Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penulis lirik kongsi rahsia capai kejayaan hidup

SHAH ALAM, 12 DIS: Untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang memerlukan rutin harian yang penuh komited dan berdisiplin, kata penulis lirik Hasmi Hashim.

Hasmi atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat berkata perkara yang dilakukan secara berulang kali membantu meningkatkan kecekapan dan kualiti.

“Ini yang saya tengok ya, M Nasir setiap hari dia mencari jalan untuk mencipta lagu, dia ambil masa dua, tiga jam… dengan disiplin begitu bertahun-tahun.

“Jadi kalau nak berjaya dalam sesuatu bidang perlu dilakukan setiap hari. Kalau kita nak jadi penulis, kita kena menulis setiap hari. Begitu juga penyanyi kena menyanyi setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Seniman Tentang Akal dan Budi sempena Pesta Buku Selangor 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Hasmi yang juga pemenang Anugerah Juara Lagu ke-26 bersama M Nasir menerusi lagu Awan Nano nyanyian Hafiz berkata tanpa komitmen negara juga mungkin tiada pelapis dalam sesuatu bidang.

“Saya amat bimbang kita tiada pelapis baru dalam kalangan komposer, penulis lirik ini. Ramai yang mesej minta ajar tulis lirik… berdasarkan pengalaman penulis tidak lahir di bengkel penulisan. Penulis yang saya kenal seperti arwah Loloq setiap hari duduk kedai kopi menulis.

“Kalau ada komitmen nak menulis lirik bahkan menjadi komposer sepert M Nasir, perlu ada komitmen yang luar biasa setiap hari baru kita boleh lahirkan generasi baru sehebat M Nasir,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

HKR 112 : Kemuncak Kejayaan Semua Perhimpunan Dan Demonstrasi

KLSCAH HKR 112 02

KUALA LUMPUR 18 JAN: Kehadiran ratusan ribu rakyat di Stadium Merdeka sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat 112(HKR112) pada 12 Januari lalu merupakan kemuncak kejayaan kepada semua perhimpunan sejak tahun 1998 kerana akhirnya polis tunduk kepada kehendak rakyat untuk berhimpun secara aman.

KLSCAH HKR 112 Azmin AliMenurut Ahli Jawatankuasa HKR112, Hishamuddin Rais polis terpaksa akur dengan kehendak rakyat yang ingin berhimpun yang mana tidak pernah berlaku dalam mana-mana perhimpunan sebelum ini.

“Jika sebelum ini tindakan berhimpun dikecam hebat kerana boleh menggugat keselamatan negara tetapi akhirnya atas perjuangan selama 15 tahun kita menuntut keadilan, polis terpaksa akur terhadap hak kita yang selama ini dinafikan,” kata Hishamuddin.

HKR 112 kali ini berbeza dengan perhimpunan Bersih 3.0 kerana ketika itu wujudnya keganasan apabila polis cuba menyekat rakyat menyuarakan hak mereka.

“Kejayaan HKR 112 bukanlah disebabkan transformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi kehadiran rakyat pelbagai bangsa dan peringkat umur yang turun dan dibenarkan menyuarakan hak mereka,” kata Hishamuddin.

KLSCAH HKR 112 Hishamuddin RaisJelasnya, erti perhimpunan sebenar bukan hanya bergelut melawan keganasan polis simpanan persekutuan (FRU) tetapi melawan pemimpin yang zalim dan tidak mempedulikan hak rakyat.

Ketika ditanya adakah perhimpunan sedemikian akan dianjurkan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah di Putrajaya dan masih tidak menunaikan janji yang dituntut HKR, Hishamuddin menjawab ya dan rakyat berhak menolak siapapun pemimpin dan kerajaan yang zalim.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum Pasca KL112 ‘Impak dan Halatuju Rakyat’ yang dianjurkan oleh Akademi Pak Sako yang bertempat di Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur (KLSCAH) malam tadi.

KLSCAH HKR 112 03Kejayaan penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR 112) lalu yang berjalan tanpa insiden keganasan adalah merupakan kesinambungan semua perhimpunan dan demonstrasi yang diadakan sejak zaman reformasi pada tahun 1998.

Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan daripada Timbalan Perdana Menteri serta dituduh terbabit dengan kes liwat yang menyebabkan rakyat membuat demonstrasi jalanan terhadap Kerajaan Umno-BN yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir sebagai ahli panel adalah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali serta penulis lirik lagu Awan Nano, Hasmi Hashim dan dihadiri seramai lebih 200 orang peserta.

KLSCAH HKR 112 01

Categories
SELANGOR

Pesta Lagu Jalanan Tonjolkan Bakat Artis Hak Asasi, Demokrasi

Gambar oleh Remmy Ariffin

PETALING JAYA, 15 JUL : Pesta Lagu Jalanan 2012 yang berlangsung di Taman Rusa, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, disifatkan sebagai platform terbaik bagi golongan muda khususnya untuk menonjolkan bakat nyanyian dan penciptaan lagu.

