Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan bersasar di Petaling hujung April, elak wabak tular

SHAH ALAM, 22 APRIL: Saringan bersasar di Petaling bagi mengekang penularan Covid-19 dijangka bermula hujung bulan ini, kata pengurus Klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir berkata lokasi bersesuaian sedang dikenal pasti untuk mencegah kewujudan kluster baharu terutama membabitkan kakitangan dan pelajar sekolah.

“Perbincangan dilakukan bersama Jabatan Pendidikan Negeri, pejabat daerah dan Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO).

“Sebaik sahaja kita kenal pasti lokasi dalam tempoh seminggu kita akan terus jalankan saringan,” katanya ketika dihubungi.

Pada 21 April, Dato’ Menteri Besar berkata saringan bersasar akan ditumpukan di Petaling susulan peningkatan kes dan penutupan 19 sekolah di daerah itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif itu untuk mengesan pembawa virus dalam komuniti sekali gus mengekang gelombang keempat wabak.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma untuk membendung wabak.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan bersasar di lokasi sama jika kes Covid-19 naik

BANGI, 4 APRIL: Program saringan bersasar percuma akan dibuat di kawasan sama jika berlaku peningkatan kes Covid-19, kata Selcare.

Koordinator Saringan Komuniti Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman berkata antara lokasi tumpuan ialah sekitar mukim Damansara di daerah Petaling.

“Kita sudah ada dalam perancangan dan ia bergantung kepada keputusan kajian yang akan ditentukan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor,” katanya pada program saringan di sini.

Beliau turut menjangka lebih 10,000 individu disaring sebelum Ramadan berdasarkan beberapa program ujian Covid-19 yang dijalankan setiap minggu.

“Hari ini kita adakan dua program saringan di Bangi dan Ampang, jumlahnya hampir 10,000 orang. Jadi, empat lagi program pada minggu hadapan jumlahnya akan lebih,” kata Abdul Hadri.

Sementara itu, katanya, belum ada keputusan sama ada program terbabit dibuat pada bulan puasa berikutan dibimbangi mengganggu urusan tarawih atau tiada sambutan.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara
percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program yang menyasarkan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selcare sedia tawar khidmat suntikan vaksin jika dibenarkan KKM

AMPANG, 28 MAC: Klinik Selcare bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan untuk berbuat demikian.

Pengurusnya Mohd Noor Md Nasir berkata pihaknya berbesar hati melaksanakan perkhidmatan itu bagi membantu kerajaan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Seandainya dasar mempersetujui untuk memberi peluang kepada klinik swasta melakukan perkara ini, bermakna kita lebih suka dan bersedia. Usaha ini penting dalam mencapai imuniti kelompok bagi pemvaksinan penyakit bawaan virus Covid-19.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Kita akan fokus pemberian vaksin kepada kumpulan pada fasa kedua dan ketiga,” katanya ketika ditemui pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Pandan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dua kaedah akan diguna pakai jika fasiliti kesihatan itu dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin kepada masyarakat.

“Ia sama ada pihak swasta dibenarkan untuk membuat perolehan (vaksin) dari kerajaan atau mendapatkan bekalan terus dari pembekal.

“Buat masa ini, KKM hanya benarkan klinik swasta jalankan perkhidmatan vaksin sahaja melalui bekalan yang disediakan,” katanya lagi.

Malaysia berada dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari dengan sasaran kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan bermula akhir Februari lalu hingga April depan.

Fasa 2 imunisasi yang membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadual bermula April hingga Ogos depan bagi kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selcare cadang buat saringan Covid-19 waktu malam sepanjang Ramadan

KAJANG, 27 MAC: Klinik Selcare bercadang melaksanakan program Saringan Komuniti secara percuma pada waktu malam sepanjang Ramadan ini.

Pengurus Mohd Noor Md Nasir berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat bersama Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dalam masa terdekat.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Kita kena berbincang lebih lanjut sama ada untuk teruskan (saringan) atau berehat sementara. Jika mahu dilaksana perlu lihat kesesuaian masa dan mungkin pada waktu malam.

“Jika dilakukan waktu malam ia bergantung pada situasi semasa memandangkan solat tarawih di masjid serta surau sudah dibenarkan, jadi kita kena mempertimbang sama ada orang ramai boleh keluar ke saringan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri di Jalan Medan Belimbing, Seri Kembangan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Noor memaklumkan sebanyak 500 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dijangka diambil melalui saringan hari ini yang dijadual berakhir jam 4 petang.

Menurutnya, sasaran itu mengambil kira kehadiran masyarakat setempat termasuk pekerja industri berhampiran yang mencecah 150 orang setakat jam 12 tengah hari.

