Categories
NASIONAL

MAPIM kutuk pembunuhan Dr Fadi Albatsh

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 APR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengutuk dan mengecam assasinasi ke atas seorang imam warga Palestin, Dr Fadi Albatsh di Kuala Lumpur, semalam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, insiden terhadap pensyarah universiti swasta ketika berjalan menuju ke surau di kawasan kediaman untuk solat subuh dengan 10 das tembakan adalah kejadian terancang dengan rapi.

“Berita mengejutkan ini sangat menyedihkan kerana Malaysia sepatutnya menjadi tempat selamat untuk warga Palestin atau kepada mana-mana pelarian akibat konflik di negara asal.

“Insiden membunuh secara terbuka di kawasan awam oleh pembunuh upahan kini nampaknya menjadi gejala tidak asing di Malaysia.

“Kejadian pembunuhan sebegini menandakan jenayah bersindiket untuk mensasar seseorang mangsa semakin bertapak di negara ini, yang selama ini dianggap negara aman dan boleh menjadi tempat perlindungan untuk warga Palestin dan warga lain,” katanya.

Beliau berkata, asasinasi warga Korea yang lalu juga menunjukkan adanya percubaan menjadikan Malaysia tempat melancarkan operasi jenayah bersindiket.

Katanya, pembunuh upahan beroperasi di Malaysia bukan suatu yang asing lagi dan MAPIM mengesa polis menjalankan siasatancterperinci untuk mengesan penjenayah dan pihak yang mendalanginya.

“Assasinasi warga Palestin kini berlaku di beberapa negara membabitkan operasi Mossad Israel dan siasatan segera diperlukan untuk membongkar motif assasinasi ini.

“Malaysia tidak boleh dibiar menjadi tapak sindiket pembunuhan secara upahan,” katanya sambil merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.

Categories
NASIONAL

Pemuda Harapan: Najib, henti sandiwara konflik Palestin untuk raih undi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 APR: Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak ditegaskan untuk henti bersandiwara kononnya menjadi pejuang Palestin dan umat Islam pada masa yang sama menuduh Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak menghiraukan konflik Tebing Barat itu.

Ketua Pemuda HARAPAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dakwaan Najib langsung tidak menggambarkan seorang pejuang Palestin yang ikhlas, malah dilihat mempergunakan isu tersebut di laman media sosialnya untuk meraih undi.

“Akhbar the Times of Israel sendiri telah melaporkan bahawa walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan mengaku memihak kepada Palestin, tetapi hubungan perdangan di antara dua negara ini terus meningkat saban tahun.

“Di dalam artikel Malaysia favors Palestinians but buys from Israel, ia menyatakan bahawa mengikut Biro Perangkaan Israel, pada tahun 2013, nilai perdagangan di antara dua negara tersebut mencecah USD 1.529 bilion, peningkatan dua kali ganda daripada tahun 2012, manakala ia meningkat lagi 27 peratus pada awal 2014.

“Hubungan ini tidak dinyatakan jelas dalam laporan perdangan luar negara kita kerana Israel dikategorikan di dalam “lain-lain”, tetapi hubungan ini bukanlah satu rahsia,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN berkata, Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama sejak lebih 50 tahun membenarkan satu delegasi Israel yang diketuai bekas Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet, memasuki Malaysia pada awal tahun ini.

Selain itu, Najib juga gagal menyatakan pendirian ketika bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini walaupun bermegah dapat pertemuan empat mata dengan presiden paling pro-Zionis dalam sejarah Amerika itu.

Pada masa sama Nik Nazmi turut menegaskan, konflik Palestin dan Rohingya merupakan isu antarabangsa yang menjadi fokus HARAPAN dan telah pun dimasukkan dalam Buku HARAPAN melalui Janji 59.

“Kami akan memimpin usaha menyelesaikan konflik Palestin dan Rohingya dengan membawa suara Palestin dengan lebih aktif ke peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencapai penyelesaian muktamad.

