Categories
AGENSI SELANGOR

Menangis bawa tiga cucu ke saringan percuma, ‘swasta terlampau mahal’ (VIDEO)

PETALING JAYA, 20 JUN: Seorang nenek membawa tiga cucu termasuk bayi berusia enam bulan ke saringan percuma berikutan tidak mampu membayar ujian Covid-19 di klinik swasta yang “terlampau mahal”.

Shahrull Samsi, 67, bimbang tiga cucunya dijangkiti virus selepas ibu bapa mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisko Rendah (PKRC) Serdang sejak Khamis lalu.

Beliau membawa Muhammad Aisy Ariq Anaqi Fadil Fikri berusia enam bulan; Muhammad Firash Farhan (tiga tahun) dan Muhammad Ziyad Zafran (enam tahun) ke klinik swasta sebelum membatalkan hasrat itu.

“Bila tahu mak dan ayahnya positif, mak cik hendak bawa cucu dengan dua lagi abangnya buat ujian di klinik swasta tapi mahal, terpaksa batalkan.

“Saya bersyukur Kerajaan Negeri bantu. (Klinik) swasta terlampau mahal, RM280. Dah pergi dah, saya tak mampu… banyak (mahal) kan.

“Terima kasih kerana bantu ringankan beban ketika pandemik,” katanya sambil menangis ketika ditemui dalam Saringan Komuniti fasa tiga di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan di sini hari ini.

Selain itu, dua bayi berusia dua bulan antara peserta saringan pertama fasa tiga yang dianjurkan di dewa sama.

Nor Athira Mohd Ihar, 30, memilih waktu tidur Khaira Amira Khairul Naim berusia dua bulan untuk ujian calitan bagi memastikan anaknya tidak menangis.

“Saya sedih bila dimaklumkan suami Khairul Naim Kasrun positif. Disebabkan itu saya dan anak yang baru habis pantang perlu disaring.

“Sejak suami disahkan positif saya hanya fikirkan keadaan anak ketika disaring. Saya risau dia sakit. Alhamdulillah dia tidak menangis dan tidur sahaja ketika proses saringan ini,” katanya.

Tuti Hasti Amir Shah, 35, pula memandu hampir 30 kilometer dari Klang ke Petaling Jaya bagi mengetahui status kesihatan diri dan tiga anak berusia dua bulan hingga lapan tahun selepas suami disahkan positif.

“Suami kini dikuarantin di PKRC, Serdang. Dia yang daftarkan nama kami untuk saringan hari ini.

“Saya harap anak-anak tidak dijangkiti Covid-19. Walaupun terpaksa memandu jauh dengan membawa tiga anak, saya sanggup asalkan tahu status kesihatan “ katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Kaedah sukarelawan bergilir lancarkan Saringan Komuniti

PETALING JAYA, 19 JUN: Kaedah penggiliran petugas digunakan pada program pertama Saringan Komuniti fasa tiga melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata sukarelawan dari DUN terbabit akan mula bertugas pada jam 1 petang manakala sebelah pagi diuruskan petugas Seri Setia.

“Ia persetujuan dari pihak kami supaya program gabungan ini berjalan lancar dan tidak timbulkan sebarang masalah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Setiap DUN menyediakan 20 sukarelawan yang akan membantu dari pintu masuk hingga ujian calitan selesai,” katanya.

Hari ini saringan percuma fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor bermula melibatkan kawasan mencatatkan peratusan kes positif tinggi.

Pada 9 Jun Dato’ Menteri Besar berkata saringan fasa itu diteruskan termasuk di sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak diperkenalkan tahun lalu, program telah menyaring penduduk Selangor lebih daripada angka tersebut menerusi fasa satu ketika PKP 1.0 hingga PKP 2.0 dan fasa dua sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Promosi punca warga asing sertai Saringan Komuniti meningkat

PETALING JAYA, 19 JUN: Jumlah warga asing menyertai Saringan Komuniti Covid-19 fasa tiga meningkat kepada lima peratus berbanding sebelum ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata peningkatan daripada dua peratus itu susulan keberkesanan iklan serta promosi dilakukan pihaknya bagi mengajak orang ramai melakukan ujian.

