Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Fasa dua tumpu bersih parit tersumbat, selesai dalam tiga bulan

SHAH ALAM, 14 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyasarkan tempoh pembersihan fasa kedua di kawasan terjejas banjir negeri selesai dalam tiga bulan.

Pengarah urusannya berkata kerja yang dimulakan sejak 8 Januari menumpukan kutipan sisa sampah dan pembersihan longkang serta parit yang tersumbat.

Ramli Mohd Tahir menjelaskan kira-kira 3,000 tan sampah dibersihkan setiap hari sebelum dihantar ke tiga tapak pelupusan di Jeram, Tanjung 12 dan Dengkil.

“Sampah yang dikutip terus dihantar ke tapak pelupusan dan tidak lagi di stesen pemindahan sementara kerana semuanya telah ditutup,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata seramai 8,000 kakitangan KDEBWM digerakkan ke semua kawasan terjejas banjir bagi fasa kedua termasuk pemandu lori dan pengendali sampah.

Menurut Ramli, pembersihan dibuat secara manual dengan kakitangan mengorek dan menyedut lumpur di longkang antaranya menggunakan Catch Basin Cleaner (CBC).

“Fokus kita ialah membersihkan setiap bahagian belakang dan tepi rumah sehingga selesai serta mengembalikan keadaan kawasan banjir kepada sedia kala,” katanya.

Anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik sejak tahun lalu giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.

Sebanyak 78,000 tan sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Pelabuhan Klang belanja lebih RM100,000 bantu mangsa bah

KLANG, 13 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang membelanjakan lebih RM100,000 bagi membantu mangsa banjir di kawasan itu setakat ini.

Wakil rakyat Azmizam Zamanhuri berkata daripada jumlah itu pihaknya menyumbangkan bakul makanan dan kelengkapan tidur seperti tilam dan lapik tidur.

“Hampir 5,000 rumah di Pelabuhan Klang ditenggelami banjir dalam kejadian Disember tahun lalu dan Alhamdulillah rata-rata penduduk semua kita bantu.

“Terima kasih juga kepada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan individu yang turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa terjejas bah di sini,” katanya ketika ditemui.

Azmizam turut menyarankan mana-mana pihak yang mahu membantu boleh menyalurkan terus kepada mangsa tanpa melalui pejabatnya.

“Mangsa banjir yang memerlukan bantuan juga boleh tampilkan diri ke pusat khidmat masyarakat DUN Pelabuhan Klang dan kita akan membantu,” katanya.

Antara kawasan ditenggelami air di Pelabuhan Klang akibat banjir pada 18 Disember lalu adalah Pandamaran Jaya, Kampung Idaman, Kampung Pulau Indah, Kampung Pendamar, Kampung Telok Gong dan Kampung Telok Indah.

Lokasi lain turut terjejas antaranya Taman Selat Damai, Taman Selat Selatan, Taman Suria, Taman Telok Gedung Indah dan Pekan Pelabuhan Klang.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDAPAT RENCANA

Mangsa bah perlu belanja lebih RM10,000 beli semula barang asas

SHAH ALAM, 10 JAN: Dianggarkan sejumlah RM10,436.30 perlu dibelanjakan mangsa banjir bagi membeli semula barang keperluan asas untuk meneruskan kehidupan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia anggaran itu bagi keluarga yang mempunyai suami, isteri, seorang kanak-kanak dan seorang bayi.

Antara kelengkapan utama diperlukan ialah perkakas rumah, alatan peribadi dan solat (bagi yang beragama Islam), alatan dapur, alat pembersihan, penyelenggaraan dan perkhidmatan.

“Banjir yang melanda pada kali ini memerlukan isi rumah bersedia dari segi kewangan untuk kembali kepada kehidupan sedia kala.

“Jumlah anggaran kewangan yang diperlukan adalah berbeza mengikut keperluan dan jumlah kerosakan yang dialami oleh satu isi rumah,” menurut infografik diterbitkan jabatan itu Jumaat lepas.

Infografik yang dikongsi menunjukkan belanja tertinggi melibatkan penyelenggaraan/perkhidmatan iaitu RM4,969.44 merangkumi kenderaan, perkakas elektrik, pendawaian dan penyelengeraan pintu.

Pecahan anggaran perbelanjaan lain seperti berikut:

Perkakasan elektrik – RM3,325.89
Peralatan rumah – RM1,291.69
Pakaian – RM322.22
Peralatan dapur – RM174.31
Alatan pembersihan – RM96.73
Kelengkapan bayi – RM94.84
Penjagaan diri – RM76.95
Kit solat (bagi muslim) – RM58.58
Barangan kesihatan – RM25.65

Maklumat lengkap jumlah perbelanjaan dan pecahan dikongsikan dalam infografik di bawah.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan negeri ringan beban beli semula perkakas rumah

SHAH ALAM, 9 JAN: Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bernilai RM1,000 untuk mangsa banjir negeri ini meringankan beban mereka bagi membeli semula keperluan rumah.