“Malah pemimpin utama Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim juga masih disegani sebagai pemimpin Islam di persada dunia dan telah lama memperjuangkan hak Palestin di peringkat tertinggi,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Perhimpunan aman tuntut hak rakyat Palestin kembali ke tanah air

OLEH HAZIQ ISMAIL

AMPANG, 14 APR: Masyarakat awam bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman selepas solat Jumaat di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini, semalam.

Perhimpunan Great Return March (GRM) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ini bertujuan menyerahkan memorandum menuntut hak rakyat Palestin untuk pulang ke tempat asal tanpa dicederakan oleh tentera Israel.

Setiausaha MAPIM, Zulhanis Zainol berkata, kempen seperti ini telah berlaku di Gaza setiap hari Jumaat selama tiga minggu dan seramai 33 rakyat Palestin telah terkorban kerana dizalimi tentera Israel.

“Dan kali ini kita menyahut seruan yang sama untuk berhimpun solidariti dalam himpunan GRM ini bagi menyatakan bahawa rakyat Malaysia prihatin tentang apa yang berlaku.”

“Terdapat 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia dan 6 dari Palestin turut hadir bagi memberi sokongan terhadap kempen ini,” katanya di Perhimpunan GRM, di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.

Zulhanis berkata, antara NGO yang terlibat ialah MyCare, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan NGO dari Palestin antaranya Institute of Excellence for Islamic Jerusalem Studies (Ieijs) dan The Union of NGOs of the Islamic World (UNIW).

Jelasnya, memorandum itu terkandung tentang pengembalian tanah yang dirampas oleh tentera Zionis serta menamatkan penindasan terhadap rakyat Palestin yang tinggal di Israel.

Katanya, akan ada kempen iaitu Memperingati Nakbah Palestin yang ke 70 tahun pada 11 Mei ini bertempat di sini dan ia adalah kempen susulan selepas perhimpunan ini.

Gerakan ini sebagai tanda solidariti untuk rakyat Palestin dan pembebasan negara itu daripada cengkaman Israel.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Hantar pulang pelarian Palestin ke tanah air mereka

SHAH ALAM, 1 APR: Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menggesa penyokong dan sahabat rakyat Palestin, di Malaysia serta seluruh dunia memainkan peranan intrinsik mencari jalan supaya pelarian Palestin dapat dihantar pulang ke tanah air mereka.

PCOM dalam kenyataan turut menggesa lebih banyak usaha dijalankan untuk mengakhiri tragedi, di Semenanjung Gaza, termasuk menyokong Perarakan Pulang Besar-besaran yang masih berjalan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya jenayah dilakukan Israel terhadap warga Palestin. PCOM bimbang dengan keselamatan warga Palestin yang disasarkan secara intensif oleh tentera Israel semalam, terutama di Gaza yang mengalami sekatan selama 11 tahun,” katanya.

Kelmarin, puluhan ribu warga Palestin menyertai Perarakan Pulang Besar-besaran yang berlangsung, di Semenanjung Gaza dan tempat lain, di Palestin bagi menunjukkan keazaman dan hak mereka kembali ke kampung halaman selepas dihalau keluar tentera Israel, pada 1948.

Bantahan secara aman oleh rakyat Palestin yang tidak bersenjata itu mendapat tentangan ganas pasukan keselamatan Israel yang menggunakan peluru hidup, gas pemedih mata, peluru bersalut getah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 warga Palestin dan 1,400 cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Menurut kenyataan itu, penganjur Perarakan Pulang Besar-besaran mahu membawa ratusan ribu pelarian Palestin dari khemah pelarian mereka, di seluruh rantau itu menyertai satu tunjuk perasaan besar-besaran di sempadan Israel, dengan rancangan seterusnya berarak ke kampung halaman mereka.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Penduduk Gaza teruskan bantahan

GAZA 31 MAC: Warga Palestin melakukan persiapan untuk tunjuk perasaan baharu berhampiran sempadan wilayah Gaza hari ini, sehari selepas bantahan besar-besaran menjadi pertempuran yang mengakibatkan 16 orang dibunuh tentera Israel.