“Kali ini semua iklan kita letak ‘warga asing digalakkan’ menyebabkan mereka berani datang dan jalani saringan hari ini.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, ada kilang dibenar beroperasi ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan pekerja juga terdiri dari warga asing. Dengan cara ini kita mampu kekang penularan pandemik,” kata Halimey Abu Bakar kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata lebih 1,000 individu dijangka menyertai saringan percuma di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan membabitkan DUN Seri Setia dan Taman Medan.

Pada 9 Jun Dato’ Menteri Besar berkata saringan fasa tiga diteruskan di kawasan mencatatkan kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak diperkenalkan tahun lalu, program telah menyaring penduduk Selangor lebih daripada angkat tersebut menerusi fasa satu ketika PKP 1.0 hingga PKP 2.0 dan fasa dua sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma fasa tiga tumpuan individu kontak rapat

PETALING JAYA, 19 JUN: Jumlah peserta Saringan Komuniti fasa ketiga dijangka menurun berbanding penyertaan dalam dua fasa sebelum ini, kata pengurus Klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir berkata ia berikutan kebanyakan peserta ujian Covid-19 kali ini dalam kalangan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

“Pemerhatian hari pertama mendapati kebanyakan peserta diuji merupakan kontak rapat ahli keluarga atau individu terdekat yang disahkan positif.

Mohd Noor Md Nasir

“Walaupun pergerakan orang ramai terhad dan hanya duduk di rumah, risiko jangkitan masih tinggi kerana ada sektor tidak ditutup selain perniagaan berjalan seperti biasa. Kes harian juga masih kekal tinggi,” katanya ketika ditemui.

Saringan fasa tiga bermula hari ini melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan dan Seri Setia di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan.

Sementara itu, Mohd Noor berkata program sama yang diadakan esok di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak merupakan saringan pertama diadakan sehingga malam.

Menurutnya, program mulai 8 pagi hingga 9 malam turut menyasarkan 9,000 peserta sekitar DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer.

“DUN terbabit merekodkan jumlah penyertaan tinggi ketika fasa dua. Jadi, kita bersedia menyaring seramai mungkin dan harap peratusan individu berkemungkinan positif menurun berbanding sebelum ini,” katanya.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan fasa tiga melibatkan kawasan mencatatkan kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma fasa tiga di DUN Seri Setia, Taman Medan esok

SHAH ALAM, 18 JUN: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan digalak membuat saringan Covid-19 secara percuma esok.

Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Negeri diadakan di Dewan Komuniti MBPJ Jalan PJS6/1 Kampung Lindungan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Orang ramai boleh membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari http://screening.selangkah.my/login.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) membolehkan pengesanan jangkitan dalam tempoh kurang 30 minit.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan program berkenaan dengan tumpuan di kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Selain DUN Seri Setia dan Taman Medan, program tersebut juga dilaksana di DUN Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer pada Ahad.

Bagi DUN Kajang pula diadakan pada 26 Jun manakala Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa pada 27 Jun.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk DUN Seri Setia disaran sertai saringan percuma esok

SHAH ALAM, 18 JUN: Wakil rakyat Seri Setia sekali lagi menyeru penduduk hadir menjalani ujian Covid-19 di Dewan Komuniti MBPJ Jalan PJS6/1 Kampung Lindungan esok.

Halimey Abu Bakar berkata saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri itu terbuka kepada semua masyarakat termasuk warga asing.

“Maklumat diterima ada segelintir warga asing takut untuk hadir membuat saringan kerana beranggapan ia untuk warga tempatan sahaja.