Pemandu bas K Sankar, 49, yang menerima bantuan itu minggu lalu memanfaatkannya dengan membeli barangan elektrik yang rosak dalam bencana Disember lalu.

“Terima kasih atas bantuan ini yang memudahkan urusan mangsa banjir,” katanya kepada Selangorkini.

V.c Meena, 50. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Peniaga V C Meena, 50, yang menanti giliran untuk menerima bantuan itu menyifatkan keprihatinan Selangor meringankan bebannya sekeluarga bagi membeli perkakas baharu.

“Saya juga berharap ada sedikit bantuan diberikan kepada golongan peniaga kerana hanya ini sumber pendapatan,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah pada Disember 2021.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung Januari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB rakam penghargaan semua agensi, sukarelawan bantu bersih sisa banjir

SHAH ALAM, 8 JAN: Dato’ Menteri Besar merakam penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi pembersihan kawasan terjejas akibat banjir besar baru-baru ini.

Pihak berkenaan termasuk petugas agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), KDEB Waste Management, sukarelawan, badan bukan kerajaan serta orang awam.

“Operasi pembersihan telah selesai bagi kesemua lapan kawasan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan berkenaan.


Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong membersihkan kawasan yang dilanda banjir di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Terima kasih dan sekalung penghargaan buat semua petugas agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan, pihak PBT, KDEB Waste Management, sukarelawan, NGO dan orang awam,”ucap Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Terdahulu, pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management melaporkan operasi pembersihan sampah fasa pertama di PBT yang terkesan banjir bulan lalu selesai sepenuhnya 8 pagi hari ini.

Sebanyak 48,589.95 tan sampah pukal berjaya dibersihkan antara 20 Disember 2021 hingga semalam.

 

Kakitangan dan sukarelawan MPS membersihkan kediaman penduduk sekitar Seksyen 19, Shah Alam dan Kampung Lanchong, Subang Jaya yang terjejas banjir. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang
Categories
AGENDA NASIONAL

77,465 tan sisa banjir diurus di lima negeri, lebih separuh di Selangor

SHAH ALAM, 8 JAN: Sebanyak 77,465 tan sisa banjir diurus SWCorp di lima negeri iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan Selangor setakat ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata daripada jumlah itu sebahagian besarnya adalah di negeri ini iaitu 48,100 tan yang diurus secara bersama KDEB Waste Management.

“Sebanyak RM12.5 juta telah disediakan KPKT bagi membolehkan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri-negeri terjejas. Ini termasuk RM5.03 juta bagi Selangor sahaja.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin (tengah) membuat tinjauan bagi melihat keadaan sampah sarap lonkang tersumbat ketika Program Pembersihan Mega di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hasil kerjasama SWCorp dan KDEB hampir 50,000 tan sisa sampah dikeluarkan dengan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sahaja sebanyak 20,500 tan sisa banjir diuruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian program mega pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda di sini, hari ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada program itu seramai 1,400 sukarelawan dan 600 pekerja pembersihan terlibat untuk sama-sama membersihkan kawasan terjejas khususnya longkang dan belakang lorong yang sukar dimasuki lori.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor perluas teknologi basmi kuman, elak penyakit pascabanjir

SHAH ALAM, 8 JAN: Kerajaan Negeri akan memperkenal dan memperluaskan teknologi efektif mikrobiologi (EM) selepas bencana bagi mengelak penyakit pascabanjir.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya bukan hanya tumpu pada pembersihan secara fizikal tetapi merawat kawasan longgokan sampah dan bekas longgokan di 11 stesen pemindahan sementara (TF).

“Sampah di TF ini tertinggal lebih 10 hari dan mungkin ia meninggalkan bakteria, kuman yang boleh membawa penyakit.

“Saya percaya dengan EM ini dapat membantu mengurangkan kesan bau dan menangani kuman,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas meninjau Program Pemulihan Pascabanjir di Kampung Padang Jawa hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata hampir 10,000 rumah yang terjejas banjir di kawasan itu akan menerima semburan teknologi EM.

“Tiga kampung terlibat iaitu Padang Jawa Petaling, Padang Jawa Klang dan Kebun Bunga. Selain rumah kita juga melakukan penyemburan di lorong-lorong.

“Teknologi EM ini bukan sahaja untuk membasmi kuman, menghilangkan bau tetapi ia juga menghasilkan baja secara organik yang boleh digunakan untuk tanaman,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima PBT selesai kerja bersih sampah banjir, tiga lagi capai 92 peratus

SHAH ALAM, 6 JAN: Lima pihak berkuasa tempatan (PBT) selesai menjalankan operasi pembersihan sisa pascabanjir sepenuhnya setakat semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tiga lagi PBT sedang giat menjalankan kerja pembersihan dengan purata lebih daripada 92 peratus.

Jelas beliau perkembangan terbaharu itu menunjukkan keseluruhan operasi pembersihan dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Majlis Bandaraya Subang Jaya telah mencatatkan 92 peratus bagi status operasi pembersihan.

“Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang pula mencatatkan 95 peratus,”katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, berdasarkan info grafik yang dikongsi Amirudin, lima PBT yang telah selesai kerja pembersihan ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 11,000 keluarga terima bantuan pascabanjir RM1,000

SHAH ALAM, 5 JAN: Seramai 11,481 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan berjumlah RM1,000 setakat 10 pagi tadi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Selangor berbelanja RM11.531 juta untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut infografik dikongsi beliau di Twitter, lima waris korban di Sepang dan Hulu Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 4,349 isi rumah diikuti 2,143 penduduk Hulu Langat manakala 1,866 di Klang.

Turut menerima sumbangan sama ialah 1,115 isi rumah di Kuala Selangor, Sepang (904), Kuala Langat (705), Gombak (313), Hulu Selangor (51) dan Sabak Bernam (35).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pembersihan pascabanjir lokaliti MBSA selesai Ahad ini

SHAH ALAM, 5 JAN: Operasi pembersihan sampah banjir fasa satu bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dijangka selesai sepenuhnya Ahad ini.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata sebanyak 13 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan manakala baki mencecah antara 70 hingga 80 peratus.

Beliau memaklumkan sebanyak 34,188 tan metrik sampah dikeluarkan setakat semalam dengan lebih separuh membabitkan kawasan Taman Sri Muda.

“Proses pembersihan dijalankan hampir 24 jam dengan menumpukan kawasan kediaman pada waktu siang manakala malam di kawasan industri dan komersial,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pembersihan pascabanjir di beberapa lokasi di Taman Sri Muda termasuk dua stesen pemindahan sementara (TS).

Mohd Rashidi turut memaklumkan jentera sama iaitu 1,537 lori dan ratusan tong Roll-on-Roll-off (Roro) digerakkan ke setiap lokaliti untuk pembersihan fasa kedua.

Taburan hujan luar biasa antara 100 ke 400 milimeter secara berterusan antara 17 hingga 19 Disember mengakibatkan 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor terjejas banjir.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, dengan 4,276 mangsa berjaya diselamatkan dan sebahagian besar ditempatkan ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

155 tan al-Quran rosak akibat banjir, Jais sasar beli 50,000 kitab baharu

SHAH ALAM, 5 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan Tabung Dana Wakaf al-Quran (Pascabanjir) bagi menggantikan naskhah yang rosak akibat bencana bulan lalu.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata program selama dua bulan mulai semalam menyasarkan pembelian 50,000 naskhah dengan belanja keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.

Beliau menjelaskan sejumlah RM383,000 dikumpul setakat ini dengan kitab suci itu akan ditempatkan di masjid, surau dan sekolah kelolaan Jais yang terkesan banjir.

“Setakat ini, dianggarkan lebih 155 tan al-Quran rosak dan dalam proses pelupusan. Kita harap lebih ramai menyumbang supaya pelajar dapat memiliki al-Quran.

“Jika jumlah dikumpul melebihi sasaran, kita akan beli naskhah dilengkapi hukum tajwid, terjemahan dan sebagainya,” katanya selepas melancarkan tabung itu di pejabat Jais di sini hari ini.

Penyumbang terawal antaranya Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Perbadanan Wakaf Selangor.

Mohd Shahzihan berkata pihaknya menerima arahan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menitahkan tabung itu segera dilancarkan.

“Baginda minta Jais sebagai penyelaras tabung supaya tiada pihak yang ambil kesempatan. Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan peribadi,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM mahu tambah aset pembersihan, siap siaga ketika kecemasan

SHAH ALAM, 5 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) berhasrat menambah aset pembersihan untuk digunakan ketika kecemasan terutama musim banjir, kata pengarah urusannya.

Mengambil iktibar bencana pada 17 Disember lalu, Ramli Mohd Tahir berkata sebanyak RM12 juta dibelanja untuk menyewa lori 10 dan 40 tan bagi mengangkut sampah pukal.

“Kita terpaksa menyewa lori untuk mengangkut sisa pukal dari kawasan terjejas ke pusat pengumpulan sampah sementara dan tapak pelupusan di Jeram, Kuala Selangor dengan kos RM12 juta,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi pembersihan di Taman Sri Muda di sini hari ini.

Ramli berkata sebanyak 500 lori Roll on Roll off (RoRo) digerakkan ke seluruh lokasi terjejas sejak dua minggu lalu.

“Mana-mana kawasan yang selesai proses pembersihan, lori terbabit akan dibawa ke lokasi lain supaya kerja pembersihan lancar dan cepat,” kata Ramli.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 20 Disember secara berperingkat.

Antara lokasi yang selesai dibersihkan ialah Petaling Jaya, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Kajang manakala Shah Alam, Subang Jaya serta Klang dijangka Sabtu ini.

Setakat ini, sebanyak 44,500 tan sisa banjir dikutip di semua kawasan terjejas.