Categories
AGENDA NASIONAL

NGO hantar memorandum hak pelarian, pencari suaka kepada kerajaan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menghantar memorandum Hak Pelarian dan Pencari Suaka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pelarian yang masuk ke negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata kerajaan perlu mengambil serius perkara berkaitan dan ditangani mengikut konsep Islam walaupun Malaysia tidak menandatangani konvensyen mengenai pelarian 1951.

“Kami menolak sekeras-kerasnya mereka yang menyemarakkan kebencian dan tindakan melampau terhadap golongan pelarian mencari pelindungan.

“Kami berpendirian pihak menafikan hak pelarian sebagai manusia serta mengeksploitasi mereka yang tidak mempunyai hak perlindungan di sisi undang-undang adalah bertentangan dengan syariat Islam,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama pada sidang media di Hotel Carlton.

Kenyataan itu turut disokong Aliansi Masjid Sedunia Pertahan Al Aqsa dan Sekreteriat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura).

Memorandum berkenaan turut menggariskan lapan gesaan antaranya meminta polis bertegas terhadap sindiket penyeludupan pelarian masuk ke dalam negara.

Categories
NASIONAL

10 NGO Islam Gesa Rakyat Tolak Politik Lucah, Samseng Dan Rasuah

politik lucah 01

SHAH ALAM, 12 APRIL : 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama negara ini menggesa rakyat menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan sebagai alat untuk mencari populariti politik dalam jangka pendek.

Dalam kenyataan media bersama itu NGO-NGO Islam memandang berat perbuatan mencipta video lucah, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina ke atas seseorang sewenang-wenangnya di khalayak ramai.

“Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah berkaitan dalam mana-mana saluran media,” kata kenyataan media bersama itu.

NGO-NGO Islam itu juga menyatakan pendirian agar umat Islam di negara ini rakyat menolak budaya politik fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini.

“Walaupun demokrasi membuka ruang seluas-luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

“Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat,” kata mereka.

Mereka juga menyeru umat Islam untuk menolak sekeras-kerasnya amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas rakyat.

“Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa.

“Amalan-amalan tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka,” kata mereka.

NGO-NGO tersebut terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kumpulan PRIHATIN, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Persatuan Hafiz Malaysia (PAHAM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Turut sama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulama? Malaysia (PUM), Sekretariat Himpunan Ulama? Rantau Asia (SHURA), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).