“Saya harap pekerja warga asing di kawasan industri datang buat saringan secara percuma ini,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Taman Templer berkata pihaknya telah membuat hebahan berhubung saringan fasa tiga termasuk di media sosial.

“Kita juga meminta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) membuat hebahan di setiap kumpulan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mereka yang pernah buat saringan juga boleh hadir lagi supaya kita dapat memutuskan rantaian Covid-19,” kata Mohd Sany Hamzan.

Saringan Komuniti fasa tiga bermula esok di DUN Seri Setia dan Taman Medan manakala Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer pada Ahad.

Bagi DUN Kajang pula diadakan pada 26 Jun sementara Hulu Klang serta Bukit Antarabangsa 27 Jun.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Gombak Setia sedia dua bugi angkut peserta saringan

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebanyak dua kenderaan ringan bugi (buggy) disediakan untuk kemudahan peserta Saringan Komuniti di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak pada Ahad ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi berkata kira-kira 100 sukarelawan juga membantu proses ujian bagi melancarkan program percuma itu antara 9 pagi hingga 8 malam.

“Kemudahan bugi itu disediakan oleh Templer Park Country Club. Jika ada penduduk yang mahu hadir tapi ada kekangan pengangkutan, kita akan pertimbang sediakan kenderaan,” katanya.

Beliau menambah risalah memuatkan nombor telefon pusat khidmat turut diedar bagi memudahkan mereka berurusan termasuk kemungkinan kuarantin atau bantuan lain.

Saringan fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor bermula esok membabitkan DUN Seri Setia dan Taman Medan diikuti Sungai Tua, Gombak Setia serta Taman Templer, Gombak pada Ahad.

Program sama diteruskan di Kajang pada 26 Jun manakala Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa pada 27 Jun.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM10.7 juta untuk menjayakan program berkenaan dengan tumpuan di kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma di Dewan Beringin Taman Sri Gombak Ahad ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Penduduk DUN Sungai Tua, Gombak  Setia, Taman Templer digalak menjalani saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri pada Ahad .

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi poster memaklumkan ujian berkenaan diadakan di Dewan Beringin Taman Sri Gombak bermula jam 9 pagi hingga 8 malam.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login.

“Daftar di aplikasi SELangkah, Waze lokasi saringan: https://waze.com/ul/hw2866jz0k,” kata Amirudin di Facebook.

Saringan Komuniti fasa tiga bermula esok dengan memfokus pada kawasan yang merekodkan kes Covid-19 tinggi berdasarkan keputusan saringan fasa dua.

Program sama diteruskan di DUN Kajang  pada 26 Jun, Hulu Klang serta Bukit Antarabangsa (27 Jun).

Individu disyaki positif pada fasa ini akan dibekalkan kit penilaian di rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB saran penduduk Seri Setia, Taman Medan jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 17 JUN: Penduduk DUN Seri Setia dan Taman Medan disaran menjalani saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri pada Sabtu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan ujian berkenaan diadakan di Dewan Komuniti MBPJ Jalan PJS 6/1 Kampung Lindungan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login.

“Daftar di aplikasi SELangkah, Waze lokasi saringan: https://waze.com/ul/hw28382f4w,” maklum Amirudin di Facebook.

Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri diteruskan mulai Sabtu ini dengan memfokus pada kawasan yang merekodkan kes Covid-19 tinggi berdasarkan keputusan saringan fasa dua.

Program sama diteruskan di DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer, Gombak pada Ahad, manakala Kajang (26 Jun), Hulu Klang serta Bukit Antarabangsa (27 Jun).

Individu disyaki positif pada fasa ini akan dibekalkan kit penilaian di rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan percuma fasa tiga kesan kilang rekod kes wabak tinggi

SHAH ALAM, 17 JUN: Saringan percuma fasa tiga akan menggunakan sistem pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) bagi mengesan lebih banyak kes Covid-19 dalam kalangan pekerja industri.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata sistem itu dapat mengenal pasti kilang yang mempunyai kadar perebakan tinggi sekali gus mengekang penularan kepada masyarakat.

