Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kekal berprinsip, ahli parlimen bukan barang dagang

SHAH ALAM, 21 JUN: Ahli parlimen perlu kekal berprinsip dan bukan menjadi barang dagang yang boleh dijual beli demi mendapatkan kuasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden KEADILAN berkata Pakatan Harapan (PAKATAN) masih meneruskan usaha mendapatkan sokongan mereka yang lain bagi memenuhi mandat rakyat tanpa mengamalkan pendekatan membeli, mengugut atau menjanjikan jawatan besar.

“Berilah peluang (kepada PAKATAN). Pulihkanlah imej orang-orang politik yang dianggap terlalu nafsu serakah nak kaya, nak jawatan. Jadi barang jual beli, barang dagang.

“Kita tidak mahu ahli parlimen dianggap sebagai barang dagang untuk dijual beli,” katanya ketika siaran langsung tazkirah di Facebook malam ini.

Anwar berkata individu ingin dilantik memegang sesuatu jawatan perlu ada keupayaan dan bersikap amanah seperti digariskan dalam Islam.

Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan prinsip keadilan Islam turut menekankan soal pemberdayaan ekonomi terhadap golongan kurang berkemampuan tanpa mengira latar belakang.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN tekad pulihkan ekonomi jika kembali terajui Putrajaya

SHAH ALAM, 19 JUN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi negara jika Pakatan Harapan kembali menerajui kerajaan Persekutuan.

Mengikut kenyataan Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, mereka mahu menyelamatkan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta memperjuang nasib warga kerja.

“Kerajaan Persekutuan yang baharu mestilah memberi fokus menyeluruh untuk melaksanakan agenda ini,” kata mereka sambil menekankan aspek reformasi dan pembaharuan tatakelola pentadbiran kerajaan.

Kenyataan bersama ahli-ahli parlimen KEADILAN juga menegaskan hasrat untuk menyelesaikan masalah penduduk miskin bandar dan desa serta memperjuangkan nasib peneroka.

Mereka juga mahu memastikan tiada mana-mana golongan yang tertinggal jauh terutama orang Melayu selain turut membela masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak.

KEADILAN juga berazam untuk mengukuhkan Pakatan Harapan dengan menggembleng tenaga semua pihak untuk mengembalikan mandat rakyat dalam masa terdekat.

Kenyataan itu juga menyebut parti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan turut menyatakan pentadbiran baharu mesti bersifat stabil dengan tidak bertukar kepimpinan berkali-kali.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: PAKATAN harus mara kembalikan mandat rakyat

SHAH ALAM, 10 JUN: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) diminta terus mara sebagai satu kumpulan bagi mengembalikan mandat rakyat, kata Presiden KEADILAN.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PAKATAN ketika ini mempunyai 107 Ahli Parlimen dan merasakan semua perlu berganding bahu untuk tujuan itu.

“Kecelaruan, kebobrokan, rasuah perlu dihentikan. Semalam kita capai keputusan bersama Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP, kelompok BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bersama Tun ( Tun Dr Mahathir Mohamad) dan WARISAN (Parti Warisan Sabah) dipimpin Shafei (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal).

“Apa pun strategi kita harus bersama, membangkang harus teguh,” katanya pada siaran langsung di Facebook hari ini.

Semalam, mesyuarat PAKATAN selama kira-kira tiga jam di ibu pejabat KEADILAN memutuskan hala tuju politik mereka akan dimuktamadkan dalam tempoh seminggu ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perbincangan sesama pemimpin PAKATAN tunjuk kemajuan positif

SHAH ALAM, 9 JUN: Pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan mesyuarat hari ini menunjukkan kemajuan positif apabila bakal memuktamadkan hala tuju politik parti dalam tempoh seminggu.

Kenyataan itu memaklumkan mesyuarat PAKATAN bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal menyaksikan perbincangan secara menyeluruh berhubung pendirian setiap parti.

“Proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini,” katanya.

ia adalah kenyataan bersama dibuat Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Dr Mahathir dan Shafie yang dikeluarkan sejurus mesyuart tersebut.

Mesyuarat berlangsung kira-kira tiga jam dipengerusikan Anwar di ibu pejabat KEADILAN.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peguam Negara perlu jelaskan keputusan lepas, bebas Musa Aman – PAKATAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PAKATAN) meminta penjelasan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, pagi tadi.

Majlis terbabit memaklumkan keputusan itu membingungkan dan mengecewakan memandangkan semua pertuduhan terhadap mantan Ketua Menteri Sabah itu membabitkan nilai lebih RM50 juta.

“Satu negara menyaksikan hakim Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan melepas dan membebaskan Musa Aman, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik kesemua 46 pertuduhan terhadap beliau.

