Categories
NASIONAL

FORSEA pelawa orang ramai jaya Festival Demokrasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Angkatan Pembaharuan Asia Tenggara (FORSEA) mempelawa orang ramai di sekitar Lembah Klang hadir menggamatkan Festival Demokrasi yang bakal berlangsung di MAP Publika, pada 13 hingga 17 Februari ini.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Hishamuddin Rais berkata, festival julung kali diadakan di rantau ini bagi meraikan proses demokrasi pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Kami membawakan delegasi tersohor dari 11 negara Asia Tenggara termasuk Profesor Amerika Syarikat, Noam Chomsky, yang akan berkongsi pandangan berkaitan isu politik Asia Tenggara.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan berkongsi pentas sama bagi menyampaikan ucap utama acara, manakala Dato’ Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari akan menyampaikan ucapan alu-aluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran ARCA Pembebasan Suara Demokrasi, di The Square Publika di sini, semalam.

Turut hadir, Amirudin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADN Balakong, Wong Siew Ki.

Sebagai gimik perasmian festival berkenaan, Amirudin turut melepaskan burung merpati dan memegang plakad yang berlatarbelakangkan ARCA Pembebasan itu.

Hishamuddin yang juga aktivis politik berkata, kegiatan itu juga membabitkan pameran, festival kesenian dan festival penentangan dengan menampilkan seniman serta artis dari negara Asia Tenggara.

“Persidangan ini antaranya akan membicarakan pengalaman serantau, termasuk isu Rohingya, pengalaman pertukaran rejim secara berdarah Indonesia pada 1965 dan pengalaman Kemboja di era Pol Pot,” katanya.

 

 

‘500 ribu rakyat berhimpun, kenapa sasarkan anak saya?’

Dato’ Menteri Besar,Mohamed Azmin Ali mencabar UMNO supaya bersemuka dengannya tanpa menekan ahli keluarga beliau hingga memaksa memberikan keterangan .

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pelancaran Jelajah #BantahTPPA & #AntiObama Malam Ini di Taman Melati, Wangsa Maju

Backdrop Jelajah

Selepas berakhirnya siri jelajah #Black505 yang menyaksikan beberapa kemuncak perhimpunan pada pertengahan Jun lalu, suasana perlawanan antara rakyat yang ditindas dan kerajaan zalim dilihat sejuk tidak bermaya. Di atas kesuraman ini juga, kesempatan diambil oleh pemerintah untuk terus menekan rakyat menyedari asakan dari rakyat sudah mulai perlahan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak memandang ringan situasi ini lantas membawa perlawanan baru untuk rakyat bersatu melawan penindasan. Suasana ceramah umum yang selama ini menjadi medan penyebaran maklumat akan dihidupkan semula.

Maka bermula hari ini, SAMM bersama rakan sekutu akan menjengah ke seluruh negara dalam satu siri jelajah mobilisasi menentang perjanjian TPPA dan membantah kehadiran Presiden Obama ke Kuala Lumpur pada 10-11 Oktober ini. Siri jelajah juga akan dipanaskan dengan beberapa isu semasa termasuklah isu kesan kenaikkan harga petrol dan pemenjaraan 13 pejuang demokrasi.

Jelajah #BantahTPPA dan #BantahObamaKLCC anjuran SAMM, SMM dengan kerjasama Badan Bertindak Bantah TPPA yang dibarisi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan merentasi 13 lokasi di seluruh tanahair sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur dalam satu pentas kemuncak yang mungkin mempertemukan dua tokoh terbesar tanahair. Jelajah ini juga akan memastikan orang ramai dari seluruh negara akan bergerak dan sampai ke Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2013 demi satu perhimpunan di KLCC ‘menyambut’ Presiden Amerika, Barrack Obama dengan cara tersendiri.

Aksi pelancaran Jelajah #BantahTPPA akan berlangsung malam ini di Taman Melati, Wangsa Maju dianjurkan oleh SAMM Wilayah yang diketuai oleh sdr Azmir Hj Mustaffa dengan kerjasama PKR Wangsa Maju.

Pentas pelancaran akan digegarkan oleh YB Tian Chua, Dr Hatta Ramli, che’GuBard, Hishamuddin Rais, wakil mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli. Turut hadir di pentas adalah wakil NGO #BantahTPPA antaranya Nizam Mahshar (MTEM), Cikgu Azmi (MAPIM), Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT), Anas (Blindspot).

