Categories
SELANGOR

Pesta Lagu Jalanan Tonjolkan Bakat Artis Hak Asasi, Demokrasi

Gambar oleh Remmy Ariffin

PETALING JAYA, 15 JUL : Pesta Lagu Jalanan 2012 yang berlangsung di Taman Rusa, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, disifatkan sebagai platform terbaik bagi golongan muda khususnya untuk menonjolkan bakat nyanyian dan penciptaan lagu.

Pesta yang bermula seawal jam 12 tengah hari hingga 11 malam itu merupakan anjuran tiga Pusat Khidmat DUN iaitu Bukit Gasing, Kinrara dan Kampung Tunku bersama portal web Roketkini.com.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, pengajuran program itu bertujuan merangsang belia untuk menggubal lagu yang membawa mesej demokrasi, hak asasi manusia, perpaduan, anti-rasuah dan tadbir urus yang baik.

“Idea pengajuran program ini adalah kerana selalunya perhimpunan yang disertai orang ramai, contohnya BERSIH  hanya melaungkan slogan sahaja, tanpa ada lagu semangat.

“Oleh itu, kita berpandangan adalah penting untuk mempunyai lagu buatan sendiri yang boleh digunakan setiap kali ada pergerakan, perhimpunan hak asasi manusia dan sebagainya,” katanya yang juga Adun Kinrara.

Menurut Teresa, acara kemuncak program itu adalah konsert finale lagu jalanan yang memperlihatkan 12 lagu dipilih untuk dipertandingkan di peringkat akhir malam nanti.

Beliau berkata, persembahan finalis akan diadili oleh barisan panel juri, antaranya Hishamuddin Rais, Nik Jidan, Anthony Loke, Ross Ariffin dan Hasmi Hashim.

“Jika ia mendapat sambutan baik, kita akan jadikannya sebagai program tahunanan pada masa akan datang.

“Saya ingin berterima kasih kepada NGO dan aktivis kerana bersama-sama menjayakan program ini. Kita harap orang muda dapat berseronok,” jelasnya.

Selain persembahan, pesta itu turut mengadakan karnival yang menempatkan booth jualan para NGO seperti Pusat KOMAS, SUARAM, Bersih 2.0, Radio Bangsar Utama, Majlis Peguam, Petpositive, Kelab Kartunis Independen, Pusat Kucing Terbiar, Change Your World, Buku Jalanan, Frinjan, dan organisasi pelarian dari Sri Lanka, Somalia dan Myanmar.

Selain daripada gerai, terdapat juga “dinding graffiti”, Sudut Pidato (Speaker’s Corner) serta gerai jualan buku, pakaian dan hasil tangan kreatif anak-anak muda.

Categories
NASIONAL

DAP tak ancam Melayu Islam

 

SHAH ALAM, 28 JUN : DAP tidak pernah mengancam masyarakat Melayu serta Islam di negara ini namun persepsi palsu atau negatif diwujudkan Umno-BN menerusi siaran media yang dikuasai mereka.

Laporan media berat sebelah inilah yang menjadi penyebab masyarakat Melayu Islam memandang serong terhadap DAP.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sentimen perkauman itu dimainkan Umno-BN sejak sekian lama bagi terus mengekalkan kuasa yang dipegang mereka sebagai kerajaan.

Bagaimanapun, DAP tidak mengancam kehidupan orang Melayu serta Islam di negara ini malah menghormati hak golongan itu sama sebagaimana orang Melayu dan Islam menghormati orang bukan Islam.

“Sebenarnya tidak timbul persoalan itu kerana macam mana DAP boleh ancam Islam, itu sesuatu yang tak mungkin tetapi itulah permainan persepsi dan mereka (Umno-BN) berjaya sehingga sesuatu yang tak mungkin berlaku boleh dicipta macam ia adalah satu ancaman yang benar-benar boleh berlaku.

“Kalau kita lihat dalam permainan persepsi ini bukan sahaja DAP anti Islam. Ia juga menakutkan orang bukan Islam. Betapa bahayanya ancaman Islam ke atas cara kehidupan orang bukan Islam. Persepsi yang dibentuk Umno-BN dalam suratkabar adalah PAS atau Islam itu mengancam atau menakutkan cara hidup orang bukan Islam dan hanya Umno-BN boleh melindunginya,” katanya dalam wacana “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam? anjuran Roketkini.com di sini malam tadi.

Wacana tersebut turut disertai Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dengan Naib Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Wan Saiful Wan Jan bertindak sebagai moderator.

Guan Eng berkata, permainan persepsi itu telah lama dimanipulasikan Umno-BN bagi meyakinkan rakyat bahawa hanya mereka yang terbaik dan layak diangkat sebagai kerajaan di negara ini.

“Kalau kita dituduh anti Islam di kalangan orang Islam, itu biasa. Kita juga dituduh anti Cina di kalangan orang Cina. Anda tak baca suratkabar Cina….. . Di kalangan orang India pula kita dikata anti India. Itulah permainan perkauman,” katanya.

Tambahnya, perubahan yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-12(2008) amat menakutkan Umno-BN dan permainan persepsi itu semakin hebat terhadap DAP serta PAS dan PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat yang berjaya mengugat kekuatannya.

Menurut Guan Eng, apa yang perlu dilakukan rakyat adalah melakukan perubahan terhadap kerajaan supaya kehidupan menjadi lebih baik kerana Umno-BN jelas telah bertindak sebaliknya ke atas rakyat.

“Kalau kita terperangkap dengan isu yang dimainkan oleh Umno-BN, saya rasa yang untung hanya mereka sahaja. Mereka telah berjaya menggunakan isu ini untuk mengalihkan perhatian (terhadap isu lain) selama lebih 50 tahun,” katanya lagi.