Categories
SELANGOR

Buku Panduan Natural Farming Bantu Petani Tambah Pendapatan

buku sri padi organik 02

TANJONG KARANG 8 MAC : Buku ‘Panduan Membuat Dan Mengguna Produk SRI Organik’ dapat membantu para petani dan pesawah melaksanakan kaedah pertanian Natural Farming yang mesra alam dan menguntungkan.

Teknik Natural Farming yang sedang diperluaskan oleh Kerajaan Negeri kepada petani sudah terbukti dapat menambah pendapatan petani sebanyak RM 2,000.

Ini dicapai melalui mengantikan penggunaan baja dan racun kimia dengan alternatif yang diperbuat daripada bahan semula jadi yang mudah dibeli atau dijumpai di persekitaran rumah.

Malah teknik-teknik tersebut kata penulisnya, Noorazimah Taharim, merupakan kaedah yang telah digunakan dengan jayanya di negara Korea Selatan, Jepun dan China selama 50 tahun.

buku sri padi organik 01“Buku panduan ini adalah supaya petani-petani dapat menggunakan ‘resepi’ untuk membuat baja Natural Farming dan pencegah perosak tanaman,? kata Noorazimah yang menulis buku itu bersama Salehuddin Yahya.

“Buku ini dapat dipraktikkkan apabila para petani mahu menggunakan kaedah alternatif yang tidak menggunakan bahan kimia.

“Dengan pengetahuan ini maka pembaca mempunyai pengetahuan untuk membuat produk Natural Farming ini sendiri ataupun dia akan membeli kepada yang menyediakan produk SRI seperti ini,” katanya.

Buku panduan 88 muka surat itu memberikan penjelasan untuk membuat ramuan Sri Organik daripada sumber alam sekitar dan cara-cara membuat dan mengguna pencegah perosak.

Buku ini juga menjelaskan cara-cara membuat campuran baja dan pencegah perosak padi serta penerangan berkenaan penggunaan produk Sri Organik.

Ujarnya buku ini diterbitkan menggunakan Geran Selangorku dengan cetakan sebanyak 5,000 naskah.

Noorazimah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Insentif Pesawah Daerah Kuala Selangor oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga berkesempatan melancarkan buku panduan tersebut.

Ujarnya, buku panduan tersebut boleh didapati daripada pihak Jabatan Pertanian.

Untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh hubungi Salahuddin Yahya (Pak Tam) – 019 3322 947 atau Noorazimah Taharim (Mak Tam) -019 3801 815.

Categories
SELANGOR

Natural Farming Bantu Petani Tambah Pendapatan RM 2,000 Sebulan

mb lancar buku sri 03

TANJONG KARANG 8 MAC : Penggunaan Sistem Natural Farming berjaya mencatatkan purata tambahan pendapatan kira-kira
RM 2,000 sebulan bagi petani sayur dan pesawah di Selangor kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tambahan pendapatan itu daripada pengurangan kos akibat pengurangan penggunaan racun dan baja kimia sekaligus meningkatkan mutu pengeluaran tanaman.

Tambahan pendapatan itu dirasai oleh 38 penanam sayur dan pesawah di dalam Projek Kelompok D’9 Sungai Leman dan Sri D’5 Sg Nipah di Sabak Bernam.

mb lancar buku sri 01Abdul Khalid sehingga 2012, dianggarkan sebanyak RM 337,590.00 pendapatan dapat dijana oleh para peserta program Natural Farming itu melalui penjualan produk seperti Sri Anak, Sri Bunga dan Sri Buah.

“Kalau makan nasi daripada keluaran daerah Tanjong Karang dan Sabak Bernam maka berasnya tidak mengandungi bahan kimia melainkan bahan yang bersifat ‘natural’ sahaja,” kata Abdul Khalid.

Sebelum ini, Selangorkini melaporkan bahawa natural farming adalah antara teknik pertanian yang sedang diperluaskan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan pendapatan petani.

Abdul Khalid berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Pesawah Daerah Kuala Selangor yang diadakan di pekarangan Masjid Blok D Sawah Sempadan di sini.

Di dalam majlis itu, Abdul Khalid turut menyampaikan insentif kepada 43 blok sawah padi di Daerah Kuala Selangor.

Pemberian itu berupa sebuah mesin ‘blower’ dan pam air yang berharga kira-kira RM 3,500 diberikan kepada wakil 43 blok sawah padi yang bertujuan dapat digunakan oleh pesawah mengepam air dan menabur serta meracun.

mb lancar buku sri 02Sebanyak RM 268,000 diperuntukkan untuk pemberian insentif itu yang diharap dapat merangsang pesawah agar lebih gigih dan bersemangat mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan.

