Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima sektor ekonomi perlu boleh beroperasi sepanjang PKP

SHAH ALAM, 11 JAN: Hanya lima sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa mulai 13 Januari.

Perdana menteri berkata ia meliputi pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan sektor tersebut dibolehkan kerana peranannya menyokong kerja membekal keperluan asas bagi memastikan rantaiannya tidak terputus.

“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja sokongan, jumlahnya akan ditentukan oleh majikan,” katanya dalam perutusan hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

Muhyiddin memaklumkan sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai perlu perlu bekerja dari rumah bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti.

“Hanya dengan langkah ini kita dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat kerja,” tegas beliau lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Aktiviti riadah dibenarkan, jarak dua meter

SHAH ALAM, 11 JAN: Aktiviti riadah dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dikuat kuasa bermula Rabu.

Perdana menteri berkata kebenaran tersebut bagi mengelak tekanan kepada kesihatan mental susulan pengasingan diri di rumah untuk tempoh lama.

“Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenar meninggalkan rumah untuk beriadah bersama keluarga sahaja,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas hari ini.

Beliau berkata aktiviti tersebut dibenarkan bersama anggota isi rumah sahaja dengan memastikan jarak dari orang lain adalah dua meter setiap masa.

“Kalau hendak joging, jangan lebih dua orang. Jika berbasikal, janganlah secara berkumpulan, cukuplah seorang sahaja,” kata beliau lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wilayah Persekutuan, Selangor antara enam negeri dikenakan PKP

SHAH ALAM, 11 JAN: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meliputi tiga peringkat untuk tempoh 14 hari bemula 13 Januari.

Perdana menteri memaklumkan PKP dikenakan ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PKP Bersyarat pula dilaksana di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Sementara PKP Pemulihan (PKPP) dikuat kuasa bagi Perlis dan Sarawak serta akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di ibu kota pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA

Beliau berkata PKP dikenakan ke atas negeri berisiko tinggi hasil penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selain keupayaan khidmat kesihatan mencapai tahap maksimum.

Sementara itu, Muhyiddin berkata aktiviti sosial melibatkan perkumpulan ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan dan sukan berkumpulan tidak dibenarkan.

Menurutnya, hanya negeri di bawah pelaksanaan PKPP boleh melakukan aktiviti tersebut, tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

“Pergerakan rentas negeri juga tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga dilarang.

“Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya akan mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam, 13 Januari 2021,” kata Muhyiddin.

Jelasnya, bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan terhad dalam radius 10 kilometer dan hanya dua anggota isi rumah dibenarkan untuk membeli barangan keperluan.

Tegasnya, individu yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Batu Sapi tetap dibuat, pengundi perlu patuh SOP

SHAH ALAM, 31 OKT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah perlu diadakan kerana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata perdana menteri.

Berikutan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan berdisiplin dan menjaga diri masing-masing.

“Begitu juga dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang terpaksa diadakan bila-bila masa. Saya sebutkan perkara ini kerana ia bukan main-main, ini perkara serius.

“Kalau saudara dan saudari beranggapan pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung masa ini tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.

Perdana menteri berkata hanya pengisytiharan darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dapat menangguhkan dua pilihan raya itu hingga krisis pandemik Covid-19 berakhir.

Muhyiddin juga menegaskan akan meneliti SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pelaksanaan kedua-dua pilihan raya tersebut.

“Saya tahu banyak kekangan dihadapi SPR dalam menggubal SOP bagi memastikan tiada jangkitan langsung ketika pilihan raya,” katanya lagi.

SPR menetapkan 5 Disember sebagai hari pengundian PRK Batu Sapi, manakala penamaan calon pada 23 November susulan kematian Ahli Parlimennya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kaji selidik IDE: Lebih 70 peratus rakyat tolak darurat

SHAH ALAM, 25 OKT: Sebanyak 77.39 peratus rakyat tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat di negara ini yang menjadi spekulasi sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) semalam menunjukkan mereka yang menolak darurat lebih cenderung memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Majoriti yang menyokong pengisytiharan darurat (22.61 peratus) adalah mereka yang turut cenderung menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai perdana menteri.

“Hanya 17.71 peratus memilih untuk pembubaran parlimen dan bersetuju Pilihan Raya Umum diadakan,” menurut kenyataan institusi itu di Facebook.

