Categories
SELANGOR

Balu pemandu lori rentung terima sumbangan PERKESO

OLEH UMIRAH IZRIN

PUCHONG, 6 MAC: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Yayasan Pelajaran MARA mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan kepada balu Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis, yang maut dalam kemalangan, pada 23 Februari lalu.

Bantuan itu diserahkan kepada Khatijah Abdul Karim, 36, oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, di kediamannya, semalam.

Sze Han berkata, bantuan itu bagi meringankan beban balu Allahyarham membesarkan anaknya yang masih bersekolah.

“Khatijah menerima pencen faedah orang tanggungan dan faedah pengurusan mayat dari PERKESO serta bantuan tunai di bawah skim bantuan khas persekolahan Yayasan Pelajaran MARA.

“Caruman PERKESO sangat penting bagi golongan pekerja mendapat faedah tertentu jika berhadapan sebarang kemudaratan, pada masa hadapan,” katanya selepas menyerahkan cek bantuan kepada balu , di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sedia membantu Khatijah melalui pelbagai bantuan lain jika diperlukan.

Terdahulu, seorang pemandu lori tangki minyak maut dalam kebakaran selepas kenderaannya terbabit dalam kemalangan, di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Allahyarham meninggalkan seorang balu yang sedang hamil tujuh bulan dan tiga anaknya termasuk pasangan kembar Mohamad Amar dan Mohamad Amir, 9, serta Nur Afiqah, 8.

Categories
SELANGOR

PERKESO bantu balu kakitangan JAIS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 FEB: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menghulurkan faedah caruman kepada balu kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang kematian suami, pada 8 Januari lalu.

Balu, Nurul Izzati Nazirmuddin, 32, isteri kepada Allahyarham Muhammad Faisal Yaakub, 32, menerima bantuan bulanan RM1,540.50, bermula bulan ini dan sumbangan cek pencen penakat sejumlah RM2,000.

Sumbangan itu diserahkan pada Majlis Penyerahan Cek Pengurusan Jenazah di Auditorium Dahlia Dewan Muzakarah dan Syarahan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman sambil disaksikan Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

Allahyarham Muhammad Faisal adalah guru Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Alam Impian, Klang yang disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika azan Zohor berkumandang, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Sementara itu, Nurul Izzati yang juga kakitangan di Bahagian Pendidikan Islam JAIS ketika ditemui pemberita berterima kasih dan bersyukur atas bantuan diterima untuk meneruskan kehidupan.

“Apabila kematian mengejut sebegini memang banyak perlu gunakan wang. Jika dahulu kami kongsi bersama terutama soal pembayaran bil, namun kini tugas itu hanya saya seorang.

“Saya bersyukur dengan bantuan dan faedah diterima serta menyarankan mana-mana majikan untuk membuat caruman kepada kakitangan mereka yang berstatus sementara mahupun kontrak bagi kegunaan masa depan,” katanya yang kini sedang mengandung lapan bulan.

Pada masa sama, katanya, bantuan itu juga akan digunakan untuk urusan kelahiran anak pertama mereka.

Difahamkan, laporan penuh berkenaan punca kematian suami Nurul Izzati belum dipastikan dan ia akan diketahui, pada Mac ini.

Sementara itu, Mustafa berkata, anak kepada Nurul Izzati juga akan mendapat faedah selepas dilahirkan nanti, sekali gus menjadikan jumlah bantuan bulanan keseluruhan RM2,567.50.

Beliau berkata, Allahyarham layak mendapat sumbangan itu selepas JAIS membuat caruman PERKESO bagi kakitangannya yang berstatus sementara dan kontrak.

“Faedah ini akan diberikan sepanjang hidup kepada Nurul Izzati meskipun andai kata beliau sudah berkahwin lagi, faedah ini tetap berterusan.

“Manakala bagi anaknya faedah ini akan diberikan sehingga berusia 21 dan turut layak membuat skim pinjaman pendidikan PERKESO sehingga peringkat Ijazah pertama sekiranya tidak mendapat mana-mana pembiayaan pendidikan dari mana-mana institusi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Caruman dalam talian mudahkan urusan majikan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 NOV: Semua majikan digalakkan membuat pembayaran caruman menerusi kaedah dalam talian bagi memudahkan urusan mereka tanpa perlu ke kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau syarikat perbankan.

Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman berkata, hal itu juga bagi mengelakkan pembayaran caruman lewat dan meminimakan penggunaan buku cek.

Katanya, hanya 75 hingga 80 peratus majikan membuat pembayaran secara dalam talian, manakala selebihnya masih menggunakan bayaran biasa.

“Hal ini kerana terdapat majikan yang kurang yakin kepada teknologi sehingga ada yang lewat atau membayar di saat akhir,” katanya kepada SelangorKini pada lawatannya, ke MediaSelangor, di sini, hari ini.

