Categories
AGENDA NASIONAL

Formula PAKATAN tadbir Selangor tak mampu ditandingi parti lawan

PETALING JAYA, 27 MAC: Asas kukuh pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) sejak menerajui Selangor mulai 2008 tidak mampu ditandingi parti lawan kerana ia sudah diterima rakyat.

Pengerusinya, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PAKATAN berjaya meletakkan Selangor sebagai negeri paling maju, moden dan membangun selama tiga penggal memegang tampuk kepimpinan negeri.

“Asas formula itu adalah pentadbiran yang adil, telus, bertanggungjawab, peduli dan prihatin kepada masyarakat. Selangor yang dipegang PAKATAN juga berjaya membuang mitos dicipta pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dahulu bahawa kononnya kita tak boleh tadbir negara.

“Tetapi hakikatnya, PAKATAN berjaya memegang dua negeri paling kaya dan membangun iaitu Selangor dan Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung di Sunway Hotel Spa malam tadi.

Majlis anjuran Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar itu turut dihadiri Ketua Cabang KEADILAN Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Rodziah Ismail.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata namun ia bukan perkara mudah buat PAKATAN apabila mengambil alih tampuk kepimpinan negeri pada 2008.

“Kita terpaksa melakukan pelbagai perubahan serta reformasi. Sudah pasti ada yang tak selesa dengan perubahan, namun akhirnya Selangor menjadi contoh,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN rayu Agong titahkan sidang Parlimen, bahas isu ekonomi

SHAH ALAM, 4 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan segera bagi membahaskan beberapa perkara penting berkaitan hak rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu yang perlu dibawa seperti langkah membendung penularan Covid-19, Belanjawan 2021 dan pemulihan ekonomi.

Menurutnya, ia selaras titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.

“Selaras kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, kami dengan rendah diri dan seikhlasnya merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong sekiranya diperkenankan untuk menitah sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua pembangkang turut menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah bahawa dewan rakyat boleh bersidang bagi menegakkan amalan demokrasi berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan.

“Maka berikutan titah Seri Paduka Baginda, nasihat Perdana Menteri kepada Duli Tuanku bagi membendung gejala wabak Covid-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlu sentiasa peka ke atas prinsip tersebut bagi memastikan hak rakyat dapat disuarakan di Parlimen,” katanya.

Ahli parlimen Port Dickson juga kecewa terhadap kenyataan menteri di jabatan perdana menteri (parlimen dan undang-undang) bahawa tiada keperluan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh darurat.

Katanya, tindakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertentangan dengan pandangan dan titah Yang di-Pertuan Agong.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN pertikai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat belum diaktif

SHAH ALAM, 5 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) mempertikaikan tindakan kerajaan yang gagal memberi maklum balas berhubung pengaktifan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang diumum pada 12 Januari lalu.

Majlis Setiausaha berkata senarai nama dari pihak pembangkang untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan sudahpun dikemukakan kepada kerajaan pada 21 Januari lalu.

“Namun sehingga hari ini kami belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.

“Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat,” katanya menerusi kenyataan bersama hari ini.

PAKATAN juga berpendirian segala kuasa yang diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi sudah terkandung dalam undang-undang sedia ada.

Kenyataan bersama itu dibuat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Dr Hatta Ramli (AMANAH) dan Loke Siew Fook (DAP).

Pada 12 Januari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan bagi menjamin pelaksanaan darurat adalah adil dan telus.

Jelasnya, jawatankuasa itu juga berperanan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia akan dianggotai oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan yang berkait.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN gesa tolak Belanjawan 2021, tidak penuhi kehendak rakyat

SHAH ALAM, 14 DIS: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa semua ahli parlimen pembangkang dan Kerajaan supaya menolak Belanjawan 2021 dalam pengundian kali ketiga di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan media bersama, PAKATAN berkata Belanjawan 2021 tidak menepati objektif dan matlamat bagi memerangi Covid-19, membantu rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.

“Rakyat sedia maklum bahawa apa diumum menteri kewangan sama ada sewaktu pengumuman atau penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan media tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan ramai ahli-ahli Parlimen malah juga rakyat.

“Ini termasuklah isu KWSP, isu moratorium pinjaman bank, isu bantuan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, isu pendidikan anak-anak kita, pendapatan yang berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup yang makin meningkat dan banyak lagi,” kata kenyataan itu.

PAKATAN berkata sebelum ini mereka membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa, dan akhirnya membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga esok.

Kenyataan media bersama itu diwakili pimpinan Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution, Parti Amanah Negara Datuk Dr Hatta Ramli dan Parti Tindakan Demokratik Anthony Loke.

