Categories
AGENDA NASIONAL

KP kesihatan: Kes Covid-19 dijangka stabil satu atau dua minggu lagi

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah kes harian Covid-19 di negara ini, mulai stabil dan menunjukkan penurunan dalam tempoh seminggu atau dua minggu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dengan proses vaksinasi yang giat dilaksanakan di seluruh negara serta kawalan kesihatan awam masih berkuat kuasa seperti sekatan pergerakan ketika ini, mampu melandaikan semula keluk jangkitan wabak itu.

Katanya, lonjakan kes baharu sejak beberapa hari lepas adalah berikutan lebih banyak saringan bersasar Covid-19 dilaksanakan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.

“KKM sudah jangkakan memang dengan sekatan pergerakan di kawasan Lembah Klang, kes harian akan meningkat kerana saringan bersasar dan saringan komuniti dilaksanakan.

“Namun, saya yakin dengan kaedah kawalan yang baik (sekatan pergerakan) kita akan lihat jumlah kes lebih stabil serta menunjukkan penurunan dalam seminggu lebih atau dua minggu. Pada masa sama, proses vaksinasi perlu dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program ‘The Nation’ bertajuk ‘Covid-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita’ terbitan Bernama TV yang dihoskan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi, malam tadi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata mengambil pengalaman dan iktibar daripada kesan gelombang kedua Covid-19 sebelum ini, negara perlu lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa untuk membuka beberapa sektor yang boleh mencetuskan lagi lonjakan kes baharu.

Beliau berkata pematuhan yang berterusan oleh semua pihak serta penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) di lapangan seperti sektor perkilangan, perlu dipertingkatkan dalam usaha mengawal lebih banyak jangkitan khususnya melibatkan penularan di tempat kerja.

Menjelaskan situasi kapasiti beberapa hospital yang dilaporkan sesak dengan jumlah pesakit Covid-19, beliau berkata KKM sedang giat meningkatkan keupayaan hospital untuk menampung pesakit terutama individu dengan jangkitan tahap empat dan lima di unit rawatan rapi (ICU).

“Masalah yang kami hadapi ialah pesakit tahap empat dan lima mengambil masa lama untuk dirawat dalam ICU antara dua hingga lima minggu termasuk yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Inilah kekangan yang dihadapi kerana jumlah pesakit tahap empat dan lima juga bertambah dan menjadi sesak. Oleh sebab itu KKM sedaya upaya meningkatkan lagi kapasiti hospital,” katanya.

Terdapat lima tahap jangkitan Covid19. Tahap satu – tidak bergejala; tahap dua – bergejala ringan; tahap tiga – bergejala dan mengalami radang paru-paru; tahap empat – bergejala, mengalami radang paru-paru dan perlukan bantuan oksigen; serta tahap lima – bergejala kritikal dan memerlukan rawatan di ICU.

Semalam, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan 9,353 kes baharu dengan 29 lagi kluster baharu termasuk 19 kluster tempat kerja.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

2,600 laman sesawang disekat, jualan ubat palsu Covid-19 berleluasa

PUTRAJAYA, 13 JUN: Pihak berkuasa telah menyekat akses ke atas 2,600 laman sesawang yang menawarkan ubat-ubatan berbahaya, serta merampas ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM2.2 juta dalam Operasi Pangea XIV yang dijalankan di seluruh negara bermula 18 hingga 25 Mei lepas.

Operasi itu melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), National Central Bureau/Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menumpukan pada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan berbahaya dan peranti perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tumpuan Operasi Pangea XIV pada tahun ini ialah penjualan yang disalahgunakan bagi tujuan rawatan Covid-19 kerana terdapat penjual yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan bagi wabak Covid-19.

“Buktinya, ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan Covid-19, pelitup muka, termometer, sarung tangan, gaun pembedahan, kit ujian untuk Covid-19, nasal aspirator dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan banyak dijual dalam talian.

“Selain itu, terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas Operasi Pangea XIV itu, beliau berkata sebanyak 2,600 laman sesawang termasuk Dark Web dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan.

Dalam tempoh operasi itu juga, sebanyak 972 bungkusan pos telah diperiksa dan 157 daripadanya didapati mengandungi 9,115 unit produk farmaseutikal tidak berdaftar bernilai RM108,352.00.

“Berbanding dengan Operasi Pangea pada tahun lalu, lebih 60 peratus produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952 manakala 18 peratus daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik.

“Selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat antiradang dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri, dan hasilnya sebanyak 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM42,213 dirampas.

“Aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian.

“Semasa operasi kali ini, 94 premis perniagaan yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan juga premis yang mengedarkan bahan psikotropik yang tidak berdaftar telah diserbu,” katanya.

Beliau berkata dalam serbuan dilakukan, sebanyak 61,864 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,071,855.

Turut dirampas beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk, katanya.

Dr Noor Hisham berkata aktiviti kesedaran kepada orang awam mengenai potensi bahaya membeli ubat-ubatan secara dalam talian juga merupakan sebahagian daripada Operasi Pangea XIV.

“Sebanyak 206 kempen kesedaran pengguna telah diadakan sepanjang tempoh Operasi Pangea XIV dan antara usaha yang dijalankan ialah kempen kesedaran melalui media sosial, termasuk panduan video mengenai pembelian ubat dalam talian yang selamat,” katanya.

“Pada tahun ini juga, pendidikan mengenai penjualan peranti perubatan untuk Covid-19 turut diadakan di farmasi-farmasi komuniti,” tambah beliau.

Beliau berkata KKM masih memantau laman sesawang dan media sosial serta menggiatkan aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu penjualan produk farmaseutikal dan peranti perubatan dalam talian walaupun setelah Operasi Pangea berakhir.

”Pautan di laman sesawang yang menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar yang mempunyai tuntutan rawatan COVID-19, masih lagi disaring dan disekat.

“Notifikasi juga sentiasa dikeluarkan kepada platform e-dagang bagi menurunkan penjualan produk-produk tidak berdaftar atas tujuan yang sama,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata orang ramai perlu memastikan produk kesihatan yang dijual sama ada dalam talian ataupun di premis mempunyai pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran produk sebelum membeli produk tersebut.

Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” atau orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mutasi varian Nigeria tidak jejas upaya kesan individu dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Varian Nigeria B1.525 daripada Covid-19 mempunyai mutasi penting dalam spike protein, tetapi ia tidak menjejaskan keupayaan untuk mengesan atau menjejaki seseorang yang dijangkiti varian itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini kerana kit tindak balas Polymerase Chain Reaction (PCR) yang sedia ada menggunakan pelbagai sasaran untuk mengesan varian walaupun seseorang itu tidak bergejala.

“Pada masa ini, tidak ada data yang menunjukkan bahawa varian ini lebih virulensia atau menyebabkan peningkatan kematian,” katanya mengulas pertanyaan media semalam, berhubung Varian Nigeria B1.525.

Berdasarkan laporan kajian makmal, Dr Noor Hisham berkata mutasi E484K yang juga dilihat pada varian lain, termasuk Afrika Selatan (B.1.351) dan Brazil (P.1), telah dikaitkan dengan beberapa tahap ketahanan untuk meneutralkan antibodi yang diperlukan bagi memberi perlindungan.

Ketahanan itu bermakna ada kemungkinan penurunan dalam keberkesanan imuniti semula jadi atau imuniti yang berasal daripada vaksin terhadap mutasi ini, tambahnya.

“Mutasi D614G menyebabkan peningkatan penularan kerana keadaan yang menggalakkan untuk virus menjangkiti sel yang dibenarkan dan menduplikasi.

“Mutasi lain yang disebut Q677H juga berkaitan dengan kemungkinan peningkatan penularan disebabkan penggabungan virus yang efisien terhadap reseptor sel manusia,” katanya.

Merujuk kepada dua kes pertama varian Nigeria di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan pasangan suami isteri warganegara India, masing-masing berusia 36 dan 33 tahun yang datang ke Malaysia bersama anak lelaki berusia enam tahun.

Beliau berkata suami berkenaan bekerja dalam bidang kewangan profesional sejak dua tahun yang lepas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mereka datang ke negara ini kerana si suami mendapat tawaran pekerjaan.

“Lelaki itu pada awalnya dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, tetapi dipindahkan ke pusat perubatan swasta sehari kemudian atas permintaannya. Dia dibenarkan keluar dari hospital pada 9 Feb lepas.

“Oleh kerana isterinya di awal kehamilan, wanita itu bersama anak mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Dia dibenarkan keluar dari hospital pada 15 Februari lepas,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan kedua-dua pelawat itu tiba di Malaysia pada 31 Januari dan Kementerian Kesihatan menjalankan ujian swab Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) melalui hidung (nasopharyngeal) dan mulut (oropharyngeal) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), disebabkan mereka tidak menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas.

Mereka kemudian dikuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan dan kekal tidak bergejala, namun makmal mengesahkan hasil ujian RT-PCR mereka positif Covid-19 pada 2 Feb.