Mulai 1 Januari lalu, PERKESO memperkenalkan Portal ASSIST PERKESO bagi memudahkan majikan menguruskan pendaftaran majikan dan pekerja, rekod caruman serta pembayaran caruman.

Bagi menggunakan Portal ASSIST PERKESO, majikan perlu mendaftar untuk mendapatkan ID Portal ASSIST PERKESO terlebih dahulu dengan melengkapkan Borang ID Portal ASSIST PERKESO yang boleh diperolehi menerusi laman sesawang PERKESO dan menghantarkannya ke pejabat PERKESO berdekatan.

Portal ASSIST PERKESO boleh dilawati dengan melayari www.perkeso.gov.my login Portal ASSIST.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kesedaran majikan carum PERKESO masih rendah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 NOV: Kesedaran majikan di negara ini untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilihat masih rendah.

Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman berkata, punca utama menyebabkan majikan gagal membuat caruman itu ekoran tidak mahu menanggung kerugian.

Katanya, setakat ini, kira-kira 400,000 majikan mendaftar sebagai pencarum di seluruh Malaysia, manakala lebih 200,000 majikan pula hanya di Selangor.

“Di negeri ini, kira-kira 10 hingga 15 peratus kepekaan terhadap tanggungjawab itu rendah. Jumlah berkenaan tinggi di negeri ini kerana Selangor adalah ‘lubuk’ pekerjaan dan majikan.

“Kita mahu majikan menunaikan tanggungjawab itu bagi memastikan golongan pekerja layak mendapat faedah tertentu jika berhadapan sebarang kemudaratan atau kematian, pada masa hadapan.

“Banyak majikan bertindak mengelak membayar kerana mahu jimat kos tetapi tidak tahu apa kesan yang akan berlaku kepada pekerja contohnya kemalangan yang boleh disebabkan pekerjaan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke pejabat Media Selangor, di sini.

Sehubungan itu, Mustafa berkata, pihaknya proaktif memberikan penerangan kepada majikan dan pekerja di setiap syarikat berhubung perkara terbabit.

Katanya, antara perkara ditekankan ialah program advokasi keselamatan jalan raya, proses tuntutan dan faedah diberikan.

“Masih juga ramai pekerja di luar sana yang masih tidak mengetahui faedah kita sediakan tetapi mereka dialukan datang ke pejabat kami jika terdapat kemusyikilan atau maklumat lanjut,” katanya.

Categories
SELANGOR

Isteri Allahyarham Abang Din terharu terima bantuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SERDANG, 10 OGOS: Keprihatinan ditunjukkan ramai pihak memberi kekuatan kepada Suraya Musa dan keluarga mengharungi kehidupan saban hari selepas suaminya yang juga jurukamera Media Selangor, Khairuddin Jamaluddin, meninggal dunia, pada Jun lalu.

Terbaru, beliau menerima insurans takaful berjumlah RM75,000, pencen penakat kematian RM1,510 sebulan sepanjang hayat dan faedah pengurusan mayat PERKESO sebanyak RM2,000.

Bantuan itu diberikan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dato’ Menteri Besar, Faedah PERKESO dan Takaful Malaysia Berhad, di kediamannya, di sini, semalam.

“Alhamdullilah, lega dan terharu dengan bantuan diberikan semua pihak terbabit kerana ia sangat membantu saya menyara keluarga dan membesarkan anak,” kata Suraya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Setiausaha Politik Menteri Besar, Borhan Aman Shah, turut memberi jaminan untuk membantu keluarganya dalam pelbagai aspek.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Raja Shahreen Raja Othman dan CEO Communication Corporation Sdn Bhd, Eddie Ahmad Khodzali.

Khairuddin atau lebih lebih mesra dipanggil Abang Din meninggal dunia, pada 25 Jun lalu ekoran pendarahan dalam perut, di Hospital Serdang.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.

Categories
NASIONAL

PERKESO serah bayaran Faedah Pengurusan Jenazah waris Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida Ismail

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000 kepada suami Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida Ismail, Mohd Hafiz Mohd Kassim yang meninggal dunia dalam kejadian gempa bumi ketika mendaki Gunung Rinjani, Lombok.

Menurutnya, majlis itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia supaya mengetahui hak mereka sebagai pekerja melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Allahyarhamah memenuhi syarat dan kelayakan Skim Keilatan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi melayakkan warisnya, iaitu suami beliau sebagai penerima Pencen Penakat untuk sepanjang hayatnya dan juga bayaran Faedah Pengurusan Jenazah.

“Setiap majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja bertanggungjawab memastikan perusahaan mereka didaftar dan pekerja dicarumkan,” katanya.

 

Wan Azizah berkata, terdapat 740,000 majikan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tetapi hanya 435,000 majikan aktif dengan PERKESO.

Majlis penyerahan dilakukan di pejabatnya, aras 3 Bangunan Parlimen sambil disaksikan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Azman Aziz Mohamad.

