Categories
SELANGOR

Polis Selangor manfaat kenderaan kawal persisiran pantai

SHAH ALAM, 28 OKT: Polis Selangor akan menggunakan luncur jet dan basikal elektrik untuk mengawal persisiran pantai seluruh negeri bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ke Malaysia.

Ketua Polis Selangor berkata walaupun ada kemasukan dan tangkapan warga asing di Sungai Besar, Kuala Selangor, Banting serta Pulau Ketam pihaknya tetap akan meneruskan rondaan bagi mencegah kegiatan tersebut daripada berleluasa.

“Semua kenderaan ini kita akan tempatkan di pos-pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di persisiran pantai. Kita ada 18 pos dan akan agih-agihkan. Kita akan buat rondaan untuk mencegah pencerobohan Pati.

“Luncur jet ini kita akan tempatkan di pos-pos Marin untuk mereka buat rondaan untuk mengesan Pati yang mendarat. Kita ingin mencegah (kemasukan warga asing),” kata Datuk Noor Azam Jamaludin ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Beliau yang berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan berkenaan berkata kenderaan tersebut merupakan keperluan mendesak kerana kebanyakan luncur jet milik polis ditempatkan di Sabah.

Sumbangan diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari terdiri daripada lapan buah luncur jet dan 18 unit basikal elektrik yang akan digunakan dalam Op Benteng bagi memantau sebarang cubaan menceroboh sempadan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan basikal elektrik untuk kegunaan anggota polis kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika Majlis Simbolik Penyerahan Basikal Elektrik di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
SELANGOR

Polis Selangor selesaikan 46 kes tipu sasar warga emas

SHAH ALAM, 22 OKT: Polis menyelesaikan 46 kes tipu menang peraduan yang berlaku di pasar raya di sekitar Selangor dengan penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun di sebuah rumah di Pelabuhan Klang, dekat sini, jam 2 petang Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Muhamad Yazid Muhammad Yew berkata siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan penipuan itu secara bersendirian sejak Ogos lalu membabitkan mangsa kerugian berjumlah RM456,542.

Menurutnya, suspek menjalankan kegiatan antaranya di daerah Klang Selatan, Klang Utara, Shah Alam, Ampang serta Subang dengan membabitklan mangsa warga emas berusia antara 65 dan 81 tahun.

“Modus operandi suspek adalah dengan mendekati mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pengarah urusan pasar raya berkenaan. Suspek kemudiannya memberitahu mangsa yang mereka dipilih untuk memenangi sebuah kereta Toyota Vios atau Toyota Avanza.

“Suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan kad pengenalan serta kad debit atau kad kredit bersama nombor pin kononnya bagi tujuan pendaftaran dan insurans kenderaan yang dimenangi sebelum menghilangkan diri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Yazid berkata polis turut merampas 158 kad perniagaan, enam keping lesen memandu, 32 kad debit dan 10 kad kredit.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga esok dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua kes jenayah lampau melibatkan kesalahan menceroboh selain pernah dipenjarakan selama tujuh tahun di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Muhammad Yazid menyeru mana-mana individu yang pernah ditipu seumpama itu supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berikutan masih terdapat pemilik kad debit dan kad kredit yang dirampas bersama suspek tidak dapat dikesan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Polis giatkan rondaan di lokasi tumpuan ramai

SHAH ALAM, 11 OKT: Polis Selangor menggiatkan rondaan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai, antaranya pusat beli-belah, stesen minyak dan restoran.

Pihak berkuasa itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pemeriksaan bagi memastikan masyarakat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) untuk membendung penularan Covid-19.

“Masyarakat diminta agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti memakai pelitup muka, membersihkan tangan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan fizikal bagi menghentikan penularan rantaian wabak ini,” tulisnya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan polis menahan seramai 450 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Daripada jumlah itu, seramai 378 individu dikompaun, 66 orang direman manakala enam lagi dijamin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

PKPB mukim Klang: Tidak perlu kebenaran polis jika ada surat majikan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pekerja yang tinggal di kawasan dilaksanakan sekatan jalan raya (SJR) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang, perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan daripada majikan masing-masing supaya tidak timbul masalah ketika melalui SJR.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pekerja yang mempunyai surat pelepasan perjalanan daripada majikan tidak perlu mendapatkan kebenaran polis untuk keluar bekerja.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mempunyai surat pengesahan bekerja yang dikeluarkan majikan atau pas pekerja, mereka boleh memuat turun borang tersebut atau mendapatkannya dalam laman Facebook ibu pejabat polis daerah yang berkaitan atau boleh memperolehnya di lokasi sekatan jalan raya di kawasan terbabit.

“Mereka boleh memuat turun borang kebenaran dalam laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang Utara dan Shah Alam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Noor Azam berkata demikian bagi mengelak kekeliruan orang ramai mengenai pergerakan di mukim Klang yang dikenakan PKPB mulai hari ini hingga 23 Oktober.

Beliau berkata pelaksanaan SJR diadakan di Bayu Perdana, Sri Andalas serta Bukit Tinggi dalam mukim Klang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memastikan butiran pada borang berkenaan diisi dengan lengkap bagi mengelak kesesakan ketika mereka melalui SJR yang dijalankan pihak polis.

