Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Status bandar raya, jangan hakis mutu Subang Jaya

SHAH ALAM, 3 JAN: Kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dinasihat supaya menjaga kualiti perkhidmatan apabila dinaik taraf sebagai bandar raya kelak.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata pihak berkuasa tempatan itu juga perlu memiliki piawaian setaraf bandar raya tersohor dunia.

“Sudah lama kita usahakan supaya MPSJ dinaik taraf sebagai bandar raya dan ia mendapat persetujuan Kabinet. Tahniah kepada semua warga kerja atas kejayaan ini yang juga cerminan usaha kalian.

“Apabila sudah diisytihar secara rasmi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, MPSJ komited meneruskan agenda mampan dan Maju Bersama,” katanya dalam amanat sempena tahun baharu.

Pada masa sama, Noraini berkata tahun 2020 menuntut warga kerjanya untuk terus berinovasi, kreatif dan lebih berintegriti susulan cabaran ekonomi yang lembab.

Katanya keadaan itu ditambah suasana dingin perniagaan sehingga ada yang mengambil jalan mudah untuk mengaut keuntungan.

“Rasuah mungkin ditawar untuk memudahkan cara, pada waktu itu menjalankan amanah menjadi susah sedangkan ia tanggungjawab kita.

“Perkhidmatan awam adalah perjuangan memartabat bangsa. Buktikan bangsa kita bermaruah, jadikan MPSJ wadah beribadah dalam bertakwa. Jalankan amanah dengan tabah dan rasa bangga,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Mohon permit bazar Ramadan dalam talian mulai esok

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan membuka permohonan permit Bazar Ramadan 2020 secara dalam talian mulai esok hingga 31 Januari depan.

Pengarah Pelesenannya, Muhammad Azli Miswan berkata permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang www.mpsj.gov.my.

“Pemohon diingat untuk membuat permohonan lebih awal sebelum tarikh tutup bagi mengelak kesulitan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya sebanyak 1,255 petak niaga Bazar Ramadan disediakan kepada peniaga membabitkan 15 lokasi di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

“Ia merangkumi zon Subang Jaya (310 petak), Puchong (325 petak), Kinrara (180 petak) dan Serdang atau Seri Kembangan (440 petak),” katanya.

Beliau berkata tindakan undang-undang termasuk penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menganjurkan aktiviti perniagaan Bazar Ramadan tanpa kelulusan.

Categories
PBT SELANGOR

Bangkai motosikal ditemui dalam longkang utama

SHAH ALAM, 18 DIS: Bangkai motosikal antara yang ditemui kontraktor pembersihan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ketika menjalankan kerja pembersihan sistem saliran utama di kawasan pihak berkuasa tempatan itu.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata pekerja turut berdepan pelbagai cabaran ketika pembersihan termasuk sukar memasuki sistem saliran akibat tiada laluan sesuai.

Katanya lebih membahayakan apabila mereka juga terdedah kepada ancaman renjatan elektrik ekoran kewujudan kabel berselirat di dalam ruang sistem berkenaan.

“Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat MPSJ untuk memastikan sistem perparitan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan banjir apabila tiba musim monsun.

“Sehingga kini, sebanyak 170 longkang sudah dibersihkan dan MPSJ akan memberi tumpuan kepada lokasi yang sering berlaku banjir,” katanya dalam kenyataan.

Noraini berkata usaha MPSJ bagi memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik tidak akan mendatangkan kesan jika orang awam tidak cakna terhadap permasalahan terbabit.

Mengambil contoh di Seri Kembangan, katanya kurang seminggu kerja pembersihan dijalankan, kawasan itu mula dipenuhi sampah dan pelbagai sisa lain termasuk perabot dan sisa kebun dari rumah yang dibuang penduduk sekitar.

“Seringkali apabila terjadi banjir, kita dapat lihat timbunan sampah yang menghalang laluan air.

“Justeru, saya ingin menyeru semua pihak untuk bersama menjaga kebersihan persekitaran kerana ia akan memberi kesan kepada semua pihak,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Majlis Perbandaran Subang Jaya kini berstatus bandar raya

SHAH ALAM, 18 DIS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dinaik taraf menjadi bandar raya ketiga di Selangor selepas Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, selain MPSJ, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) turut diberi kelulusan untuk dinaik taraf sebagai majlis perbandaran selepas ini.

