Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MKN: Sembilan perkara tidak kritikal perlu dipatuh

SHAH ALAM, 18 MAC: Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperincikan sembilan perkara dikategorikan tidak kritikal yang perlu dipatuhi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac nanti.

MKN menerusi kenyataan memaklumkan perkara tersebut merangkumi:

1. Bengkel kenderaan dibenarkan beroperasi pada tahap minimum manakala perkhidmatan trak tunda beroperasi seperti biasa.

2. Kerja pembinaan dan pengubahsuaian tertakluk kepada penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

3. Perhimpunan agama tidak dibenarkan manakala penglibatan pengurusan kematian perlu dilakukan secara minimum.

4. Aktiviti sukan dan riadah tidak dibenarkan.

5. Tidak dibenarkan mengunjungi atau terlibat dalam perhimpunan, persembahan, zumba, kelab malam, pusat karoake, panggung wayang, pesta ria, kenduri dan majlis keraian.

6. Pergerakan dalam negara tidak dibenarkan kecuali untuk mendapatkan keperluan asas dan kesihatan.

7. Rakyat tidak dibenarkan ke luar negara manakala rakyat yang pulang dari luar negara perlu menjalani proses kuarantin 14 hari.

8. Kemasukan warga asing tidak dibenarkan kecuali memiliki taraf diplomatik, penduduk tetap dan pegawai dagang dalam perkhidmatan penting – dikuarantin 14 hari.

9. Rakyat yang bekerja di Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia tidak dibenarkan berulang-alik.

MKN berkata polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diberi kuasa untuk memastikan rakyat mematuhi perintah tersebut.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais tutup operasi, sedia khidmat dalam talian

SHAH ALAM, 18 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menutup operasinya bermula hari ini hingga 31 Mac susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19.

Mais memaklumkan penutupan itu bagaimanapun tidak membabitkan operasi di Baitul Iman, Baitul Ehsan dan Baitul Islah, Bahagian Pemulihan Ar-Riqab.

“Orang ramai diberi kemudahan berurusan terus melalui laman web rasmi Mais di www.mais.gov.my untuk pelbagai perkhidmatan dalam talian disediakan kami,” kata Mais dalam kenyataan hari ini.

Antara perkhidmatan atas talian disediakan adalah:

-E-aduan
-Permohonan wasiat online
-Katalong hartanah Mais
-Sumbangan sedekah
-Bayaran premis/tanah baitulmal
-Sewa hartanah Mais
-Bayaran utiliti premis Mais
-Bayaran tebus pusaka
-Sumbangan saham wakaf Selangor
-Sumbangan anak yatim
-Penyerahan wang tidak patuh syariah
-Penyerahan wang orang berhutang

Sehubungan itu orang ramai dinasihat mengikut perkembangan semasa menerusi Facebook Majlis Agama Islam Selangor dan Instagram mais_officialhq.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja dari rumah: Pekerja pilih Skype, WhatsApp untuk berhubung

SHAH ALAM, 18 MAC: Kakitangan swasta yang bekerja dari rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan memilih aplikasi Skype dan WhatsApp untuk berhubung, khususnya membabitkan perbincangan ramai.

Jurutera kilang Syafiqah Zainurin, 26, berkata operasi syarikat berjalan seperti biasa, namun semua kakitangan perlu memberi dan menerima arahan serta makluman tugas melalui Skype.

“Semua bertugas di rumah seperti biasa dan mesyuarat diadakan tiga kali pada 10 pagi, 2 dan 4 petang. Kerja sebelah pagi lebih tertumpu kepada persediaan mesyuarat dan jika ada perkara penting sahaja baru diarahkan ke pejabat,” katanya yang bekerja di bahagian pemprosesan.

Juruteknik kilang Shahril Nizam Mohd, 44, berkata syarikatnya mengarahkan semua kakitangan berada dalam keadaan bersedia di rumah dan bertindak mengikut arahan melalui WhatsApp.

