Categories
NASIONAL SELANGOR

Calon Pilihan Raya Kampus UKM Dakwa Diugut Bunuh

KUALA LUMPUR 24 SEPT : Enam calon Pilihanraya Kampus dari Pro Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (Pro-M UKM) hari ini menerima ugutan bunuh yang didakwa didalangi oleh Umno-BN.

Wakil Pro-M UKM, Ahmad Afif Zulkarnain berkata tindakan itu dilakukan supaya kampus UKM dikuasai oleh Pro Aspirasi yang ternyata memihak kepada parti itu.

Katanya, tujuan konspirasi itu dilakukan supaya meningkatkan moral Umno-BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke -13 akan datang.

“Ini juga jelas menunjukkan konspirasi Ops 2020 yang sedang giat berjalan di kampus-kampus di seluruh negara.

“Seperti yang kita tahu, Ops 2020 ini merupakan konspirasi campur tangan politik untuk menidakkan kebangkitan moral kepada pihak pembangkang,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

Afif menambah, ugutan bunuh itu juga diberitahu kepada keluarga calon dengan tujuan untuk memaksa calon menarik diri daripada bertanding.

“Selain itu, beberapa kain rentang yang mewakili calon-calon yang bertanding juga disabotaj dengan penyimbahan cat merah.

“Jika kita lihat, modus operandi ini sama seperti yang berlaku dalam senarion politik masa kini. Contohnya, isu simbahan cat ke atas bas jelajah merdeka rakyat,” katanya.

Ekoran ugutan bunuh yang diterima itu, dua laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa di Kedah pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata konspirasi itu turut dicampur tangan oleh Pengerusi Majlis Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, Prof Dr Othman A.Karim yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM.

Antaranya, beliau membenarkan calon-calon aspirasi bertanding sedangkan pencalonnya pernah dibatalkan sebelum ini selain memaksa calon ‘bidan terjun’ untuk bertanding.

“Kami juga mendapati konspirasi 2020 ini dicampur tangan pihak media khususnya Utusan Malaysia yang cuba memutar belitkan fakta. Buktinya, dalam akhbar itu pada 22 September lalu, mereka memanipulasi gambar perarakan Pro-M UKM,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Umno-BN supaya tidak campur tangan dalam urusan pemilihan pelajar dan memberikan autonomi kepada kampus.

Setakat ini, Pro – M memenangi tujuh kerusi tanpa bertanding daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Categories
SELANGOR

KPT Didesak Henti Segera Campurtangan Dalam Pilihan Raya Kampus

SHAH ALAM 22 SEPT : Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) diminta menghentikan segera campurtangan dalam Pilihan Raya Kampus(PRK) yang melibatkan institusi pengajian awam di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria campurtangan ini diakui wujud saban tahun termasuk pendedahan dokumen di Dewan Rakyat yang melibatkan perancangan terperinci untuk memenangkan calon-calon tertentu.

Beliau bagaimanapun yakin mahasiswa hari ini sudah matang membuat keputusan dan menilai siapa yang layak memimpin mereka. Katanya, terpulang kepada mahasiswa untuk membuat keputusan memandangkan mereka kini sudah semakin cerdik dalam membuat penilaian.

“Saya tidak hairan. Saya dapat maklumat ada unit media Umno yang hadir memantau perjalanan PRK sedangkan mereka ini masuk universiti pun tidak.

“Ini satu cara pihak universiti memastikan golongan-golongan yang selari dengan pihak universiti menang dalam pilihan raya kampus

Semalam kumpulan antikemampanan Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) membuat laporan polis di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur terhadap jawatankuasa pilihan raya kampus yang didakwa “menyalahguna kuasa” dengan menerima pencalonan mahasiswa tidak layak.

Ini kerana pihak jawatankuasa menerima enam pencalonan daripada Penggerak Mahasiswa (Pro-Aspirasi) yang tidak mempunyai baki pengajian mencukupi walaupun setelah dibantah.

Sementara itu, Pengerusi Pro Mahasiswa UM, Edikoup Lakip Sediyanto dalam reaksinya berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa ini ke mahkamah memandangkan kebenaran calon untuk bertanding kurang dua semester penuh pengajian merupakan perkara yang melanggar peraturan PRK.

Menurutnya, bantahan dibuat terhadap lapan orang calon Pro-Aspirasi dimana hanya dua banthan diterima dan selebihnya ditolak.

“Kami rasa perlu diambil tindakan serius keatas universiti untuk bawa kes ini ke mahkamah. Universiti masih membenarkan calon ini bertanding. Laporan polis sudah dibuat berhubung salah guna kuasa universiti. Seterusnya kami tidak teragak-agak untuk membawa kes ini mahkamah,” katanya,

PRK UM yang bakal dilangsungkan pada 25 September ini melibatkan 43 kerusi dimana sembilan kerusi umum dan selebihnya kerusi fakulti.

Categories
NASIONAL

PTPTN: Umno Jaja Modal Melayu

SHAH ALAM, 9 APRIL : Sekali lagi modal ‘Melayu’ digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu kononnya peluang kaum ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti bakal terjejas ekoran pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata persoalan pokok yang seharusnya dijawab kerajaan ialah keikhlasan mereka merealisasi hak pendidikan percuma kepada Melayu (bumiputera) seperti yang termaktub didalam perlembagaan.

“Inilah modal terakhir mereka untuk menakut-nakutkan rakyat, penghianat Melayu sebenarnya adalah Umno itu sendiri,”ujarnya.

Nasir menyoal, tidakkah Umno sedar bahawa Melayu jugalah kumpulan terbesar kadar kemiskinannya di negara ini.

Nasir berkata, penafian hak pendidikan percuma yang disusuli dengan pelaksanaan skim pinjaman PTPTN jugalah penyebab utama kaum Melayu terikat dengan beban hutang selepas menamatkan pendidikan diperingkat tinggi.

Mengulas lanjut, berhubung dakwaan Khaled kononnya penghapusan PTPTN akan memberi kesan kepada meritokrasi dan persaingan sengit di kalangan pelajar untuk mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Tidakkah pemimpin Umno sedar bahawa meritokrasi juga adalah buah fikiran bekas pemimpin mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad,”katanya.

Tindakan ini mungkin disebabkan kerajaan berasa tidak selamat dari sudut politik apabila melihat sokongan positif daripada mahasiswa terhadap cadangan Pakatan Rakyat.

Sebagai rumusan, Nasir menjelaskan sikap liat kerajaan untuk menghapuskan PTPTN ini adalah kerana mereka tidak mampu menyelesaikan hutang ini kecuali menggunakan jalan mudah dengan mengembalikan beban hutang ini dibahu rakyat.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pemansuhan pinjaman itu juga akan menyebabkan pelajar kurang berkemampuan menghadapi masalah untuk menanggung kos sara hidup di kampus.