Pungutan pendapat yang dinamakan ‘Rakyat Malaysia Bersuara’ disertai 51,147 rakyat daripada pelbagai latar belakang yang dijalankan dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam tadi.

Antara soalan yang dikemukan adalah adakah mereka bersetuju pengistiharan darurat, apakah pilihan terbaik untuk rakyat sama ada Muhyiddin kekal berkuasa, Anwar dilantik sebagai perdana menteri atau bubar parlimen.

Desas-desus darurat mula diperkatakan apabila Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet pada Jumaat sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sebelah petang.

Semalam, Al-Sultan Abdullah dilaporkan akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan perdana menteri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berunding dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan Istana Negara.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini, sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut,” kata Ahmad Fadil.

Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Abdul Aziz, Kuantan petang semalam.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Ahmad Fadil menjelaskan sesi menghadap itu dimohon Muhyiddin susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

Menurutnya dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat cadangan yang dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya.

Berhubung kenaikan mendadak kes positif harian Covid-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing.

Baginda turut meminta rakyat berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan tatacara amalan norma baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi Covid-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman, serta penularan Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

Malaysia mencatatkan 710 kes baharu Covid-19 semalam menjadikan jumlah terkumpul 24,514 kes. Terdapat 10 kematian direkodkan semalam, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 214 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM arah tutup sekolah jika ada kes positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Kerajaan bersetuju supaya Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan menutup sekolah tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya ada guru atau murid yang disahkan positif Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan beliau secara sidang video di kediamannya hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu antara lain membincangkan kes baharu Covid-19 di Selangor dan Wilayah Persekutuan, termasuk kes yang melibatkan murid di Sekolah Kebangsaan Bangsar.

Katanya mesyuarat juga memberi tumpuan khusus kepada situasi Covid-19 di Sabah.

“Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Pendidikan meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah. Menteri Kanan Pendidikan (Dr Radzi Jidin) akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkara ini,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi beliau.

Sementara itu, Muhyiddin mahu Jabatan Imigresen mengutamakan pengurusan pendatang tanpa izin di Sabah yang menjadi antara punca merebaknya pandemik Covid-19 di negeri tersebut.

Beliau berkata ini termasuk keperluan meningkatkan kapasiti depot tahanan imigresen bagi menempatkan pendatang tanpa izin yang ditahan dan memastikan semua tahanan tidak terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

Selain itu, beliau berkata kapasiti hospital di Sabah dalam merawat pesakit Covid-19 juga dibincangkan, dan mesyuarat bersetuju supaya KKM berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan bantuan dari segi kemudahan perubatan yang boleh ditawarkan oleh Kor Perubatan ATM.

Muhyiddin berkata mesyuarat itu juga melaporkan perkembangan positif di Kedah.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini melaporkan kebanyakan kluster di Kedah, termasuk Kluster Sivagangga, Kluster Muda dan Kluster Sanglang tidak lagi mencatatkan kes baharu.

“Hanya kluster Bah Sintok dan Tembok merekodkan kes baharu namun masih dapat dibendung,” katanya.

Perdana menteri berkata ini menunjukkan langkah yang diambil pelbagai agensi untuk membendung penularan pandemik itu di Kedah berkesan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan rentas negeri, kerajaan jamin beri notis awal

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan akan memberi notis mencukupi sebelum mengenakan sekatan rentas negeri bagi mengelakkan ramai penumpang terkandas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu bagi membolehkan orang ramai membuat
perubahan kepada jadual perjalanan mereka.

“Saya diberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri pagi tadi membuat keputusan untuk menyekat pergerakan antara Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa mulai esok.

“Setelah berbincang dengan beliau, saya membuat keputusan untuk memberi lebih banyak masa sebelum sekatan ini dilakukan. Tarikh baru sekatan berkuat kuasa mulai 12 Oktober jam 12.01 tengah malam hingga 25 Oktober,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan membabitkan orang ramai bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan mendapatkan input daripada Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu sebelum melaksanakannya, termasuk cadangan mengadakan tatacara operasi piawai (SOP) tambahan jika perlu.

“Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh SOP dan arahan dikeluarkan kerajaan. Petugas barisan hadapan akan dikerah semula ke tempat awam untuk memastikan pematuhan.

“Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat,” kata Muhyiddin lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya sekolah di zon merah ditutup

SHAH ALAM, 6 OKT: Hanya sekolah di kawasan zon merah yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 akan ditutup, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kawasan tersebut ialah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau,
Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

“Saya tahu ramai ibu bapa bimbang mengenai anak-anak yang hadir ke sekolah. Setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau keadaan kes Covid-19 dan jika ada kes membabitkan warga sekolah, KPM akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menanganinya,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 sekiranya perlu.

Semalam, KPM memutuskan sebanyak 122 sekolah harian terdiri daripada 86 sekolah rendah, 25 sekolah menengah dan 11 sekolah swasta di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah ditutup mulai hari ini.

Langkah itu susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah terbabit berkuat kuasa 12.01 tengah malam 7 Oktober.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kerajaan tidak cadang laksana semula PKP

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara seperti sebelum ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bagi mengelakkan keruntuhan sistem sosial dan ekonomi negara.

“Apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan PKP Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes Covid-19 yang tinggi.

“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas,” katanya dalam perutusan khas petang ini.

Muhyiddin berkata kesiapsiagaan sistem kesihatan negara membolehkan kerajaan menangani penularan Covid 19 tanpa perlu menutup sektor ekonomi seperti sebelum ini.

“Setakat ini, proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar. Apa jua keputusan perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat yang keluar bekerja bagi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi negara,” kata beliau lagi.

Kerajaan melaksanakan PKP secara berfasa mulai 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19. Pada 4 Mei, PKP Bersyarat yang membenarkan sektor ekonomi kembali beroperasi dilaksanakan.

PKP Pemulihan pula dikuat kuasa mulai 10 Jun dan dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM jamin komitmen kerajaan kawal penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan dan komitmen kerajaan dalam terus mengawal dan menguruskan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara.

Muhyiddin yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak Covid-19 pagi tadi berkata situasi kini adalah terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan aktiviti pemantauan kesihatan awam berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Untuk makluman, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan daripada kluster-kluster yang telah pun dikenal pasti dan terkawal.

“Kesemua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes-kes positif dapat dikesan dan diasingkan,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan membuka lebih banyak Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) bagi menempatkan pendatang asing yang ditahan, sebelum proses pengusiran dilaksanakan bagi menangani kes penularan Covid-19 di Sabah.

Kerajaan juga menambah petugas KKM untuk menjalankan proses saringan ke atas pendatang asing yang memasuki negara secara haram, selain menambah anggota keselamatan untuk mengawal sempadan negara bagi mengekang kemasukan mereka, khususnya di negeri Sabah.

“Aset-aset akan diatur gerak untuk menghalang cubaan membolosi sempadan negara,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan tahap kesiapsiagaan negara berada pada tahap tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan Covid-19 seperti yang pernah dilalui sebelum ini.

“Kita mempunyai 40 buah hospital dan 34 pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah untuk merawat kes positif Covid-19 dengan kapasiti 5,674 buah katil. Kadar penggunaan katil di hospital Covid-19 pada masa ini ialah 24 peratus sahaja.

“Selain itu, fasiliti kesihatan juga kini mempunyai 437 buah katil ICU (unit rawatan rapi) dan 1,505 alat bantu pernafasan (ventilator),” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat supaya bertenang dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 pada masa ini serta membudayakan kebiasaan baharu, dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya percaya pasukan barisan hadapan negara kita khususnya KKM dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Muhyiddin: PAKATAN perlu buktikan sokongan

SHAH ALAM, 23 SEPT: Sokongan ahli parlimen terhadap Pakatan Harapan perlu dibuktikan mengikut proses dan kaedah yang mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kenyataan Pengerusi PAKATAN Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya “dakwaan semata-mata” jika tidak melalui kaedah tersebut.

“Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah perdana menteri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil meminta rakyat bertenang berikutan situasi itu, Muhyiddin juga berjanji perkara itu akan ditangani mengikut proses undang-undang dan perlembagaan.

Anwar mengumumkan PAKATAN mendapat sokongan ramai ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti yang “kukuh dan meyakinkan”.

Bagaimanapun, majlis beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 22 September ditangguhkan kerana kegeringan baginda.