Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Hadiah bermakna buat Sultan Selangor, penyokong Red Giants

SHAH ALAM, 25 OGOS: Jurulatih Pilihan Selangor, B Sathianathan mendedikasikan kejuaraan Piala Sultan Selangor 2019 (TSSC 2019) kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seluruh penyokong setia skuad Gergasi Merah.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu turut berterima kasih kepada semua anak buah kendaliannya termasuk beberapa pemain PKNS FC selepas berjaya mengekalkan mahkota kejuaraan piala berkenaan yang dimenangi tahun lalu.

Katanya, kemenangan menjulang piala berprestij itu membakar semangat pasukan meneruskan rentak permainan cemerlang dalam saingan Piala Malaysia.

Kapten Selangor, Amri Yahyah merembat bola ke arah gawang gol pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

“Saya tahu mereka (pemain) penat kerana bekerja keras mengharungi tiga perlawanan sepanjang lapan hari, tetapi mereka masih berupaya mengawal permainan dan mencipta banyak peluang dalam kejohanan ini.

“Ramai antara mereka yang boleh dipuji memandangkan corak permainan ditampilkan cukup baik termasuk pemain PKNS FC, walaupun hanya bermain untuk sehari, tetapi kita nampak kualiti dan keserasian dengan pasukan Selangor,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan, di Stadium Shah Alam, di sini malam tadi.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bersalaman bersama pemain veteran sebelum sepak mula Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat bagi menyaksikan perlawanan epik antara dua musuh tradisi, Selangor dan Singapura itu.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar.

Pada aksi 90 minit malam tadi, pasukan pilihan Selangor tidak menunggu lama untuk menjelmakan gol tunggal hasil tandukan penyerang import, Ifedayo Olusegun pada minit ke-18 menerusi gerakan kemas kapten pasukan, Amri Yahyah sekali gus meleburkan hasrat pelawat merangkul trofi kejuaraan itu.

Skuad bawah 15 (B15) tahun Selangor pula menumpaskan Singapura bagi kategori Piala Cabaran Sekolah-Sekolah selepas meraih kemenangan 3-1 pada aksi sebelah petang.

Pemain penyerang pasukan veteran Selangor, Asmawi Bakiri mengawal bola daripada dirampas pihak lawan pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Bagaimanapun, impian skuad veteran Selangor untuk menyapu bersih kejuaraan tidak kesampaian apabila kecundang 0-2 di tangan veteran Singapura menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, beliau berpuas hati dengan kehadiran lebih 50,000 penonton pada perlawanan terbabit, sekali gus menepati sasaran awal ditetapkan sebelum ini.

“Alhamdulillah, syukur kerana apa yang diterjemahkan selama ini akhirnya menjadi realiti dan ini adalah satu penghasilan amat membanggakan. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit bersama dalam menjayakan penganjuran Piala Sultan Selangor 2019,” katanya.

Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Piala Sultan Selangor kekal milik gergasi merah

SHAH ALAM, 25 OGOS: Skuad Pilihan Selangor membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan Piala Sultan Selangor 2019 (TSSC 2019) selepas membenam Pilihan Singapura 1-0, di Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi.

Kejayaan manis itu sekali gus, menyaksikan Selangor merangkul trofi gah berkenaan buat kali ke-10 sejak ia dianjurkan pada 2001, manakala Singapura kekal dengan rekod lapan kali muncul juara Piala Sultan Selangor termasuk juara bersama pada 2004.

Beraksi di hadapan kira-kira 55,000 penonton, skuad kendalian B Sathianatan bermula agak agresif dengan mengatur serangan bertali arus ke kubu lawan bagi mencari gol awal.

Kapten Selangor, Amri Yahyah merembat bola ke arah gawang gol pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Gol yang dinanti tuan rumah terhasil pada minit ke-18 selepas kapten pasukan, Amri Yahyah yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti mengumpan bola kepada Ifedayo Olusegun dan ditanduk kemas penyerang import Selangor itu.

Jaringan pertama dihasilkan bagaikan meniup semangat Red Giants untuk terus menggempur pertahanan lawan walaupun sering diasak jentera serangan Singapura hingga berakhir babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor terus menggandakan asakan bagi mencari gol tambahan, sementara pasukan pelawat cuba menyusun rentak permainan dengan menyerap tekanan pasukan tuan rumah dan melakukan beberapa serangan balas.