“Saringan Komuniti kali ini akan lebih tertumpu kepada sektor industri selain kawasan yang mencatatkan kes positif tinggi.

“Saya menyeru warga Selangor mengambil peluang ini untuk memastikan diri sendiri dan ahli keluarga terlindung daripada jangkitan wabak,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Facebook semalam.

Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri diteruskan mulai Sabtu ini ke kawasan mencatat lebih lima peratus jangkitan pada fasa kedua yang berjalan sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Lokasi pertama dilaksanakan di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan menyasarkan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan.

Program sama turut dijalankan untuk DUN Sungai Tua, Gombak Setia, Taman Templer, Kajang, Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa.

Individu disyaki positif pada fasa ini akan dibekalkan kit penilaian di rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Giat promosi Saringan Komuniti fasa tiga, capai sasaran 100,000 individu

SHAH ALAM, 14 JUN: Semua pihak perlu giat mempromosi Saringan Komuniti Covid-19 fasa ketiga secara percuma yang dijangka bermula pada Sabtu, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer.

Mohd Sany Hamzan berkata antara lokasi tumpuan untuk menguarkan program anjuran Kerajaan Negeri adalah penduduk penempatan bertingkat seperti pangsapuri.

“Promosi saringan dilaksanakan menerusi kaedah siar raya di penempatan bertingkat, kita mahu mereka  tahu tarikh program saringan.

“Lebih ramai dijangka menyertai saringan fasa ketiga, jadi kita perlu tambah baik pusat saringan dengan menyediakan laluan khas bagi memastikan program berjalan lancar,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Selain itu, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menyediakan kemudahan pengangkutan terutamanya untuk membawa warga emas ke pusat saringan.

Penyelarasnya Abdul Rahim Kasdi berkata fokus diberikan kepada golongan berisiko tinggi di Kampung Changkat, Kerdas, Sungai Chinchin, Simpang Tiga dan sekitar Gombak Utara berikutan peningkatan kes di kawasan itu.

“Pejabat DUN mengambil inisiatif membantu warga emas yang mungkin ada kekangan untuk hadir saringan, jadi kita cuba bantu untuk memudahkan mereka,” katanya.

Semalam Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata Saringan Komuniti Covid-19 fasa ketiga dijangka bermula 19 Jun.

Pada Rabu Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sejumlah RM10.7 juta bagi meneruskan Program Saringan Komuniti Covid-19 fasa ketiga melibatkan kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Sejak diperkenalkan tahun lalu, saringan secara percuma menyaring lebih 100,000 penduduk Selangor menerusi dua fasa.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Saringan Komuniti fasa tiga dijangka bermula Sabtu depan

SHAH ALAM, 13 JUN: Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor melibatkan kawasan mencatatkan kes Covid-19 tinggi dijangka bermula 19 Jun ini.

Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata program dirancang selama empat hari dengan beberapa lokasi dijalankan secara serentak bermula 9 hingga 4 petang.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Bagaimanapun perancangan ini masih bergantung kepada keputusan Kerajaan Selangor.

“Mengikut jadual dirancang, hari pertama nanti melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Gombak Setia serta Taman Templer,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Noor berkata pihaknya menyasarkan penyertaan lebih ramai memandangkan tahap kesedaran orang awam semakin tinggi.

“Kita akan saring seramai mungkin dan tidak hadkan jumlah yang datang. Kali ini kita harap peratusan individu berkemungkinan positif berkurang berbanding fasa dua,” katanya.

Khamis lalu, Dato’ Menteri Besar berkata saringan fasa tiga diteruskan melibatkan kawasan mencatatkan kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak diperkenalkan tahun lalu, saringan secara percuma menyaring lebih 100,000 penduduk Selangor menerusi dua fasa.

Fasa pertama dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 melibatkan lebih 26,000 individu manakala 97,565 individu diuji sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu bagi fasa dua.