“Tahun 2012 juga sebanyak enam Pusat Komuniti Pertanian Lestari ditubuhkan di kawasan Barat Laut Sabak Bernam.

“Kejayaan pertanian mesti dilihat bagaimana mereka meningkatkan teknologi dalam meningkatkan pendapatan mereka,” katanya Abdul Khalid.
Sementara itu, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, teknik Natural Farming dapat mengurangkan kos pertanian sehingga RM1,200 untuk semusim.

“Usaha dibuat dipastikan dengan pengurusan yang sistematik dan pengurusan penanaman padi itu dilaksanakan secara saintifik dan hasilnya pendapatan mereka dapat ditingkatkan,” kata Yaakob.

Dalam majlis itu Abdul Khalid turut melancarkan buku bertajuk ‘Panduan Membuat Dan Mengguna Produk Sri Organik’ yang dihasilkan oleh Salehuddin Yahya dan Noorazimah Taharim.

Turut hadir dalam majlis itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Yasid Bidin dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Zainal Mohd Nor.

Categories
SELANGOR

Pendapatan Pesawah Guna Teknik Padi SRI Meningkat

SUNGAI BESAR,12 NOV : Pesawah padi yang menggunakan kaedah Sistem Intensifikasi Padi (SRI) menyatakan hasil pendapatan mereka semakin meningkat sejak menggunakan kaedah itu.

Kaedah SRI itu merupakan salah satu projek di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) bersama Jabatan Pertanian Negeri Selangor yang mendapat sokongan kuat daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk meningkatkan hasil pendapatan pesawah di negeri ini.

Sistem itu yang diperkenalkan kepada pesawah di sekitar Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar sejak kira-kira tiga tahun lepas semakin mendapat perhatian pesawah kerana sistem itu terbukti mampu membawa pulangan hasil yang lebih baik berbanding cara konvensional ketika ini.

Menurut pesawah, Fadzlin Taslimin, 60, berkata sejak menggunakan kaedah SRI  beberapa musim lepas penamanan pokok padi lebih subur dan tidak perlu menggunakan racun kimia yang  boleh mendatangkan ancaman keselamatan.

Ujarnya, kos yang digunakan kini hanya sekitar RM1600 berbanding lebih RM5,000 sebelum ini.

“Pada musim kali ini saya menjangkakan hanya akan mengeluarkan kos kurang RM1,000,” kata Fadzlin ketika Majlis Pelancaran Benih Padi SRI di Tali Air 14 Simpang Lima di sini.

Mohd Subki, 40, berkata, kesihatan beliau semakin sihat kerana tidak perlu bergelumang mengggunakan pelbagai jenis racun kimia yang boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatannya.

Katanya, hasil padi yang diperolehi beliau kini mampu mendapat mencecah sehingga 10 tan berbanding hanya 5 tan sebelum ini dan menjangkakan akan bertambah baik lagi dalam beberapa musim akan datang.

Sementara itu, menurut Penasihat Padi SRI Selangor, Noorazimah Taharim yang memberi penjelasan berkenaan penggunaan kaedah itu berkata, pesawah boleh menjimatkan penggunaan air di sawah sehingga 50 peratus lantas mengatasi masalah pengairan sawah padi ketika waktu musim kemarau.

Katanya melalui kaedah SRI itu petani boleh menghasilkan baja dan pencegah serangga yang boleh dan mudah diperolehi di persekitaran kawasan sekeliling kampung.

Pesawah boleh menghasilkan baja daripada rebung, siput gondang ,buah nenas, labu kayu, kangkung, bayam, bonggol pisang, pisang, koko, sabut kelapa, putik kelapa, kulit telur dan tulang.

Manakala untuk membuat pencegah serangga perosak, pesawah boleh menggunakan bawang putih, cili, daun Durian Belanda, daun mambu, lengkuas, halia, serai wangi, buah labu kayu dan tembakau.

Ujarnya, kaedah ini juga hanya memerlukan kira-kira 5 kilogram benih untuk sehektar termasuk untuk sulaman yang akan menjimatkan hampir 90 peratus berbanding cara biasa.

“Peningkatan hasil yang boleh dicapai adalah sehingga 11 tan sehektar dan terdapat juga laporan mengatakan hasil boleh dicapai sehingga 15 tan sehektar di Indonesia, India,China dan Afghanistan melalui kaedah SRI yang sudah banyak digunakan oleh negara di dunia,” ujarnya.