“Ini bukan jumlah pertuduhan dan jumlah wang yang kecil. Pejabat Peguam Negara perlu segera memberi penjelasan penuh berkenaan keputusan ini kerana ia bakal mencerminkan wajah sebenar pentadbiran yang ada hari ini,” kata kenyataan itu.

Ia adalah kenyataan bersama Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiusaha Agung Parti Amanah Negara, Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Pagi tadi, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Musa daripada semua tuduhan berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Keputusan itu dibuat selepas pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Hakim juga membatalkan dua permohonan daripada pihak pembelaan iaitu untuk membatalkan tuduhan dan permohonan bagi mencabar keperlembagaan Seksyen 82(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Categories
PENDAPAT RENCANA

Rakyat bangkit 9 Mei, kami tidak mungkin khianat

Hari ini adalah ulang tahun kedua hari yang paling bermakna dalam sejarah demokrasi negara. Pada 9 Mei 2018, kita saksikan perjalanan hampir 15 juta rakyat Malaysia dari setiap pelusuk negeri hingga ke seberang lautan, tanpa mengira kekangan hari bekerja telah menzahirkan suara mereka dalam undi untuk bangkit mempertahankan maruah negara. Mandat dari rakyat akhirnya telah diberi kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara.

Dua tahun lepas, dunia menyaksikan sejarah terpahat di mana Malaysia telah membentuk sebuah kerajaan baharu yang menjunjung undang-undang, nilai moral dan tanggungjawab. Usaha keras mengejar demokrasi yang telah lama menjadi korban kerajaan terdahulu mula digerakkan. Dewan Rakyat mula diberi nafas baru. Reformasi institusi dan pentadbiran awam telah menjadi nadi utama negara. Agenda rakyat akhirnya jelas kelihatan. Anak muda mula menjadi tunjang. Negeri-negeri mula diberi perhatian saksama merentas fahaman politik. Pokoknya, semua ini menjadi keutamaan bagi kerajaan Pakatan Harapan.

9 Mei 2018 bukanlah satu peristiwa untuk memperingati penyatuan Mahathir atau Anwar. Ia adalah peristiwa yang jelas mengangkat nasib dan masa hadapan rakyat serta melawan ketidakadilan dalam negara. Suara dan harapan rakyat tidak boleh ditutup dengan cerita-cerita dongeng yang dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional yang dahulu.

Apabila Pakatan Harapan memerintah, kami pastikan demokrasi itu subur. Jika rakyat bersuara, wakil rakyat harus sahut dan tiada seorang pun dihalang bersuara dengan alasan ‘tindakan undang-undang’. Kebebasan bersuara: itu antara hadiah paling besar buat negara 2 tahun yang lalu. Rakyat sedar, bahawa tanggungjawab mentadbir negara ini adalah tanggungjawab bersama dan Ahli Parlimen hanyalah sekadar wadah yang membawa suara rakyat.

Begitulah kuasa rakyat. Kami taat dan hormat.

Walau bagaimanapun, rakyat kini tahu bahawa sebilangan usaha reformasi institusi, undang-undang dan ekonomi ini terbantut akibat usaha pihak tertentu yang mempunyai matlamat mereka tersendiri. Akhirnya, mandat rakyat telah dikhianati dan Kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan pada Februari lalu tatkala wabak COVID-19 mula melanda negara. Kerajaan hari ini sanggup berbuat apa sahaja untuk mengumpul kuasa. Jawatan besar mula diagih, kuasa dan pangkat terus ditagih.

Memahami situasi ini, kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat. Ia tidak diperolehi secara sah menurut kertas undi di dalam pilihanraya. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satupun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat.

Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini.

Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara.

Dua tahun lepas, rakyat dari berbagai agama dan bangsa telah membantu usaha kami dengan memberi derma dan sumbangan, suara dan cadangan, harapan dan semangat hanya demi melihat perubahan yang lebih baik buat negara tercinta.

Dua tahun lepas, kami tidak berputus asa membawa suara rakyat. Hari ini juga sama. Kami telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi rakyat. Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi. Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat Rakyat ke pihak yang sepatutnya.

Jangan sesekali kita lupakan tarikh keramat 9 Mei 2018. Tarikh jatuhnya institusi kleptokrat. Tarikh kemenangan rakyat. Tarikh lahirnya Malaysia Baharu.

*Kenyataan bersama oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN, Dr Mahathir terus desak sidang penuh Dewan Rakyat

SHAH ALAM, 4 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) bersama sekutunya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) mendesak kerajaan untuk mengadakan sidang penuh Parlimen atau sekurang-kurangnya dua minggu.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata gesaan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang memberi kelonggaran dalam  banyak sektor ekonomi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) tertentu.