“Walaupun bermula jam 9 pagi, tetapi mereka beratur seawal jam 8 pagi untuk menjalani saringan dan ini membuktikan kesedaran masyarakat di sini sangat tinggi.

“Malah, mereka bersedia lebih awal dengan membuat prapendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sekali gus membantu mempercepatkan lagi proses saringan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selcare galak jalani saringan percuma hujung minggu ini

SHAH ALAM, 26 MAC: Penduduk Kampung Pandan dan Seri Kembangan disaran menyertai Saringan Komuniti Covid-19 hujung minggu ini bagi mencegah penularan wabak.

Ujian percuma menyasar 1,000 peserta berlangsung di Jalan Medan Belimbing, Seri Kembangan pada Sabtu dan Dewan Serbaguna MPAJ, Jalan H Kampung Pandan pada Ahad.

“Orang ramai disaran memanfaatkan saringan percuma untuk mengekang perebakan Covid-19,” kata Pengurus Klinik Selcare Mohamad Noor Md Nasir ketika dihubungi.

Beliau berkata pemilihan lokasi berdasarkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti dan meramal sebaran wabak.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM6 juta bagi meneruskan saringan percuma di kawasan berkepadatan tinggi yang menyasar golongan berpendapatan rendah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 7,000 orang jalani ujian percuma, 172 dikesan positif

SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 7,401 individu menyertai program saringan bersasar percuma antara 5 Februari hingga 21 Mac lalu.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir berkata seramai 172 individu daripada jumlah berkenaan dikesan positif Covid-19.

Jelasnya, program itu menyasar penduduk di kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

“Saringan bersasar membolehkan kita mengesan lebih awal kes positif dalam kalangan komuniti sekali gus mengelak perebakan,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 di seluruh Selangor untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk menumpukan kawasan berisiko yang jumlah kes positif berpotensi melonjak termasuk rumah penjagaan warga emas.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

1,000 disasar hadir saringan percuma di Kampung Pandan, Seri Kembangan

SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 1,000 individu disasar menghadiri program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Seri Kembangan dan Kampung Pandan pada hujung minggu ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata saringan diadakan di Jalan Medan Belimbing, Taman Bukit Belimbing pada Sabtu manakala Ahad di Dewan Serbaguna MPAJ, Jalan H Kampung Pandan.

“Kita menyasarkan 500 individu di setiap lokasi, orang ramai disaran memanfaatkan saringan percuma untuk mengekang perebakan Covid-19,” kata Mohamad Noor Md Nasir kepada SelangorKini hari ini.

Pemilihan lokasi program saringan dibuat berdasarkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti serta meramal sebaran wabak.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Pada tahun ini sejumlah RM6 juta diperuntuk bagi meneruskan saringan secara percuma di kawasan berkepadatan tinggi serta menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Hampir 7,000 individu sertai Saringan Komuniti percuma sejak Februari

KUALA LANGAT, 20 MAC: Hampir 7,000 individu menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma sejak awal Februari hingga semalam.

Pengurus Klinik Selcare berkata jumlah itu termasuk 894 warga emas di 32 pusat jagaan di Selangor.

Justeru, Mohd Noor Md Nasir merayu orang ramai terus hadir menjalani saringan percuma selagi belum menerima suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

“Mungkin disebabkan kemasukan vaksin di negara ini orang awam tidak mahu lagi melakukan ujian Covid-19.

“Namun, ingin saya ingatkan selagi anda belum terima suntikan vaksin itu, saya merayu anda untuk hadir membuat saringan secara percuma ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Saringan Komuniti Covid-19 yang diadakan di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, di sini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh Selangor untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penterjemah bantu selesai masalah komunikasi warga asing

SHAH ALAM, 14 MAC: Petugas Selcare menggunakan penterjemah bagi menyelesaikan masalah komunikasi membabitkan warga asing pada program saringan percuma Covid-19.

Ini kerana, Koordinator Saringan Komuniti berkata sebahagian besar golongan itu bukan sahaja tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu malah juga dalam bahasa Inggeris.

“Kaedah yang kita lakukan ialah mencari seorang dalam kalangan mereka yang boleh bertutur sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Apabila dapat seorang akan lebih mudah untuk kita memberi penerangan supaya dia memaklumkan kepada rakan senegaranya yang lain,” kata Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman ketika ditemui di lokasi saringan dekat Dewan Seroja Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 27 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadri Hakimi berkata mereka juga tidak mempunyai telefon pintar dan urusan pendaftaran dilakukan secara manual.

