanan asas yang sehingga kini dianggar 5,000 pek.

Turun padang

Kesungguhannya terbukti berikutan Mohd Sany, tetap ligat turun padang sekalipun terpaksa bertongkat. Ternyata, patah kaki ketika menyertai misi kemanusiaan di Palu, Indonesia pada 2018 tidak menjejaskan semangatnya.

Mohd Sany Hamzan (kanan) menyerahkan bantuan kewangan dan keperluan asas kepada penduduk memerlukan dalam program Ziarah Kasih 3 di DUN Taman Templer, baru-baru ini

Beliau sebaliknya meneruskan program Ziarah Kasih 3, program yang diperkenalkannya sejak menjadi wakil rakyat bagi membantu sekurang-kurangnya tiga rumah miskin pada setiap hari. Beliau atau wakilnya menziarah sambil membawa bantuan kewangan dan makanan asas.

Bahkan, beliau turut menyediakan ‘kereta peduli rakyat’ bagi memudahkan warga emas dan orang kelainan upaya berurusan di pejabat kerajaan. Mohd Sany percaya sentuhan sedemikian mendekatkan dirinya dengan rakyat.

Perancangan naik taraf prasarana tidak diabai. Beliau sering membangkitkan isu kepada pihak berkuasa supaya sesuatu tindakan dapat disegerakan.

Projek siap dan dalam perancangan di Taman Templer:

– Naik taraf padang bola sepak di Batu 16, Rawang dengan peruntukan RM120,000 (siap)
– Memulihkan projek terbengkalai Apartment Kristal di Kampung Bendahara (bermula Februari 2021)
– Naik taraf kolam air panas dengan kos RM4 juta (dalam proses awal)
– Penggantian paip lama berusia 30-40 tahun di Selayang Pandang dan Selayang Baru (sedang berjalan)
– Naik taraf jajaran Sungai Udang untuk mengatasi masalah banjir kilat (dalam proses pengambilan tanah)
– Membantu pembinaan masjid di Selayang Mutiara dan naik taraf Surau Al-Furqan menjadi masjid di Bandar Baru Selayang

 

Categories
ADN SELANGOR

Program peningkatan landskap di Selayang Mulia, serlah suasana menarik

SHAH ALAM, 3 SEPT: Projek peningkatan landskap ruang komunal dilaksanakan di Pangsapuri Selayang Mulia, Batu Caves untuk mewujudkan keadaan ceria di kawasan kediaman, kata ahli dewan negeri Taman Templer.

Mohd Sany Hamzan berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dijalankan di sekitar pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bermula Selasa lalu berikutan keadaan suram di sepanjang laluan pintu masuk pangsapuri berkenaan.

“Kita bekerjasama dengan 20 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan komuniti setempat untuk menggerakkan projek ini.

“Mereka mengindahkan lagi kawasan pintu masuk pangsapuri dengan menanam pokok, mengecat dinding dan melukis mural bercorak flora yang dijangka siap dalam tempoh tiga hari,” katanya kepada SelangorKini.

Sukarelawan projek Peningkatan Landskap Ruang Komunal mengecat dinding pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Selayang Mulia, Batu Caves dengan lukisan mural pada 1 September 2020. Foto Facebook Mohd Sany Hamzan

Beliau berharap projek itu mampu menjadi contoh kepada pangsapuri lain yang terdapat di sekitar Dewan Undangan Negeri Taman Templer selain menggesa masyarakat setempat supaya memelihara kawasan masing-masing.

“Mereka yang tinggal di pangsapuri lain di DUN ini boleh datang dan lihat sendiri selepas kerja pengindahan selesai,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Larangan kenderaan berat atasi kesesakan di Taman Templer Rawang

SELAYANG, 24 OGOS: Kesesakan lalu lintas yang kerap berlaku sekitar Taman Templer Rawang menemui jalan penyelesaian apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak mewartakan larangan kenderaan berat pada waktu puncak, berkuatkuasa 14 Ogos lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, ia membabitkan jarak sejauh lapan kilometer bermula dari Caltex Selayang Pandang sehingga ke Rawang Bypass dari 6.30 hingga 9.30 pagi dan dan 3.30 petang hingga 7 malam pada hari bekerja.