“Memandangkan Parlimen memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei dan membenarkan banyak aktiviti secara bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang diumumkan.

“Persidangan lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu yang lebih mendalam serta membolehkan ahli-ahli jemaah menteri melaksana agenda legislatif kementerian masing-masing,” katanya.

“Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksana sidang Parlimen penuh dengan menambah jumlah hari persidangan ke sekurang-kurangnya dua minggu.”

Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Bersatu tidak lagi bersama PAKATAN susulan krisis politik pada Februari lalu yang menyaksikan sebahagian besar ahli-ahli parlimen parti menyertai kerajaan Perikatan Nasional.

Beberapa hari lalu, PAKATAN mendesak sidang Dewan Rakyat diadakan sekurang-kurangnya dua minggu.

Bagaimanapun semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan  sidang itu wajar dikekalkan sehari.

Katanya, ia mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai ketika ini dalam usaha mengawal risiko jangkitan Covid-19.

Categories
AGENDA

MB azam majukan agenda rakyat, balas mandat pengundi

SHAH ALAM, 1 MAC: Pakatan Harapan Selangor berazam membalas kepercayaan rakyat yang memberi mandat dalam pilihan raya umum lalu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari

Justeru, Dato’ Menteri Besar yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor mengajak semua pihak bersatu membantunya melaksanakan agenda bermanfaat kepada rakyat.

“Semua pihak kena bergerak ke hadapan dan melupakan apa yang telah berlaku kerana masih banyak perkara perlu dilakukan demi rakyat.

“Musibah ini ada baiknya kerana ia mengingatkan diri untuk muhasabah diri, jadi saya minta cukuplah salahkan serta cakap orang itu dan orang ini dengan macam-macam tuduhan,” katanya selepas Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini malam ini.

Amirudin dipercayai merujuk situasi Pakatan Harapan yang hilang kuasa pada peringkat persekutuan berikutan pergolakan politik.

Terdahulu, lebih 500 hadir dalam majlis bermula Solat Maghrib yang turut dihadiri isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad.

Beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) turut hadir termasuk ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, ADN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman, ADN Sementa Dr Daroyah Alwi dan ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

ADN Kajang Hee Loy Sian dan ADN Bukit Lanjan Elizabeth Wong turut hadir jamuan selepas majlis berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pakatan Harapan teguh di Selangor

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor kekal sebagai negeri Pakatan Harapan (Pakatan) seperti yang diumumkan sebelum ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu diputuskan selepas berbincang dengan Pengerusi Amanah Negeri, Ir Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

“Kita akan ambil tindakan susulan kerana ia melibatkan banyak perkara tetapi ia bukanlah perlu tergesa-gesa, ia berdasarkan prinsip,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pesta Buku Selangor 2020 di sini hari ini.

Mengenai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Kerajaan Negeri, Amirudin berkata perkara juga akan dibincang kemudian.

“Saya juga sudah sampaikan kepada Datuk Rashid Asari selaku pengerusi Bersatu negeri tempoh hari.

“Selepas ini kita akan melihat semula (kedudukan). Agak mustahil Kerajaan Pusat parti lain dan Kerajaan Negeri ada gabungan lain, ia boleh tetapi akan menjadi janggal,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukan Rashid selaku EXCO, Amirudin berkata beliau sedia berbincang dan calon sesuai dikemuka apabila tiba masanya.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Terap integriti dan telus laksana projek rakyat

GOMBAK, 21 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) menerapkan konsep ketelusan dan integriti sebelum sesuatu projek dilaksanakan demi kepentingan rakyat, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ia bagi membolehkan rancangan pembangunan pada negeri dan negara menjadi lebih seimbang serta tidak mendatangkan kerosakan.

“Untuk itu barisan kepimpinan di peringkat Persekutuan terpaksa mengambil tempoh sekurang-kurangnya dua tahun supaya pendekatan ini menjadi dasar negara.

“Inilah cara kita melaksanakan program untuk rakyat, kena ada peraturan dan prosedur,” katanya ketika berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Selayang Baru di sini malam ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad (kiri) menyampaikan sumbangan ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Sungai Tua di Kampung Selayang Baru, Batu Caves pada 21 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN

Hadir sama Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dato’ Abd Hamid Hussain dan Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang Amir Fazlee Khalid.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut mengajak kaum Cina bersama memakmurkan Selangor seiring dengan tahun tikus bagi kalendar masyarakat berkenaan.

“Zodiak tikus adalah lambang haiwan yang rajin, oleh itu mari kita sama-sama bekerja supaya tahun ini kita ada ‘ong’,” katanya.