Namun, tiada sebarang jaringan terhasil dan keputusan 1-0 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Terdahulu, pada aksi sebelah petang, skuad bawah 15 (B15) tahun Selangor menumpaskan Singapura bagi kategori Piala Cabaran Sekolah-Sekolah selepas meraih kemenangan 3-1 pada aksi sebelah petang.

Sementara itu, skuad veteran Selangor pula terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 di tangan veteran Singapura menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan medal kepada pemain Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor, di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Kesemua hadiah kemenangan disampaikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berkenan menyaksikan dan merasmikan TSSC 2019.

Mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Terdahulu, saingan setahun sekali itu turut dimeriahkan dengan beberapa pertunjukan termasuk persembahan artis, pancaran laser istimewa dan bunga api.

Lebih menarik, hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Honda City turut menjadi rebutan seluruh penyokong kedua-dua pasukan.

Pemain penyerang pasukan veteran Selangor, Asmawi Bakiri mengawal bola daripada dirampas pihak lawan pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019 .Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Antara legenda Selangor yang beraksi pada perlawanan itu termasuk Datuk Soh Chin Aun, Karim Pin, P Maniam, Shahril Majid dan Khalid Ali.

Sementara itu, pasukan veteran Singapura pula menampilkan Fandi Ahmad selaku kapten, Nazri Nasir, Malek Awab dan Razali Saad.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Sokongan padu peminat bantu Selangor baiki kedudukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BESAR, 16 MAC: Sokongan padu penyokong terhadap pasukan Selangor diperlukan bagi membantu Red Giants memperbaiki kedudukan dalam Liga Super 2019, pada April nanti.

Pemain Selangor, Amri Yahyah berkata, beliau dan rakan sepasukan lebih bersedia mengharungi perlawanan selepas tamat tempoh liga berehat selama dua minggu.

“Saya juga berharap pemain akan lebih bersedia selepas mendapat masa rehat selama dua minggu ini dan meningkatkan kerjasama lebih tinggi.

“Saya dan pasukan akan sedaya upaya memperbaiki kedudukan dengan kerjasama pihak pengurusan dan harap akan dapat memberikan tentangan sengit dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri segmen ‘Meet and Greet’ Persatuan Bola Sepak Selangor Bersama Taylor Regan & Amri Yahyah, di program Jelajah 360 Smart Selangor “Alami Smart Selangor”, di Stadium Sungai Besar di sini, hari ini.

Amri berkata, sokongan padu penyokong mampu menjadi tonik terbaik untuk pemain memberi aksi terbaik masing-masing.

“Kepada penyokong, teruslah menyokong pasukan Selangor walaupun apa terjadi kami akan berusaha bersungguh-sungguh meletakkan pasukan ini di kedudukan terbaik,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Gergasi Merah perkenal jersi ketiga baharu hadapi Liga-M 2019

SHAH ALAM, 16 DIS: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini memperkenalkan jersi ketiga pasukan bola sepak Selangor bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Pada musim depan, pasukan digelar ‘Red Giants’ itu bakal menggunakan jersi jenama Joma dan berbeza dari tahun ini, jersi ketiga pasukan itu kini berwarna hijau yang juga merupakan warna rasmi Raja Muda Selangor.

Pada musim 2018, jersi ketiga pasukan Selangor berwarna kuning.

Pelancaran jersi berkenaan disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga merupakan Presiden FAS di Stadium Shah Alam di sini, sempena Hari Bola Sepak Selangor.

Turut diperkenalkan semasa pelancaran jersi berkenaan adalah 24 pemain bakal membawa cabaran pasukan Selangor dalam Liga-M 2019.

Antara barisan pemain yang diperkenalkan adalah Wan Zack Haikal Wan Noor, Abdul Latiff Suhaimi, Mohd Faiz Mohd Nasir, Mohd Amri Yahyah, Rufino Segovia serta ketua jurulatih B. Sathianathan.

Sementara itu, Tengku Amir Shah dalam ucapan perasmiannya, bertitah pihaknya dan pengurusan baharu FAS telah melaksanakan pelbagai transformasi bagi mengembalikan semula status pasukan Selangor sebagai kuasa besar bola sepak tempatan.