Pesta yang bermula seawal jam 12 tengah hari hingga 11 malam itu merupakan anjuran tiga Pusat Khidmat DUN iaitu Bukit Gasing, Kinrara dan Kampung Tunku bersama portal web Roketkini.com.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, pengajuran program itu bertujuan merangsang belia untuk menggubal lagu yang membawa mesej demokrasi, hak asasi manusia, perpaduan, anti-rasuah dan tadbir urus yang baik.

“Idea pengajuran program ini adalah kerana selalunya perhimpunan yang disertai orang ramai, contohnya BERSIH  hanya melaungkan slogan sahaja, tanpa ada lagu semangat.

“Oleh itu, kita berpandangan adalah penting untuk mempunyai lagu buatan sendiri yang boleh digunakan setiap kali ada pergerakan, perhimpunan hak asasi manusia dan sebagainya,” katanya yang juga Adun Kinrara.

Menurut Teresa, acara kemuncak program itu adalah konsert finale lagu jalanan yang memperlihatkan 12 lagu dipilih untuk dipertandingkan di peringkat akhir malam nanti.

Beliau berkata, persembahan finalis akan diadili oleh barisan panel juri, antaranya Hishamuddin Rais, Nik Jidan, Anthony Loke, Ross Ariffin dan Hasmi Hashim.

“Jika ia mendapat sambutan baik, kita akan jadikannya sebagai program tahunanan pada masa akan datang.

“Saya ingin berterima kasih kepada NGO dan aktivis kerana bersama-sama menjayakan program ini. Kita harap orang muda dapat berseronok,” jelasnya.

Selain persembahan, pesta itu turut mengadakan karnival yang menempatkan booth jualan para NGO seperti Pusat KOMAS, SUARAM, Bersih 2.0, Radio Bangsar Utama, Majlis Peguam, Petpositive, Kelab Kartunis Independen, Pusat Kucing Terbiar, Change Your World, Buku Jalanan, Frinjan, dan organisasi pelarian dari Sri Lanka, Somalia dan Myanmar.

Selain daripada gerai, terdapat juga “dinding graffiti”, Sudut Pidato (Speaker’s Corner) serta gerai jualan buku, pakaian dan hasil tangan kreatif anak-anak muda.

Categories
NASIONAL

Pas Selangor Turun Menunjukkan Sokongan Pada Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 26 APR : Pas Selangor mengadakan lawatan ke perkhemahan aktivis mahasiswa yang telah berkampung lebih 12 hari di Dataran Merdeka sini bagi menyatakan sokongan terhadap kempen pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang hadir sambil ditemani beberapa penyokong menegaskan, pemansuhan PTPTN ini bukanlah isu politik Pakatan Rakyat.

Sebaliknya ia merupakan hak rakyat dan perkara ini turut diakui oleh beberapa ahli Umno-BN yang ditemui beliau sendiri.

“PTPTN ini bukan mengira parti. Orang Umno sendiri menyokong dan saya difahamkan mereka juga akan turun. Saya merasakan isu ini cukup universal dan saya mengharapkan ramai akan turun pada Sabtu ini,” katanya.

Apa yang penting katanya, penyokong perlu memastikan mereka tidak membawa peralatan yang boleh menimbulkan ancaman selain berhati-hati bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kita sudah menasihatkan mereka yang ingin hadir jangan membawa sebarang senjata atau peralatan yang boleh menimbulkan provokasi. Jika ada sebarang keganasan dan sebagainya, kita minta mereka rakam supaya boleh dijadikan bukti,” katanya.

Beliau turut meminta pihak Unit Amal mengawal keselamatan sebaiknya supaya keadaan mahasiswa yang berkumpul dan bermalam dapat diperhatikan bagi mengelakkan sebarang serangan pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam majlis sama, Dr Rani menyerahkan sedikit sumbangan kepada pihak mahasiswa memandangkan sebelum ini tabung simpanan hasil sumbangan orang awam telah dirampas oleh Dataran Bandaraya Kuala Lumpur.

Turut kelihatan beberapa petugas DBKL yang menunggu kawasan yang telah dipagar bagi menghalang mahasiswa mendirikan khemah selain kehadiran orang awam yang turut memberikan sokongan dan melihat sendiri suasana perkampungan.

Pihak mahasiswa juga memaklumkan, satu bas penyokong dari Kelantan akan tiba di Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan kepada perhimpunan Sabtu ini.

Suasana malam turut dihangatkan dengan kehadiran penulis lirik Awan Nano, Hasmi Hashim yang dijemput untuk memperkatakan mengenai pencerahan bagi meningkatkan semangat mahasiswa.

Beliau memuji semangat dan momentum luar biasa yang ditunjukkan oleh anak muda.

“Jiwa saya memang dekat dengan anak muda khususnya mahasiswa sebab mana-mana bangsa yang keluar daripada penindasan ada peranan mereka.Saya tidak pernah putus memberikan sokongan sejak 13 tahun lalu kepada mereka,” katanya.

Ujar beliau lagi, kesedaran orang ramai terutamanya anak muda semakin melebar dan keberanian yang ditonjolkan jelas menunjukkan  kebangkitan anak muda yang tidak gentar dengan sebarang halangan yang dihadapi.