Categories
GLOBAL

Dua penduduk Palestin maut ditembak Rejim Zionis

GAZA 11 OGOS: Dua rakyat Palestin termasuk seorang petugas perubatan maut ditembak tentera Israel di sempadan Gaza, semalam walaupun gencatan senjata berjaya dimeterai antara Hamas dan Israel.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 131 penduduk Palestin ditembak rejim Zionis itu dalam tunjuk perasaan, menyebabkan seorang petugas perubatan, Abdullah al-Qatati terbunuh apabila terkena tembakan di bahagian dada, di Rafah, selatan Gaza.

Kematian beliau diratapi seluruh saudara mara dan keluarga petugas berusia 21 tahun itu yang berkumpul di luar rumah mayat hospital di Khan Yunis.

Turut maut ialah seorang lagi penduduk Palestin, Ali al-Alul, 55 yang juga ditembak rejim Zionis di lokasi sama.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di beberapa lokasi di sepanjang sempadan dengan membakar tayar dan membaling batu tetapi jumlah itu semakin berkurangan.

Pada tunjuk perasaan semalam, sejumlah 307 penduduk tercedera, sebilangannya kerana gas pemedih mata termasuk dua wartawan dan lima petugas perubatan.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

ABIM kecam Israel lulus undang-undang, buruk keadaan di Palestin

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JUL: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam tindakan Israel meluluskan Rang Undang-Undang Tanah Israel (Jewish Nations State Bills) yang disifatkan akan memburukkan pergolakan di Palestin.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, ABIM melihat rang undang-undang diluluskan menerusi badan perundangan negara itu, Knesset, pada minggu lalu, akan digunakan untuk menjustifikasikan segala tindakan rejim haram berkenaan.

“Ini memandangkan ia antara lain mengistiyharkan Baitul Muqaddis sebagai ibu negara baharu Israel di sebalik pelbagai bantahan daripada masyarakat antarabangsa.

“ABIM juga menilai rang undang-undang itu mengatakan Israel secara eksklusif adalah sebuah negara Yahudi, jelas sekali bertentangan dengan norma kemanusiaan sejagat yang meraikan kepelbagaian secara harmoni,” katanya dalam kenyataan.

Atas dasar itu, beliau berkata, ABIM menilai dasar terbaharu bakal diamalkan Israel adalah sebagai jenayah untuk kemanusiaan.

“Maka ABIM menggesa rakyat Malaysia berbilang bangsa untuk menyuarakan bantahan bersama masyarakat antarabangsa,” katanya.

Categories
GLOBAL

Gaza diserang besar-besaran rejim Zionis

GAZA 15 JUL: Rejim Zionis melancarkan serangan udara terbesar di Semenanjung Gaza sejak perang 2014, semalam sehingga mengorbankan dua penduduk Palestin, sementara Hamas melancarkan puluhan roket ke arah Israel.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan lonjakan keganasan itu berlaku susulan ketegangan selama berbulan-bulan yang meningkatkan risiko perang keempat di wilayah terkepung Gaza sejak 2008.

Pihak berkuasa berkata, tiga warga Israel cedera apabila satu roket terkena sebuah rumah di bandar Sderot berhampiran semenanjung Gaza.

Dua remaja Palestin berusia 15 dan 16 tahun terbunuh akibat serangan udara Israel terhadap sebuah bangunan di barat Bandaraya Gaza, kata Kementerian Kesihatan wilayah dikuasai Hamas itu. Selain itu, 25 mangsa lain turut cedera di seluruh Gaza, katanya.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum lewat semalam berkata, pergerakan Islam yang mentadbir semenanjung Gaza bersetuju dengan satu gencatan ditawarkan Mesir untuk menghentikan lonjakan keganasan.

Seorang jurucakap tentera Israel enggan mengulas, namun berkata, tindakannya bergantung kepada situasi di lapangan.

Banyak asap tebal kelihatan di beberapa bahagian di semenanjung Gaza, ketika rejim Zionis menyerang sasaran kononnya milik militan termasuk sebuah bangunan yang didakwa digunakan Hamas sebagai kemudahan latihan dengan satu terowong di bawahnya.

Di Israel, siren serangan udara menyebabkan ramai penduduknya melarikan diri ke tempat perlindungan di beberapa kawasan mengelilingi semenanjung Gaza, ketika roket dan mortar dilancarkan dari kawasan Palestin ke komuniti berhampiran.

