Categories
SELANGOR

Belanjawan selangor 2014 mesra rakyat

bajet 2014

SUBANG JAYA 23 SEPT : Kerajaan Negeri merangka Belanjawan Selangor 2014 dengan mengambil kira kehendak rakyat melalui hasil perbincangan bersama pemimpin masyarakat dalam sesi Majlis Dialog yang diadakan di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, mulai hari ini hingga esok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan itu penting supaya perlaksanaan Belanjawan Selangor 2014 selaras dengan keperluan dan kehendak rakyat. Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut melaksanakan sesi dialog serupa bagi membincangkan perlaksanaan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Pakatan Rakyat.

Maklum balas dari sesi dialog itu dimuatkan dalam Pelan Tindakan Lima Tahun.

“Ia untuk mendapatkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen, pensyarah dan lain-lain untuk dibincangkan bagi Belanjawan 2014 Selangor.

“Ia ambil kira kehendak rakyat walaupun mereka tahu sekatan belanjawan melalui hasil negeri antara RM1.4 hingga RM1.6 bilion,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di sini.

Abdul Khalid berkata, penekanan kepada belanjawan berimbang masih menjadi keutamaan pentadbiran beliau. Sebarang program dan pelan tindakan hanya akan dirangka berdasarkan kepada had Belanjawan dan mengikut hasil pendapatan Kerajaan Negeri.

“Belanjawan bagi Selangor ialah belanjawan berimbang dengan tiada perbelanjaan defisit. Apa yang kita hasilkan itu sahaja yang boleh kita gunakan,” tegas beliau.

Dalam ucapannya, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mahu meneruskan usaha memuktamadkan pengambil-alihan industri air negeri menjelang Disember tahun ini.

Turut diberi penekanan adalah pengagihan saham-saham air kepada rakyat Selangor sekiranya pengambilalihan ini berjaya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata skim air percuma 20 meter padu juga dapat diteruskan 10 tahun lagi dengan pengambil-alihan itu.

Menyedari permasalahan perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, pembinaan Rumah Mampu Milik di Selangor akan dirancakkan lagi melalui dasar baru Rumah Mampu Milik Berkualiti (AQH), serta peranan semi-otonomi kepada unit bertanggungjawab di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Antara tujuan lain yang diberi penekanan adalah pembinaan Pengkalan Data Bersepadu bagi semua program-program yang dibiayai Kerajaan Negeri termasuk statistik penerima bantuan dan penerima manfaat agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), penyenaraian program-program baru dan butiran penambahbaikan program sedia ada.

Bagi membantu menjana ekonomi usahawan, semua aktiviti dan program keusahawanan akan dipusatkan di bawah Pusat Keusahawanan Negeri yang menjadi agen sehenti pembangunan keusahawanan setempat, serta menambah daya program-program komuniti yang dibiayai Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kaji selidik menyeluruh sebelum menubuhkan Makmal Halal Saintifik Selangor, yang bertujuan membantu menangani isu-isu pensijilan halal bagi produk-produk tempatan.

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Selangor tunaikan Manifesto Pilihan Raya menerusi pelan tindakan lima tahun

Central PattanaKerajaan Selangor telah merangka Pelan Tindakan Lima Tahun untuk mengangkat taraf sosio ekonomi rakyat Selangor dan untuk memastikan taraf hidup rakyat mencerminkan sebuah negeri maju.

Pelan Tindakan Lima Tahun itu berdasarkan strategi dan langkah-langkah yang dicadangkan di dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru-baru ini dibincangkan dan dibahaskan pada sesi dialog awam yang telah diadakan di semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Pelan tindakan ini dirangka pada sesi retreat EXCO selama tiga hari di Bangkok di mana semua EXCO menyuarakan isu-isu berkaitan yang perlu diberi keutamaan, kumpulan sasaran , program khusus dan unjuran implikasi kewangan sebagai sebahagian daripada strategi pelaksanaan.

EXCO (1)EXCO telah antara lain memutuskan untuk :

1. Meneruskan usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri air dan pengagihan saham air kepada rakyat Selangor.
2. Memberi rebat atau lain-lain jenis insentif kepada kakitangan awam yang menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik ke tempat kerja di Bangunan SUK dan menyediakan bas pengantara dari stesen rangkaian pengangkutan awam terutama Terminal Bas di Seksyen 1 dan Stesen KTM di Seksyen 19 ke Bangunan SUK di bawah Majlis Pengangkutan Awam Selangor yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

3. Memusatkan semua aktiviti dan program keusahawanan di bawah Pusat Keusahawanan Negeri Selangor sebagai sebuah agensi sehenti bagi pembangunan keusahawanan.

4. Melaksanakan dasar baru bagi Rumah Mampu Milik Berkualiti (AQH) melalui unit semi autonomi di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

5. Membina pangkalan data bersepadu bagi semua program yang dibiayai kerajaan negeri termasuk statistik penerima kebajikan, dan memperkenalkan program baru atau meningkatkan program yang sedia ada untuk menukar minda kebajikan kepada minda Daya Kerja.

6. Menjalankan satu kajian menyeluruh dengan objektif menubuhkan Makmal Halal Saintifik Selangor untuk menangani isu-isu pensijilan halal.

7. Menambah daya polisi program komuniti yang dibiayai kerajaan negeri.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua EXCO, pegawai kanan kerajaan negeri dan kakitangan di atas sokongan, komitmen dan disipilin yang tinggi sepanjang tiga hari sesi ini berlangsung dan hasilnya kami berjaya menampilkan pelan tindakan berserta senarai program atau langkah-langkah yang akan dijalankan dalam jangka pendek , sederhana dan panjang.

Walaupun pelaksanaannya tidak akan mudah tetapi saya yakin bahawa kita semua akan bekerja keras untuk memastikan rakyat akhirnya akan menjadi penerima terbesar daripada pelan tindakan ini.

Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan syarikat yang banyak memiliki pusat beli belah di Thailand, Kumpulan Central Pattana yang telah melabur RM500 juta melalui anak-anak syarikat di Malaysia untuk membina sebuah pusat membeli-belah di i -City Shah Alam- satu langkah yang dijangka akan menjadikan Shah Alam sebuah syurga membeli-belah baru di rantau ini.

Kerajaan negeri Selangor komited untuk menguruskan aset negeri dan sumber-sumbernya yang diamanahkan oleh rakyat untuk kebaikan rakyat khususnya untuk membantu rakyat Selangor yang terpinggir dan kurang bernasib baik selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

YAB TAN SRI DATO? SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO? MENTERI BESAR SELANGOR