SAMM menjemput seluruh warga kota untuk hadir bersama menghadam maklumat mengenai bahana perjanjian TPPA dan isu semasa yang menghangat. Pesta kesedaran akan terangkan semula biarpun sekadar berbentuk ceramah sebagai pemula, ia cukup menjadikan api kemarahan rakyat dinyalakan sebaiknya. Cukuplah waktu rehat, kini tiba masanya bersama menggerak massa menyelamatkan tanahair.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

 

TPPA 2

 

Categories
SELANGOR

Siaran langsung Forum 15 Tahun Reformasi

refo

KUALA LUMPUR 3 SEPT: Satu forum bertajuk ’15 tahun Reformasi’ yang membincangkan perjuangan reformasi sejak 1998 di studio Radio Bangsar Utama, akan dipapar secara langsung melalui portal ini.

Panelis ialah Tian Chua, Naib Presiden PKR yang terkenal dengan aksi duduk depan trak Polis Simpanan Persekutuan (FRU) Hishamuddin Rais, seorang aktivis sosial yang poplar dengan filem ‘Dari Jemapoh ke Manchestee’.

Selain itu, Latheefa Koya, peguam yang banyak membantu tahanan polis dan Khairul Anuar atau dikenali sebagai Jonah, seorang pimpinan mahasiswa pada era itu.

Moderator forum pula ialah Zulkifli Sulong, bekas Ketua Pengarang Harakah Daily, sebuah laman berita rasmi PAS.

Forum itu anjuran bersama Kelab Bangsar Utama (KBU) dan Centre For Reform.

– FZL

Categories
NASIONAL

Dr Nasir : PAS dan PSM Tidak Bercanggah

KLSCAH 01

KUALA LUMPUR 27 JUN : Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PAS dilihat mempunyai persamaan dalam perjuangan apabila menitikberatkan kebajikan rakyat dan membela pihak yang tertindas akibat kerakusan pemerintah mengekalkan kuasa.

Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim berkata, parti tersebut yang berteraskan fahaman sosialis bergerak demi menegakkan nasib rakyat yang dinafikan hak yang sepatutnya menjadi milik mereka.

“Kita sebagai sosialis memperjuangkan hak dan keadilan. Kita tidak membenarkan sesiapa menindas sesiapa. Asas kami adalah kasih sayang.

KLSCAH 02“Dari situ kita dapat keadilan, keharmonian dan atasi pelbagai perkara lagi. Bermakna kita hormati rakyat dan maju ke depan selain memperkasakan mereka,” katanya sebagai panelis dalam wacana “Islam, Sosialis, Liberal! PAS Di Mana? anjuran Free Public Forum Malaysia (FPF) di sini semalam.

Panelis lain ialah Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Pengarah Eksekutif Middle Eastern Graduate Center (MEGC), Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan aktivis politik, Hishamuddin Rais.

Dr Nasir berkata, apa yang berlaku dewasa ini adalah rakyat sering menjadi mangsa kepada kerajaan yang memerintah dengan berpihak kepada golongan kapitalis.

Menurutnya, PSM boleh bersama dalam perjuangan seandainya terdapat parti politik atau pihak lain turut menyuarakan perkara sama.

“Kalau ada pihak yang memperjuangkan penindasan, mengapa tidak kita turut serta. Kalau kita dalam pergerakan sama, mengapa tidak boleh bersama,?” soalnya.

Bagi Dr Mujahid, agenda negara berkebajikan diperjuangkan PAS sejak 1960an adalah gambaran jelas parti itu mementingkan pembelaan terhadap rakyat serta menegakkan syiar Islam di negara ini.

Tambahnya, biarpun berfahaman atau berideologi berbeza namun PAS boleh berganding tenaga dengan parti politik seperti DAP dan PKR menerusi persamaan yang wujud.

“Kita turut bersama menentang penindasan yang terjadi. Jika dilihat ada banyak pemimpin PAS yang turut ditahan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika memperjuangkan golongan tertindas.

“PAS masuk politik sebab apa? Ada yang kata kita gila kuasa. Ya. Apa guna masuk politik dan bertanding kalau tidak mahu menang.

“Apa guna satu ideologi kalau ideologi itu tidak mampu mengubah keadaan. Bagi kami parti Islam, kami yakin Islam boleh membawa perubahan dengan maksudnya yang sama sepertimana dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Isu PSM dan PAS menjadi hangat dalam pilihanraya lalu apabila berlaku pertandingan antara calon kedua parti itu seperti di DUN Kota Damansara yang menyebabkan Pakatan Rakyat gagal mempertahankan kawasan berkenaan.

