Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Celik teknologi siber cegah ancaman dalam talian

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Krisis pandemik Covid-19 menyaksikan hampir semua urusan harian dilakukan secara dalam talian, sekali gus memaksa masyarakat pada pelbagai peringkat usia membiasakan diri dengan teknologi itu.

Jika sebelum ini aktiviti dalam talian lebih kepada soal kewangan, proses jual beli dan hubungan sosial, kini kegiatan secara maya lebih meluas, melibatkan antaranya bekerja dari rumah (BDR), Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) serta pelbagai lagi.

Lantaran itu juga istilah seperti Google, YouTube serta aplikasi seperti Zoom dan Google Meet yang sebelum ini hanya popular dalam kalangan remaja dan orang muda, kini perlu dihadam oleh golongan dewasa serta kanak-kanak seawal usia lima tahun bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada tuntutan semasa.

Kemahiran alam siber

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga Ketua Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Khairie Ahmad, fenomena itu bukan sahaja menuntut masyarakat celik huruf atau literasi, tetapi juga menguasai kemahiran teknologi maklumat atau literasi siber.

Literasi siber atau literasi digital merujuk kepada pengetahuan, kemahiran dan kesedaran rakyat dalam menggunakan peralatan teknologi, mengendalikan sebarang aktiviti secara dalam talian serta kemampuan mencari maklumat yang sahih dan tepat di alam siber.

“Berdasarkan beberapa kajian tempatan yang dijalankan, tahap penggunaan peranti dan aplikasi dalam talian masyarakat kita adalah baik. Namun persoalan lain yang timbul ialah dari segi kemahiran mereka untuk mengendalikannya,” katanya kepada Bernama.

Menurut laman web https://datareportal.com/reports/digital-2020-malaysia, pengguna Internet di Malaysia pada Januari 2020 berjumlah 26.69 juta orang. Jumlah pengguna Internet meningkat sebanyak 919,000 (3.6%) bagi tempoh 2019 dan 2020 dengan kadar penembusan Internet di Malaysia mencapai 83 peratus pada Januari 2020.

“Majoriti rakyat mempunyai akaun Facebook, Twitter dan Instagram. Namun dapatan kajian saya bertajuk ‘Information Ecosystem Assessment’ terhadap belia pada tahun lepas dan kajian bertajuk ‘Facebook Privacy Settings: Knowledge, Awareness and Information Disclosure’ pada 2018 ke atas remaja menunjukkan golongan itu berisiko atas faktor antaranya tidak mahir menggunakan tetapan kerahsiaan media sosial.

“Selain itu, ramai pengguna Internet menggunakan Wi-Fi awam untuk urusan perbankan dan transaksi jual beli. Tindakan sebegitu boleh mengancam keselamatan siber mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairie berkata Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menggariskan literasi siber menerusi enam aspek, iaitu kemahiran terhadap celik data maklumat; berkomunikasi dan berkolaborasi; kebolehan menghasilkan kandungan digital; keselamatan; penyelesaian masalah; dan kemahiran berkaitan kerjaya siber.

“Berdasarkan laporan UNESCO mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri, belum ada satu indeks konkrit berhubung literasi siber, dan hingga kini indikator yang sering dikaitkan dengan agenda digital ialah peratusan populasi yang menggunakan Internet,” katanya.

Laman web https://worldpopulationreview.com/country-rankings/literacy-rate-by-country menggariskan Malaysia telah mencapai kadar celik huruf 93.7 peratus daripada populasinya ketika ini, oleh itu Mohd Khairie berkata adalah wajar tumpuan diberikan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat dalam aspek literasi siber pula.

Maklumat dan data

Ledakan teknologi komunikasi turut menjadikan rakyat berada dalam lambakan maklumat, dan situasi itu menurut Mohd Khairie, menyebabkan masyarakat lebih cenderung mencari maklumat berbanding data atau fakta.

Lebih parah lagi ramai antara mereka tidak mempunyai atau kurang kemahiran dalam menentukan sumber maklumat yang sahih dan absah.

“Kebanyakan maklumat bersifat berat sebelah. Ini kerana yang dikatakan maklumat itu adalah rangkuman atau gabungan data yang telah ditafsirkan atau disampaikan menurut analisis penyampai, manakala data pula merujuk kepada angka atau fakta mentah (asal),” katanya, menambah Forum Ekonomi Dunia menyatakan dunia menerusi alam digital mengandungi kira-kira 44 zetabait data pada 2020 (satu zetabait bersamaan satu trilion gigabait).

Mengambil contoh laporan yang menyebut seramai 5,000 daripada 5,100 pesakit Covid-19 merupakan pesakit kategori 1, beliau berkata penerimaan dan tafsiran masyarakat terhadap perkara itu mungkin berbeza.

