Categories
AGENDA NASIONAL

Pembangkang Selangor diberi dana RM50,000 untuk bantu rakyat

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerajaan persekutuan digesa mencontohi langkah Kerajaan Selangor menyediakan dana kepada wakil rakyat pembangkang bagi menjayakan program rakyat.

Peruntukan tambahan RM50,000 diberi kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) dan ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Dr Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming
“Saya harap kerajaan persekutuan boleh mengikut sikap Kerajaan Selangor di mana pihak pembangkang diberikan peruntukan yang sama dengan ADN kerajaan. Kita perlu menghadapi cabaran pandemik ini bersama tak kira parti politik.”

Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani
“Satu inisiatif yang sangat dialu-alukan selepas peruntukan kita selaku ahli parlimen pembangkang ditarik balik. Keprihatinan Kerajaan Negeri sangat kita hargai dengan tambahan peruntukan RM30,000 yang diberikan untuk terus membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.”

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad
“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor atas bantuan tersebut. Sebagai ahli parlimen pembangkang kami tidak lagi mendapat peruntukan seperti dahulu. Namun, kami berusaha untuk memberi khidmat kepada rakyat di kawasan kami. Setiap bantuan amat dialu-alukan.”

Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah
“Ia membantu ahli parlimen men-yalurkan bantuan kepada penduduk memerlukan terutama mereka yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah. Lagipun sehingga kini dana amat terhad memandangkan tiada peruntukan yang disalurkan dari pusat bagi tujuan berkenaan.”

Mohamad Sabu

Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu
“Amat baik terutama dalam suasana rakyat amat memerlukan. Terutama bantuan makanan bagi membela golongan berpendapatan rendah yang terjejas.”

ADN Jeram Mohd Shaid Rosli
“Inisiatif yang bagus tetapi diharap tambahan RM50,000 peruntukan baharu bukan menggunakan peruntukan sedia ada seperti sebelum ini. Jika sedia ada, kami pembangkang memang sudah tiada peruntukan. Terima kasih Kerajaan Selangor kerana cakna dengan kami walaupun berbeza fahaman politik.”

Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian peruntukan tambahan berjumlah RM50,000 program bakul makanan kepada semua ADN Selangor termasuk pembangkang. Saya menyambut baik inisiatif dalam usaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di setiap kawasan yang sangat terkesan dengan masalah Covid-19 tanpa mengira latar belakang parti.”

Categories
ADN SELANGOR

Selangor selangkah ke hadapan dalam bantu rakyat

SABAK BERNAM, 11 JUN: Pakej Kita Selangor 2.0 membuktikan Kerajaan Selangor sentiasa selangkah ke hadapan dalam membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 sejak setahun yang lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata peruntukan lebih RM500 juta yang diumum Dato’ Menteri Besar, Dato’Seri Amirudin Shari diberikan secara menyeluruh tanpa mengira sentimen politik termasuk di kawasan pembangkang.

“Semangat kita Selangor kita rai bersama, bantu sedaya upaya dalam meringankan beban rakyat antaranya bantuan bakul makanan yang diperuntuk di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk parlimen.

“Saya hargai dan terima kasih kepada Dato’Menteri Besar kerana memastikan semua kawasan dapat manfaat, nasib rakyat terbela dan hak mereka kita pertahankan,” kata Ng Suee Lim ketika ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Seri Sekinchan di sini semalam.

Suee Lim berkata peruntukan besar juga dikeluarkan Kerajaan Negeri menerusi Saringan Komuniti atas rasa tanggungjawab dalam memastikan warga Selangor mengetahui status kesihatan masing-masing.

“Bayangkan yang hadir di setiap lokasi dengan kos RM70 setiap seorang… kalau satu kawasan 1,000 orang hadir sudah pastu berjuta ringgit dibelanjakan demi rakyat. Tiada satu negeri mampu melakukan inisiatif saringan secara besar-besaran seperti Selangor,” katanya.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengusaha tadika lega dapat moratorium, bantuan tunai

SHAH ALAM, 11 JUN: Seorang pengusaha tadika di Jalan Kebun, Klang menghargai bantuan bernilai RM3,750 yang dinikmatinya melalui inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0.

Rahmah Safari menerima moratorium bayaran pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) untuk tempoh sebulan setengah berjumlah RM3,300 dan bantuan sekali bayar sebanyak RM450.

Menurut wanita berusia 47 tahun itu, pendapatan pusat pendidikan awal miliknya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bilangan kanak-kanak terpaksa dihadkan.