Categories
NASIONAL

Pendakwaan Dibawah Akta Hasutan Pilih Kasih, Zalim

tian haris tamrin akta hasutan 01

SHAH ALAM 30 MEI : Pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadap seorang pemimpin Pakatan Rakyat dan empat aktivis semalam adalah zalim kerana akta tersebut berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua, ahli Pas Thamrin Ghafar dan aktivis Hariz Fathillah Mohamed Ibrahim, Safwan Anang dan Hishamuddin Rais didakwa di mahkamah seksyen kerana kenyataan mereka di sebuah forum pada 13 Mei.

Bahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah mengakui akta tersebut menyekat kebebasan bersuara dan berjanji untuk menghapuskan akta tersebut.

Peguam Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan menggunakan hakikat akta itu bercanggah dengan Perlembagaan sebagai asas untuk membatalkan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Menurut Gobind lagi, kata-kata yang dituturkan oleh ketiga-tiga tertuduh sama-sekali tiada unsur hasutan.

“Apa yang disebut atau dikatakan merupakan perkataan-perkataan menghasut itu memang tidak menghasut seperti sedia ada,” kata Gobind yang juga MP Puchong.

Kelima-lima individu tersebut dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Jalan Duta semalam.

Mereka didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan di satu forum 13 Mei, di Kuala Lumpur, 13 Mei lepas.

Mereka mengaku tidak bersalah dan Hakim Norsharidah Awang membenarkan mereka diikat jamin RM 5,000 setiap seorang. Pendengaran kes ditetapkan pada 2 Julai.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan tiga tahun atau didenda RM 5,000 atau kedua-duanya.

Gobind menyifatkan pendakwaan yang dilakukan ke atas lima individu tersebut bukan sahaja menentang Perlembagaan bahkan juga bersikap pilih kasih.

“Ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dimana kita menyatakan akta hasutan itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.”

Categories
NASIONAL SELANGOR

HKR 112 : Kemuncak Kejayaan Semua Perhimpunan Dan Demonstrasi

KLSCAH HKR 112 02

KUALA LUMPUR 18 JAN: Kehadiran ratusan ribu rakyat di Stadium Merdeka sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat 112(HKR112) pada 12 Januari lalu merupakan kemuncak kejayaan kepada semua perhimpunan sejak tahun 1998 kerana akhirnya polis tunduk kepada kehendak rakyat untuk berhimpun secara aman.

KLSCAH HKR 112 Azmin AliMenurut Ahli Jawatankuasa HKR112, Hishamuddin Rais polis terpaksa akur dengan kehendak rakyat yang ingin berhimpun yang mana tidak pernah berlaku dalam mana-mana perhimpunan sebelum ini.

“Jika sebelum ini tindakan berhimpun dikecam hebat kerana boleh menggugat keselamatan negara tetapi akhirnya atas perjuangan selama 15 tahun kita menuntut keadilan, polis terpaksa akur terhadap hak kita yang selama ini dinafikan,” kata Hishamuddin.

HKR 112 kali ini berbeza dengan perhimpunan Bersih 3.0 kerana ketika itu wujudnya keganasan apabila polis cuba menyekat rakyat menyuarakan hak mereka.

“Kejayaan HKR 112 bukanlah disebabkan transformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi kehadiran rakyat pelbagai bangsa dan peringkat umur yang turun dan dibenarkan menyuarakan hak mereka,” kata Hishamuddin.

KLSCAH HKR 112 Hishamuddin RaisJelasnya, erti perhimpunan sebenar bukan hanya bergelut melawan keganasan polis simpanan persekutuan (FRU) tetapi melawan pemimpin yang zalim dan tidak mempedulikan hak rakyat.

Ketika ditanya adakah perhimpunan sedemikian akan dianjurkan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah di Putrajaya dan masih tidak menunaikan janji yang dituntut HKR, Hishamuddin menjawab ya dan rakyat berhak menolak siapapun pemimpin dan kerajaan yang zalim.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum Pasca KL112 ‘Impak dan Halatuju Rakyat’ yang dianjurkan oleh Akademi Pak Sako yang bertempat di Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur (KLSCAH) malam tadi.

KLSCAH HKR 112 03Kejayaan penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR 112) lalu yang berjalan tanpa insiden keganasan adalah merupakan kesinambungan semua perhimpunan dan demonstrasi yang diadakan sejak zaman reformasi pada tahun 1998.

Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan daripada Timbalan Perdana Menteri serta dituduh terbabit dengan kes liwat yang menyebabkan rakyat membuat demonstrasi jalanan terhadap Kerajaan Umno-BN yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir sebagai ahli panel adalah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali serta penulis lirik lagu Awan Nano, Hasmi Hashim dan dihadiri seramai lebih 200 orang peserta.