Katanya, operasi syarikat yang membabitkan eksport lensa dan kanta ke luar negara bergantung kepada kapal sebagai medium penghantaran.

“Buat masa ini hanya bahagian dokumentasi dan eksport sahaja perlu bekerja dari 7 pagi hingga 11 malam kerana pelabuhan masih beroperasi.

“Arahan tersebut berkuat kuasa untuk minggu pertama dahulu dan perkembangan lanjut bergantung kepada operasi kapal,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Pejabat ADN ditutup patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

SHAH ALAM, 18 MAC: Beberapa pusat khidmat masyarakat Ahli Dewan Negeri (ADN) ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac.

ADN Lembah Jaya Haniza Talha dalam kenyataan memaklumkan pejabatnya akan dibuka semula apabila arahan tersebut dihentikan.

“Warga Lembah Jaya diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa menjaga kebersihan, elak perhimpunan dan tempat awam tanpa tujuan penting,” katanya.

Sementara itu, ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata orang ramai boleh berurusan dengan pejabatnya melalui Facebook, telefon, e-mel atau WhatsApp.

“Kami memandang serius perkara ini dan mengambil langkah bagi memastikan virus tidak tersebar. Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli pula menasihatkan penduduk di Kuala Selangor supaya mematuhi arahan kawalan pergerakan yang berlangsung selama 14 hari.

“Sila ambil perhatian serius arahan ini. Selaras itu, pusat khidmat saya juga akan ditutup. Orang ramai boleh menghubungi talian 017-2195856 atau 010-8055068,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kawalan: Elak berkumpul, dobi layan diri perlu tutup

SHAH ALAM, 18 MAC: Dobi layan diri tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, yang berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac, maklum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kementerian memaklumkan larangan tersebut bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di premis berkenaan, lapor Berita Harian.

Katanya, restoran, seksyen Sedia Dimakan (RTE) dan bakeri boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang dan pandu lalu atau melalui khidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu.

“Medan selera boleh beroperasi tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui khidmat penghantaran.

“Di pasar raya besar, hanya penyewa yang beroperasi dalam industri farmasi klinikal dibenarkan untuk terus beroperasi,” katanya dalam jawapan kepada soalan lazim bagi sektor peruncitan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

Kementerian turut menggalakkan pasar raya melakukan kawalan kendiri bagi menangani pembelian barangan makanan dan keperluan harian dengan jumlah tidak munasabah oleh pengguna.

Sementara itu, katanya, operasi pusat pengedaran membabitkan bekalan barangan keperluan dan makanan merangkumi gudang e-dagang dan perkhidmatan gudang sokongan boleh terus beroperasi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perintah kawalan bermula hari ini, trafik di KL lancar

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula hari ini, menyaksikan orang ramai akur dengan arahan dikeluarkan kerajaan dalam usaha menangani penularan Covid-19.

Keadaan sesak yang biasanya dialami pada sebelah pagi hari bekerja di ibu negara tidak berlaku hari ini dengan keadaan tenang dan trafik lancar.

Namun pengangkutan awam seperti bas dan rel beroperasi seperti biasa.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, perintah itu juga melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Namun orang ramai tidak perlu terlalu khuatir dengan perintah itu. Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador perintah itu bukan perintah berkurung yang sama sekali melarang orang ramai keluar rumah.

Malah orang ramai juga tidak perlu membuat pembelian panik kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah memberi jaminan bahawa bekalan makanan, keperluan harian dan barangan penjagaan kesihatan adalah mencukupi.

Sikap panik berhadapan situasi tidak diduga ini masih jelas dilihat pada orang ramai, yang masih belum memahami tentang Perintah Kawalan Pergerakan itu, sehingga berlakunya beberapa masalah.

Antaranya pembelian panik serta kesesakan yang serius di balai polis malam tadi berikutan orang ramai mahu mendapat permit pergerakan rentas negeri terutama untuk pulang ke kampung.