“FAS kini lebih terbuka, mudah didekati dan mesra peminat, penyokong nak kita jadi juara Asia, dan kita (FAS) kena berfikir untuk bagaimana menjadi juara,” titah baginda.

Sementara itu, Sathianathan ketika ditemui pemberita berkata pihaknya sedang meneliti beberapa pemain import untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan musim akan datang.

“Saya kini sedang mengadakan rundingan dengan seorang pemain, dia pernah bermain dengan saya dan saya tahu kemampuan dia, tetapi dua lagi pemain import bagi posisi pemain tengah dan pemain pertahanan, kita sedang cari.

“Saya mungkin tidak mengisi kuota pemain import dari ASEAN kerana bagi saya pemain ini yang bagus dari Vietnam dan Thailand, tapi nak dapatkan mereka memang susah kerana mereka dibayar gaji tinggi dan ada bayaran perpindahan, kita kena realistik,” katanya.

Mengulas mengenai dua pemain pasukan itu, Mohd Shazwan Zainon dan Muhammad Syahmi Safari, Sathianathan berkata pihaknya memberi cuti selama dua minggu kepada kedua-dua pemain kebangsaan itu yang baru sahaja menamatkan saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Pada aksi malam tadi, harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau lapan tahun menjulang Piala AFF Suzuki tidak kesampaian setelah kalah tipis 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali kedua selepas 2008 menerusi keputusan agregat 3-2, dan ia sekali gus meranapkan impian Malaysia meraih kejuaraan kedua selepas edisi 2010.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

Rancang 10 perlawanan pemanas badan untuk Gergasi Merah

 

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Ketua Jurulatih baharu Selangor, B Sathianathan merancang mengadakan 10 aksi pemanas badan untuk skuad Gergasi Merah sebagai persiapan rapi menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.

Pengendali berusia 60 tahun itu menjelaskan beliau sudah mengenal pasti pasukan yang akan diuji oleh skuad Gergasi Merah pada aksi persahabatan berkenaan, namun akan merujuk kepada pihak pengurusan untuk perbincangan mendalam mengenai rancangan berkenaan.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan kesemua pemain pada 3 Disember ini sebelum memulakan latihan pramusim pada 4 Disember dan saya harap kesemua pemain dapat memberikan komitmen terbaik dalam kesemua perlawanan persahabatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, bekas pengendali skuad kebangsaan itu menjelaskan beliau sedang mengintai khidmat beberapa pemain tempatan berpengalaman selain beberapa pemain import bagi memperkuatkan skuad Gergasi Merah,

Selangor sebelum ini berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap kebangsaan, Mohd Syazwan Zainon dan rakan sepasukannya, Abdul Halim Saari dari Kedah, selain mengintai peluang mengikat bekas perancang tengah kebangsaan, Safiq Rahim yang tidak akan bersama Johor Darul Ta’zim, musim depan.

“Pihak pengurusan sedang mengadakan perbincangan dengan pemain import kita, Rufino Segovia (dari Sepanyol), manakala selebihnya saya akan menilai mereka pada aksi persahabatan.

“Kalau pemain masih ada kontrak, saya akan beri peluang kepada memandangkan kita boleh mendaftarkan sehingga 30 pemain. Saya lihat Selangor merupakan antara pasukan yang banyak menampilkan pemain-pemain muda dan saya akan memberi peluang kepada mereka untuk terus beraksi dengan skuad utama Selangor,” katanya.

Pencapaian terbaik Selangor pada musim ini adalah muncul naib juara Piala FA, selain menduduki tangga kelapan daripada 12 pasukan dalam Liga Super.

Skuad Gergasi Merah, bagaimanapun gagal melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

MFL terima pengesahan 20 pasukan musim Liga Malaysia 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 NOV: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerima pengesahan 20 pasukan yang bakal beraksi dalam Liga Malaysia 2019.

Daripada jumlah itu, 11 pasukan daripada Unifi Liga Super manakala bakinya beraksi dalam 100Plus Liga Primier.

11 pasukan itu adalah Perak, PKNS FC, Pahang, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Kedah, Melaka, Selangor, PKNP FC, Kuala Lumpur dan Felda United FC.