KLSCAH HKR 112 01

Categories
NASIONAL

Stadium Merdeka Jadi Lokasi Rasmi Himpunan 12 Jan

HKR Grafik

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 (HKR112) mengesahkan Stadium Merdeka akan menjadi lokasi rasmi himpunan rakyat Sabtu ini.

Perkara ini dimaklumkan Pengerusi Penganjur HKR 112, Mohammad Sabu (Mat Sabu) pada satu sidang media khas di Ibu Pejabat PAS.

Persetujuan ini diperoleh melalui surat yang diterima pada jam 2.30 petang tadi hasil perbincangan pihak penganjur dan pengurusan stadium sebelum ini.

“Kami pihak sekateriat HKR mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Stadium Merdeka yang mengizinkan penggunaan (Stadium Merdeka).

“Kami akan hantar wakil untuk berbincang mengenai penyelarasan peraturan. Kami akan bincang sepuluh pagi esok,” katanya.

Jelas Mat Sabu, beliau akan memaklumkan persetujuan yang diperoleh ini kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar bagi memastikan himpunan ini berlangsung aman sekaligus mencipta ‘Historic Moment’ kepada negara.

Selain itu penganjur juga turut menghantar wakil untuk berbincang dengan IPD Dang Wangi bangi tujuan penyelarasan keadaan himpunan.
Mat Sabu menambah, himpunan ini akan berlangsung dari jam 2.00 petang sehingga 5.00 petang.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika ditanya sekiranya berlaku sebarang pembatalan kelulusan di saat akhir beliau menjelaskan, pihaknya sudah bersedia dan akan memastikan ia berlangsung dengan jayanya.

“Saya jangka kita sudah buat semua persiapan di Stadium Merdeka meskipun lewat dan semua bersedia ini merupakan titik sejarah. Stadium Merdeka kembali digunakan rakyat.

“Ini adalah himpunan aman. Kami terjemahkan sebagai tuntutan rakyat yg akan dibawa pada PRU-13,” ujar beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Polis Mahu “Lakar Sejarah” Kerjasama Dengan Penganjur Himpunan 12 Jan

saifuddin ceramah grey 01

SHAH ALAM 8 JAN : Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar  berjanji bahawa polis akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat agar perhimpunan itu dapat berlangsung secara aman dan sejahtera.

Jaminan tersebut disambut dengan optimis dan terbuka oleh pihak penganjur yang mengadakan pertemuan selama sejam setengah dengan Ismail di Bukit Aman petang tadi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang menyertai pertemuan itu berkata, pihak polis kali ini berjanji untuk memainkan peranan sebagai fasilitator.

Ini selaras dengan garis panduan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2011 bagi memastikan kekecohan dahulu tidak berulang.

“Tan Sri Ismail sendiri mengajak kita bersama-sama untuk mencipta satu ‘historical moment’ dalam negara bahawa polis dan penganjur boleh bekerjasama dalam satu perhimpunan aman.

“Mereka juga mengaku kesilapan dahulu dan bertekad untuk belajar daripada kelemahan dan tidak mengulanginya lagi selepas ini,” jelas Saifuddin sewaktu dihubungi TVSelangor hari ini.

Himpunan yang digerakkan gagasan Pakatan Rakyat itu bakal menarik satu juta peserta pada Sabtu ini.

Pihak penganjur masih lagi memohon kepada Permodalan Nasional Berhad untuk menggunakan Stadium Negara, tetapi sehingga kini, tiada maklumbalas dari PNB.

Mengulas mengenai lokasi perhimpunan yang bakal berlangsung pada 12 Januari ini, Saifuddin yang juga MP Machang berkata sehingga kini mereka tidak menerima sebarang berita berhubung kelulusan untuk menggunakan Stadium Merdeka.

“Kita akan tunggu sehingga jam 1 tengah hari esok, jika masih tiada jawapan, kita akan mengumumkan lokasi himpunan dalam satu sidang media pada 4 petang esok di Ibu Pejabat PAS.

“Ketua Polis juga ada menanyakan mengenai perkara ini, dan kita beritahu beliau bahawa kita akan maklumkan kepada pihaknya sejurus kita mendapat satu keputusan muktamad esok,” tambahnya lagi.

Selain Saifuddin, pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir bersama mesyuarat Ketua Polis Negara petang tadi ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Datuk Teng Chang Kim serta aktivis NGO Bersih Maria Chin Abdullah dan Hishamuddin Rais.

Ismail pula diiringi Timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rashid serta pegawai-pegawai cawangan khas Bukit Aman.