Israel berkata, kira-kira 100 roket dan mortar dilancarkan dan Hamas berkata, ia terpaksa menyerang sebagai tindak balas terhadap serangan udara Israel.

Categories
NASIONAL

Rakyat Malaysia perlu bangkit demi bantu Palestin- Duta Misi Gaza

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUN: Duta Misi Malaysia Ke Gaza, Dr Ahmad Sani Araby menggesa supaya rakyat Malaysia terus bangkit membantu penduduk Palestin yang kini sedang ‘tenat’ memerlukan bantuan.

Katanya, misi yang dijalankan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kali ini begitu penting buat penduduk Gaza yang sedang terkepung.

“MAPIM telah mengamanahkan saya sebagai duta dan menjadi wakil Malaysia tunggal bersama 18 lagi delegasi dari Eropah dan Timur Tengah.

“Setakat ini, kebenaran telah diterima dari kerajaan Mesir. Delegasi akan memasuki sempadan Rafah pada 6 Jun ini dan dijangka keluar pada 15 Jun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga Naib Presiden MAPIM memberitahu, MAPIM telahpun melancarkan Tabung Kilat Bantuan Kemanusiaan Gaza dan mensasarkan kutipan sebanyak RM1.5 juta sepanjang misi dijalankan.

“Sumbangan ini bagi memberi keperluan terdesak seperti ubatan, makanan, pendidikan, pengupayaan sektor sara diri kepada rakyat Gaza disamping bantuan kecemasan lain.

“Kini 80 peratus rakyat Gaza yang merangkumi 2 juta orang terpaksa bergantung kepada bantuan antarabangsa dan 65 peratus rakyatnya hidup dibawah kadar kemiskinan akibat perang,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah berbuat demikian melalui akaun Maybank (562834636620), Tabung Kilat Bantuan Kemanusiaan Gaza, sebarang pertanyaan orang ramai bolehlah menghubungi whatapps 0174744030.

Categories
NASIONAL

Isu Palestin: Adakan sidang khas desak PBB bangkit isu kekejaman zionis

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disaran untuk campur tangan dengan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan persidangan khas membangkitkan isu kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abd Hamid yang juga jurucakap gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia berkata, pendirian Perdana Menteri berhubung isu Palestin sebelum ini diiktiraf dunia, justeru beliau yakin pengaruh serta suara Dr Mahathir di peringkat antarabangsa masih kuat.

“PBB dilihat lemah dan penuh beralasan sedangkan Israel telah melakukan jenayah selama 70 tahun.

Razan Ashraf Najjar @razan.asnajar رزان النجار yang berumur 21 tahun terbunuh akibat ditembak di dada oleh sniper rejim Zionis Israel ketika memberikan bantuan perubatan di perkampungan Khuza’a.

“Jadi kita bercadang untuk mengatur pertemuan dengan Dr Mahathir untuk beliau turut campur tangan dengan mendesak PBB serta meminta Kerajaan Malaysia segera melakukan sesuatu bagi menghentikan kekejaman rejim zionis yang membunuh rakyat Palestin,” katanya pada sidang media di pejabat MAPIM di Carlton Holiday Hotel, Shah Alam, semalam.

Katanya, ketika ini sebanyak 128 negara membantah tindakan Israel memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis dari Tel Aviv dan hanya beberapa negara sahaja yang menyokong tindakan Israel ini.

Pada masa sama, Mohd Azmi turut menyeru agar semua parti politik bersama menentang kezaliman ini tanpa memikirkan perbezaan pendapat dalam politik.

“Pemimpin Islam perlu mengetepikan perbezaan fahaman politik dan bersatu bagi menunjukkan kepada dunia luar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang kuat serta bersatu padu.

“Kita menjangkakan hampir 2,000 pendukung keamanan menyertai perhimpunan bantahan ini dari pelbagai latar belakang,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Bantah kezaliman zionis di kedutaan AS 8 Jun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 JUN: NGO Islam Malaysia akan mengadakan Perhimpunan Selamatkan Al-Quds bagi mengutuk pencerobohan rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin dan bumi Al Quds.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abd Hamid berkata, perhimpunan dijadualkan pada 8 Jun ini selepas solat Jumaat bermula di hadapan Masjid Tabung Haji menghala ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, hari Al Quds adalah untuk mengingatkan seluruh dunia pencerobohan Zionis Israel mesti ditentang sehingga bumi Palestin dibebaskan.

