Categories
AGENDA SUKANKINI

Red Giants tingkat kecergasan pemain sebelum liga bersambung

SHAH ALAM, 17 OGOS: Selangor fokus menambah baik kecergasan dan persefahaman antara pemain sebelum liga bersambung semula pada 26 Ogos ini.

Jurulatih B Sathianathan berkata walaupun pasukannya menang dalam tiga perlawanan persahabatan, banyak perkara perlu diperbaiki segera bagi mengelak kesilapan mudah berulang.

“Kita tidak boleh berpuas hati kerana ia hanya perlawanan persahabatan. Kelemahan memang ada daripada segi pertahanan dan hantaran bola.

B Sathianathan ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan bagi persiapan menghadapi Liga Malaysia di Padang SUK Shah Alam pada 27 Julai 2020. Foto BERNAMA

“Persefahaman antara pemain juga perlu ditambah baik termasuk kecergasan mereka yang belum mencapai 100 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Selangor, yang terkenal dengan jolokan Red Giants melakar kemenangan selesa dalam tiga perlawanan persahabatan menewaskan UKM FC (3-0), Negeri Sembilan (0-3) dan Terengganu FC (2-0).

Sathianathan berkata pasukannya akan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur pada 19 Ogos ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun akan menyertai latihan pasukan selepas selesai kuarantin wajib minggu hadapan.

Selangor dijadual bertemu PJ City FC dalam aksi CIMB Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam pada 27 Ogos ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Red Giants dibenar guna Stadium MBPJ musim hadapan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggunakan stadium miliknya bagi saingan liga musim hadapan.

Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memaklumkan persetujuan secara lisan dicapai hasil pertemuan selama sejam bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar semalam.

“MBPJ setuju FAS menggunakan Stadium MBPJ untuk saingan liga secara verbal (lisan) untuk tahun hadapan. (Bagaimanapun) masih perlu hantar surat permohonan rasmi dan sebagainya yang kami akan usahakan dalam masa terdekat,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi.

Terdahulu FAS memaklumkan Red Giants kekal beraksi di Stadium UiTM di sini sehingga penghujung musim berikutan kerja baik pulih bumbung dan pendawaian elektrik di Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata kerosakan di Stadium Shah Alam sedang diteliti sebelum mengeluarkan perbelanjaan sepatutnya untuk proses naik taraf.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos menggantikan bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik pada bumbung mencecah RM30 juta manakala kos keseluruhan RM250 juta.

Stadium berkapasiti 80,000 penonton itu dibuka secara rasmi pada Julai 1994 dan pernah menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya hingga 1997.

Categories
AGENDA NASIONAL

Red Giants harus baiki kelemahan sebelum liga bersambung

SHAH ALAM, 6 OGOS: B Sathianathan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika menewaskan Pulau Pinang 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) semalam.

Bagaimanapun beberapa kelemahan perlu diatasi segera menjelang aksi CIMB Liga Super yang akan disambung bermula 26 Ogos ini.

“Saya gembira dengan persembahan pemain yang memberi komitmen tinggi. Walaupun menang 4-1 saya rasa kita boleh perbaiki beberapa perkara selepas ini,” kata jurulatih Red Giants ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau mengakui pemain masih sukar mendapatkan rentak sebenar terutama dari segi hantaran dan larian dengan bola apabila beraksi buat pertama kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Red Giants akan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang UiTM FC Sabtu ini sebagai persediaan menjelang pertemuan dengan PJ City 27 Ogos hadapan.

Categories
SUKANKINI

Red Giants gembira mulakan sesi latihan, kekal patuh SOP

SHAH ALAM, 24 JUN: Pasukan Selangor gembira apabila dapat memulakan kembali latihan bola sepak di padang sejak 16 Jun lalu walaupun tanpa sesi sentuhan badan.

Jurulatihnya B Sathianathan berkata Red Giants memulakan latihan secara dua sesi dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

“Saya berpuas hati dengan tahap kecergasan pemain kerana masih kekalkan berat badan malah ada pemain yang datang dengan otot lebih besar kerana mengamalkan latihan kekuatan.