Selain itu, orang ramai turut memenuhi stesen pengangkutan awam seperti Terminal Bersepadu Selatan untuk pulang ke kampung halaman.

Hakikatnya, kesesakan yang berlaku dan ramai orang berada di tempat awam pada satu-satu masa itu berkemungkinan boleh meningkatkan lagi jumlah kes penularan Covid-19, pada ketika tindakan kerajaan itu adalah untuk mengelakkan orang ramai berkumpul.

Sehubungan itu, perintah mendapatkan permit rentas negeri itu ditangguhkan buat sementara waktu bagi menyelesaikan kesesakan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak terbabit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Perintah kawalan: Singapura harap Malaysia lebih fleksibel

SINGAPURA, 18 MAC: Singapura berharap republik itu diberi lebih banyak masa dan sedikit kelonggaran selepas Malaysia mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, yang berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac.

“Kami berhubung dengan pihak Malaysia untuk mendapatkan sedikit kefleksibelan yang melangkaui tempoh tengah malam tadi…sehari atau dua hari bagi membolehkan peralihan itu berlaku.

“…perbincangan mengenai perkara itu masih berlangsung,” kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong dalam sidang akhbar Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian untuk mengemas kini situasi tempatan berkaitan penularan wabak Covid-19 di republik itu.

Malaysia pada Isnin memutuskan untuk melaksanakan perintah sekatan pergerakan di seluruh negara mulai 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan Covid-19.

Perintah itu, antara lain merangkumi sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap semua rakyat Malaysia ke luar negara selain menghalang kemasukan pelawat dan pelancong asing ke Malaysia.

Kesemua langkah ini menjejaskan pemegang pas kerja dan rakyat Singapura selain penduduk tetapnya yang berulang-alik setiap hari ke Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah tutup esok hingga 31 Mac, bicara kes tangguh

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Mahkamah di seluruh negara ditutup bermula esok hingga 31 Mac selaras dengan keputusan kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah juga ditangguhkan dan tarikh baharu dimaklumkan kemudian.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata bagaimanapun jika terdapat keperluan pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret bertugas bagi tujuan persediaan mahkamah.

Katanya bagi kesalahan boleh dijamin, Pengarah Mahkamah Negeri hendaklah memastikan urusan jamin dapat diproses seperti biasa.

“Permohonan untuk tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dijalankan seperti biasa mengikut jadual bertugas ditetapkan.

“Bagi mahkamah menggunakan sistem e-Kehakiman, pemfailan kes-kes sivil baharu dan notis rayuan dan dokumen-dokumen berjalan seperti biasa melalui sistem e-Filing manakala bagi mahkamah tidak mempunyai sistem e-Kehakiman, pemfailan kes-kes sivil baharu dan dokumen diterima mulai 1 April 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Terrirudin berkata ia adalah panduan pengendalian kes-kes di mahkamah seluruh negara seperti diarahkan Ketua Hakim Negara bagi memastikan akses kepada keadilan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa bagi tempoh berkenaan.

Beliau berkata bagi kes-kes Mahkamah Sesyen Sivil memerlukan kesegeraan, pemfailan boleh dibuat di mahkamah berdekatan yang mempunyai sistem e-Kehakiman di negeri berkenaan.

Katanya, sebagai contoh, bagi kausa tindakan di Bangi, kes tersebut boleh difailkan melalui sistem e-Kehakiman di Mahkamah Shah Alam.

Menurut Ahmad Terrirudin, pengurusan kes sivil secara e-Review terus dijalankan seperti biasa secara dalam talian manakala pengurusan kes sivil secara manual ditangguhkan dan diberikan tarikh baharu.

“Pengurusan kes bagi kes-kes jenayah di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan ditangguhkan dan penetapan tarikh baharu dimaklumkan kemudian,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Covid-19: Tiba masa rakyat patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Keputusan kerajaan mengisytihar Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari dari 18 hingga 31 Mac merupakan langkah tepat untuk mencegah penularan baharu wabak Covid-19 di negara ini, kata seorang pakar sains politik.