“Demonstrasi diadakan serentak di kota-kota besar dunia sebagai tanda kesatuan kemanusiaan dalam rangka menegaskan pembebasan bumi Baitul Maqdis, Masjid Al Aqsa dan bumi Palestin dari cengkaman zionis Israel.

Razan Ashraf Najjar @razan.asnajar رزان النجار yang berumur 21 tahun terbunuh akibat ditembak di dada oleh sniper rejim Zionis Israel ketika memberikan bantuan perubatan di perkampungan Khuza’a.

Lebih 100 rakyat palestin dibunuh, manakala hampir 10,000 orang lagi cedera dalam pertempuran yang meletus sejak Mac lalu,” katanya pada sidang media di pejabat MAPIM di Carlton Holiday Hotel, semalam.

Hadir sama Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Abdul Ghani Shamsudin.

Dalam pada itu Mohd Azmi menyeru seluruh rakyat Malaysia hadir menunjukkan ketegasan menentang kezaliman itu.

“Selama 70 tahun rakyat Palestin menanggung pertumpahan darah, perampasan dan penafian hak mereka.

“Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengistiharkan Al Quds ibu kota Israel serta memindahkan keduataan AS ke kota suci tersebut juga telah membangkitkan kecaman keras seluruh dunia,” katanya.

Sehubungan itu, Memorandum khas kepada Presiden AS juga akan diserahkan di kedutaan Amerika dalam perhimpuan itu.

Pada masa sama, Azmi berkata, pihaknya menyokog Universiti Al Azhar untuk mengadakan persidangan antarabangsa khas mengenai Al Quds di Cairo.

=EZY=

Categories
GLOBAL

KEADILAN kecam kezaliman zionis terhadap Palestin

NASIONAL 15 MEI: KEADILAN membantah keras keputusan Amerika Syarikat (AS) yang membuka kedutaan negara itu secara rasmi di Baitulmaqdis semalam.

Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan seumpama itu hanya akan memberi kesan buruk bukan sahaja terhadap kestabilan rantau, malah terhadap keselamatan bagi mencari penyelesaian yang menyeluruh terhadap konflik Palestin-Israel.

“KEADILAN berharap Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dapat bekerjasama rapat dengan semua rakan dalam usaha mencari penyelesaian yang adil lagi berkekalan terhadap konflik yang berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dilaporkan 55 rakyat Palestin menjadi korban terbaru tertera Israel di sempadan Gaza semalam dalam pertempuran yang meletus susulan perpindahan kedutaan Amerika ke Baitulmaqdis.

“Serangan demi serangan tidak berperikemanusiaan ini telah memperlihatkan sekali lagi kepada masyarakat antarabangsa kekejaman tentera rejim yang tidak menghormati kesucian nyawa manusia dan membelakangkan undang-undang antarabangsa.

“Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa, agar konflik kemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin ini dapat dihentikan segera,” katanya.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Malaysia bantah pembukaan rasmi kedutaan AS di Baitulmuqaddis

KUALA LUMPUR 15 MEI: Malaysia membantah keras keputusan Amerika Syarikat membuka kedutaan negara itu secara rasmi di Baitulmuqaddis pada Isnin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, Malaysia dengan teguhnya percaya bahawa langkah ini akan menjejaskan dan membahayakan lagi usaha ke arah mencari penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

“Ia akan membawa kesan buruk bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan rantau itu tetapi akan meniupkan sentimen dan menghalang rundingan damai pada masa depan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar menarik perhatian bahawa pembukaan kedutaan-kedutaan lain akan memburukkan lagi keadaan.

“Malaysia ingin mengulangi pendirian tegasnya bahawa penyelesaian dua negara, yang menyaksikan rakyat Palestin dan Israel hidup bersama secara aman, berdasarkan sempadan sebelum perang 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin, adalah satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju terhadap konflik Palestin-Israel,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan semua rakan dalam usaha mencari penyelesaian yang adil lagi berkekalan terhadap konflik berkenaan.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Israel bunuh 37 rakyat Palestin, 500 penunjuk perasaan cedera

SEMPADAN GAZA 15 MEI: Askar Israel membunuh sekurang-kurangnya 37 rakyat Palestin di sepanjang sempadan Gaza semalam, kata pegawai-pegawai perubatan selepas penunjuk perasaan membanjiri perbatasan pada hari Amerika Syarikat (AS) membuka kedutaannya di Baitulmuqaddis.