Dr Noor Hisham berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kemudiannya melakukan penjujukan genom penuh kerana sejarah perjalanan mereka dan IMR menyelesaikan analisis penjujukan genom pada 4 Mac, yang menunjukkan kedua-dua kes itu mempunyai Varian Nigeria SARS-CoV-2 (B1.525).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar terima vaksin Covid-19 dibuka mulai 1 Mac

PUTRAJAYA, 16 FEB: Pendaftaran untuk pemvaksinan Covid-19 mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Mac depan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti beberapa kaedah yang boleh digunakan orang awam untuk mendaftarkan diri selain pihaknya juga  mengenal pasti kumpulan sasar bagi memastikan mereka mendapatkan vaksin itu.

“Ada lima kaedah yang kita akan kenal pasti untuk pendaftaran iaitu menggunakan sama ada aplikasi MySejahtera, laman sesawang ataupun nombor telefon,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, menurut Buku Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini, daripada lima kaedah pendaftaran yang dikenal pasti, dua adalah pendaftaran secara dalam talian iaitu menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my .

Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah yang membolehkan orang ramai mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata KKM membuat persediaan untuk program pemvaksinan Covid-19 sejak Ogos tahun lepas yang turut merangkumi penyediaan prasarana bagi memastikan vaksin diterima dan disimpan dengan selamat.

Beliau berkata setiap vaksin yang diluluskan penggunaannya adalah berdasarkan kajian dijalankan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan melihat kepada data kajian fasa tiga vaksin, keberkesanan dan keselamatan.

KKM juga berpendirian hanya menjalankan program imunisasi Covid-19 kepada individu berusia 18 tahun ke atas walaupun ada negara yang memberikan vaksin kepada remaja berusia 16 tahun.

“Ini kerana dari peringkat usia 16 hingga 18 tahun, tiada bukti kukuh menunjukkan vaksin boleh diguna pakai. Kita patuh pada kajian yang telah dijalankan dan melihat kepada keberkesanan dan juga kesan sampingan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat kesan sampingan susulan penggunaan vaksin, KKM akan mencatat dan melaporkannya kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ditanya mengenai syarikat pengeluar vaksin berdaftar dengan NPRA, Dr Noor Hisham berkata pihaknya menerima dosier daripada Sinovac, Astrazeneca dan Sputnik.

“NPRA masih menjalankan penilaian terhadap keberkesanan dan kesan sampingan vaksin terutama kajian fasa tiga klinikal.

“Untuk vaksin Sputnik, kita dah beri maklum balas kepada syarikat tersebut dan soalan-soalan kita supaya mereka boleh jawab untuk kita bentangkan bagi mendapatkan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata kelulusan bersyarat mungkin diberikan kepada syarikat itu.

“Sekiranya ada kesan sampingan atau data terkini, mereka boleh menghantar semula kepada NPRA untuk penilaian,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham lawat kawasan PKPD asrama Top Glove

SHAH ALAM, 28 NOV: Ketua Pengarah Kesihatan mengadakan lawatan kerja hari ini ke asrama Top Glove di Klang yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pengurusan PKPD membabitkan asrama lelaki dan wanita kilang itu yang terletak di Jalan Teratai.

“Saya sempat bertukar pendapat dengan pihak pengurusan operasi yang terlibat dan mendengar isu berbangkit agar operasi PKPD ini berjaya dalam membendung penularan ke dalam komuniti,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata pengurusan kesihatan di lokasi itu diuruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Klinik Kesihatan Meru, selain anggota kesihatan dari daerah luar serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Aktiviti pengurusan kesihatan meliputi saringan Covid-19, kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian arahan home surveillance order (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital dan pengurusan data,” katanya.

Rabu lalu, tujuh daripada 28 kilang Top Glove diarah tutup sehingga 8 Disember selepas merekodkan ribuan kes positif Covid-19.

Setakat 24 November, seramai 4,036 orang disahkan positif wabak bagi kluster Teratai, majoriti pekerja Top Glove, termasuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah berkenaan, 3,846 orang yang positif bukan warganegara daripada 5,777 orang disaring.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tambah petugas, peralatan saringan Covid-19 KLIA, atasi sesak

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Jumlah petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan peralatan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 akan ditambah bagi mengurangkan kesesakan proses saringan terhadap individu yang tiba dari Sabah.

KKM menerusi Twitter memaklumkan susulan terdapat aduan kesesakan proses saringan Covid-19, Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menambah bilangan petugas dan peralatan bagi melancarkan proses saringan.

“Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas,” katanya.

Terdahulu, Dr Adham bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meninjau proses saringan Covid-19 yang dilakukan kakitangan KKM di KLIA dan klia2, awal pagi tadi.

Sementara itu, Malaysia Airports menerusi Twitter merakamkan penghargaan kepada Dr Adham dan Dr Noor Hisham terhadap dedikasi dan komitmen mereka bagi memastikan semua langkah keselamatan dan prosedur ujian berjalan lancar.

Pada Sabtu, Dr Noor Hisham berkata bermula semalam hingga 10 Oktober, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan Covid-19 serta diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Malaysia dinobat destinasi kesihatan terbaik dunia

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Malaysia sekali lagi merangkul anugerah ‘Pelancongan Kesihatan dan Perubatan: Destinasi Terbaik Tahun Ini’, pada Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 di London, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengiktifaran itu didedikasikan kepada semua pemegang taruh sektor penjagaan kesihatan Malaysia, atas usaha cemerlang mereka.

“Anugerah ini didedikasikan kepada semua pemegang taruh di #malaysiahealthcare prestasi cemerlang pada 2019/2020. Sekali lagi setinggi-tinggi tahniah kepada keseluruhan pasukan,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Sementara itu Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dalam satu kenyataan menyatakan, pengiktirafan kali keempat berturut-turut itu, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai Pusat Penjagaan Kesihatan Mengagumkan Di Dunia dan mencerminkan komitmen negara dalam sektor penjagaan kesihatan, khususnya ketika berdepan pandemik Covid-19.

Edisi anugerah itu kali ini, turut menyaksikan MHTC mengekalkan kemenangannya kali keempat bagi anugerah Kluster Terbaik Tahun ini.

“Penerimaan anugerah Destinasi Terbaik Tahun Ini dan Kluster Terbaik Tahun ini sekali lagi menunjukkan keyakinan global terhadap kecemerlangan prasarana kesihatan Malaysia, untuk pelancong penjagaan kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Beberapa institusi kesihatan swasta Malaysia turut meraih kemenangan dalam anugerah berprestij tersebut, termasuk Sunway Fertility Centre (Anugerah Klinik Fertility Antarabangsa Terbaik Tahunan); Prince Court Medical Centre (Hospital Antarabangsa Terbaik Tahunan); Sunway Eye Centre (Klinik Mata Antarabangsa Terbaik Tahunan dan Thompson Hospital Kota Damansara (Inisiatif Kualiti Terbaik).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

‘Menyegarkan’ berada semula dalam bilik bedah – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Selepas beberapa bulan bekerja keras untuk memerangi pandemik Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kembali semula ke dalam bilik bedah.

Dr Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkata beliau sempat “mencuri” masa untuk melakukan pembedahan tiroidektomi untuk seorang pesakit yang menghidap “right dominant multinodular goitre” pagi ini.

“Amat “menyegarkan” berada semula dalam bilik bedah untuk menenangkan diri saya dan bertemu dengan semua staf OT (bilik bedah) saya. Saya turut diberikan taklimat mengenai aliran kerja dan SOP (tatacara operasi piawai) bagi pesakit positif Covid-19 yang perlu menjalani pembedahan.

“Setiap hari memberi pembelajaran dan cabaran baharu untuk kami membuat persediaan untuk menghadapi situasi paling teruk, dan saya kagum dengan keikhlasan, kekuatan dan kreativiti dipamerkan petugas barisan hadapan kita.

Foto Sumber: Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

“Tatkala berdepan dengan situasi pandemik, ia memberi banyak pengajaran bernilai tentang perpaduan dan solidariti. Adalah penting untuk kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan memastikan kebersihan diri,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata disebabkan pandemik itu, beliau dan petugas barisan hadapan dapat menjalin jaringan hubungan dengan lebih baik antara satu sama lain dan terus berusaha untuk menerokai idea dan inovasi baharu.

“Kita kini dalam fasa pemulihan; bagaimanapun, cabaran sebenar bermula sekarang iaitu untuk rakyat mematuhi SOP.

“Rakyat mampu melakukan perkara yang mustahil kerana kini sudah ada harapan dan masa depan cerah untuk memutuskan penularan Covid-19,” katanya.

Dr Noor Hisham muncul di televisyen pada 5 petang setiap hari, untuk memberikan perkembangan terkini dan berita berkaitan Covid-19 yang ditunggu-tunggu orang ramai.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pembedahan dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

-BERNAMA