Justeru, Prof Datuk Dr Nasarudin Mohammed menegaskan tiba masa masyarakat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing terutama mematuhi semua arahan serta larangan yang ditetapkan sepanjang tempoh sekatan itu berkuat kuasa.

Jelasnya, rakyat perlu faham larangan bersifat sementara itu bertujuan mengawal orang awam daripada bergerak bebas sehingga memungkinkan berlaku jangkitan wabak yang lebih teruk.

“Pertama sekali, masyarakat jangan berasa panik sebaliknya perlu tenang dan ikut semua arahan yang telah dan akan dimaklumkan. Ini bukan Perintah Berkurung, kita cuma dibataskan pergerakan keluar masuk.

“Cuma perlu duduk dalam rumah saja dan keluar bila dibolehkan. Mesej jelas, kurangkan pergerakan seminimum mungkin untuk menyahaktifkan Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi antaranya melarang secara menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Orang ramai melakukan pembelian panik di Pasaraya Hero di Putrajaya susulan tular berita palsu bahawa kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19. Foto BERNAMA

Turut berkuat kuasa sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara; sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara; penutupan semua institusi pendidikan seperti taska, sekolah kerajaan dan sekolah berasrama penuh.

Penutupan turut membabitkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara antaranya air, elektrik, tenaga dan telekomunikasi.

Bagaimanapun, Nasruddin berkata sekiranya masyarakat masih terus dengan sikap tidak berdisiplin dan tidak mengambil berat, langkah perintah kawalan pergerakan itu mungkin tidak berkesan sepenuhnya.

“Saya bimbang, disiplin ini boleh dianggap sangat rendah…mungkin pada tahap satu yang memerlukan hukuman berat dan keras untuk mendisiplinkan diri,” tambahnya.

Mengulas lanjut, katanya, di peringkat pentadbiran, kerajaan juga menerusi media massa mesti menyediakan maklumat dan panduan kepenggunaan, kesihatan, keselamatan isirumah dan kesiapsiagaan kepada rakyat ketika tempoh larangan itu.

Mengambil contoh negara lain yang berdepan wabak sama, Nasaruddin berkata kerajaan juga harus menyediakan bantuan atau insentif dalam bentuk perkhidmatan dan kewangan seperti elaun, diskaun pembelian runcit, pengagihan ubat-ubatan dan makanan.

“Aspek logistik, barangan keperluan asas perlu diperluas bagi mengelakkan insiden kehabisan barangan dapur akibat ‘belian panik’ serta untuk golongan sasar kesempitan wang. Setakat ini diskaun caj elektrik sudah pun diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi.

“Perkara lain yang boleh dipertimbangkan kerajaan termasuk subsidi gas memasak, penangguhan pembayaran utiliti dan cukai lain yang pembayarannya dalam tempoh sekatan, malah gaji dan pencen bulan Mac seeloknya dibayar segera,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan pelan pemulihan bagi membantu golongan pekerja yang terjejas sepanjang tempoh larangan itu berkuat kuasa, tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluar notis 48 jam jika Perintah Kawalan Pergerakan dilanjut

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan disaran mengeluarkan notis 48 jam sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan sekiranya ia mahu dilanjutkan, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata kerajaan juga perlu tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang sengaja ingkar perintah yang dikuatkuasakan esok.

“Aspek kesihatan dan nyawa rakyat lebih bernilai daripada kerugian wang ringgit yang bakal dialami beberapa pihak hasil penutupan sektor dan premis perniagaan susulan penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut peruntukan Seksyen 11(4) Akta 342 dan Seksyen 24(a) akta sama, individu yang ingkar larangan tersebut boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu hingga 31 Mac .

Perintah kawalan 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Muhyiddin berkata, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.