“Berdasarkan laporan itu, sesetengah pihak mungkin mentafsirkan situasi Covid-19 masih dalam keadaan bahaya namun bagi sesetengah yang lain pula adalah sebaliknya. Mereka mungkin membuat kesimpulan bahawa jumlah 5,000 itu tidak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) maka situasi Covid-19 tidaklah begitu bahaya,” jelasnya.

Katanya kajian beliau yang dijalankan bersama Center for Independent Journalism dan Internews berkaitan ekosistem maklumat pada tahun lepas menunjukkan wujud defisit kepercayaan maklumat dalam kalangan belia, bukan sahaja terhadap media konvensional tetapi juga media baharu.

Katanya selagi masyarakat tidak dihidangkan maklumat yang disertakan data, ditambah pula sumber data itu meragukan, maka risiko untuk memperoleh maklumat yang tidak tepat dan sahih adalah tinggi.

“Contoh terkini, isu vaksin tidak terkecuali dimanipulasi pihak tertentu sehingga membawa kepada salah faham pelbagai pihak. Justeru penyampaian dan perkongsian data-data berkaitan perlu diperkasa agar maklumat yang tepat dan benar sampai kepada seluruh peringkat masyarakat,” katanya.

Ruang penambahbaikan

Berpendapat penubuhan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) banyak membantu menyokong ekosistem siber negara, beliau bagaimanapun berkata masih terdapat beberapa ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.

“Pada asasnya kita mempunyai dasar yang membanggakan dari sudut infrastruktur, ekonomi dan pengkomersialan, namun mungkin pada aspek pendidikan literasi siber kita memerlukan perhatian yang lebih. Ini kerana ancaman yang wujud bukan sahaja soal keselamatan jenayah siber tetapi isu hubungan sosiobudaya berikutan sikap tidak bertanggungjawab seperti hantaran berbaur hasutan, kebencian dan fitnah terutama di laman sosial.

“Perkara ini memerlukan satu sistem kesedaran dan pendidikan literasi siber sejak di peringkat kanak-kanak hinggalah kepada golongan dewasa agar seluruh masyarakat menjadi pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.

“Dasar kerajaan juga perlu bersifat mesra digital, di samping kita memerlukan pemimpin dan pentadbir yang lebih celik digital agar dasar dan agenda masyarakat terangkum dalam ekosistem digital. Sebagai contoh, pelaksanaan aplikasi MySejahtera sangat bertepatan dalam membantu memerangi Covid-19 namun keupayaan aplikasi itu, jika dilihat dari sudut data raya, kecerdasan buatan dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), boleh pergi lebih jauh daripada fungsinya sekarang,” katanya, menambah usaha tersebut melibatkan semua pihak.

Lindungi kanak-kanak

Berkongsi pandangan, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata literasi siber umpama benteng yang melindungi keselamatan dan hak pengguna, sekali gus mengurangkan risiko ancaman terutama kepada pengguna yang dikategorikan sebagai paling terdedah seperti kanak-kanak, remaja, wanita dan warga emas.

Golongan itu katanya berisiko untuk dimanipulasi, dijadikan bahan kandungan tanpa kebenaran, diperdaya dengan pelbagai jenis penipuan yang menyasarkan mereka melalui maklumat yang dikongsikan menerusi media sosial.

Kajian Pengguna Internet oleh MCMC pada 2020 menunjukan 47 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun menggunakan Internet dalam kehidupan seharian mereka berbanding 28.5 peratus pada 2018.

Siraj berkata untuk itu, pendedahan awal pendidikan alam siber perlu dipertimbangkan selain isu keselamatan siber wajar dijadikan modul pembelajaran wajib di peringkat sekolah dan pusat pengajian tinggi.

“Inisiatif ini sedikit-sebanyak dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa yang terpaksa memberikan akses siber kepada anak-anak mereka yang masih kecil.

“Menerusi pemahaman penggunaan teknologi siber yang jelas sejak di peringkat kanak-kanak, impak buruk seperti penyebaran berita palsu, penggodaman dan eksploitasi teknologi serta kegiatan penipuan siber yang lain dapat dikurangkan, sekali gus menjadikan ruang siber negara lebih selamat,” katanya.

Mencadangkan sebuah platform dibangunkan bagi tujuan ujian kendiri kepada pengguna siber yang merangkumi skop keupayaan mengakses, memproses, menilai dan menganalisis maklumat secara digital, beliau berkata skor markah dan sijil boleh diberikan sebagai memperakui tahap literasi siber seseorang pengguna.

“Walaupun mungkin dianggap remeh, langkah itu dapat membantu memberikan pendedahan mengenai isu-isu siber terkini kepada rakyat,” katanya.

