Categories
SELANGOR

Karnival merapat hubungan MPK dan pengguna

mpk2

KLANG 6 OKT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil inisiatif merapatkan hubungan dengan penduduk dalam wilayah pentadbirannya, disamping memperkenalkan pengguna kepada khidmat-khidmat yang ditawarkan.

Karnival Ramah Mesra yang dimulakan seawal jam 8 pagi dan berakhir pada jam 2 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 400 penduduk di Apartmen Amazing Height, Sungai Udang, di sini.

Program terbabit dirasmikan oleh Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali. Hadir sama, Timbalan Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukhri dan Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan serta Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad.

mpk

Halimah dalam ucapannya memuji inisiatif memperkenalkan fungsi MPK dan juga beberapa agensi lain yang terlibat. Antara agensi yang turut dijemput dalam karnival itu ialah Jabatan Kesihatan, bomba, Tenaga Nasional Berhad dan beberapa pameran daripada program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

“Program ini merupakan medan terbaik bagi MPK untuk memperkenalkan servis yang ditawarkan disamping menghargai penduduk yang banyak membantu PBT ini.

“Sebagai sebuah PBT, perlu menjadikan kawasan di bawah jagaannya menepati sasaran dalam mewujudkan negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan, jadi program ini merupakan satu inisiatifnya,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan ceramah kempen kitar semula minyak masak, tanam pokok, pertandingan mewarna, sukan rakyat iaitu ayam bertelur, teng teng, bowling kelapa dan sepak raga ratus.

Turut diadakan demonstrasi kebakaran oleh pihak bomba dan pertandingan masakan siap.

Iskandar : Keuntungan Projek Mewah Biayai Rumah Mampu Milik

datum-jelatek-pix

SHAH ALAM 2 JULAI : Keuntungan daripada projek mewah Datum Jelatek yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan disalurkan bagi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata PKNS menggunakan keuntungan yang diperoleh daripada projek seperti Datum Jelatek bagi membiayai projek seperti perumahan terbengkalai Bukit Botak.

“Secara keseluruhannya seperti di Bukit Botak, PKNS telah membelanjakan RM 70 hingga RM 80 juta untuk selesaikan masalah di kawasan itu.

“PKNS juga telah selesaikan masalah di Bangi dengan pembinaan RMM di mana subsidinya sahaja menjangkau RM 12 juta.

“Bagi dua projek di Bukit Botak dan Bangi, PKNS telah membelanjakan subsidi hingga RM 82 juta.

?Maka itu sebabnya PKNS perlu membuat rumah dengan kos yang lebih tinggi di kawasan lain,” katanya kepada media selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ditangguhkan di sini hari ini.

Iskandar menjelas kos jualan sebuah unit RMM adalah RM 99,000 sedangkan kos membinanya adalah RM 130,000.

Projek Datum Jelatek menjadi hangat apabila terdapat pihak yang mempertikaikannya dengan mendakwa Kerajaan Negeri membelakangkan kepentingan rakyat kerana projek itu dianggap mewah.

Hari ini satu memorandum diserahkan Badan Bertindak Datum Jelatek diketuai Salleh Samad kepada Kerajaan Negeri bagi membantah projek tersebut.

Mengenai perkara itu, Iskandar berkata, sewajarnya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberi ruang bagi menjelaskannya dengan lebih lanjut.

“Isu ini berkaitan PKNS. Saya rasa biarlah Menteri Besar selaku Pengerusi PKNS memberikan jawapan,” katanya.