Rabu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ismail Sabri dilaporkan berkata pelaksanaan PKPB adalah bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan terbabit, selain bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksana sepanjang tempoh 14 hari.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Penduduk mukim Klang perlu kebenaran polis untuk keluar dari kawasan PKPB

KLANG, 9 OKT: Orang ramai yang tinggal di kawasan dilaksanakan sekatan jalan raya di mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini, perlu mendapatkan kebenaran polis untuk keluar dari kawasan itu bagi tujuan bekerja dan urusan penting.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata borang kebenaran itu boleh dimuat turun dalam laman Facebook Polis Daerah Klang Selatan.

Beliau berkata pelaksanaan sekatan jalan itu diadakan di Bayu Perdana, Sri Andalas serta Bukit Tinggi dalam mukim Klang.

“Untuk memudahkan orang ramai, pihak polis turut menyediakan sebuah balai polis bergerak di kawasan ini untuk mengendalikan borang kebenaran agar mereka tidak bersesak di balai polis berdekatan. Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan borang daripada majikan untuk tujuan tersebut.

“Setiap permohonan, kami akan pertimbangkan sama ada ia merupakan perkhidmatan perlu atau tidak sebelum kebenaran diberi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan yang dikenakan PKPB di sini, tengah malam tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli.

Noor Azam berkata pihaknya amat berharap masyarakat di kawasan berkenaan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Rabu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ismail Sabri dilaporkan berkata pelaksanaan PKPB adalah bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan terbabit, selain bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksana sepanjang tempoh 14 hari.

-BERNAMA

Borang untuk merentas keluar dari kawasan PKPB di mukim Klang boleh dimuat turun di Facebook Polis Klang Selatan

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti berbasikal di Selangor tidak perlu kebenaran polis

SHAH ALAM, 18 SEPT: Orang ramai yang menyertai aktiviti berbasikal secara riadah di jalan raya negeri ini tidak perlu mendapat kebenaran polis.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin meminta penggemar sukan tersebut mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan.

“Aktiviti kayuhan perlu dilakukan dalam keadaan sebaris bagi mengelak kejadian tidak diingini, mereka kena ambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Kita tidak halang aktiviti ini tetapi mereka perlu peka dengan keselamatan termasuk tidak berkayuh dalam kelompok besar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mencadangkan setiap basikal didaftar, dilesenkan serta menggunakan nombor pendaftaran seperti kenderaan bermotor.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata cadangan tersebut tidak pernah dibincangkan pada peringkat kementerian.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis tahan empat beradik terlibat pencemaran bau Sungai Gong

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Polis menahan empat lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek berumur lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

“Tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di Balai Polis Daerah Gombak. Kita akan buat permohonan reman pagi ini di Mahkamah Selayang untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kilang berkenaan diusahakan oleh empat suspek yang juga adik- beradik selepas bapa mereka meninggal dunia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lepas, telah disita dan dikompaun serta-merta selain akan dikenakan tindakan lebih tegas.

Jelasnya, kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Khamis selepas empat LRA dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Anggota tentera antara lima ditahan bersama 30 kilogram ganja

SHAH ALAM, 2 SEPT: Seorang tentera berpangkat koperal antara lima individu ditahan bersama ketulan mampat ganja seberat 30 kilogram (kg) dalam satu serbuan di parkir sebuah pasar raya di Kelana Jaya, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Superintendan Abdul Latiff Abdul Rahman berkata serbuan jam 4.30 petang itu adalah hasil aduan orang awam dan risikan pihaknya.

“Ketika serbuan berkenaan, dua lelaki masing-masing berumur 24 tahun dan anggota tentera berusia 32 tahun itu berada dalam sebuah kereta. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan ketulan mampat ganja bernilai RM75,000.

“Turut ditahan tiga lelaki berumur antara 25 hingga 27 tahun dalam kenderaan berasingan. Polis percaya mereka mungkin bertemu untuk mengagihkan bahan terlarang itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Abdul Latiff berkata soal siasat mendapati empat suspek terbabit merupakan rakan sekampung kepada anggota tentera itu dan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negeri di pantai timur untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata hasil saringan air kencing mendapati anggota tentera yang telah berkhidmat selama 14 tahun dalam angkatan itu serta dua rakannya negatif dadah manakala tiga lagi positif methamphetamine dan amphetamine.

Abdul Latiff berkata 30kg ganja yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 60,000 penagih untuk tempoh sehari.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sejak Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Polis Selangor sasar kes jenayah turun lima peratus

PETALING JAYA, 1 SEPT: Polis Selangor menyasarkan penurunan jumlah jenayah indeks sebanyak lima peratus menerusi Operasi Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor yang dilancarkan hari ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Selangor Datuk K Kumaran berkata operasi sehingga 30 September itu dilancarkan berikutan jumlah jenayah indeks yang tinggi di negeri ini terutama selepas bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata antara jenayah indeks yang membimbangkan dan akan diberi perhatian dalam operasi itu ialah samun jalanan yang banyak dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

“Memandangkan kes berkenaan menimbulkan trauma dan boleh mendatangkan ketakutan dalam kalangan masyarakat, polis Selangor mengambil langkah serius membendung gejala ini.