“Kita akan beri fokus kepada latihan ketahanan kerana untuk permulaan adalah memperkemaskan hantaran dan kawalan bola bermula esok,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pemain Bola Sepak Selangor giat menjalani latihan pertama kali dalam norma baharu susulan pandemik Covid-19 di Padang SUK, Shah Alam pada 22 JUN 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau memaklumkan semua pemainnya bebas daripada kecederaan untuk memulakan latihan kecuali tiga pemain iaitu Ifedayo Olusegun dan Safuwan Baharudin yang berada di negara masing-masing sementara Khyril Muhymeen diberikan cuti khas kerana baru mendapat cahaya mata.

Katanya semua pasukan kini menunggu kebenaran untuk sesi latihan yang membenarkan aksi bersentuhan untuk memantapkan tektikal permainan.

Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia percaya Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan akan membuat pertimbangan sewajarnya untuk membenarkan semula sesi latihan bersentuhan dalam masa terdekat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Red Giants kembali berlatih selepas saringan Covid-19

SHAH ALAM, 13 JUN: Pasukan Selangor akan kembali menjalani latihan bermula 16 Jun ini selepas selesai menjalani ujian saringan Covid-19, kata ketua jurulatihnya.

B Sathianathan berkata pemain akan dibahagikan kepada kumpulan kecil bermula dengan sesi latihan kecergasan dan teknik individu selama dua minggu.

“Saringan Covid-19 kita akan lakukan pada 15 Jun ini. Pemain akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan jumlah maksimum lapan orang bersama empat jurulatih,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menguruskan kepulangan dua pemain Red Giants iaitu Ifedayo Olusegun yang berada di Nigeria dan Safuwan Baharudin di Singapura untuk kembali bersama pasukan.

Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia berharap aksi musim ini dapat disambung semula seperti dirancang Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas semua pasukan dilarang mengadakan latihan, perlawanan persahabatan dan mengurangkan pergerakan sejak 17 Mac lalu.

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS-Asiana.my terus kerjasama, rakam detik gemilang Red Giants

SHAH ALAM, 10 MAC: All Sports Images And News Agency (Asiana.my) diumumkan sebagai rakan fotografi rasmi skuad Red Giants untuk musim 2020, kata setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Dr Johan Kamal Hamidon berkata pihaknya kagum dan berpuas hati dengan servis serta komitmen agensi tersebut sejak 2019, lapor portal faselangor.my.

“Kami sangat berpuas hati dan berharap dapat meneruskan kerjasama pada musim ini,” katanya.

Sementara itu, pengasas Asiana.my Kamarul Akhir gembira meneruskan kerjasama dengan FAS dan bersedia merakamkan detik gemilang skuad merah kuning.

Ditubuhkan pada 1 Januari 2014, agensi itu juga merupakan jurufoto rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia, Persatuan Bola Sepak Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan kontinjen Malaysia di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Tenang berdepan tekanan bantu Selangor atasi Pahang

KUANTAN, 1 MAC: Keupayaan untuk kekal tenang semasa berdepan tekanan daripada Pahang, membuahkan hasil buat pasukan Selangor apabila meraih kemenangan pada aksi pertama saingan Liga Super musim ini di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Ketua jurulatih Selangor B. Satiananthan berkata anak buahnya menerima tentangan hebat daripada Pahang terutama daripada tonggak utamanya Dickson Nwakaeme sebelum mereka berjaya meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

“Saya tahu pemain Pahang boleh beraksi dengan baik sebaik sahaja melihat senarai mereka. Kita pula tidak bermain pada tahap biasa,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, Tok Gajah mendahului menerusi jaringan Ivan Carlos pada minit ke-20 namun Selangor menyamakan keputusan melalui penyerang importnya Ifedayo Olusegun tujuh minit kemudian, sebelum Brendan Gan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-89.

Walaupun mencatatkan kemenangan di tempat lawan, Satiananthan masih kurang berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya.

Selain prestasi pemain Red Giants, Satiananthan juga melihat keadaan padang Stadium Darul Makmur sebagai antara penyebab pemainnya gagal menyerlah pada perlawanan itu.

