Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 13,000 anggota polis Selangor digerak ketika Aidilfitri

SHAH ALAM, 27 APRIL: Lebih 13,000 anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor akan digerakkan bagi memastikan kelancaran sambutan perayaan Aidilfitri bulan depan, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata hampir kesemua anggota dan pegawai polis akan digerakkan mengikut jadual dan tugasan masing-masing ketika Aidilfitri nanti namun, kelonggaran bercuti masih diberi kepada anggota tetapi dalam bilangan yang sedikit.

“Kalau kita bagi kebenaran bercuti sebelum raya, maknanya selepas raya dia ada (bekerja) balik,” katanya kepada pemberita selepas menerima lebih 1,500 bekas bubur lambuk daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd dan Syarikat Era Bayam Kota (ERA) Sdn Bhd untuk diagihkan kepada petugas di IPK Selangor hari ini.

Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata pihaknya akan menggunakan pertimbangan ketika melakukan pemeriksaan rumah ke rumah khususnya bagi aktiviti ziarah sepanjang Syawal nanti.

“Pemeriksaan pematuhan Aidilfitri, kita tengok pada keadaan dan ‘common sense’. Kalau keluarga besar… itu cerita lain. Tapi ia masih bergantung kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang akan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) nanti,” katanya.

Sementara itu, Arjunaidi berkata pihaknya hari ini turut melancarkan Program Dapur Rezeki, iaitu program bantuan keperluan barangan asas bertujuan untuk membantu anggota polis Selangor yang memerlukan.

“Kita mewujudkan program ini untuk anggota yang mempunyai tanggungan besar, anak kurang upaya (OKU) dan isteri yang tidak bekerja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis kesan sindiket penipuan ejen pembelian dalam talian Lazada

SHAH ALAM, 20 APRIL: Polis Selangor mengesan sindiket penipuan yang kononnya menjadi ejen mencari pekerja sambilan bagi platform e-dagang, Lazada sejak 6 Feb lepas yang melibatkan kerugian lebih RM200,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata sindiket tersebut menawarkan pekerjaan sebagai ejen pembelian dalam talian dan mangsa akan diminta melengkapkan tugasan menjual barang untuk mendapatkan keuntungan yang dijanjikan oleh mereka.

Muhammad Yazid berkata mangsa juga dikehendaki membayar beberapa kos bagi membolehkan mereka mendapat pulangan yang dijanjikan sebagai ejen tersebut.

“Sejak 6 Feb hingga hari ini, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka pihak polis melibatkan sindiket penipuan ini dengan nilai kerugian sebanyak RM219,271.

“Sindiket ini kebiasaannya akan memberi semula pulangan kos yang dibayar berserta komisen seperti yang dijanjikan pada tugasan pertama dan kedua, namun memasuki tugasan seterusnya mereka akan mula berdolak-dalik sebelum tidak dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Yazid berkata sindiket ini akan terlebih dahulu mengarah mangsa membayar harga barangan yang tertera setelah dihubungi melalui nombor telefon yang tidak dikenali ataupun WhatsApp dan pembayaran dilakukan bukan melalui akaun Lazada tetapi terus ke akaun sindiket.

“Tujuan pembayaran bukanlah untuk pembelian barangan tetapi bagi menaikkan rating barangan tersebut di akaun Lazada. Sindiket akan menerangkan kononnya mangsa akan menerima semula kos pembayaran barangan berserta pulangan komisen sebanyak lapan hingga 15 peratus sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Susulan itu, Muhammad Yazid menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketikan berurusan mencari pekerjaan sambilan terutamanya melalui platform secara dalam talian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes pukul sebab puasa: Polis minta orang awam tidak keruh keadaan

SHAH ALAM, 17 April: Polis Diraja Malaysia menggesa dan menasihatkan masyarakat, agar tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri dan mengeruhkan keadaan susulan kejadian dua pengawal peribadi yang dipukul oleh majian kerana berpuasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya mengesan beberapa gesaan yang berbaur ugutan daripada pihak tertentu, untuk mengisytiharkan perang dan mengepung kawasan Klang.

“Kenyataan yang sebegini, boleh mengeruhkan keadaan, serta menjejaskan ketenteraman awam dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu beliau berkata beberapa video klip juga dikesan dimuat naik dari pelbagai platform media sosial, yang menggesa supaya tindakan setimpal diambil terhadap suspek.

Arjunaidi berkata, sehingga ini pihak polis mengesahkan seramai lima orang ditangkap melalui beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan.