Kurangkan kesenjangan digital

Dalam pada itu, Mohd Khairie berkata kerajaan pada masa sama perlu memberi perhatian terhadap isu kesenjangan digital.

Ini kerana krisis pandemik Covid-19 telah membuktikan betapa jurang digital memberi kesan besar kepada masyarakat apabila sekolah terpaksa ditutup dan proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

Katanya tinjauan Kementerian Pendidikan pada April 2020 mendapati 36.9 peratus pelajar di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti untuk melaksanakan PdPR selain keadaan infrastruktur yang tidak memuaskan juga turut menyumbang kepada jurang digital.

“Kerajaan mungkin tidak mampu menyediakan perkhidmatan ini secara menyeluruh, namun dengan kolaborasi bijak bersama pemain industri telekomunikasi, usaha merapatkan jurang digital dengan memastikan akses dan kualiti jaringan Internet negara berada di tahap yang terbaik pasti dapat dilaksanakan.

“Ekosistem digital yang mesra masyarakat luar bandar, golongan miskin bandar dan orang kurang upaya juga tidak boleh diabaikan kerana akses alam siber kini menjadi kemestian bagi kebanyakan rakyat, di samping hak dan potensi golongan itu untuk mendapat masa depan yang lebih baik tidak boleh dinafikan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Celik media sosial ‘kunci’ cabaran era siber

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Cabaran era siber yang meliputi antaranya gangguan dan buli siber, penipuan, penularan berita palsu dan tidak benar serta pelbagai lagi, menuntut kepada agenda pemerkasaan literasi media dalam pelbagai peringkat rakyat.

Literasi media yang merujuk kepada keupayaan masyarakat dalam mengakses, memahami, menganalisis dan menilai sesuatu kandungan mesej atau maklumat, turut berkait rapat dengan kematangan mereka dalam mengendalikan teknologi komunikasi siber.

Meskipun negara mempunyai peruntukan undang-undang seperti Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan beberapa akta lain yang boleh diguna pakai dalam menangani ‘ancaman’ seumpama, namun perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah pengamalan kawalan kendiri individu terutama dalam mengendalikan laman sosial masing-masing.

Wabak siber

Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Advanced Communication Research Unit (ACRU), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, laporan ‘BBC Science Focus Magazine’ menyatakan pada 2020, dunia disajikan dengan 1,200 petabytes maklumat (bersamaan 1.2 juta terabytes).

Jumlah maklumat ini hanyalah data dari empat buah syarikat teknologi komunikasi utama dunia iaitu Google, Amazon, Microsoft dan Facebook, tidak termasuk dari sumber lain.

Ironinya, mesej yang cuba disampaikan ialah masyarakat di seluruh dunia ketika ini berhadapan dengan lambakan maklumat.

Dan apa yang lebih membimbangkan ialah apabila maklumat itu tidak dipastikan kesahihannya, diolah, ditokok-tambah lalu disebar dan menjadi tular seterusnya memberi implikasi buruk kepada masyarakat dan negara.

“Selepas kira-kira 30 tahun internet diperkenalkan, kebebasan penyaluran dan perkongsian maklumat semakin menjadi kelaziman. Kepantasan perkembangan teknologi komunikasi siber beserta kebanjiran maklumat yang sukar dikawal mencetus pelbagai permasalahan baharu melibatkan jenayah siber, buli siber dan penularan berita tidak benar.

“Senario ini boleh diumpamakan sebagai ‘wabak’ siber yang boleh ‘membarah’ jika masyarakat tidak disediakan dengan pendidikan mengenai literasi atau celik media yang memerlukan rakyat mengamalkan kawalan kendiri,” katanya kepada Bernama.

Memetik laporan agensi kreatif global ‘We Are Social dan Hootsuite’ (https://wearesocial.com), Mohd Khairie berkata terdapat 3.8 billion (hampir separuh populasi dunia) pengguna media sosial yang aktif.

Laporan itu turut menyatakan 81 peratus populasi rakyat Malaysia atau kira-kira 26 juta orang adalah pengguna aktif media sosial.

“Data ini memberi gambaran betapa interaksi siber terutamanya media sosial mendominasi aliran maklumat negara. ‘Defisit’ kepercayaan terhadap media arus perdana termasuk beberapa institusi lain yang terlibat turut menambah kepada cabaran maklumat era siber ini.

“Seluruh masyarakat perlu mengambil langkah segera bagi memupuk pembudayaan literasi media. Ia boleh dimulakan dengan tindakan paling asas, contohnya, membangkitkan persoalan seperti “adakah cara saya mengendalikan media sosial betul dan bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat atau sebaliknya”,” jelasnya.