Katanya, larangan berkenaan membabitkan kenderaan berat dengan muatan lima tan ke atas di lorong dua hala yang dikenalpasti menjadi antara punca gangguan trafik di kawasan terbabit.

“Larangan ini adalah mekanisme jangka pendek yang dirasakan sesuai bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

“Di kawasan itu, kenderaan berat menjadi perlahan ketika melalui jalan berbukit dan jalan di bawah akan berlaku kesesakan, manakala kenderaan lain bergerak ke arah yang sangat perlahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sany berkata, sebelum ini pihaknya sering membawa isu berkenaan ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk berbincang dan mencari pendekatan terbaik bagi mengatasinya.

“Di peringkat persekutuan, Ahli Parlimen Selayang, William Leong sudah banyak kali menyebut soal ini untuk kita memohon peruntukan daripada kerajaan bagi tujuan melebarkan jalan dari Selayang hingga ke Rawang.

“Malah, saya dan ADN Rawang, Chua Wei Kiat sering membawa persoalan berkaitan pelebaran jalan di Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) selain disusuli lawatan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dua minggu lalu untuk melihat keadaan jalan.

“Kita sangat berharap kerajaan persekutuan dan JKR dapat meluluskan segera peruntukan untuk kerja-kerja melebarkan jalan ini daripada dua kepada tiga lorong,” katanya.

Difahamkan, JKR Gombak akan memasang papan tanda peringatan dalam tempoh terdekat dan mengedarkan pemakluman penguatkuasaan larangan kepada agensi-agensi berkaitan.

Categories
SELANGOR

100 kanak-kanak sertai Klinik Bola Sepak bersama Azman Adnan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 15 OKT: Seramai 100 kanak-kanak menyertai Klinik Bola Sepak anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer, di Padang Taman Bidara, di sini, semalam.

Lebih istimewa, klinik yang julung kali berlangsung itu diserikan dengan kehadiran bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan yang turut meluangkan masa berkongsi pengalaman dan mengajar teknik sukan itu kepada kanak-kanak terbabit.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, peserta menjayakan klinik bola sepak itu terdiri daripada kanak-kanak berumur lingkungan 10 hingga 12 tahun.

Katanya, program berkenaan bertujuan melatih dan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menimba ilmu serta teknik asas mengenai sukan bola sepak.

“Kita juga mahu melatih anak-anak supaya lebih berdisplin dalam sukan bola sepak bagi melahirkan pemain berwibawa suatu hari nanti.

“Selain itu, ia mampu memberi inspirasi baharu kepada mereka untuk terus meminati dan bermain bola sepak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif program itu sekali gus mempamerkan kesungguhan pihaknya dalam melahirkan generasi muda yang unggul dan berkebolehan tinggi dalam arena bola sepak negara.

“Kita komited meneruskan program sama pada masa akan datang kerana penerimaan kanak-kanak sekolah rendah, khususnya dari kawasan Taman Templer disambut baik.

“Malah, mereka yang hadir secara ‘walk in’ begitu teruja dan gembira dengan adanya program sebegini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PKM bakal mengadakan Perlawanan Bola Sepak bawah 12 tahun, Disember ini bagi mencungkil bakat baharu di segenap akar umbi kawasan berkenaan.

Categories
SELANGOR

Masalah longkang tersumbat dapat perhatian

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 11 OKT: Penduduk Kampung Mahkota, Jalan Sungai Tua, kini mampu menarik nafas lega apabila masalah sistem perparitan yang tersumbat di kawasan itu mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya sudah meminta Majlis Perbandaran Selayang dan Jabatan Kerja Raya bagi menjalankan tindakan susulan berhubung aduan masalah terbabit.