“Selalunya padang di sini amat cantik…tetapi malam ini saya lihat ia seperti berlubang di sana sini, mungkin inilah mengapa kita tidak dapat menghantar bola dengan baik,” katanya.

Sementara itu, pengendali Pahang Dollah Salleh mengakui prestasi pasukannya menurun selepas mereka menjaringkan gol pendahuluan sehingga dihukum dengan kekalahan.

Katanya, walaupun menurunkan kesebelasan utama pada perlawanan itu, pemainnya mulai leka selepas memperoleh gol pertama dan sikap itu membawa padah apabila bertemu dengan pasukan berpengalaman seperti Selangor.

“Aksi kita turut terjejas memandangkan Mark Goulon terpaksa dikeluarkan selain Khamis Khalil juga beraksi agak goyah berbanding persembahannya sebelum ini.

“Kita cuba bangkit semula pada babak kedua tapi malangnya banyak peluang yang diperoleh disia-siakan…menyebabkan Selangor yang melakukan ‘counter attack’ berjaya mendapatkan gol,” katanya.

Dollah berkata daripada perlawanan itu, beliau akan melakukan penambahbaikan di semua posisi khususnya pertahanan dan tengah bagi mengatasi kelemahan itu pada perlawanan seterusnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Gergasi Merah tunggu keputusan pakar kecederaan Nor Hakim Hassan

SHAH ALAM, 15 JAN: Selangor masih menanti keputusan pakar perubahan sebelum mengesahkan sama ada Mohammad Nor Hakim Hassan mengalami kecederaan ligamen lutut atau Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Jurulatihnya B Sathianathan berkata sebarang keputusan untuk mencari pengganti pemain yang baru ditandatangani itu hanya akan diputuskan kemudian

“Dia belum disahkan (ACL) dan perlu melalui satu lagi pemeriksaan pakar. Setakat ini kita masih menunggu keputusan itu sebelum menentukan pengganti beliau,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Mohammad Nor Hakim antara pemain yang baharu ditandatangani Gergasi Merah dari Perak musim ini bagi menguatkan pasukan.

Sebelum ini, Selangor pernah kehilangan khidmat Wan Zack Haikal sepanjang musim 2019 akibat kecederaan ACL.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Red Giants sah sertai kejohanan Meizhou Hakka Cup

SHAH ALAM, 23 DIS: Skuad The Red Giants mengesahkan penyertaan pada kejohanan bola sepak jemputan Meizhou Hakka Cup di Meizho, China bermula 24 hingga 29 Januari depan.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi ciapan terbaharu di laman sosial Twitter kelab berkenaan, semalam.

Selain Selangor, tuan rumah Meizhou Hakka FC bakal melayan kunjungan kelab divisyen 1 Thailand, Chonburi FC dan kelab divisyen 1 Korea Selatan, Sangju Sangmu sepanjang lima hari kejohanan itu berlangsung.

Meizho Hakka adalah kelab yang diasaskan sejak 2013 daripada divisyen 2 Liga China dan pasukan terbabit menghuni tangga ke-10 dengan pungutan 39 mata sepanjang musim 2019.

Bagi skuad kendalian B Sathianathan, kejohanan itu menjadi medan terbaik untuk menguji sejauh mana keupayaan mereka beraksi di pentas Asia sebelum mengharungi saingan mendebarkan Liga Malaysia 2020.

Bagaimanapun, sebelum sepak mula kejohanan terbabit, kelab yang diterajui Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah itu akan menganjurkan Kejohanan Asia Challenge 2020 pada 18 dan 19 Januari di Stadium Shah Alam di sini.

Difahamkan, kejohanan julung kali itu membabitkan penyertaan tiga pasukan terbaik dari negara jiran antaranya Bangkok United FC (Thailand), Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

Bagi menyaksikan kejohanan berkenaan, penyokong Selangor boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang FAS pada hari kejohanan dengan harga serendah RM15 (pemegang kad Red Giants), RM30 (bukan pemegang kad) dan RM5 (kanak-kanak).

Categories
AGENDA SUKANKINI

Dari Semut Merah ke Gergasi Merah

SHAH ALAM, 10 DIS: Skuad Gergasi Merah dijangka mampu mencetuskan impak besar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan apabila ‘ayam tambatan’ PKNS FC, Nicholas Nick Swirad sah menyertai pasukan itu.