Rahmah Safari

Dia yang memiliki 150 murid kini hanya dibenarkan menjaga 50 kanak-kanak yang ibu bapanya bekerja dalam sektor perkhidmatan perlu dan petugas hadapan.

“Pada masa sama, saya perlu membayar gaji seramai 33 tenaga kerja dan sewa premis, jadi bantuan Kerajaan Selangor ini sudah tentu dapat meringankan beban.

“Malah, guru-guru kami juga mendapat bantuan RM150 yang boleh digunakan menampung sebahagian perbelanjaan dalam berdepan PKP,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada 10,197 guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusahanya dengan peruntukan RM1.99 juta.

Bantuan sebahagian inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 turut memanfaatkan 40,000 usahawan Hijrah yang menikmati moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan.

Pelan bernilai RM551.56 juta membantu 1.6 juta penduduk yang terkesan dengan PKP termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Manfaat moratorium Hijrah untuk masa depan

SHAH ALAM, 10 JUN: Usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang menikmati moratorium pembayaran pinjaman selama satu setengah bulan harus memanfaatkannya dengan melakukan persediaan berdepan situasi masa depan.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 itu akan memberi kelegaan kepada usahawan yang peniagaannya berdepan keadaan tidak menentu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Moratorium itu bermula 1 Julai dan tiada kutipan untuk tempoh enam minggu memandangkan pembayaran dibuat secara mingguan. Diharapkan mereka rancang sebaiknya sumber sedia ada kerana kita tidak tahu sampai bila situasi ini,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pakej bernilai RM551.56 juta itu bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

NGO hargai inisiatif Selangor bantu OKU terkesan PKP

SHAH ALAM, 10 JUN: Malaysia Independent Living Association For Disabled (Milad) menyambut baik pemberian insentif sekali bayar berjumlah RM500 kepada orang kelainan upaya (OKU) di Selangor yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengasas badan bukan kerajaan (NGO) berkait OKU itu berkata keadaan tidak menentu sepanjang penularan Covid-19 memberi kesan kepada golongan terbabit yang berdikari mencari pendapatan sendiri untuk menyara kehidupan.

“Masalah dihadapi golongan OKU berdikari dalam masyarakat adalah jauh lebih mencabar berbanding yang tinggal dalam institusi disebabkan wabak Covid-19 yang mengancam ekonomi negara,” kata Sia Siew Chin ketika dihubungi semalam.

Beliau menjelaskan OKU institusi merujuk kepada kumpulan yang tinggal rumah kebajikan dan rumah orang tua malah mereka lebih mudah mendapat bantuan pihak luar termasuk kerajaan berbanding tinggal sendiri.

Siew Chin yang juga ahli Majlis Tindakan OKU Selangor berkata beliau sendiri menghadapi kesukaran sepanjang pandemik tambahan dua anaknya masih bersekolah.

“Saya menghidap penyakit Mascular Dystrophy yang menjejaskan fungsi tangan dan kaki hanya boleh bergerak dengan kerusi roda bermotor, saya dapat rasa bagaimana tekanan dihadapi golongan OKU,” katanya menambah terdapat 290 ahli Milad di Selangor.

Dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam, sejumlah RM600,000 diperuntuk Kerajaan Negeri bagi manfaat golongan OKU di Selangor.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor pelancongan terus dibantu, peruntuk lebih RM2.5 juta

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Selangor meneruskan bantuan kepada sektor pelancongan negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana terbabit sebagai usaha membantu kelangsungan industri berkenaan yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri bersetuju memberi geran bantuan aktiviti pelancongan, baucar Pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran digital serta bantuan kewangan sekali bayar (one-off) kepada persatuan pelancongan negeri.

“Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.55 juta,” katanya ketika membentangkan pakej bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

November tahun lalu, seramai 553 penggiat sektor pelancongan di Selangor terdiri pemandu pelancong berlesen, pengusaha inap desa dan Hos Komuniti Selangor menerima bantuan khas sekali bayar sebanyak RM1,000.

Kerajaan Negeri turut melancarkan 10,000 baucar subsidi pelancongan bernilai RM200 setiap satu pada penghujung tahun lalu.

Diikuti awal Februari tahun ini, Amirudin mengumumkan penguatkuasaan pengecualian duti hiburan bermula 18 Mac ini hingga 31 Disember melibatkan kesan kewangan berjumlah RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan.

Beliau turut memaklumkan cukai itu dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan impak RM21.04 juta setahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi kad SIM data internet selama 12 bulan

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 70,000 golongan sasar akan menikmati kemudahan data internet tanpa had dengan kadar bulanan RM15 selama 12 bulan.