Ia adalah jumlah korban tertinggi sejak perang 2014.

Penunjuk perasaan mula kembali ke bandar khemah berhampiran sempadan Israel untuk meneruskan bantahan yang dirancang selama enam minggu di wilayah terkepung itu.

Ribuan menghadiri pengebumian mangsa terbunuh dengan ramai memegang bendera Palestin dan ada juga melaungkan hasrat ‘membalas dendam’.

Tunjuk perasaan turut diadakan di Semenanjung Gaza dan wilayah Tebing Barat yang dijajah Israel.

Israel mempertahankan tindakan tenteranya semalam, selepas tentera Zionis melepaskan tembakan ke arah warga Palestin yang keluar jauh daripada perhimpunan tunjuk perasaan di bandar khemah.

Tunjuk perasaan itu disertai puluhan ribu orang dan menghampiri pagar dikawal rapi yang memisahkan Semenanjung Gaza dan Israel.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

16 rakyat Palestin terkorban, ribuan cedera

GAZA 31 MAC: Sekurang-kurangnya 16 penduduk Palestin maut, manakala ratusan lain cedera dalam pertempuran yang meletus selepas ribuan penduduk berarak berhampiran sempadan Israel sebagai tanda protes, semalam.

Lewat semalam, pasukan tentera Israel yang menjadikan tiga kubu Hamas di Semenanjung Gaza sebagai sasaran serangan udara dan bedilan kereta perisai selepas mendakwa berdepan cubaan serangan di sepanjang sempadan.

Semua peserta tunjuk perasaan berkenaan, termasuk wanita dan kanak-kanak, sebelum itu berhimpun di tiga kawasan di seluruh negara dengan dipantau tentera Israel di sepanjang sempadan timur serta utara.

Beberapa kumpulan kecil cuba mara ke bahagian pagar yang dikawal ketat, namun dihalang oleh tentera Zionis menggunakan gas pemedih mata dan tembakan.

Pasukan keselamatan Israel turut menggunakan dron untuk menembak gas pemedih mata ke arah peserta.

Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, 16 rakyat Palestin terbunuh selepas bertempur dengan tentera Zionis dan lebih daripada 1,400 lagi cedera termasuk 758 yang terkena tembakan, manakala bakinya cedera akibat tembakan peluru getah dan terhidu gas pemedih mata.

Seorang diplomat berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat tertutup berkenaan situasi di Gaza, susulan permintaan dari Kuwait.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

MAPIM tubuh gerakan kembali ke Palestin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Hasil perbincangan melalui mesyuarat khas yang diterajui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebulat suara bersepakat menubuhkan satu gerakan kembali ke Palestin.

Pengerusi MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid mendukung sepenuhnya agenda dan pelaksanaan itu bagi memberi peluang kepada pelarian Palestin pulang ke rumah mereka untuk menyambut ulang tahun Hari Nakbah.

“Kita akan bergerak seiring dan berganding bahu dengan apa jua cara sekalipun untuk memastikan pelarian Palestin dapat pulang ke tanah air mereka.

“Meskipun, Israel tidak memberi keizinan untuk pulang tetapi kita yakin dengan komitmen dipamerkan badan-badan NGO dan penyatuan rakyat di negara ini ia sedikit sebanyak memberi nafas baru buat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas Majlis Pelancaran Peringatan Hari Nakbah Palestin 70 Tahun, di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Malaya, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata gerakan yang akan dibuat pada 31 Mac ini adalah sebahagian daripada tanda sokongan menggesa pelarian Palestin untuk pulang setelah sekian lama tidak merasai kehidupan di tanah air sendiri.

“Justeru, kita sentiasa berusaha sedaya upaya mencari bantuan sepatutnya untuk diberi berikutan kesengsaraan dihadapi mereka tidak pernah berkesudahan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyeru orang ramai supaya menyatukan suara bersama dengan menunjukkan rasa simpati dan prihatin terhadap nasib menimpa penduduk Palestin.