 

Categories
AGAMA NASIONAL

PAKATAN ingatkan PM titah Agong runding Belanjawan

SHAH ALAM, 29 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengingatkan perdana menteri agar mengadakan rundingan segera dengan pembangkang berhubung isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

Menerusi kenyataan bersama, Majlis Presiden PAKATAN berkata perbincangan perlu diadakan selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah seterusnya mencapai objektif diingini baginda.

“Majlis Presiden amat bersetuju dengan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.

“Majlis Presiden yakin semua ahli parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat serta menepati aspirasi seperti dititah Tuanku,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Presiden Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Lim Guan Eng.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menasihati ahli parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden berkata Belanjawan 2021 perlu memberi fokus terhadap keperluan petugas barisan hadapan selain menetapkan hala tuju yang mampu memastikan negara terus maju sewaktu dan selepas pandemik.

Katanya, tumpuan termasuk mengenal pasti strategi pembangunan baharu untuk ekonomi dan membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan sepanjang tahun ini.

“Berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM belum buka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus

MELAKA, 2 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini belum membuka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus yang diluluskan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata pihak SPRM masih membuat analisis terhadap kesemua projek berkenaan sama ada ia mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya.

“Di bawah amalan Perbendaharaan, ada tiga kaedah untuk mengeluarkan tender bagi sesuatu projek dan salah satunya adalah secara rundingan terus.

“Kita sekarang sedang melihat dan mengkaji senarai syarikat yang menerima projek-projek berkenaan dan menilai sama ada terdapat unsur rasuah ataupun tidak dalam rundingan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bersempena Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Selatan, hari ini.

Pada 24 Ogos lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat mendedahkan pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan, meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata sejak 2015 hingga Ogos 2020, sebanyak 1,196 maklumat diterima oleh SPRM Melaka berhubung rasuah dan salah guna kuasa yang dilaporkan oleh orang awam.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 427 fail dibuka dan 119 penjawat awam ditangkap dan didakwa di mahkamah atas kesalahan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tumpu kemajuan Selangor, ADN Sabak kekal sokong PAKATAN

SHAH ALAM, 29 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Ahmad Mustain Othman kekal menyokong Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Pengerusi PAKATAN Selangor.

“Ya beliau (Ahmad Mustain) masih menyokong kerajaan PAKATAN setakat ini, (iaitu) hasil perbincangan saya dan perbualan telefon pegawai saya dengannya sebelum ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media di Bilik Gerakan Negeri hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut sudah dibincangkan sejak dua minggu lalu selain berkomunikasi dengan pihak sewajarnya dan keutamaan kini adalah memastikan kestabilan serta kemakmuran Selangor terus terjamin.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli semalam memaklumkan pemecatan keahlian Ahmad Mustain selepas didapati melanggar disiplin ditetapkan Fasal 21.12 pelembagaan parti.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Conteng mural: Dakwa pemimpin PAKATAN terlibat hanya tanggapan

SHAH ALAM, 21 JULAI: Dakwaan segelintir pihak bahawa kegiatan laku musnah terhadap mural memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin negara mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) hanya tanggapan untuk menyalahkan pihak lain.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau turut bersama pemimpin negara mengecam perbuatan tidak mencerminkan adab dan tatasusila masyarakat selain menggesa tindakan tegas diambil kepada pelaku berkenaan.

“Saya faham ada kamera litar tertutup (CCTV) malah kita benarkan polis buat siasatan dan kenal pasti pelaku. Semua pemimpin dalam PAKATAN dan negara dari parti lain menunjukkan komitmen sama mengecam tindakan itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Mural gergasi dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di sini memaparkan potret Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pemimpin tertinggi negara termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah semalam.

Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan berdasarkan rakaman CCTV di lokasi kejadian.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Parlimen wajib bebas dari kawalan eksekutif

SHAH ALAM, 14 JULAI: Parlimen wajib bebas dari sebarang unsur kawalan eksekutif supaya boleh berperanan sebagai badan perundangan dan demokrasi negara secara berkesan juga adil.

Majlis setiausaha Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata pihaknya kesal terhadap proses pengguguran Tan Sri Ariff Yusof sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat semalam yang menjadikan Malaysia sebagai negara pertama bertindak demikian dalam sejarah negara-negara Komanwel.

“PAKATAN amat kesal dengan sikap kerajaan hari ini yang kelihatan mahu meletakkan parlimen di bawah telunjuk eksekutif.

“Kami juga kecewa dengan perbahasan usul tersebut, di mana hanya empat pembahas dibenarkan dengan masa cuma 10 minit seorang,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Dr Hatta Ramli dan Loke Siew Fook dalam kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka, seharusnya lebih banyak masa diperuntukkan bagi mendengar hujah kedua-dua belah pihak tambahan selepas usul mengosongkan jawatan dan menamakan yang di-pertua baharu juga menampakkan sikap kerajaan yang sewajarnya lebih demokratik.