Dato’ Menteri Besar berkata program Data Internet Selangor menyasar penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

“Program dengan peruntukan RM17.5 juta menawarkan produk kad sim data internet tanpa had dengan kadar istimewa RM35 sebulan yang akan diberi subsidi RM20 sebulan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk tempoh 12 bulan.

“Penerima hanya membayar RM15 dan selebihnya RM20 akan dibayar oleh MBI,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

Beliau turut mengumumkan Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia (TM) yang boleh didaftar mulai 1 Julai.

Jelasnya, setiap isi rumah berpeluang menikmati subsidi antara RM10 hingga RM30 sebulan bagi tempoh setahun dengan melanggan satu daripada lapan pakej diperkenalkan.

“Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan semua 56 pejabat Dewan Undangan Negeri dalam usaha memastikan seramai mungkin mereka yang layak untuk mendapat manfaat SISM40,” kata Amirudin.

Terdahulu, beliau membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 10,000 guru tadika terima bantuan khas RM150

SHAH ALAM, 9 JUN: Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada 10,197 guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusahanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan dengan peruntukan RM1.99 juta bagi meringankan beban golongan itu yang mengalami kesukaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada hampir 1,018 pengusaha tadika dan 10,197 guru-guru tadika di seluruh negeri dengan peruntukan RM500,000,” katanya.

Terdahulu, beliau membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri bersetuju memberi penangguhan pembayaran sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Skim Smart Sewa untuk bulan Julai.

“Seramai 2,632 individu yang menyewa di rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa akan menerima manfaat penangguhan bayaran sewa Julai dengan impak kewangan berjumlah RM900,000,” jelasnya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tuisyen percuma manfaatkan 70,000 pelajar SPM

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 70,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menerima manfaat melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata modul pembelajaran bercetak akan diedarkan kepada 50,000 pelajar yang menghadapi kekangan pembelajaran secara maya dengan perbelanjaan RM2.1 juta.

“Portal ePTRS.my pula digunakan sebagai sebagai medium pembelajaran Tuisyen Rakyat versi digital. Modul pembelajaran bercetak boleh diakses secara dalam talian di portal ini.

“Seramai 20,000 pelajar yang akan menduduki SPM bakal menerima manfaat dari inisiatif ini dengan peruntukan RM500,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bantuan itu sebahagian inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 286 pelajar tajaan Yayasan Selangor yang menamatkan pengajian tahun ini diberi penangguhan bayaran kepada Januari 2022 dengan kesan kewangan RM1 juta.

“Yayasan Selangor juga akan membantu merancang semula pembayaran balik pinjaman pendidikan kepada seramai 2,088 bekas pelajar tajaannya, mereka digalakkan menghubungi Yayasan Selangor,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi membantu menyediakan makanan dan barangan keperluan asas kepada 7,500 pelajar di institut pengajian tinggi awam dan milik Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih RM13 juta laksana program bantu petani, penternak

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM13 juta terhadap sektor pertanian bagi membantu golongan petani dan penternak yang terkesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah itu merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).

“Program jaminan bekalan makanan menawarkan modal pusingan kepada petani dan ia dikendalikan menerusi usahasama dengan Agro Bank.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menyasarkan kelahiran 1,000 petani dalam tempoh lima tahun selain mewujudkan beberapa cawangan pemasaran kekal dan bergerak (mobile) bagi melengkapkan kitaran rantaian makanan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berhubung Program Agro Prihatin, beliau menjelaskan PKPS akan membeli hasil usaha kira-kira 200 petani bagi mengelakkan masalah lambakan hasil yang kemudian dijual dengan tawaran harga 50 peratus.

“Program peningkatan hasil menjadi pelengkap usaha sebelum ini. Kerajaan Negeri akan memberi bantuan bahan kawalan perosak, benih padi sah MR219, bantuan mengeluarkan produk baharu dan melabuhkan tukun tiruan.

“Ini membolehkan petani dan penternak meningkatkan hasil masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Amirudin membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pakej Kita Selangor 2.0: 14 inisiatif jaga kebajikan, kelangsungan hidup

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Negeri melaksanakan 14 inisiatif di bawah strategi pertama Pakej Kita Selangor 2.0 bagi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat.