“Semalam kita telah medapat pengesahan bahawa MDKL telah dipersetujui dan diluluskan Kabinet untuk diangkat sebagai Majlis Perbandaran Kuala Langat.

“Semalam juga, ketika saya bertemu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Zuraida Kamaruddin, beliau secara peribadi menyampaikan kepada saya maklumat itu. Kali ini bukan secara lisan tetapi dengan surat Kabinet yang bersetuju menaik taraf MPSJ kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya sebagai mana yang kita gariskan dan cadangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Ketua-Ketua Jabatan & Agensi Kerajaan Negeri di Dewan Megawati di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, pencapaian itu sejajar dengan sasaran tahun 2019 Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti dan taraf pihak berkuasa tempatan di Selangor.

Katanya, selain itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) juga bakal dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Bagaimanapun, katanya, MDKS pada masa ini sedang giat melengkapkan beberapa kriteria sebelum permohonan dimajukan ke peringkat lebih tinggi.

Categories
PBT SELANGOR

Karnival 3W MPSJ angkat tema Hari Diabetes & Kanak-Kanak

SHAH ALAM, 9 DIS: Hari Diabetes dan Kanak-Kanak diangkat sebagai tema Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Padang Awam MPSJ, Puchong Indah pada 15 Disember ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata karnival seawal 7.30 pagi itu bagi memberi pendedahan meluas kepada masyarakat terhadap usaha Kerajaan Negeri menyebarkan maklumat berhubung perkhidmatan kesihatan dan kebajikan.

“Orang ramai boleh berurusan dan mendapatkan perkhidmatan secara langsung serta mengambil maklum berhubung perkhidmatan disediakan agensi terlibat.

“Dianggarkan sebanyak 20 agensi Kerajaaan Negeri dan Persekutuan akan terlibat dalam penganjuran karnival pada kali ini yang akan mengadakan pameran agensi serta merencanakan pelbagai aktiviti menarik,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi menghangatkan kemeriahan karnival itu, Asfarizal berkata pihaknya mengadakan rancangan permainan yang akan dikendalikan pelawak Abam Bocey, Ali Puteh dan Cikgu Jinggo berkonsepkan Papaku Adiwira.

“Kita juga menganjurkan Demo Masakan Menu Super IQ oleh Chef Zuwairi yang akan diacarakan oleh pelakon Yana Samsudin bersama Hakeema Rozainah,” katanya.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik lain antaranya 10,000 langkah, pemeriksaan gigi percuma, saringan kesihatan percuma, senaman warga emas, informasi pemeriksaan sendiri payudara (PSP), urutan MyPapaCare dan derma darah.

Selain itu, pertandingan beyblade, mewarna, pancing ringgit dan Hoola hoop, tiup belon, anyam ketupat, boling kelapa, bola jaring, anak ‘makeup’ emak dan masakan kerabu kacang kelisa.

Aktiviti lain ialah cabutan bertuah, pameran agensi, forum sembang santai, bengkel kraftangan pembuatan beg, kembara kaunseling dan Art Therapy.

Karnival akan dirasmikan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Categories
PBT SELANGOR

Sambutan Deepavali peringkat MPSJ meriah

OLEH ALIFF HAIKAL

PUCHONG, 25 NOV: Sambutan Deepavali peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Taman Kinrara, Seksyen 1 di sini disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata majlis itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara pemimpin, pihak berkuasa tempatan dan komuniti India setempat.

“Program ini juga menjadi landasan terbaik bagi memupuk semangat perpaduan kaum dan ruang untuk bertukar pandangan sesama masyarakat serta berkongsi pengalaman budaya juga keunikan tradisi masyarakat India,” katanya pada majlis berkenaan malam tadi.

Hadir sama Ahli Majlis Zon 17, Thomas Low; Ahli Majlis Zon 20, S Mohan; Ahli Majlis Zon 11, C Kavitha dan Ahli Majlis Zon 24, S Thamilarusu.

Selain persembahan kebudayaan, masyarakat turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan jamuan makan malam.

Sementara itu, S Thamilarusu berkata semangat muhibah dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara dapat dipupuk melalui tradisi rumah terbuka.

Beliau juga komited untuk meneruskan program sama pada sambutan perayaan lain bagi menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ bantu belia B40 asah kemahiran tingkat taraf hidup

SUBANG JAYA, 6 NOV: Belia berpendapatan rendah (B40) perlu mempunyai kemahiran bagi membolehkan kelompok itu meningkatkan taraf hidup masing-masing, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zulkurnain Che Ali.