Mereka menyifatkan kejadian itu sebagai titik hitam buat demokrasi di Malaysia selain mengukuhkan iltizam PAKATAN untuk mengembalikan mandat rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN bantah usaha tukar yang dipertua, timbalan Dewan Rakyat

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pakatan Harapan (PAKATAN) membantah sebarang usaha untuk menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Yusof dan Timbalannya Nga Kor Ming.

Kenyataan bersama tiga parti, KEADILAN, AMANAH dan DAP memaklumkan tidak wujud sebarang keperluan bagi perubahan dua jawatan tersebut lebih-lebih lagi mereka diyakini akan terus berkhidmat dengan adil serta saksama.

“Majlis Setiausaha PAKATAN menyokong penuh ahli parlimen dalam gabungan ini kepada YB Tan Sri yang dipertua dan YB timbalan yang dipertua,” kata kenyataan dikeluarkan Datuk Seri Saifuddin Nasution (KEADILAN), Datuk Dr Hatta Ramli (AMANAH) dan Loke Siew Fook (DAP).

Kenyataan sama menyebut Mohamad Ariff yang bersara dari politik kepartian sejurus memegang jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) memainkan peranan mustahak dalam merakyatkan parlimen di samping memulihkan kepercayaan umum terhadap institusi terpenting demokrasi di Malaysia.

Katanya, Mohamad Ariff berjaya membentuk Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen baharu selain mewujudkan Kumpulan Rentas Parti yang merapatkan hubungan antara ahli-ahli parlimen dan masyarakat sivil.

“…serta pelbagai penambahbaikan perjalanan sidang parlimen yang lain, Tan Sri yang dipertua membuktikan bahawa usaha reformasi institusi bermula pasca PRU-14 kini membuahkan hasil dan wajib diteruskan,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul melucutkan jawatan yang dipertua dan timbalannya pada sidang parlimen 13 Julai ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN kukuh di Ampang, pemimpin masyarakat laksana amanah

SHAH ALAM, 25 JUN: Dato’ Seri Amirudin Shari yakin KEADILAN kekal kukuh di Ampang dan kawasan sekitarnya meskipun sebahagian pemimpin meninggalkan parti itu.

Beliau berkata, majoriti anggota parti di negeri itu diyakini terus setia dengan prinsip perjuangan parti dan kekal memperjuang agenda reformasi sebagai matlamat asas.

“Saya yakin pemimpin masyarakat di sini (Ampang) akan terus memainkan peranan penting melaksanakan amanah dan mandat diberikan rakyat,” kata Pengerusi KEADILAN Selangor.

Amirudin berkata demikian menerusi video di Facebook berkaitan Jelajah Silaturahim Parlimen Ampang ke lokasi Dewan Komuniti MPAJ Kampung Ampang Indah, Dewan Komuniti MPAJ Tasik Tambahan dan Dewan Orang Ramai Sri Ampang pada 21 Jun lalu.

Katanya, selaku parti berbilang kaum, KEADILAN menolak sekeras-kerasnya idea perkauman dan polisi dijayakan sejak 10 tahun lalu akan diteruskan selagi Pakatan Harapan (PAKATAN) menjadi pentadbir utama di Selangor.

“Alhamdulillah kejayaan kita selama tiga penggal lepas bukan kejayaan dan kekuatan mana-mana individu sebaliknya saya percaya ini adalah prinsip ditanam KEADILAN dan PAKATAN yang membawa kemajuan juga kemakmuran,” kata Dato’ Menteri Besar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakatan kecam tindakan cuba takutkan pemimpin pembangkang

SHAH ALAM, 22 JUN: Pakatan Harapan (Pakatan) mengecam tindakan pihak berkuasa yang cuba menakut-nakutkan pemimpin pembangkang dengan menjalankan siasatan terhadap individu yang mengkritik dasar kerajaan.

Majlis Setiausaha Pakatan berkata kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya lebih matang dan terbuka menangani pendirian politik yang berbeza daripada seteru politik mereka.

“Tindakan ini hanya akan mewujudkan persepsi negatif terhadap politik dan demokrasi Malaysia di mata dunia, justeru Majlis Setiausaha menggesa ia dihentikan serta-merta.

“Demokrasi di Malaysia harus dipertahan dan diselamatkan dari pihak yang ingin merosakkan keadaan demi kepentingan peribadi dan kelompok politik mereka,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Majlis Setiausaha Pakatan dianggotai Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Parti Keadilan Rakyat-KEADILAN), Khalid Abdul Samad (Amanah) dan Anthony Loke (DAP).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh disoal siasat kerana mempersoalkan status pelan strategi kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur.

Turut disoal siasat Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar berhubung klip video pendek mempersoalkan persidangan Dewan Rakyat yang dijalankan sehari pada 18 Mac lalu.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga dipanggil memberi keterangan berhubung temu bual bersama agensi berita antarabangsa yang didakwa berbaur hasutan.