Dari jumlah tersebut, katanya seramai empat orang ditangkap di Klang Selatan, Selangor sementara seorang lagi di Dang wangi, Kuala Lumpur dan kesemua suspek ditahan reman antara lima hari hingga tujuh hari.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis Selangor perketat kawalan di sekatan jalan, bazar Ramadan

KLANG, 15 APRIL: Polis Selangor memperketat kawalan sekatan jalan raya (SJR) dan berkemungkinan menambah SJR mengikut keperluan bagi membantu usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

“Kita telah mengeluarkan arahan agar pemeriksaan yang lebih ketat dibuat terutama pada hujung minggu kerana berdasarkan pemerhatian dibuat banyak pergerakan berlaku pada hujung minggu,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan hari ini, Arjunaidi berkata sebahagian kompaun yang dikeluarkan sebelum ini juga adalah berkaitan kesalahan merentas negeri.

“Pihak Bukit Aman juga memberi arahan untuk kita membuat penelitian lebih kepada semua permohonan rentas negeri dan hanya memberikan kebenaran kepada perkara-perkara berkaitan pekerjaan, pendidikan dan hal-hal kecemasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh dua hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa pihaknya mendapati banyak berlaku pelanggaran terhadap tatacara operasi piawai (SOP) di bazar-bazar terutama membabitkan SOP penjarakan fizikal.

“Saya arahkan semua ketua polis daerah dan petugas-petugas di bawah untuk mengambil tindakan tegas mulai sekarang kepada semua individu yang melanggar SOP. Kita mahu masyarakat mematuhi SOP kerana tidak mahu lagi muncul kluster-kluster baharu.

“Kita juga akan mengambil tindakan kepada penganjur dan mungkin kita akan menutup bazar-bazar yang berkenaan,” katanya.

Semalam, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 517 kes, diikuti Sarawak 489 kes dan Kelantan sebanyak 226 kes daripada keseluruhan 1,889 kes yang dicatatkan di seluruh negeri di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tumpas sindiket dadah, rampas lebih RM3 juta syabu

SHAH ALAM, 3 MAC: Polis Kontinjen Selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah untuk pasaran Lembah Klang dengan menahan tiga lelaki serta merampas 69.065 kg dadah jenis methamphetamine bernilai RM3.1 juta dalam tiga serbuan berasingan di Serdang dan Ampang Jaya.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor yang membuat ketiga-tiga serbuan pada 26 Feb lepas berjaya menahan kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 38 tahun.

“Hasil siasatan yang dijalankan polis mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak awal tahun ini dan dadah tersebut dipercayai diperoleh dari negeri pantai timur yang dibawa masuk dari negara jiran di utara semenanjung,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata siasatan awal terhadap kesemua suspek yang berperanan sebagai penghantar dadah mendapati mereka ditawarkan upah sebanyak RM10,000 untuk setiap penghantaran yang dilakukan.

Arjunaidi berkata pada serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di Serdang dan merampas satu beg kanvas berisi 10 bungkus plastik disyaki dadah jenis syabu dalam sebuah kenderaan pelbagai guna Naza Citra manakala dalam serbuan kedua seorang suspek lelaki juga ditahan di Serdang.

Katanya susulan tangkapan ketiga-tiga suspek, polis melakukan serbuan ketiga pada hari yang sama dan merampas sebanyak tiga beg berisi 60 bungkusan dadah yang juga disyaki syabu yang disimpan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di hadapan sebuah rumah di Ampang Jaya.

Katanya saringan awal yang dijalankan mendapati hanya seorang suspek yang positif methamphetamine dan amphetamine dan semakan juga mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kesemua mereka ini berperanan sebagai pihak yang membawa dan menerima dadah yang akan dipasarkan di Lembah Klang dan kita akan menjalankan siasatan lanjut mengenai rangkaian sindiket ini,” katanya.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari mulai 27 Feb hingga 5 Mac. Kes diklasifikasikan dan siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Mahkamah tolak permohonan polis tahan reman pengasas Sugarbook

SHAH ALAM, 18 FEB: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Peguam yang mewakili lelaki tersebut, Foong Cheng Leong berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noorasyikin Sahat menolak permohonan pihak berkuasa berkenaan selepas anak guamnya memberi aku janji akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata lelaki tempatan berusia 34 tahun yang berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada 4.30 petang semalam di sebuah kondominium di ibu negara.

“Menerusi siasatan awal, suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 372(1)(d) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut Fadzil, hingga kini sebanyak 74 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes itu.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook yang menyediakan platform untuk mencari teman janji temu itu.