=EZY=

Categories
NASIONAL

MAPIM mulakan usaha hantar misi bantuan ke Palestin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) optimis dalam menggerakkan usaha menghantar pasukan khas ke Palestin bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara bergolak itu.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembentukan pasukan khas itu bertujuan meninjau keadaan semasa yang berlaku di sana, selain menghulurkan bantuan berbentuk makanan dan ubatan.

Katanya, buat masa ini MAPIM sedang giat memulakan pelbagai gerak kerja yang lebih proaktif untuk memberi keutamaan yang lebih mendesak.

“Pihak kami menjalin kerjasama erat bersama Majlis NGO Pembangunan Gaza supaya misi menyalurkan bantuan kemanusiaan nanti berjalan lancar.

“Bagaimanapun kami mengharapkan perancangan untuk menyusul ke Gaza bagi membawa dana bantuan pada tahun ini tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Peringatan Hari Nakbah Palestin 70 Tahun, di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Malaya, di sini, semalam.

Terdahulu, MAPIM dan 30 persatuan yang dianggotai Badan Bukan Kerajaan (NGO) mengadakan mesyuarat serampang dua mata dengan mengusulkan cadangan aktiviti yang bakal dijalankan sempena memperingati peristiwa tragis 15 Mei 1948 yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan.

=EZY=

Categories
GLOBAL NASIONAL

Solidariti Palestin retorik Najib

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Sekretariat Palestin-Malaysia mendesak kerajaan supaya tegas berhubung dasarnya terhadap Israel sebagai negara yang menyalahi undang-undang.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Palestin-Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, hal itu kerana Malaysia tidak menolak menjadi tuan rumah kemasukan perwakilan Israel ke persidangan World Urban Forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah, katanya, pendirian Malaysia dalam mengutuk pelanggaran Israel terhadap undang-undang antarabangsa sepatutnya dinyatakan dengan menafikan kemasukan ke perwakilan itu.

“Sekiranya Malaysia dipaksa menjadi tuan rumah kepada Israel dan perlu memberikan visa kepada semua delegasi bagi menghadiri persidangan itu, maka kerajaan sepatutnya menarik diri sebagai tuan rumah.

“Ini kerana, tindakan ini sangat bertentangan dengan pendirian kerajaan yang sentiasa lantang bersuara berhubung dasar terhadap Palestin dalam setiap forum antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi berkata, baru-baru ini, dalam perhimpunan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai solidariti dengan rakyat Palestin kini boleh dianggap sebagai retorik kosong.

Katanya, tindakan kemasukan perwakilan Israel itu mencerminkan percubaan untuk mewujudkan hubungan dengan Malaysia.

“Apatah lagi, Diplomat David Roet mendakwa ada bertemu dengan pegawai tertinggi Malaysia. Roet juga mendakwa, data rasmi yang dikeluarkan pada 2014 oleh Biro Statistik Pusat Israel (CBS) menunjukkan hubungan perdagangan Malaysia-Israel mencecah AS$1.5 bilion setahun dan semakin berkembang pesat.

“Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan memimpin masyarakat Asean menentang kejahatan yang dilakukan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin.

“Pada masa sama, hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel juga dihentikan serta-merta,” katanya.

Categories
GLOBAL

Al-Aqsa bergolak, solat diluar tanda protes

BAITULMAQDIS, 18 JULAI: Insiden keganasan kembali tercetus di Masjid al-Aqsa selepas rejim Zionis bertindak menyerang penduduk Palestin di kawasan pintu masuk masjid itu dan menyebabkan kira-kira 18 orang cedera.

Kelmarin, pihak berkuasa Israel membuka semula Haram al-Sharif yang menempatkan al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di Baitulmaqdis Timur, dua hari selepas ia ditutup susulan insiden serangan tembakan di kawasan tersebut.

Orang Islam bagaimanapun enggan memasuki kawasan itu sebagai tanda protes terhadap langkah baharu yang dikuatkuasakan termasuk pengesan logam dan kamera keselamatan.

Puluhan jemaah menunaikan solat Zohor di luar al-Aqsa bersebelahan pintu masuk Lions Gate ke Kota Lama.