Categories
NASIONAL

Hishamuddin: Pembebasan ISA Bukti Umno-BN berniat jahat

SHAH ALAM, 2 OKT : Penahanan 10 aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 yang diputuskan tidak sah dan berniat jahat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membuktikan kerajaan Umno-BN menyalahgunakan akta itu bagi tujuan politik.

Salah seorang aktivis terlibat, Hishamuddin Rais berkata, dengan keputusan dibuat mahkamah itu adalah jelas ISA disalahgunakan demi kepentingan politik kerajaan Umno-BN untuk terus berkuasa.

“Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini adalah satu undang-undang yang zalim di mana hakim telah berkata bahawa penangkapan kami dulu telah dibuat pada 2001 adalah “malafide” bermakna berniat jahat.

“Hakim telah menyatakan bahawa penangkapan itu juga salah dan kenyataan media oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai itu telah merosakkan imej kami,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Pada 2001, polis telah menahan Hishamuddin bersama sembilan yang lain termasuk MP Batu, Tian Chua dan pemimpin kanan PKR, Dr Badrulamin Bahron dalam satu gerakan reformasi yang didakwa mengancam keselamatan negara.

Berikutan keputusan itu, beliau berkata, mahkamah telah memutuskan di mana pihak kerajaan didenda untuk membayar sekian jumlah yang tidak dinyatakan.

“Niat kerajaan pada ketika itu adalah bertujuan memecahkan gerakan reformasi maka kami dituduh ada membawa molotov coctail, ballbearing dan barangan lain untuk membuat keganasan.

“Tetapi selama 54 hari saya dan kawan lain ditahan, tidak ada satu soalan pun tentang ballbearing atau molotov coctail ditimbulkan dan ditanya kepada kami semua.

“Apa yang mahu dibuktikan dalam siasatan 54 hari itu ialah mereka mahu merisik tentang pergerakan PKR. Ini yang berlaku dan bukan seperti tuduhan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pesta Lagu Jalanan Tonjolkan Bakat Artis Hak Asasi, Demokrasi

Gambar oleh Remmy Ariffin

PETALING JAYA, 15 JUL : Pesta Lagu Jalanan 2012 yang berlangsung di Taman Rusa, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, disifatkan sebagai platform terbaik bagi golongan muda khususnya untuk menonjolkan bakat nyanyian dan penciptaan lagu.

Pesta yang bermula seawal jam 12 tengah hari hingga 11 malam itu merupakan anjuran tiga Pusat Khidmat DUN iaitu Bukit Gasing, Kinrara dan Kampung Tunku bersama portal web Roketkini.com.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, pengajuran program itu bertujuan merangsang belia untuk menggubal lagu yang membawa mesej demokrasi, hak asasi manusia, perpaduan, anti-rasuah dan tadbir urus yang baik.

“Idea pengajuran program ini adalah kerana selalunya perhimpunan yang disertai orang ramai, contohnya BERSIH  hanya melaungkan slogan sahaja, tanpa ada lagu semangat.

“Oleh itu, kita berpandangan adalah penting untuk mempunyai lagu buatan sendiri yang boleh digunakan setiap kali ada pergerakan, perhimpunan hak asasi manusia dan sebagainya,” katanya yang juga Adun Kinrara.

Menurut Teresa, acara kemuncak program itu adalah konsert finale lagu jalanan yang memperlihatkan 12 lagu dipilih untuk dipertandingkan di peringkat akhir malam nanti.

Beliau berkata, persembahan finalis akan diadili oleh barisan panel juri, antaranya Hishamuddin Rais, Nik Jidan, Anthony Loke, Ross Ariffin dan Hasmi Hashim.

“Jika ia mendapat sambutan baik, kita akan jadikannya sebagai program tahunanan pada masa akan datang.

“Saya ingin berterima kasih kepada NGO dan aktivis kerana bersama-sama menjayakan program ini. Kita harap orang muda dapat berseronok,” jelasnya.

Selain persembahan, pesta itu turut mengadakan karnival yang menempatkan booth jualan para NGO seperti Pusat KOMAS, SUARAM, Bersih 2.0, Radio Bangsar Utama, Majlis Peguam, Petpositive, Kelab Kartunis Independen, Pusat Kucing Terbiar, Change Your World, Buku Jalanan, Frinjan, dan organisasi pelarian dari Sri Lanka, Somalia dan Myanmar.

Selain daripada gerai, terdapat juga “dinding graffiti”, Sudut Pidato (Speaker’s Corner) serta gerai jualan buku, pakaian dan hasil tangan kreatif anak-anak muda.