Datuk K Kumaran melancarkan Op Bersepadu Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor di IPD Petaling Jaya hari ini. Foto Facebook Polis Petaling Jaya

 

“Masyarakat diminta tampil membantu polis dengan menyalurkan maklumat jenayah bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya selepas melancarkan operasi berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan operasi berkenaan akan melibatkan 742 pegawai dan anggota daripada sembilan IPD iaitu Petaling Jaya, Serdang, Kajang, Gombak, Ampang Jaya, Sungai Buloh, Shah Alam, Klang Utara dan Klang Selatan.

“Konsep operasi bersepadu ini adalah secara ‘mobile’ dan statik dengan pemeriksaan dan sekatan jalan raya akan diadakan di tempat tertentu.

“Selain itu, serbuan turut akan dijalankan bagi menangkap penjenayah atau orang dikehendaki yang dikenal pasti,” katanya.

Jenayah indeks yang dicatatkan di negeri ini bermula 1 Jan sehingga semalam ialah samun berkawan tanpa senjata sebanyak 1,031 kes, samun tanpa senjata api (610), curi (2,095), curi motokar (1,020), curi motosikal (3,001) dan pecah rumah (1,838).

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis tumpas kumpulan samun ‘The Mask Man’

SHAH ALAM, 30 JULAI: Polis Selangor berjaya menumpaskan kumpulan samun ‘The Mask Man’, yang memakai topeng karakter ‘Vendetta’ ketika melakukan jenayah, sekali gus menyelesaikan 48 kes samun di tiga negeri, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata pihaknya turut menahan enam lelaki yang dipercayai ahli kumpulan itu berusia antara 27 hingga 31 tahun, menerusi beberapa tangkapan berasingan di Klang, Puchong, Selayang dan Shah Alam dalam tempoh 24 jam.

“Kumpulan ini menyasarkan pintu atau pagar rumah yang tidak ditutup sebelum suspek memanjat dan memasuki rumah tersebut dengan memakai topeng karakter ‘Vendetta’ serta mengacukan pistol atau parang.

“Ahli kumpulan ini sangat berbahaya kerana sanggup mencederakan mangsa selain sangat licik apabila menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk mengelak dikesan polis semasa melakukan jenayah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Fadzil berkata melalui tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan termasuk sepucuk pistol jenis Taurus buatan Brazil, 16 peluru hidup, beberapa senjata tajam seperti parang serta sembilan buah kereta, termasuk sebuah daripadanya dilaporkan hilang di Klang.

Beliau berkata dengan tangkapan ahli kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 40 kes samun di sekitar Selangor, enam di Kuala Lumpur serta dua di Negeri Sembilan, membabitkan kerugian lebih RM1.5 juta.

Tambahnya, polis turut menyiasat sekiranya masih ada saki baki ahli kumpulan itu.

Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu direman dua hari sehingga hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Selangor jejak 88 inidvidu gagal hadir saringan kedua Covid-19

SHAH ALAM, 30 JULAI: Polis Selangor sedang menjejaki 88 individu yang gagal membuat saringan kedua ujian Covid-19 selepas 13 hari dari tarikh saringan awal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata kesemua mereka sebelum ini telah membuat saringan pertama dan menerima arahan kuarantin di rumah daripada Kementerian Kesihatan.

“Disebabkan itu, kami telah menubuhkan Pasukan Khas untuk mengesan penama-penama ini dan sekiranya didapati bersalah tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Dengan ini, saya mendesak semua penama-penama yang masih tidak buat saringan kedua supaya hadir ke klinik kesihatan dengan segera,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Fadzil berkata kegagalan mereka menjalani ujian saringan kedua itu akan menggusarkan masyarakat kerana virus itu boleh menular jika ujian saringan tersebut didapati positif.

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata sebanyak 3,267 kompaun telah dikeluarkan kepada individu kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan dan daripada jumlah itu hanya 639 membuat pembayaran.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

800 polis pantau pusat sembelih, masjid Selangor

SHAH ALAM, 28 JULAI: Lebih 800 anggota polis terbabit operasi khas sempena sambutan Aidiladha Jumaat ini, kata ketua polis Selangor.

Datuk Noor Azam Jamaludin berkata mereka ditempatkan di masjid dan pusat penyembelihan daerah bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawaian (SOP) solat sunat raya dan ibadah korban.

“Mana-mana yang ingkar SOP akan terus dikenakan tindakan serta merta seperti kompaun dan denda.

“Polis Selangor mahu ingatkan semua pihak supaya patuh dan memberi kerjasama bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan SOP sambutan Aidiladha mengehadkan jumlah haiwan tidak lebih 10 ekor di tempat penyembelihan dan kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut nisbah 20 orang untuk setiap haiwan.

Noor Azam menambah lebih 3,000 polis memantau keadaan semasa di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun lalu.

“Anggota turut dibantu Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan askar selain petugas Unit Rondaan Bermotor dan kereta peronda polis.”