Tunjuk perasaan meningkat semalam pada ulang tahun ke-70 penubuhan Israel. Pembesar suara di masjid-masjid menggesa warga Palestin supaya menyertai protes besar-besaran itu yang dikenali sebagai ‘Perarakan Kepulangan Besar-Besaran’.

“Hari ini (semalam) ialah hari besar tersebut. Kami akan menyeberangi pagar sempadan dan memberitahu Israel serta dunia bahawa kami tidak akan menerima untuk dijajah selama-lamanya

“Ramai akan mati syahid hari ini, sungguh ramai tetapi dunia akan mendengar mesej kami. Penjajahan Israel perlu berakhir,” kata seorang guru sains di Gaza yang hanya dikenali sebagai Ali.

Pegawai-pegawai kesihatan berkata, tentera Israel membunuh 37 warga Palestin semalam termasuk seorang kanak-kanak berumur 14 tahun dan seorang lelaki berkerusi roda, manakala kira-kira 500 penunjuk perasaan cedera termasuk sekurang-kurangnya 200 orang yang terkena peluru hidup.

Kematian terbaharu itu menjadikan angka korban warga Pa­lestin meningkat kepada kira-kira 82 orang sejak protes besar-besaran di sempadan Gaza-Israel itu bermula pada 30 Mac lalu. Tiada kematian dilaporkan di pihak Rejim Zionis.

Angka kematian itu mengundang kritikan antarabangsa tetapi AS yang mencetuskan kemarahan dunia Arab kerana tindakan memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis, turut menye­belahi Rejim Zionis dengan me­nuduh pergerakan Hamas yang mentadbir Gaza menghasut ke­ganasan tersebut.

Berpuluh-puluh ribu penduduk Palestin berkumpul di lima buah lokasi sepanjang sempadan Gaza-Israel, manakala sekurang-kurangnya 500 orang termasuk dua wartawan tempatan cedera terkena tembakan tentera Zionis, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Tunjuk perasaan dijangka meningkat hari ini, hari rakyat Palestin meratapi ‘Nakba’ atau Bencana Besar apabila lebih 700,000 daripada mereka diusir keluar dari kediaman masing-masing.

Sementara itu, lewat hari yang sama, barisan pemimpin Israel dan satu delegasi AS termasuk Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin bersama Ivanka Trump yang merupakan anak perempuan Presiden Donald Trump dan menantunya, Jared Kushner menghadiri majlis pembukaan Kedutaan Israel di Baitulmuqaddis.

REUTERS

Categories
KENYATAAN MEDIA

Episod baru menjelang 70 tahun NAKBA

OLEH: Mohamad Raimi Ab Rahim

Pengisytiharan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan pemindahan kedutaan Amerika Syarikat daripada Tel Aviv ke Jurusalem semalam adalah merupakan manifestasi pengulangan kepada episod baru “malapetaka” atau “Nakba” yang diratapi oleh jutaan rakyat Palestin dan seluruh komuniti dunia sejak 70 tahun yang lalu.

ABIM melihat tindakan ini adalah terjemahan kepada “Kesepakatan Abad Ini” yang dipromosikan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang secara tidak langsung telah menghancurkan kesepakatan perdamaian yang diputuskan sebelum ini.

Ternyata Israel dan Amerika berlagak angkuh dan sombong kerana tidak menghormati permintaan masyarakat dunia agar konflik ini harus ditentukan menerusi penyelesaian damai dan mengikuti konsensus antarabangsa.

Lebih memburukkan keadaan, pembantaian dan pembunuhan rakyat Palestin dalam Perarakan Pulang Besar-besaran (Great Return March-GRM) di Semenanjung Gaza yang berlaku secara terang-terangan ketika umat Islam sedang dalam persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan.

5. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, seramai 58 rakyat Palestin diberitakan syahid di Semenanjung Gaza dan pastinya angka ini akan bertambah menjelang kemuncak 70 tahun perjuangan mereka membebaskan diri dari rejim Zionis Israel sehingga Ramadhan ini.