Katanya, operasi penyelenggaran dan langkah pembersihan segera dibuat sejurus maklum balas dipanjangkan kepada agensi berkenaan.

“Sebelum ini, kami sering menerima rungutan penduduk berkenaan masalah longkang tersumbat sehingga mengakibatkan banjir kilat kerana longkang tidak mampu menampung jumlah air hujan.

“Malah, sampah yang memenuhi longkang ekoran pembuangan tidak terkawal daripada pihak tidak bertanggungjawab turut menimbulkan bau kurang senang di kawasan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, pada 6 Oktober lalu, beberapa laporan diterima berhubung kegusaran penduduk terhadap permasalahan longkang tersumbat ekoran pembuangan sisa sampah dan bahan buangan, di kawasan terbabit.

Lanjutan keadaan itu juga menyebabkan banjir kilat kerap berlaku sehingga menjejaskan perniagaan, selain mengakibatkan kerugian terhadap peniaga berhampiran.

Mengulas lanjut, Mohd Sany berkata, masyarakat perlu lebih peka dan memainkan peranan menjaga kebersihan longkang bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pada masa akan datang.

Katanya, masyarakat tidak boleh mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan sahaja untuk membersihkan longkang memandangkan tanggungjawab itu harus dipikul secara bersama.

“Saya berharap semua penduduk memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjaga kebersihan untuk tidak membuang sampah yang boleh menyebabkan longkang tersumbat.

“Masyarakat juga perlu mengambil inisiatif membersihkannya, sebaliknya bukan membuang sampah atau dijadikan sebagai tong sampah kerana jika longkang tersumbat, besar kemungkinan banjir kilat atau perkara tidak diingini terjadi lagi.

“Pada masa sama, saya berharap kejadian ini membuka mata masyarakat supaya membuang sikap mementingkan diri sendiri demi menjamin kebaikan bersama,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Mesir: pemuda Pas Selangor desak sidang khas

mesir

SHAH ALAM 22 OGOS: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya Sidang Khas DUN Selangor dapat diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan serta mengusulkan kecaman terhadap isu yang berlaku di negara Mesir kini.

Kenyataan media lengkap di sertakan

PEMUDA PAS SELANGOR DESAK SIDANG KHAS DUN SELANGOR KECAM TRAGEDI BERDARAH MESIR

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor sehingga kini masih berasa sedih dan kecewa terhadap tragedi berdarah yang telah berlaku di negara Mesir di mana secara wewenangnya pemerintah haram kudeta Mesir pimpinan Al Sisi telah melakukan pembantaian dan pembunuhan serta penangkapan keji terhadap rakyatnya sendiri.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperikemanusiaan tersebut. Selain itu Dewan Pemuda PAS Selangor amat mengharapkan supaya ada tindakan yang lebih berkesan daripada kerajaan Malaysia selaku wakil sebuah negara Islam di dalam Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) dapat membawakan usul untuk mengembalikan semula demokrasi di negara Mesir.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mendesak supaya Sidang Khas DUN Selangor dapat diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan serta mengusulkan kecaman terhadap isu yang berlaku di negara Mesir kini.

Dewan Pemuda PAS Selangor berharap semoga dengan diadakan Sidang Khas tersebut akan diikuti oleh seluruh Sidang DUN negeri-negeri sehinggalah ke Sidang Khas Dewan Rakyat dan Negara bagi membuktikan solidariti kita rakyat Malaysia seluruhnya mengutuk dan mengecam tindakan ganas serta tidak berperikemanusiaan pemerintah haram kudeta Mesir.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut memohon pertimbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk melakukan persediaan membawa pulang pelajar-pelajar anak Selangor yang masih berada di Mesir sekiranya keaadan semakin kritikal sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan negeri lain.- MZA

* SAUDARA MOHD SANY HAMZAN
TIMBALAN KETUA PEMUDA merangkap
PENGERUSI LAJNAH POLITIK DAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR