Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh seminggu selesai isu individu lengkap vaksin tiada sijil digital Mysejahtera

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Pasukan MySejahtera telah diarah menyelesaikan isu sijil digital di aplikasi MySejahtera bagi individu yang lengkap menerima vaksin dalam tempoh seminggu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya arahan itu dikeluarkan susulan kebimbangan orang ramai yang masih belum mendapat sijil digital vaksinasi mereka meskipun sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19.

Menurut Khairy bagi individu yang mendapati sijil digital aplikasi MySejahtera belum dikemas kini, mereka boleh menggunakan kad fizikal vaksin untuk sementara waktu.

“Semua masalah berkaitan MySejahtera saya telah mengarahkan pasukan MySejahtera untuk selesaikan dengan segera termasuk masalah tidak ada sijil digital….saya beri mereka tempoh seminggu untuk selesaikan,” katanya di sini hari ini.

Khairy berkata demikian dalam sidang media perkembangan Covid-19 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Khairy individu yang menerima vaksinasi menerusi program Vaksin Selangor (SelVAX) boleh menggunakan sijil digital dalam SELangkah sehingga mendapat sijil digital di aplikasi MySejahtera.

Mengenai permintaan yang semakin meningkat untuk membolehkan individu bujang berkunjung ke luar negara bagi melawat ibu bapa mereka, Khairy berkata perkara itu sedang dibincangkan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa melihat kepada data dan penilaian risiko. Saya sentiasa membincangkan perkara ini dengan Ketua Pengarah dan kami berpendapat bahawa telah tiba masanya untuk kita membuat syor kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Justeru, Khairy meminta orang ramai supaya bersabar bagi membolehkan KKM melihat indikator penting seperti soal kapasiti kesihatan di tahap yang baik untuk membuat syor kepada MKN supaya aktiviti rentas negeri dibenarkan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Balik kampung guna surat Miti cetus kluster Covid-19

JEMPOL, 18 JULAI: Larangan pergerakan rentas negeri menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selama empat hari bermula hari ini diputuskan kerana terdapat individu menyalahgunakan surat berkenaan untuk pulang ke kampung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu terbukti berlaku pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 12 Mei lepas sehingga mencetuskan 36 kluster Covid-19.

“Saya fikir semua orang sudah mula bercuti hari ini (sempena Hari Raya Aidiladha), pada Hari Raya Aidilfitri lalu, beratus ribu (individu) dengan pelbagai alasan termasuk menggunakan surat kebenaran merentas negeri untuk bekerja.

“Mungkin ada yang menggunakan ‘kecekapan’ mereka menipu polis dengan merentas negeri melalui jalan kebun kelapa sawit dan sebagainya tetapi anda tidak boleh menipu Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol hari ini.

Ismail Sabri sekali mengingatkan orang ramai supaya tidak mencuba merentas negeri atau daerah sempena sambutan Aidiladha sebaliknya mengambil iktibar daripada peningkatan kes jangkitan wabak itu ketika ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam tadi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai, untuk pergerakan rentas negeri susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata pihaknya masih belum menerima permohonan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan pembinaan hospital medan.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun kementerian itu bersedia membina empat lagi hospital medan bagi membantu menangani pandemik Covid-19 dengan pengambilan secara kontrak membabitkan 30 doktor dan 100 petugas kesihatan.

Katanya setakat ini terdapat enam hospital medan diwujudkan di Pokok Sena, Kedah; Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak; Kepala Batas, Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor Bharu, Johor dan Labuan.

Pada program hari ini, Ismail Sabri juga berkata PPV pandu lalu perlu diperbanyakkan lagi di lokasi lain bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Muat turun borang kebenaran rentas Selangor di Facebook PDRM

SHAH ALAM, 15 OKT: Individu atau pihak yang perlu merentasi Selangor boleh memuat turun borang kebenaran di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah mudah itu diambil bagi mengelakkan kunjungan orang awam di balai polis.

“Tak perlu pergi balai polis untuk dapatkan borang. Selepas mengisi borang itu, pemohon perlu ke balai berhampiran untuk mendapatkan tandatangan ketua balai.

“Borang yang sudah disahkan boleh digunakan di setiap sekatan,” katanya pada sidang media secara langsung di Facebook hari ini.

Ismail Sabri berkata hanya mereka yang mempunyai keperluan mendesak sahaja diberi kelonggaran untuk mendapatkan borang di balai polis.

“Dalam PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) kita kena kurangkan pergerakan sebab itulah tujuan kita. Kita mahu hentikan rantaian Covid-19,” katanya.

Salangor dikenakan PKPB bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober ini selepas peningkatan kes Covid-19.

 

Categories
RENCANA

Patuhi SOP raya, rentas daerah bukan ‘tiket’ bebas

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Tinggal sehari dua sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sambutan hari raya pada kali ini pastinya jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya memandangkan wabak Covid-19 masih menular di negara ini,

Jika sebelum ini ramai yang ghairah membuat persiapan termasuk mengatur rancangan untuk balik kampung yang sudah menjadi tradisi menjelang hari raya, namun lebaran 2020 mencipta sejarah baharu – terpaksa beraya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

DILARANG RENTAS NEGERI

Dalam mematuhi peraturan dan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan, rakyat perlu akur bahawa pergerakan rentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan sama sekali.

Perkara itu pastinya menimbulkan kesedihan bagi kebanyakan mereka yang tinggal di negeri berasingan dengan keluarga. Masakan tidak, sudah berbulan-bulan menangung rindu tidak bersua muka bertemu insan tersayang terutama ayah dan bonda di kampung, keadaan sama turut perlu dilalui pada hari raya ini.

Cubaan rakyat merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung halaman masing-masing dilaporkan semakin meningkat.

Sebanyak 1,248 kenderaan diarah berpatah balik oleh pois ketika cuba melepasi sekatan jalan raya pada Sabtu lepas manakala sehari sebelumnya sebanyak 508 kenderaan turut diarah berbuat demikian.

Rasional kerajaan melarang tindakan merentas negeri adalah kerana ia berisiko menyebabkan penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sehingga 17 Mei, sebanyak 971 kes positif Covid-19 iaitu 14.1 peratus daripada keseluruhan 6,894 kes mempunyai sejarah merentas negeri.

Sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan di Malaysia juga adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri dengan 10 daripada kluster itu masih aktif.

BUKAN ‘TIKET’ BEBAS

Bagi yang tinggal senegeri dengan keluarga, sudah tentunya mereka berasa gembira kerana boleh kunjung-mengunjung atau istilah lebih tepat ‘balik kampung’ kerana pergerakan rentas daerah di dalam negeri yang sama masih dibenarkan sepanjang tempoh PKPB termasuklah pada hari raya.

Hakikatnya, rakyat yang diberi kebenaran rentas daerah dan dapat beraya bersama keluarga sebenarnya perlu lebih menghargai kelonggaran yang diberikan.

Kebenaran rentas daerah bukan ‘tiket’ untuk bebas bergembira pada hari raya sekali gus mengabaikan SOP yang telah ditetapkan.

Kawalan kendiri atau disiplin diri perlu menjadi keutamaan bagi memastikan tindakan mereka tidak mendatangkan mudarat yang sekali gus boleh membawa kepada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

Tambahan pula, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 18 Mei berkata polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan kediaman semasa sambutan perayaan bagi memastikan SOP berkaitan ziarah dipatuhi.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kenderaan yang banyak di luar sesebuah kediaman, pihak berkuasa akan membuat semakan bagi mengetahui jumlah individu yang berada di dalam kediaman itu.

Kerajaan sebelum ini turut menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi semasa perayaan hanya pada hari pertama sambutan dan terhad kepada 20 orang, bergantung pada saiz kediaman.

KLUSTER HARI RAYA

Berkongsi pandangan, Doktor Kesihatan Awam, Dr Shawaludin Husin berkata tindakan paling sesuai diambil rakyat ketika negara belum bebas sepenuhnya daripada krisis ini ialah beraya di rumah sendiri dan menangguhkan niat untuk kunjung-mengunjung antara satu sama lain.

Katanya, rakyat boleh mengambil iktibar daripada laporan kes yang berlaku di Bahrain baru-baru ini di mana seramai 16 sekeluarga dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri majlis berbuka puasa sesama mereka.

Saudi Gazzete yang memetik laporan Kementerian Kesihatan negara itu melaporkan jangkitan berpunca daripada seorang ahli keluarga itu yang positif wabak berkenaan.

Laporan itu menyebut keluarga berkenaan tidak mematuhi larangan untuk perjumpaan berkumpulan, memakai penutup hidung dan mulut dan penjarakan sosial yang mengakibatkan ibu bapa, adik-beradik serta anak mereka dikesan positif virus itu.

“Walaupun rentas daerah dibenarkan, rakyat perlu ada kawalan kendiri yang tinggi kerana kita sekarang masih dalam fasa memerangi Covid-19. Rakyat perlu sedar bahawa kita semua bertanggungjawab mengutamakan keselamatan berbanding keseronokan dan kemeriahan sambutan hari raya.

“Wabak ini masih aktif. Dr Noor Hisham dalam laman Facebook beliau sebelum ini berkongsi bahawa usaha bersepadu untuk menurunkan jumlah kes Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 hingga 4 dan 10 hari PKPB membawa kepada kebolehjangkitan atau nilai “R naught” menurun daripada 3.5 kepada 0.3.

“Kita mahu nilai ini terus menurun. Bukan semua masyarakat menjalani ujian saringan jadi ada kemungkinan mereka yang dijangkiti Covid-19 tetapi tidak menunjukkan gejala. Ini yang paling dibimbangi semasa raya nanti apabila berlakunya pergerakan bebas, bergerak ke sana sini (rentas daerah dan kunjung-mengunjung) maka ia berisiko membawa kepada penularan jangkitan dan tidak mustahil gelombang ketiga akan berlaku,” kata Dr Shawaludin kepada Bernama.

TEKNOLOGI SEBAGAI PENGHUBUNG

Mengulas lanjut beliau bagaimanapun berkata, jika rakyat masih mahu kunjung-mengunjung pada hari raya nanti, SOP yang ketat perlu dipatuhi antaranya penjarakan sosial, tiada sebarang sentuhan seperti bersalaman dan berpelukan serta mengikuti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengelakkan 3S / 3C dan mengamalkan 3W.

Rakyat perlu mengelakkan 3S / 3C: iaitu kawasan yang sesak (crowded place), kawasan yang sempit (confined space) dan bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) serta mengamalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan (warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan yang antaranya duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting sahaja.

“Ziarah juga tak perlulah mengambil masa yang lama. Kerajaan bagi kebenaran untuk ziarah pada hari pertama sahaja dan tidak lebih 20 orang. Jika keadaan rumah kecil dan sempit, janganlah sengaja ‘mengundang penyakit’ dengan menerima kehadiran ramai tetamu di samping tetamu juga perlu tahu peranan dan tanggungjawab mereka kerana Covid-19 ini isu seluruh rakyat.

“Sebenarnya kita boleh menggunakan teknologi yang ada sebagai ‘pengganti diri’ semasa hari raya nanti. Aplikasi Zoom, Skype, panggilan video Whatsapp dan pelbagai lagi medium untuk kita menyampaikan ucapan hari raya dan memohon maaf. Kita takut kebolehjangkitan berlaku lebih-lebih lagi kepada golongan berisiko seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak yang berusia di bawah dua tahun.

“Jika jangkitan berlaku kepada golongan ini maka risiko kematian juga akan meningkat yang sekaligus akan menjejaskan usaha KKM dan kerajaan serta rekod pencapaian terbaik negara dalam mengekang pandemik ini,” katanya sambil menambah kegagalan mengawal perlakuan bersalam termasuk mencium pipi ketika bertemu semasa hari raya secara automatik akan membawa kepada kontak rapat, sekiranya dijangkiti sekaligus pertambahan kes Covid-19 di Malaysia.

Berayalah di rumah sendiri. #kitajagakita!

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

– BERNAMA