Manakala sembilan pasukan dari 100PLUS Liga Premier iaitu, Negeri Sembilan, Kelantan, MIFA, Johor Darul Ta’zim II, PDRM, Sabah, Sarawak, UiTM FC, Pulau Pinang.

Manakala dua pasukan telah gagal membuat pengesahan penyertaan iaitu pasukan Felcra FC dari unifi Liga Super dan UKM FC dari 100PLUS Liga Premier.

MFL berkata, setiap pasukan harus mengemukakan beberapa dokumen kepada bagi melengkapkan pendaftaran.

“Antara dokumen tersebut adalah seperti surat penyata kewangan bagi selesai pembayaran dan tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN dari bulan Januari sehingga November 2018, pengesahan venue, resit pembayaran penyertaan pasukan, warna jersi bagi tahun 2019 dan surat pengesahan penajaan,” katanya.

Tempoh Pendaftaran Pasukan telah pun bermula apabila surat telah dihantar kepada 20 pasukan tersebut bertarikh 16 November 2018

Setiap pasukan wajib melengkapkan kesemua dokumen pada tarikh tutup pendaftaran iaitu pada atau sebelum 13 Disember 2018.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Nazliazmi: Pemain muda Selangor berpotensi menyerlah hebat

OLEH HAFIZAN TAIB

BUKIT JALIL, 8 JUL: Walaupun Selangor tewas namun Nazliazmi Nasir tetap berpuas hati dengan barisan pemain mudanya yang berjaya memberi cabaran bermakna kepada Pahang dalam perlawanan akhir Piala FA, malam tadi.

Ketua jurulatih itu mengakui pengalaman memisahkan kedua pasukan dengan Pahang berjaya mengambil kesempatan seterusnya menyudahkan peluang dengan jaringan gol.

“Pahang mengambil kesempatan atas kelebihan pengalaman dengan pemain seperti Faisal Rosli, Bunyamin Umar dan Muslim Ahmad berjaya menyaingi pemain kita dengan bertindak baik dalam perlawanan ini.

“Secara keseluruhan pemain Selangor mempamerkan permainan baik walaupun ada beberapa kesilapan dilakukan pemain muda seperti D Kugan dan Amirul Ashraf namun ia pengalaman bagus untuk mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Dalam perlawanan itu, Pahang mengalahkan Selangor 2 – 0 hasil jaringan Muhd Nor Azam Abdul Azih dan Patrick Dos Santos Cruz.

Beliau berkata, begitupun The Red Giants masih berkemampuan memberi cabaran dengan beberapa serangan biarpun penyerang, Rufino Segovia Del Burgo kelihatan kurang mendapat sokongan dengan barisan tengah agak lambat bertindak.

Bagaimanapun, katanya, Selangor berjaya menafikan Pahang kemenangan mudah dengan gandingan Razman Roslan dan Alfonso De La Cruz Calero menggagalkan beberapa percubaan di depan pintu gol.

“Selepas ini kita akan kembali fokus kepada Liga Super kerana Selangor menghadapi jadul ketat dalam tempoh seminggu dengan menentang Kelantan pada 11 Julai diikuti Kuala Lumpur (15 Julai),” katanya.

Sementara itu, Razman berkata, walaupun sedikit kecewa tak dapat membawa pulang Piala FA tetapi baginya ia pengalaman bagus untuk pemain muda kerana perjalanan karier masih panjang.

“Saya jangkakan dalam tempoh dua ke tiga tahun Selangor akan menjadi lebih baik dengan mentaliti juara di mana mereka muda perlu bekerja lebih keras,” katanya mengingatkan Selangor perlu kembali bangkit untuk fokus pada baki saingan Liga Super dan kempen Piala Malaysia selepas ini.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Nazliazmi: Selangor waspada, guna kelebihan ke final

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Ketua jurulatih, Nazliazmi Mohd Nasir berharap Selangor tidak hilang fokus dan akan terus meningkatkan permainan menentang PKNS FC pada separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu depan.

Selepas memperoleh kemenangan selesa 4 – 0 dalam separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam dan dianggap selangkah ke perlawanan akhir tetapi beliau tidak memandang mudah cabaran PKNS FC dan menjangka satu perlawanan sengit bakal dihadapi The Red Giants di Stadium Shah Alam nanti.

“Berdepan PKNS FC yang dibarisi sebahagian pemain kebangsaan dan import berkualiti, persembahan ditunjukkan pemain dalam perlawanan ini mereka berhak untuk memenanginya dengan empat gol diperoleh sebagai modal untuk perlawanan seterusnya.

“Bagaimanapun saya menjangka separuh akhir kedua di Shah Alam akan lebih sengit dengan kedua pasukan memerlukan kemenangan dan Selangor perlu bijak mengekalkan kelebihan dimiliki,” katanya kepada media selepas perlawanan antara Selangor dan PKNS FC di sini, semalam.

Dalam perlawanan itu, Selangor mengalahkan PKNS FC 4 – 0 hasil jaringan hatrik penyerang import, Rufino Segovia Del Burgo dan satu gol sendiri pertahanan lawan, Azmizi Azmi.

Dengan kemenangan itu, beliau berkata, The Red Giants diharap terus berusaha mengekalkan momentum kerana ia peluang terbaik pasukan itu layak ke perlawanan akhir yang kali terakhir dilakukan pada 2009.

“Selangor berdepan tugas mencabar kerana menghadapi jadual perlawanan agak padat dan kita juga perlu fokus kepada perlawanan Liga Super serta tidak boleh membiarkan mata tercicir.

“Kita akan fokus dan membuat beberapa perubahan bertemu Pahang, Selasa ini,” katanya.

Selepas 15 perlawanan liga, Selangor kini di tangga kelapan dengan 19 mata hasil lima kemenangan, empat seri dan enam kalah.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Selangor belasah PKNS FC 4 – 0 dalam separuh akhir pertama Piala FA

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Selangor membelasah PKNS FC 4 – 0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2018 di Stadium Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Kemenangan The Red Giants dicatat menerusi jaringan hatrik Rufino Segovia Del Burgo dan jaringan sendiri pertahanan PKNS FC, Azmizi Azmi.

Rufino Segovia menjaringkan gol pertama pada minit ke-39 melalui satu sepakan kencang melepasi Taufik Ar Rasyid Johar.

Penyerang import dari Sepanyol itu menghukum pertahanan The Red Ants seminit selepas itu untuk gol keduanya dengan rembatan dari sebelah kiri pintu gol.

Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Datuk K Rajagopal berusaha bangkit dengan memasukkan Safee Sali menggantikan Jafri Firdaus Chew dan beberapa serangan dilancar ke kubu Selangor.

Bagaimanapun Selangor terus mengukuhkan kedudukan apabila Rufino Segovia (m56) mencapai hatrik dengan menyempurnakan hantaran D Kugan di depan gol.

Juara lima kali itu mendapat gol keempat apabila Azmizi Azmi (m64) tertampan masuk bola percubaan Rugino Segovia.

Keputusan kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Suhaimi Mat Hassan.

Dengan kelebihan empat gol, skuad bimbingan Nazliazmi Mohd Nasir membawa bekalan selesa berdepan PKNS FC dalam separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, 30 Jun ini.

=EZY=

Categories
SELANGOR SUKANKINI

RMS mampu kembalikan kegemilangan bola sepak Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 JUN: Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari menyambut baik hasrat Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan menerima tawaran untuk menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Beliau berkata, perkhabaran yang dimaklumkan Setiausaha Sulit Kanan kepada DYMM Sultan Selangor Dato’ Mohamad Munir Bani disifatkan sebagai satu keputusan yang tepat bagi mengembalikan kegemilangan bolasepak Selangor yang selama ini cukup disegani.

“Kerajaan Selangor bersedia membantu segala usaha baginda dalam perkara ini serta meyakini kemampuan baginda untuk membawa FAS serta pasukan bolasepak Selangor ke hadapan.

“Begitu juga tekad dan iltizam baginda untuk memfokuskan kepada pembangunan akar umbi bolasepak akan disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor sejajar dengan Pelan Perancangan Pembangunan Sukan Negeri.

“Sudah pastinya di masa hadapan lebih banyak idea pembangunan boleh diterjemahkan bagi merancakkan lagi program-program pembangunan bolasepak negeri,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, khabar gembira ini pastinya akan disambut penuh bersemangat penyokong dan era kepimpinan baginda dalam FAS kelak akan menerima sokongan tidak berbelah bagi rakyat Selangor sepertimana ditunjukkan sepanjang baginda menganjurkan program anak muda dan sukan selama ini.