Justeru katanya MPSJ bekerjasama dengan Pusat Giat MARA Puchong menganjurkan program latihan kemahiran bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

Katanya ia bertujuan memberdayakan komuniti belia setempat supaya mereka boleh melibatkan diri secara aktif dan berdaya saing.

“Peserta turut didedahkan dengan taklimat berkenaan kursus teknologi automotif, teknologi baik pulih dan mengecat kenderaan serta pendawaian elektrik.

“Kami berharap satu hari nanti mereka mampu meningkatkan pendapatan keluarga seterusnya menjadi belia berjaya dan berkemahiran.

“Diharap supaya program ini menjadi pemangkin kepada agensi lain untuk bersama menggerakkan belia B40, sekali gus mendukung agenda dan matlamat di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Latihan Kemahiran Bersama Giat MARA 2019 bertempat di Dewan Serbaguna Kompleks 3K, di sini.

Hadir sama Pengurus Pusat Giat MARA Puchong, Hashim Ngah serta 150 peserta program.

Categories
PBT SELANGOR

‘Puchong’, anjing tular hidup dengan baik

SHAH ALAM, 10 OKT: Anjing yang sebelum ini tular melalui rakaman video ketika ditangkap penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dipercayai hidup dalam keadaan selamat dan sihat.

Portal sjecho.com melaporkan, anjing jalanan yang dinamakan ‘Puchong’ itu dijaga dengan selamat oleh kakitangan MPSJ di pusat jagaan milik majlis berkenaan.

Katanya, doktor veterinar turut melawat anjing itu untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Puchong yang sebelum ini ditangkap oleh kakitangan MPSJ tidak mempunyai sebarang luka dan diberi makan serta minum dengan baik.

“Difahamkan anjing itu juga sedia untuk diambil sebagai haiwan angkat,” kata

Pada 5 Oktober lalu, tular rakaman video berdurasi 4 minit 13 saat itu, petugas MPSJ sedang menangkap seekor anjing dan cuba dihalang oleh beberapa individu.

Perkara itu turut mencuri perhatian Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang menzahirkan rasa kesal baginda terhadap insiden berkenaan.

Baginda sebagai Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor turut kecewa dan sedih kerana kejadian kejam itu masih berlaku dalam masyarakat walaupun banyak kempen kesedaran sudah dilaksanakan membabitkan haiwan terbiar.

Baginda turut bertitah supaya prosedur penangkapan haiwan jalanan yang ditetapkan dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan dan keselamatan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang terbabit.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ tubuh unit peronda berbasikal

OLEH ALIFF HAIKAL

SUBANG JAYA, 4 OKT: Penggunaan basikal akan menggantikan penggunaan motosikal dan berjalan kaki bagi melakukan rondaan di beberapa kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, penggunaan basikal itu adalah usaha MPSJ bagi memudahkan orang awam untuk berurusan dan akan memperluaskan kawasan rondaan bergantung pada lokaliti.

“Sebelum ini, pegawai penguatkuasa MPSJ melakukan rondaan dengan menggunakan motosikal ataupun berjalan kaki, kini MPSJ menggantikan dengan kenderaan yang lebih rendah karbon.

“Unit Berbasikal MPSJ ini ditubuhkan bertujuan untuk melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara rondaan berbasikal serta mewujudkan perkhidmatan perbandaran yang lebih hijau serta mesra rakyat,” katanya.

Majlis Pelancaran Unit Berbasikal Penguatkuasa itu diadakan di Jalan USJ 10/1A, di sini, hari ini.

MPSJ telah memperuntukkan sebanyak RM35,820 bagi pembiayaan kos keseluruhan pembelian basikal tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Puan Michelle Ng Mei Sze dan Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid.

Terdahulu, penubuhan unit berbasikal ini adalah inisiatif MPSJ dalam menyahut seruan menjadi bandar rendah karbon selaras dengan hasrat MPSJ untuk menjadi bandar hijau menjelang 2030.

Categories
PBT SELANGOR

SS15 bakal berwajah baharu

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal menaik taraf dua kawasan utama di SS15, iaitu di pasar moden SS15/4 dan kawasan rojak mamak SS15/4G.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, kerja menaik taraf itu bertujuan memperindah kawasan terbabit, meningkatkan keselamatan dan melancarkan aliran trafik.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian adalah memasang lebih 100 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih efisien di kawasan terbabit.