Menerusi Pencen Penakat, Mohd Hafiz akan menerima RM863 setiap bulan sepanjang hayatnya.

Beliau yang ditemui pada sidang media mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak dan memaklumkan sumbangan ini akan dimanfaatkan keluarga Allahyarhamah.

 

Mohd Hafiz yang mendirikan rumah tangga bersama Siti Nur Ies’Mawida Ismail pada Jun 2013 berkata, beliau tidak menemani Allahyarhamah isterinya ke Lombok kerana ada urusan kerja namun sempat berpesan supaya menjaga diri sepanjang berada di sana.

Sementara ibu Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida, Mazinah Mahmood berkata beliau masih terkejut diatas kehilangan anak keduanya yang sepatutnya pulang pada 1 Ogos lalu namun redha dengan ketentuan Ilahi.

 

Categories
SELANGOR

Sambutan Aidilfitri PERKESO Selangor meriah

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JULAI: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 300 kakitangan dan pelanggan, di Wisma PERKESO, di sini, hari ini.

Pengarahnya, Zainol Abu berkata, sambutan tahunan itu bertujuan meraikan Syawal dan mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan serta pelanggan.

“Menggunakan tema Aidilfitri, majlis ini turut diserikan dengan pelbagai jenis juadah enak daripada pelbagai gerai yang diuruskan sendiri kakitangan kami mengikut jabatan masing-masing.

“Selain itu, kita turut mengadakan pertandingan gerai dan juadah paling enak serta pakaian paling ‘awesome’ untuk mereka yang layak,” katanya.

Antara juadah disediakan adalah nasi arab, sate, laksa, cendol dan pelbagai jenis minuman bertujuan membangkitkan suasana Syawal.

dav

Pada masa sama, Zainol turut menyampaikan sesi serahan faedah kepada enam penerima pencen kilat dan penerima zakat.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Shuhaimi Shafiei yang disahkan meninggal dunia pagi tadi.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis itu menghembuskan nafas terakhir, pada jam 11.10 pagi, di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma.

Categories
NASIONAL

Kerajaan buru majikan gagal daftar, carum Perkeso

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUN: Kerajaan kini memberi tempoh sehingga Ogos kepada setiap majikan mendaftarkan pekerja mereka dan membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menegaskan, Perkeso akan melancarkan kempen di seluruh negara menerusi Op Kesan bertujuan memburu majikan yang gagal mematuhi syarat terbabit, pada tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, majikan yang gagal akan berdepan hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara atau keduanya sekali.

“Tetapi saya maklumkan kepada Perkeso kita tidak mahu mengheret majikan ke mahkamah. Untuk apa simpan dalam penjara? Kita mahu lihat pembabitan mereka dan Perkeso selain mewujudkan suasana mesra perniagaan.

“Alasan tidak mendaftarkan pekerja disebabkan perniagaan tidak berjalan dengan baik, tidak boleh diterima kerana apabila perniagaan maju mereka (majikan) tidak pula menggandakan caruman,” katanya memetik laporan Bernama.

Categories
NASIONAL

Suaram : Siasat Syarikat Terbabit Dalam Skandal Scorpene

SHAH ALAM 4 SEPT: Kerajaan dan agensinya didesak untuk menyiasat Syarikat Perimekar Sdn Bhd dan Terarasi Sdn Bhd serta mendedahkan kepada umum hasil sebarang penemuan.

Pengarah Eksekutif Suaran Rakyat Malaysia (Suaram), Nalini Elumalai berkata pihak Suaram menerima pelbagai bentuk tekanan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PERKESO , Umno, Perkasa serta pelbagai dakwaan daripada Utusan Malaysia dan News Strait Times ekoran pendedahan skandal salah laku dalam urusan pembelian Kapal Selam Scorpene.

Beliau mahu agar kerajaan menyiasat syarikat yang terbabit dalam skandal kapal selam itu sepertimana tekanan dan siasatan yang dikenakan terhadap Suaram.

“Malah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut membantu dalam ‘rutin menyiasat’ salah satu daripada rakan kongsi Suaram baru-baru ini,” kata Nalini dalam kenyataan media.

Ujar Nalini, Suaram diwujudkan sebagai kumpulan sokongan untuk keluarga tahanan bekas politik dalam ISA sejak tahun 1989.

Suaram juga dibangunkan untuk memperjuangkan isu salahlaku polis, hak pemohon suaka politik, pelarian, dan juga mendidik masyarakat berkenaan hak asasi manusia dan kebebasan awam.

Ujar Nalini lagi, kerajaan juga didesak untuk menghentikan mempergunakan Perkhidmatan Awam untuk cuba menjatuhkan imej Suaram dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan.

“Kita berjaya mencapai kemenangan moral ke atas pemasuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini dan tiga akta darurat selepas 23 tahun dalam perjuangan bersama-sama dengan rakyat,” katanya.