“Saya mendoakan agar baginda diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam menjalani tugas selaku Presiden FAS.

“Dengan izin Allah, baginda pasti dapat menggalas harapan rakyat Selangor khususnya peminat setia Pasukan Merah Kuning demi meletakkan pasukan kembali menjadi yang terkuat dan terbaik di tanahair ini,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Red Giants ikat 8 pemain Piala Presiden

KUALA LUMPUR 2 DIS: Juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor, mengikat lapan pemain Piala Presiden dan dua pemain muda daripada pasukan kebangsaan Indonesia, bagi memantapkan pasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) pada Sabtu mengesahkan bahawa, skuad Gergasi Merah telah menandatangani kontrak dengan kapten pasukan Bawah-23 tahun negara itu yang meraih pingat gangsa Sukan SEA, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.

Kedua-dua pemain itu sebelum ini bermain untuk kelab Bhayangkara FC yang meraih gelaran sulung Liga 1 Indonesia pada musim ini.

Subahan berkata Selangor turut membawa masuk penyerang muda berusia 21 tahun dari Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj, selain melanjutkan kontrak penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia, 32, untuk memperkuatkan jentera serangan.

“Kita memang nak pamerkan ramai pemain muda, khususnya daripada pasukan Piala Presiden yang muncul juara tahun ini dan Selangor tidak pernah ketandusan bakat muda.

Kita pun sedia maklum bahawa banyak bakat dari Selangor dieksport ke negeri-negeri lain, maka kami percaya kepada bakat muda dan bergantung kepada ketua jurulatih (P. Maniam) untuk membentuk mereka.

“Saya yakin langkah ini dapat memantapkan pasukan kebangsaan kerana jika mereka diberi peluang dan pendedahan, mereka mampu beraksi untuk pasukan kebangsaan nanti. Evan dan Ilham pula merupakan pemain B-23 Indonesia, tetapi mereka sudah pun beraksi untuk pasukan kebangsaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Datuk Chu Ah Nge ke-13 di Kelab Diraja Selangor (RSC), Bukit Kiara di sini, Sabtu.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

Piala Presiden: Selangor tekad akhiri kemarau 9 tahun

SHAH ALAM 12 OKT: Selangor kini berada di landasan terbaik untuk mengakhiri ketandusan kejuaraan Piala Presiden sembilan tahun apabila bertembung dengan Terengganu pada aksi perlawanan akhir di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 13 Oktober (Jumaat) ini.

Selepas aksi di Selayang, Selangor akan bertandang ke Kuala Terengganu pada 20 Oktober bagi aksi final kedua.

BH ONLINE melaporkan, Pengurus pasukan Datuk Ariffin Ab Hamid berkata, ia peluang terbaik yang harus dimanfaatkan pemain selepas lama tidak melangkah ke final.

“Pemain mempunyai keyakinan tinggi dan sudah bersedia untuk beraksi di pentas final. Mereka sedar ini peluang terbaik untuk mencipta sejarah kerana sudah lama Selangor tidak beraksi di final.

“Saya percaya ini bukan tekanan buat pemain tapi satu motivasi untuk membuktikan keupayaan. Kami akui Terengganu pasukan yang bagus tapi kami sedia beri tentangan,” katanya.

Skuad muda Red Giants melangkah ke final selepas menewaskan pasukan pilihan Kedah menerusi gol di tempat lawan apabila keputusan terikat 1-1 pada separuh akhir.

Manakala lawan mereka Terengganu juga turut mara menerusi peraturan gol di tempat lawan dengan menyingkirkan juara bertahan Kelantan menerusi agregat 3-3.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor menjulang trofi itu selepas menewaskan Perak 1-0 pada final 2008.

Bagi Ariffin, selain memburu kejuaraan beliau percaya pencapaian anak buah Omar Ali itu ke pentas final adalah bukti kejayaan pembangunan akar umbi Selangor.

“Ini hasil daripada sistem pembangunan pemain bola sepak kami. Kami sentiasa memberi peluang kepada setiap pemain untuk terus berkembang. Kami percaya pemain ini boleh diserapkan ke skuad senior Selangor selepas ini,” katanya.

=EZY=