ABIM mendesak agar komuniti dunia terus memberi tekanan diplomatik kepada Israel dan Amerika Syarikat. PBB wajar untuk menggantung keanggotaan Israel dan Amerika Syarikat dalam PBB selain melaksanakan sekatan ketenteraan dan ekonomi ke atas kedua-dua buah negara ini.

ABIM menyokong inisiatif Great Return March (GRM) yang telah bermula pada 30 Mac lalu kerana ianya bertetapan dengan Resolusi 194 (III) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diterima pakai sejak Disember 1948 yang mengiktiraf hak pelarian Palestin untuk kembali ke kediaman mereka.

ABIM menyeru kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir agar dapat menyuarakan pendirian Malaysa berhubung perkara ini. Ketegasan Perdana Menteri sebelum ini dalam memperjuangkan isu Palestin pastinya akan didengari dan didokong oleh masyarakat antarabangsa.

Justeru, ABIM bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia turut melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin khususnya melibatkan bantuan perubatan yang amat diperlukan kini bagi membolehkan rakyat Palestin yang tercedera dan mendapat rawatan sewajarnya akibat kekejaman rejim Zionis Israel. Bantuan awal sebanyak RM20,000.00 (Dua Puluh Ribu Ringgit) akan diserahkan kepada rakan kerjasama GPM bagi tujuan ini.

1ABIM menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000.00 (Lima Ratus Ribu Ringgit) bagi tujuan bantuan kesihatan dan perubatan ini agar dapat diserahkan menjelang Ramadhan ini.

Orang ramai yang ingin turut membantu boleh memasukkan dana bantuan ke dalam akaun Global Peace Mission di nombor akaun: 14-023-01-002922-4 (Bank Islam Malaysia Berhad) 1051-9000-2871(Affin Islamic Bank Berhad) atau nombor akaun: 5642-2161-1602 (Maybank Islamic Berhad). Transaksi online pula boleh dibuat pada pautan ini https://www.billplz.com/palestin

* Mohamad Raimi Ab Rahim adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

 

Categories
NASIONAL

Isu Palestin: PAKATAN optimis capai penyelesaian

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 APR: Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) optimis gabungan itu mampu menyelesaikan permasalahan serantau dan global membabitkan kemelut persengketaan warga Rohignya dan kebajikan rakyat Palestin.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kredibiliti pimpinan utama gabungan itu berpengalaman luas menyelesaikan konflik serantau sebelum ini.

Antaranya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pakatan Harapan menjelaskan di dalam manifestonya melalui Janji 59 bahawa usaha menyelesaikan konflik Palestin dan Rohingya.

“Kami akan membawa suara Palestin dengan lebih aktif ke peringkat OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk mencapai penyelesaian muktamad.

“Malah pemimpin kedua-dua pimpinan utama Pakatan Harapan, Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim juga masih disegani sebagai pemimpin Islam di persada dunia dan telah lama memperjuangkan hak Palestin di peringkat tertinggi,” katanya.

Di peringkat pentadbiran Putrajaya, Malaysia dilihat gagal membawa permasalahan global itu walaupun pernah mempengerusikan OIC sebelum ini.

Malah, ketika menjadi tuan rumah persidangan itu, tekanan membabitkan krisis berkenaan masih berlarutan tanpa penyelesaian terbaik kedua-dua pihak.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Polis nafi laporan tular tangkapan suspek kes pembunuhan Dr Fadi

KUALA LUMPUR 22 APR: Polis menafikan dakwaan yang tular di aplikasi Whatsapp kononnya suspek pembunuhan Dr Fadi Albatsh telah diberkas.

Astro Awani melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kenyataan berkenaan seorang suspek yang tular itu tiada kaitan dengan kes pembunuhan ini.

“Lelaki yang dikatakan suspek pembunuhan itu tiada kaitan dengan kes ini.

“Kami tidak boleh membuat konklusi sebegini. Kami siasat dari semua sudut,” kata beliau, ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beliau berkata pihak polis masih menjalankan siasatan dan memohon kerjasama daripada orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu ini.

Dr Fadi, seorang imam dari Palestin dan pensyarah universiti swasta ditembak mati di Gombak ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh pada pagi Sabtu.

SUMBER: ASTRO AWANI