Inisiatif di bawah strategi itu diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari adalah seperti berikut:

1. Program bakul makanan
– Penerima manfaat terdiri golongan B40, pemandu bas dan van sekolah, pemandu teksi dan bas persiaran, ibu tunggal, individu kehilangan pekerjaan, kekurangan pendapatan, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit Covid-19
– Had perbelanjaan Program Mesra Rakyat setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) ditingkatkan kepada RM100,000
– Ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) menerima peruntukan RM30,000 bagi menjalankan program sama

2. Bantuan kewangan kepada keluarga pesakit Covid-19 yang meninggal dunia
– Bantuan khairat kematian RM1,000 untuk pesakit wabak meninggal dunia di Selangor
– Peruntukan RM1.5 juta

3. Bantuan Khas RM500 Orang Kurang Upaya (OKU)
– Bantuan sekali beri membabitkan peruntukan RM600,000

4. Moratorium Usahawan Hijrah Selangor
– Seramai 40,000 usahawan Hijrah Selangor menikmati moratorium pembayaran pinjaman selama satu setengah bulan yang membabitkan impak kewangan RM11.35 juta

5. Hotline khusus aduan keganasan rumah tangga
– Kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 bagi mewujudkan platform aduan kecemasan yang dilaksanakan dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor serta agensi dan badan bukan kerajaan

6. Penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran bagi graduan 2021
– Seramai 1,300 pelajar menerima manfaat ini yang membabitkan impak kewangan RM1.3 juta
– Tempoh mula bayaran ansuran pinjaman dilanjutkan daripada enam bulan kepada 12 bulan selepas pelajar menamatkan pengajian pada tahun ini

7. Program Tuisyen Rakyat Selangor
– Modul pembelajaran secara bercetak akan diedarkan kepada 50,000 pelajar menduduki peperiksaan tahun ini

8. Portal ePTRS.my
– Kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan medium pembelajaran Tuisyen Rakyat versi digital yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia

9. Penangguhan Bayaran Sewa PPR dan Smart Sewa
– Seramai 2,632 individu menyewa di rumah projek perumahan rakyat (PPR) dan 477 peserta Skim Smart Sewa menerima manfaat penangguhan bayaran sewa bulan Julai

10. Bantuan Khas buat Pengusaha dan Guru Pendidikan Awal (Tadika)
– Seramai 1,018 pengusaha tadika menerima bantuan sekali bayar RM450 manakala 10,197 guru menikmati bayaran RM150

11. Penangguhan Bayaran Pinjaman Pelajaran Biasiswa Yayasan Selangor
– Yayasan Selangor memberi penangguhan pembayaran balik kepada 286 pelajar tajaannya yang menamatkan pelajaran pada tahun ini kepada bulan Januari 2022
– Bekas pelajar tajaan Yayasan Selangor digalakkan menghubungi agensi itu untuk merancang semula pembayaran balik

12.Bantuan Mahasiswa Selangor
– Kerajaan Negeri memperuntukan RM1.5 juta untuk menyediakan barangan makanan dan keperluan asas kepada 7,500 mahasiswa

13. Data Internet Selangor
– Menawarkan kad sim kepada 70,000 golongan sasar yang akan menikmati data internet tanpa had dengan kadar RM35 sebulan, pengguna hanya perlu membayar RM15 sebulan dalam tempoh 12 bulan kerana RM20 disubsidi kerajaan

14. Skim Internet Selangor Kategori M40
– Setiap isi rumah di Selangor berpeluang menikmati subsidi di antara RM10 hingga RM30 sebulan bagi tempoh setahun bagi langganan lapan pakej disediakan

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakej bantuan rakyat disiar di SelangorTV petang ini

SHAH ALAM, 9 JUN: Pembentangan Pakej Kita Selangor 2.0 akan disiar secara langsung melalui saluran selangortv.my dan Youtube carian SelangorTV jam 2 petang ini.

Dato’ Menteri Besar dijadual membuat pengumuman yang bakal menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu segenap golongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakej bertemakan ‘Bersama Menuju Kejayaan’ itu juga boleh disaksikan secara langsung melalui Facebook dan Twitter Dato’ Seri Amirudin Shari serta Facebook Media Selangor.

Pengumuman sedemikian bukan kali pertama sebaliknya beberapa pakej bantuan untuk rakyat telah pun diperkenal sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu.

Pada Mac tahun lepas, ketika PKP 1.0 dikuat kuasa, Kerajaan Selangor mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin bernilai RM127.78 juta.

Kerajaan Negeri sekali lagi mengumumkan pakej fasa kedua pada 1 April tahun sama bernilai RM272 juta untuk menangani dampak wabak.

Pelan pemulihan ekonomi negeri sebanyak RM55.8 bilion nilai ekonomi dibentang pada 13 Julai diikuti Pakej Kita Selangor berjumlah 73.8 juta pada 20 Januari pada tahun ini.

Poster dari Facebook Amirudin Shari