Pada majlis berkenaan, YDP Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad turut menyerahkan sumbangan kepada warga emas.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PAKATAN lebih terbuka, responsif suara anak muda

SHAH ALAM, 5 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan membuktikan mereka bersikap lebih terbuka dan responsif terhadap suara anak muda berbanding pentadbiran Barisan Nasional.

Naib Ketua AMK Pusat, Jestin Raj Savarimuthu berkata, sikap positif itu dapat dilihat dalam beberapa tindakan pantas kerajaan ketika berdepan isu membabitkan golongan muda.

“Misalnya isu penghantar makanan Foodpanda mogok yang cepat mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Akhirnya syarikat ini bersetuju mempertimbangkan semula sistem skim bayaran lama kerana skim pembayaran baharu menjejaskan pendapatan penghantar makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Wacana Malaysia Baru: Adakah Kerajaan Pakatan Harapan Peduli Belia?’ di Rumah Pemuda di sini, malam tadi.

Jestin berkata, selain mogok penghantar makanan Foodpanda, beberapa isu lain turut diselesaikan dengan cepat, antaranya membabitkan bayaran elaun kepada pelajar latihan industri pengajian tinggi.

Katanya, isu yang sebelum ini tidak mendapat perhatian pentadbiran kerajaan lama akhirnya selesai apabila kerajaan menetapkan bayaran elaun RM900 sebulan kepada golongan terbabit.

Jestin berkata, kerajaan turut menarik balik senarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Wacana itu turut membariskan dua panelis lain iaitu Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Shakir Ameer dan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan Mahasiswa Semenanjung Kebangsaan, Tassim Zainal serta dikendalikan moderator, Tashrieq Haikal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakatan Harapan tidak seperti BN – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hanya mereka yang “buta, pekak dan bodoh” sahaja yang akan mengatakan tiada perbezaan antara pentadbirannya dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau berkata sesetengah pihak hanya melihat perkara buruk walaupun terdapat banyak perubahan dan pembaharuan yang telah diperkenalkan dalam menjadikan pentadbiran lebih cekap, berkesan dan telus.

“Adakah kami meminjam RM42 bilion? Adakah kami mempunyai 1MDB sendiri? Ada saya mencuri duit? Ada saya memberi rasuah? Buktikan jika saya memberi rasuah dan boleh bawa saya ke mahkamah dan dakwa saya.

“Kami akan mengehadkan tempoh memegang jawatan PM (perdana menteri) kepada dua penggal. Ada Najib buat demikian? Kami membahaskan mengenai 1MDB, tapi adakah Najib membenarkan perkara mengenai 1MDB dan yang lainnya dibahaskan? Tidak ada…Untuk berkata tiada perbezaan, hanya yang buta, pekak dan bodoh sahaja akan mengatakannya.”

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberi selepas merasmikan Kongres Perangkaan Dunia Ke-62 anjuran International Statistical Institute di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini .

Perdana Menteri diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bahawa terdapat usaha pihak tertentu untuk menjejaskan PH.

Beliau berkata mereka ini tidak menghargai perkara yang baik yang diterima daripada kepimpinan PH.

“Mereka mengatakan tidak ada perbezaan (antara PH dan BN)…mereka hanya melihat perkara buruk kerana mahu menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Mahathir menggesa generasi muda di negara ini agar memahami kepentingan perangkaan dalam menyampaikan pengetahuan.

Beliau berkata perkataan perangkaan mungkin tidak relevan kepada sesetengah orang tetapi kebenarannya ialah pengangkaan memainkan peranan penting dalam kehidupan harian rakyat.

“Perangkaan menghubungkan kita dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita dan membantu kita membuat keputusan yang baik dan membawa kehidupan yang lebih baik.

“Untuk menjayakan Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi digital, negara memerlukan minda golongan muda untuk berhubung dengan orang ramai, perniagaan, peranti, data dan proses,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata perangkaan mengenai penduduk dan demografi, pendidikan, kesihatan, keselamatan awam, komunikasi dan rekreasi digunakan untuk memantau kualiti hidup dan kesejahteraan negara.

“Perangkaan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), kadar inflasi, kemiskinan, ketidaksamaan pendapatan dan pendapatan kasar negara perkapita digunakan untuk mengukur prestasi ekonomi dan kekayaan negara.

“Perangkaan ini penting untuk melaksanakan pendekatan kemakmuran bersama bagi memastikan jurang pendapatan dan kekayaan rakyat dipantau, mewujudkan ekonomi yang lebih berstruktur, progresif, berasaskan pengetahuan dan nilai tinggi serta memastikan Malaysia menjadi paksi ekonomi di Asia,” katanya.

-BERNAMA