Categories
SELANGOR

Kenaikan RON 95 jadi punca rantaian harga barang lain naik – Fomca

minyak-naik

SHAH ALAM, 3 SEPTEMBER – Tindakan kerajaan BN menaikkan harga minyak bakal menghimpit kehidupan rakyat lantaran ia memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barangan keperluan harian.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata situasi sama berlaku pada 2010 apabila kerajaan menaikkan harga minyak.

“Sebelum ini pun apabila berlaku apa sahaja kenaikan harga, memang memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barang.

“Setiap orang tidak boleh lari dari menerima kesan kenaikan harga barangan. Ini setiap golongan akan merasai,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sekalipun pernah berjanji tiada kenaikan petrol selepas PRU 13, kerajaan BN menaikkan harga  RON95 dan diesel sebanyak 20 sen menjadikan harganya mencecah RM2.10 dan RM2.00 seliter mulai hari ini.

Mohd Yusof berkata, golongan berpendapatan rendah mengalami kesan lebih buruk berikutan mereka berdepan peningkatan kos sara hidup dengan ketara.

“Kenaikan ini bermakna pendapatan boleh guna rakyat semakin berkurang. Pastinya menyebabkan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Bagi mengekang kenaikan harga barangan lain, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan tiada monopoli pihak tertentu untuk menaikkan harga barangan lain sewenang-wenangnya.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

RON95, diesel naik 20 sen seliter, hadiah BN kepada rakyat

20petrol_m_mKUALA LUMPUR 2 SEPT: Kerajaan Umno BN menghadiahkan kepada rakyat kenaikan harga minyak, yang dilihat akan terus membebankan rakyat di negara ini, lapor Keadilan Daily.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan diesel dan minyak petrol RON95 naik 20 sen seliter mulai tengah malam ini.

Najib mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebentar tadi.

Pengumuman berkenaan disifatkan sebagai hadiah PRU kepada rakyat, khususnya kepada ahli Umno dan BN yang mengundi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Sejak Najib menjadi PM pada April 2009, kenaikan Ron 95 ini adalah yang ketiga. Sebelum ini, pada 16 Julai 2010 harga minyak itu naik 5 sen menjadi RM 1.85 seliter dan pada 3 Disember 2010 naik lagi 5 sen menjadi RM 1.90/liter.

Manakala kenaikan Diesel itu pula sebanyak empat kali. Masing-masing pada RM1.70 seliter pada 1 September 2009, RM1.75 (16 Julai 2010), RM1.80 (3 Disember 2010) dan kini terus melonjak menjadi RM2.00 seliter.-keadilandaily.com.

Categories
NASIONAL SELANGOR

FOMCA : Kenaikan Ron 97 Jejas Pengguna

SHAH ALAM 10 SEPT : Kerajaan Pusat perlu meneliti semula kenaikan harga petrol gred RON97 sebanyak RM0.30 yang diumumkan baru-baru ini.

Penurunan ini perlu bagi mengurangkan bebanan orang ramai untuk menanggung kos sara hidup yang makin meningkat kini.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan- Persatuan Penguna Malaysia(Fomca), Mohd Yusoff Abdul Rahman berkata kenaikan ini akan memberi kesan kepada golongan tertentu terutama bagi mereka yang menggunakan kenderaan berkuasa tinggi.

Menurutnya, tindakan Kerajaan Pusat menaikkan harga petrol memberi kesan kepada peningkatan kos pengangkutan, ditambah dengan kenaikan harga barangan yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

“Walaupun kita mendapati ramai yang menggunakan RON95, tetapi ramai juga yang beralih ke RON 97 kerana mendapati kualitinya lebih baik untuk perjalanan jauh.

“Ini menyebabkan kos perjalanan atau pengangkutan meningkat. Saya berharap Kerajaan Pusat perlu melakukan sesuatu supaya ia tidak memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhannya untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga harus bijak mengatur perbelanjaan supaya tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga petrol serta harga barang di pasaran.

Menurutnya, pengingkatan harga petrol dan harga barang tidak dinafikan mula memberi kesan terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

“Kesannya memang mula dirasai. Saya sarankan Kerajaan Pusat perlu ambil tindakan untuk mengurangkan kesan kepada pengguna,” katanya lagi.

Untuk kali kedua dalam tempoh kurang sebulan, Kerajaan Pusat secara senyap-senyap menaikkan harga petrol gred RON97 kepada RM0.30 menjadikan harganya mencecah RM3 seliter.

Kali terakhir pengumuman rasmi dibuat ialah pada bulan Julai apabila Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan pengurangan RM0.20 harga seliter.

Sejak September 2009, harga RON97 harga ditentukan oleh apungan terurus sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan persekutuan untuk mengetatkan jumlah subsidi kerajaan.

Sebagai kompromi, Kerajaan Pusat memperkenalkan petrol gred RON95 dengan harga RM1.85 seliter.

Ia dinaikkan kepada RM1.90 seliter pada bulan Disember 2010 dan sejak itu tidak berubah.