Penghijrahan pemain kelahiran Manchester untuk mengemudi jentera pertahanan pasukan itu diumum Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi laman sosial rasmi mereka hari ini.

Pertahanan berusia 28 tahun itu juga memiliki susur galur Malaysia melalui ibunya yang berasal dari Pulau Pinang.

“Karier bola sepak profesional Swirad bermula sejak empat tahun lalu bersama pasukan Northern Rangers selepas lapan tahun bermain di non-league football di tempat kelahiran beliau.

Foto ihsan Facebook FA Selangor

“Bersama Northern Rangers, Swirad berjaya mencatat 13 penampilan dan menjaringkan dua gol,” tulis kenyataan dimuat naik di laman sosial rasmi kelab itu.

Beraksi sebagai pemain bek sisi, Swirad juga diharap dapat membentuk gandingan mantap bersama Taylor Regan dan bekas rakan sepasukannya di PKNS, Rodney Calvin.

Untuk rekod, selain beraksi bersama pasukan Semut Merah, Swirad pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada 2016 sebelum kudratnya dipinjamkan ke Melaka United selama semusim pada tahun lalu.

Tidak lama bersama Melaka United, Swirad kemudian dilamar pasukan kendalian Datuk K Rajagopal untuk memperkuat benteng PKNS FC.

Difahamkan, sebelum ini Swirad pernah dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan untuk menghadapi kejohanan empat negara, Piala AIRMARINE 2019 pada April lalu.

Swirad menjadi rekrut kelima buat Selangor untuk musim 2020 selepas membawa masuk Rodney Calvin, Brendan Gan, Nor Hakim Hassan dan Tauffiq Ar Rasyid Johar.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Brendan Gan milik Gergasi Merah

SHAH ALAM, 2 DIS: Spekulasi hangat berhubung destinasi perancang tengah Harimau Malaya, Brendan Gan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan terjawab apabila beliau sah menyertai pasukan Red Giants.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melalui satu hantaran video memaparkan pemain berusia 31 tahun itu yang dimuat naik di media sosial rasmi kelab berkenaan, semalam.

“Saya sudah bersedia mengharungi setiap cabaran dan akan sentiasa memberi yang terbaik dalam apa sahaja yang saya lakukan.

“Ini adalah cabaran baharu dan ia tidak mudah. Saya dahagakan kejayaan dan mahu melakukannya bersama Selangor,” katanya.

Teruja menyertai pasukan yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia sebanyak 33 kali, pemain kacukan Malaysia dan Australia itu turut memuat naik satu gambar di Instagramnya.

“Visi saya untuk tahun 2020 kini amat jelas. Saya akan memulakan pengembaraan baharu yang mengujakan bersama pasukan Selangor.

“Saya akan menyumbang segala semangat, tenaga, positiviti dan 100 peratus usaha setiap hari bagi pasukan,” tulisnya.

Kehadiran bekas pemain Kelantan dan Perak itu bakal menambah sengat skuad Selangor di jentera tengah, sekali gus menghidupkan peluang Gergasi Merah untuk merampas kembali Piala Malaysia musim hadapan.

Brendan juga berada pada prestasi terbaik dengan mempamer aksi cemerlang bersama Harimau Malaya ketika menentang Thailand dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 awal November lalu apabila mencatat satu gol dan satu bantuan gol.

Setakat ini, Selangor menandatangani dua pemain iaitu Brendan Gan dan Rodney Celvin.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FA-PKNS FC bergabung bawah Red Giant FC

SHAH ALAM, 6 NOV: Pasukan bola sepak Selangor FA dan PKNS FC akan digabungkan di bawah pentadbiran satu bumbung yang dikendalikan syarikat Red Giant FC Sdn Bhd.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, syarikat Red Giant Sdn Bhd itu pula diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor.

“Ia bagi memastikan dana yang diperuntuk difokuskan kepada pembangunan sukan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri turut menyuntik sumbangan sebanyak RM10 juta sebagai modal permulaan syarikat terbabit.