Susulan aduan orang ramai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat akses ke laman tersebut yan turut mendakwa semakin ramai wanita di negara ini, khususnya penuntut universiti, menawarkan diri menjadi sugar baby menerusi laman berkenaan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Abdul Jalil dilantik ketua polis Selangor

Categories
SELANGOR

Polis Selangor terima laporan ajaran sesat ‘Islam Melayu’

SHAH ALAM, 2 FEB: Polis Selangor menerima beberapa laporan polis berhubung ajaran Islam Melayu dibawa individu yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Fadzil Ahmat berkata siasatan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas (JSJT) Bukit Aman berikutan laporan turut diterima di negeri lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan pihaknya sedang menunggu maklum balas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyiasat isu berkenaan.

Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan individu melakukan upacara paluan gong yang dipercayai ritual ajaran agama Melayu di sebuah pulau yang dipercayai di Pulau Besar, Melaka.

Agama itu didakwa menggunakan lafaz syahadah yang pelik (ila ha ila ra ila ma) dan disambung dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali.

Categories
SELANGOR

Polis Selangor selesai 31 kes tipu pinjaman wang, tahan 14 individu

SHAH ALAM, 27 JAN: Sebanyak 51 kes penipuan pinjaman wang tidak wujud (PTW) membabitkan kerugian RM617,758.70 berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 13 hingga 25 Januari, kata polis Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata 14 suspek ditahan dan 31 kes berjaya diselesaikan.

“Penipuan ini menggunakan platform media sosial untuk mencari mangsa dengan menawarkan pinjaman pada kadar faedah lebih rendah berbanding institut kewangan berdaftar.

“Mangsa yang terpedaya akan diarah membuat bayaran wang proses sebelum mereka menghilangkan diri. Ini menyebabkan mangsa mengalami kerugian,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Muhammad Yazid, jumlah kes dilaporkan itu meningkat 24.40 peratus berbanding 41 kes dicatatkan tahun lalu dalam tempoh sama manakala kerugian meningkat 12.80 peratus berbanding RM547,686.86 tahun lalu.

“Orang ramai diminta berhati-hati membuat pinjaman wang terutama menerusi sistem dalam talian. Lakukan semakan di aplikasi Semakmule CCID atau laman sesawang www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Berita PKPD seluruh Selangor mulai hari ini tidak benar – polis

SHAH ALAM, 12 DIS: Polis mengesan berita palsu di media sosial berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di seluruh Selangor mulai hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata berita berkenaan tidak benar dan meminta orang ramai supaya bertenang serta tidak mempercayainya atau terpengaruh.

“Orang ramai juga diminta tidak membuat perkongsian atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

“Perbuatan ini menyebabkan kegusaran masyarakat dan boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular berita yang tertera ayat ‘PKPD di Selangor serta-merta, bermula 12 Disember 2020 dan semua pintu masuk dan keluar Selangor’ yang berlatar belakang siaran berita televisyen tempatan.

Categories
SELANGOR

29 individu disyaki terlibat aktiviti jenayah ditangkap – polis

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 29 suspek disyaki terlibat aktiviti gengsterisme dan jenayah terancang ditahan polis dalam operasi besar-besaran susulan kejadian tembak di hadapan sebuah sekolah di Banting pada 25 September lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata operasi besar-besaran itu dilakukan pihaknya dengan JSJ Bukit Aman di sekitar negeri tersebut baru-baru ini.

Beliau berkata kertas siasatan kes berkaitan juga telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 27 Okt lepas untuk dinilai bagi mendakwa kesemua suspek berkaitan jenayah terancang.

“Kejayaan untuk mendakwa kesemua suspek itu nanti diharapkan dapat mengekang dan menghapuskan aktiviti berunsurkan gengsterisme serta jenayah terancang di sekitar Banting, Kuala Langat dan seterusnya di seluruh negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada 25 September itu, seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera di dada dan beberapa bahagian badan akibat ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, tiga pelajar sekolah menengah turut cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua mangsa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB: Polis Selangor keluarkan lebih 100 kompaun setiap hari

SHAH ALAM, 3 NOV: Kesedaran orang awam terhadap kepentingan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih rendah berikutan ramai yang melanggar peraturan.

Ketua polis Selangor berkata sepanjang PKPB yang dilaksana mulai 14 Oktober lalu, pihaknya mengeluarkan lebih 100 kompaun setiap hari.

“Ramai masih ingkar. Pelbagai kesalahan dilakukan dan antara yang tertinggi adalah berkumpul di tempat awam.

“Ramai juga yang degil tetap merentas daerah walaupun perkara itu tak dibenarkan serta menaiki kenderaan lebih dari jumlah ditetapkan,” kata Datuk Noor Azam Jamaludin kepada SelangorKini.

Susulan itu beliau meminta orang awam supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan demi memutuskan rantaian Covid-19.

PKPB di Selangor sepatutnya tamat pada 27 Oktober lalu namun dilanjutkan hingga 9 November selepas kes jangkitan virus itu terus meningkat.