“Selepas mengambil pandangan pelbagai pihak, kita jangkakan hujung tahun ini kawasan itu akan siap dipasang CCTV bercirikan teknologi imbasan muka dan kawalan aliran trafik.

“Selain itu, kita turut memperuntukan RM1 juta bagi kerja menaik taraf kemudahan awam seperti tempat duduk dan ruang istirehat serta membina laluan pejalan kaki dengan kemudahan jubin pandu arah kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Perjumpaan Awam bagi Menaik Taraf Kawasan Komersial SS15, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Pada masa sama, katanya, kerja menaik taraf itu turut membabitkan lapan unit kiosk perniagaan iaitu menambah baik tempat duduk pelanggan dan pembinaan struktur papan tanda SS15 di Jalan SS 15/4G.

Noraini berkata, SS15 dipilih kerana kawasan terbabit adalah projek perintis Bandar Pintar MPSJ, namun pihaknya akan bergerak secara berperingkat untuk menaik taraf kawasan lain dalam pentadbirannya pada masa akan datang.

Selain itu, katanya, kerja menaik taraf itu sedikit sebanyak mengutamakan keselamatan wanita yang melalui kawasan terbabit, pada bila-bila masa.

“Justeru, sebagai pembuat dasar saya juga mahukan kawasan Subang Jaya ini sebagai mesra wanita yang lebih selamat dan mesra,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 penduduk dan komuniti niaga sekitar SS15 turut terbabit dalam sesi perjumpaan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

MPSJ sedia berstatus bandar raya, tunggu ‘lampu hijau’ Kabinet

SUBANG JAYA, 30 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dijangka berstatus bandar raya seawal tahun hadapan, kata Yang Dipertuanya, Noraini Roslan.

Katanya, permohonan menaik taraf status Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu sebagai bandar raya sudah diluluskan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri kini sedang melalui beberapa proses sebelum ke peringkat Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.

Norani Roslan dan Timbalan YDP MSPJ, Mohd Zulkurnain Che Ali memegang poster Semarak Seni Budaya MPSJ yang akan berlangsung dari 7 hingga 8 September ini. Foto SELANGORKINI

“Apabila sesebuah PBT dinaiktaraf, ia perlu mendapatkan persetujuan daripada Kabinet terlebih dahulu dan saya dimaklumkan mungkin September nanti akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

“Kita (MPSJ) juga sudah bersedia untuk dinaiktarafkan sebagai bandar raya sekiranya Kabinet bersedia memberi lampu hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil 8/2019 di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, semalam.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan bakal menaik taraf MPSJ kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya dalam masa terdekat ini.

Berdasarkan kriteria ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, MPSJ sudah memenuhi semua kriteria untuk dijadikan sebagai bandar raya.

Categories
PBT SELANGOR

Semarak Seni Budaya MPSJ 7 hingga 8 September ini

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengajak orang ramai untuk memeriahkan program Semarak Seni Budaya di West Boulevard One City USJ, pada 7 hingga 8 September ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, antara program menarik adalah Pertandingan Teater Muzikal Aspirasi Kemerdekaan (peringkat Kebangsaan) bermula jam 9 pagi, pada 7 September ini.

“Pertandingan itu terbuka kepada semua warganegara berusia 13 hingga 30 tahun dan kita menyasarkan sebanyak 20 kumpulan akan turut serta.

“Bayaran dikenakan adalah RM150 dengan setiap kumpulan diberikan masa 15 minit untuk membuat persiapan dan persembahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil 8/2019 di Ibu Pejabat MPSJ, di sini hari ini.

Noraini berkata, program lain yang turut dianjurkan ialah pertandingan Muzik Kitar Semula dengan alatan muzik menggunakan barangan terpakai.

“Mereka yang berminat perlu tampil secara berkumpulan dan akan dikenakan caj RM50 dan dinilai mengikut kreativiti, keseragaman, tempo serta gubahan lagu,” katanya.

Katanya, antara aktiviti lain yang turut diadakan ialah Pertandingan Kebudayaan Warisan; Persembahan Tarian Klasik Tradisional; Persembahan Tarian Sewang, Demo Menyumpit dan gerai pemaran dari agensi kerajaan.

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Kebudayaan dan Pelancongan Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ, 011-6099 5640 (Roslan Alias) atau 012-290 2916 (Isma Izhar).