Categories
NASIONAL

500 Hadir Himpunan Rakyat Bantah AES

MANJUNG, 9 NOV : NGO ?Bantah AES? mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan perlaksanaan Sistem Penguatkuasaaan Automatik (AES) dalam tempoh seminggu.

Koordinator Bersama, Bantah AES, Saifullah Zulkifli menegaskan, sebarang usaha untuk menangani masalah kemalangan adalah disokong.

Akan tetapi pelaksanaan AES adalah meragukan dan membebankan rakyat.

“Pihak Bantah AES dengan ini memberi tempoh seminggu kepada Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan pelaksanaan AES dan memberi respon terhadap bantahan ini.

“Jika berlaku sebaliknya, satu lagi perhimpunan ‘BANTAH AES’ bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan diadakan ke Parlimen,” katanya dlam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian selepas Himpunan Rakyat Bantah AES yang dihadiri 500 orang penyokong di Sitiawan, Perak hari ini.

Mereka mula berkumpul di Masjid An-Nasyirah, Sitiawan selepas solat Jumaat dan kemudiannya berarak ke pejabat Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut.

Memorandum bantahan terhadap AES ini mengemukakan empat faktor mengapa sistem itu ditolak.

Empat faktor yang dinyatakan dalam memorandum tersebut adalah latar belakang dua buah syarikat yang dilantik dan perjanjian penswastaaan amat mencurigakan.

Memorandum itu juga berkata kemalangan tidak disebabkan hanya kerana kelajuan semata-mata dan perlaksanaan AES menambahkan beban kewangan kepada rakyat.

“Pihak Bantah AES menyatakan kekesalan terhadap sikap penakut Ahli Parlimen Lumut, Datok Seri Kong Cho Ha untuk berhadapan dengan rakyat dan hanya menghantar kerani pejabat parlimen untuk menerima memorandum tersebut,” ujarnya lagi.

Himpunan ini dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan pimpinan masyarakat.

Antara pimpinan yang hadir dan memberi ucapan adalah wakil PKR Perak, Chang Lih Kang, Dr Raja Ahmad Iskandar yang wakili Dewan Pemuda Pas Perak, Siti Aisyah Sheik Ismail selaku wakil PKR Pusat dan beberapa pimpinan NGO lain.

Yayasan Selangor Anjur Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara

SHAH ALAM, 1 NOV : Yayasan Selangor akan menganjurkan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara pada 18 November (Ahad) ini di Dewan Syarahan Universiti Selangor (UNISEL), Seksyen 7 Shah Alam.

Komunikasi Korporat Yayasan Selangor, Saifullah Zulkifli berkata, Yayasan Selangor menganjurkan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara sebagai langkah penambahbaikan terhadap dasar dan sistem pendidikan negara perlu diberikan perhatian.

Ia supaya Dasar Pendidikan Negara tidak tergelincir daripada landasan pembinaan negara-bangsa yang bertamadun.

“Pakar-pakar pendidikan dikumpulkan bagi mengkaji dan membahaskan isu-isu dasar pendidikan di Malaysia dengan perjalanan konvensyen dibahagikan kepada beberapa sesi.

“Sesi pertama adalah merupakan ucaptama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia,” kata Saifullah dalam kenyataan medianya.

Saifullah berkata, sidang kedua adalah bengkel selari dengan pembentangan 15 kertas kerja serentak dengan pengulas berkenaan pelbagai topik yang berlegar di sekitar pendidikan.

Sidang terakhir adalah resolusi serta penutup oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Konvensyen ini adalah hasil daripada Perbincangan Meja Bulat Pendidikan Malaysia yang diadakan pada 8 September 2012 di Hotel Quality, Shah Alam anjuran Pejabat Exco Pendidikan Negeri Selangor.

“Konvensyen ini menarik untuk diberi perhatian kerana selain daripada membahaskan aspak halatuju pendidikan dan falsafah pendidikan, program ini turut membahaskan isu pendidikan vokasional, pengajian tinggi, sekolah rendah dan menengah.

“Turut dibincangkan adalah isu pendidikan kaum Cina, India, Sabah dan Sarawak yang kini hangat dibahaskan,” kata Saifullah.

Kata beliau, penyertaan adalah percuma.

Kepada yang berminat untuk hadir sebagai peserta boleh menghubungi pihak Yayasan Selangor di talian 03-79551212 atau hubungi Sdr Saifullah Zulkifli 013-3005461, [email protected].