“Kami menolak perubahan yang dikenakan rejim Tel Aviv. Kami tidak akan melalui pemeriksaan pengesan logam ini,” tegas Pengarah al-Aqsa, Sheikh Omar Kiswani.

Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai empat penduduk Palestin turut diberkas dalam kejadian itu.

“Rejim Zionis juga bertindak biadab menceroboh al-Aqsa. Mereka memecahkan kunci laci dan peti besi dengan alasan untuk memeriksa masjid ketiga paling suci orang Islam itu,” jelas jurucakapnya.

Keputusan provokasi menutup al-Aqsa turut menerima kecaman dari negara Islam dan Liga Arab menyifatkan ia sebagai ‘langkah berbahaya’ dan penutupan itu melanggar hak asas penduduk Palestin. – Agensi

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

ABIM: Pindah kedutaan AS ke Jerusalem marakkan api peperangan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 JAN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menentang keras hasrat Amerika Syarikat di bawah presiden baru, Donald Trump yang mahu memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Jerusalem.

ABIM-RAIMI-300x236Presidennya, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, tindakan semberono itu umpama mencurah minyak ke dalam api melihat kepada situasi yang genting di Jerusalem.

“Tindakan ini juga membelakangkan beberapa keputusan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sejak kebelakangan ini mengkritik pencerobihan rejim Israel. Pada masa sama, PBB turut mengiktiraf hak Palestin terhadap tanah air mereka termasuk yang terpenting di kawasan Jerusalem atau Baitul Maqdis,” katanya.

Beliau berkata, ia boleh mengundang ketegangan diplomatik dan provokasi yang akan membawa kepada konflik bersenjata jika hasrat itu diteruskan.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Negara, John Kerry berkata, perubahan kedutaan AS ke Jerusalem akan mencetuskan krisis teruk antara Israel dan Palestin kerana kedua-duanya menuntut penempatan di wilayah itu.

Hubungan antara Amerika Syarikat dan Israel dilihat kiang renggang sepanjang lapan tahun Barack Obama berkhidmat dan sampai ke tahap paling buruk pada akhir bulan lalu apabila Washington enggan menggunakan kuasa veto dalam resolusi PBB berhubung penempatan haram Israel itu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Palestin dakwa Israel langgar gencatan senjata

GAZA, 16 OGOS: Kementerian Dalam Negeri Palestin di Gaza lewat malam tadi mendakwa Israel melanggar perjanjian gencatan senjata selama lima hari apabila melakukan bedilan merentas sempadan.

Kementerian Palestin di wilayah pantai yang dikuasai Hamas berkata, tentera Israel melakukan serangan ke atas rumah penduduk di timur bandar Khan Younis.

Bagaimanapun seorang jurucakap tentera Israel memaklumkan pihaknya tidak tahu menahu berkenaan serangan terbabit.

Smoke and fire from an Israeli bomb rises into the air ove Gaza CityGenjatan senjata yang diperbaharui selama lima hari sejak 14 Ogos lalu berada dalam keadaan goyah di saat Mesir berusaha menganjurkan perdamaian antara dua negara itu bagi mencapai persetujuan untuk gencatan senjata berpanjangan.

Pertempuran yang berlangsung lebih sebulan itu mengorbankan kira-kira 1,962 warga Palestin yang kebanyakannya adalah orang awam, manakala seramai 64 tentera dan tiga orang awam Israel turut terbunuh dalam serangan berkenaan.

Gencatan senjata itu mendapat permulaan berliku apabila Israel melancarkan serangan udara sebagai tindak balas terhadap serangan roket dari Gaza yang didakwa melanggar gencatan senjata lebih awal, pada 14 Ogos lalu.

Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam sebarang insiden terbabit.

gaza-photoDalam gencatan senjata terkini, pengantara Mesir memberi tambahan selama lima hari kepada dua pihak terbabit sebelum satu perjanjian komprehensif dibentuk untuk menamatkan perang di Gaza.

Rundingan diadakan di Kaherah dan dijangka bersidang semula, pada 17 Ogos ini.