“Jika ada telefon pun kebanyakkan mereka tidak menggunakan telefon pintar. Jadi, kita perlu gunakan kaedah menulis untuk pendaftaran,” katanya menceritakan cabaran mengendali program saringan percuma Covid-19.

Sementara itu,  Abdul Hadri Hakimi  memaklumkan, setakat tengah hari tadi lebih 200 individu sudah menjalani saringan.

Program inisiatif Kerajaan Negeri ini menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Hari ini, dua Saringan Komuniti diadakan serentak di Dewan Seroja MBSA, Seksyen 27 dan Dewan Serbaguna MBSJ, USJ 7 jam 9 pagi hingga 4 petang sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Ketuk pintu rumah, ajak warga asing jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 14 MAC: Selcare mengambil pendekatan mengetuk pintu rumah penghuni sekitar Seksyen 27 di sini untuk mengajak mereka menjalani saringan percuma Covid-19.

Koordinator Saringan Komuniti memaklumkan kaedah itu digunakan kerana segelintir penduduk khususnya warga asing tidak menerima maklumat berkaitan program.

“Kita pergi rumah ke rumah minta mereka pergi jalani ujian walaupun ada yang memberi alasan sudah melakukan saringan sebelum ini.

Koordinator Saringan Covid-19 Selangor Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman

“Kita nak pastikan kawasan ini benar-benar bebas daripada Covid-19 dan kita minta mereka turun untuk lakukan ujian,” kata Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman ketika ditemui di lokasi saringan dekat Dewan Seroja Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 27 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sambutan yang diterima hari ini menggalakan khususnya dalam kalangan warga tempatan.

Jelasnya, tahap kesedaran orang ramai terhadap aktiviti itu semakin tinggi berikutan program berkenaan diadakan secara kerap.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Sepanjang awal Februari hingga minggu lalu, lebih 6,000 individu menyertai program percuma itu termasuk 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selcare hubungi kilang, syarikat galakkan pekerja jalani Saringan Komuniti

SUBANG JAYA, 13 MAC: Selcare mengambil inisiatif menghubungi kilang atau syarikat berhampiran lokasi Saringan Komuniti percuma bagi menggalakkan lebih ramai individu menjalani ujian Covid-19.

Pengurus Klinik Selcare berkata langkah itu dijangka berkesan memandangkan terdapat kes positif wabak yang tidak bergejala.

“Kita akan lihat persekitaran lokasi. Jika ada kilang atau syarikat berhampiran, kita pergi atau hubungi mereka maklumkan program saringan ini.

Pengurus Operasi Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Kita juga bekerjasama dengan persatuan penduduk dan Jabatan Penerangan bagi memastikan usaha kekang pandemik ini berjaya,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika ditemui di lokasi saringan di Taman Batu Tiga dekat sini.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil peluang menghebahkan berkenaan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 dalam program ini.

“Ada juga yang kita bantu mereka terus mendaftar terutama golongan warga emas yang tidak tahu mengenai aplikasi,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Sepanjang awal Februari hingga minggu lalu, lebih 6,000 individu menyertai program percuma itu termasuk 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selcare ronda rumah ke rumah, cari warga asing jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 7 MAC: Petugas Saringan Komuniti membuat rondaan dari rumah ke rumah untuk mencari warga asing bagi membolehkan mereka menjalani ujian Covid-19.

Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata inisiatif itu dilakukan anggotanya dan pihak berkuasa tempatan berikutan majoriti golongan terbabit masih tidak tahu mengenai program saringan percuma itu.

Pengurus Operasi, Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir bercakap kepada media ketika program Ujian Saringan Covid-19 secara bersasar di Dewan Resak MBSA, Subang Perdana, Shah Alam pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Petugas kita akan mencari kediaman warga asing di sekitar lokasi saringan dan kemudiannya menasihatkan mereka supaya hadir jalani ujian saringan Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor kerana ia adalah percuma.

“Hasil proaktif petugas ini mendatangkan kesan positif kerana buktinya sehingga jam 10 pagi tadi, terdapat hampir 200 warga asing yang mendaftar untuk jalani saringan Covid-19,” katanya pada program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 di Dataran Otomobil Seksyen 15.

Mohd Noor berkata lokasi saringan kali ini tertumpu di Dataran Otomobil berikutan kawasan berkenaan mempunyai banyak asrama pekerja asing selain menjadi lokasi tumpuan orang awam.

“Sebolehnya kita mahu lebih ramai bukan warganegara disaring memandangkan mereka ini tinggal dalam komuniti bersama penduduk tempatan.

“Sudah tentu program ini tidak akan berjaya sekiranya golongan berkenaan diabaikan,” katanya.