Libatkan semua peringkat

Meskipun literasi media dianggap sinonim dengan golongan muda, namun pendidikan mengenainya perlu dipromosi dan dipupuk di setiap peringkat seperti di sekolah rendah dan menengah, peringkat pengajian tinggi, masyarakat dewasa hatta warga emas kerana golongan itu tidak terkecuali terlibat dengan komunikasi siber.

Sebarang ‘pengecualian’ atau kelompongan di mana-mana peringkat hanya akan membantutkan usaha pembudayaannya.

Di samping itu, pelbagai pihak sama ada kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan perlu menggerakkan agenda pemupukan kesejahteraan siber seperti menganjurkan minggu kesejahteraan siber dan anugerah tokoh kesejahteraan siber dalam usaha menggalakkan amalan dan tatacara mengendalikan media sosial.

“Mereka yang menerima atau mengesan mana-mana ‘amalan’ tidak sihat dalam media sosial, perlu berani melaporkannya kepada pihak bertanggungjawab. Sebagai pengguna perlu memastikan maklumat yang diperoleh adalah dari sumber yang menyakinkan dan bersifat institusi, bukan daripada sebarang individu yang tidak dipastikan latar belakang.

“Mereka yang gemar menjadikan media sosial medan ‘melepas’ dan meluah perasaan juga perlu menjadi lebih matang dengan menyelesaikan masalah secara bersemuka dengan pihak terlibat berbanding menggunakan media sosial sebagai platform. Tindakan sebegitu hanya akan mengundang ruang untuk mana-mana pihak mengambil kesempatan termasuk melakukan penipuan.

“Hadkan penggunaan media sosial untuk tujuan yang jelas dan bermanfaat dan sentiasalah berusaha mencari maklumat dan mempelajari pelbagai kaedah untuk kesejahteraan siber,” katanya sambil menambah langkah paling mudah untuk ‘mematikan’ rantaian maklumat yang tidak jelas manfaatnya ialah dengan tidak berkongsi perkara yang tular.

Majlis literasi media

Malaysia juga mungkin perlu mempertimbang untuk mempunyai indeks atau kaedah pengukuran yang jelas bagi menunjukkan tahap literasi media negara kerana di negara barat dan Eropah khususnya, penanda aras dibangunkan dan penilaian turut dijalankan. Contohnya, ‘European Policies Initiative’ yang memperkenalkan indeks literasi media dalam kalangan negara anggota EU.

“Sebagaimana dinyatakan oleh pemikir dalam bidang komunikasi siber, Jean Gabin Ntebutse dan Simon Collin, literasi atau celik media dan kesejahteraan siber perlu difahami dalam kerangka sosio-budaya, politik dan ekonomi sesebuah komuniti.

“Untuk itu, sudah tiba masanya bagi para pemikir serta penyelidik komunikasi dan media merangka indeks literasi media negara. Walaupun terdapat kajian terdahulu berkaitan literasi media, namun konsep literasi media hari ini lebih kompleks serta memerlukan pentafsiran dan pengukuran baharu yang lebih relevan,” katanya.

Bagaimana pula dengan peruntukan undang-undang sedia ada? Adakah ia mencukupi bagi mengekang dan mengawal isu ancaman siber?

Menjawab persoalan itu, Mohd Khairie berkata, walaupun undang-undang sedia ada dilihat mampu menangani isu-isu berkaitan salah guna dan jenayah siber namun adalah lebih baik sekiranya sebuah agensi khas ditubuhkan bagi menyelaras dan menggerakkan agenda literasi media secara lebih sistematik.

“Agensi yang ada sekarang seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), lebih mengkhususkan kepada kawal selia teknologi komunikasi di samping beban tanggungjawab agensi itu juga semakin mencabar dengan kepesatan teknologi semasa hari ini.

“Negara boleh mengambil langkah segera dengan menubuhkan Majlis Literasi Media yang menerajui usaha pendidikan awam berhubung celik media dan kesejahteraan siber di samping berperanan menasihati kerajaan dalam hal-hal berkaitan.

“Dengan adanya insiatif penubuhan majlis ini, langkah-langkah yang lebih tersusun dan menyeluruh dapat dirangka dengan mengembleng kepakaran ahli akademik dan golongan profesional serta pentadbiran,” katanya sambil menambah negara maju termasuk negara jiran Singapura telah melaksanakan perkara itu.

Elak jadi budaya

Berkongsi pandangan, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata isu ancaman siber yang turut menjadi kebimbangan di mana-mana negara, boleh mengundang kepada suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat majmuk sekiranya langkah pencegahan dan pendidikan tidak dijalankan.

“Ruang interaksi bebas yang membenarkan sesiapa sahaja melontar pandangan, berkongsi apa sahaja dalam media sosial serta menularkan maklumat yang diperoleh, bukan sahaja boleh mempengaruhi persepsi umum bahkan berisiko mengundang kepada salah faham, agenda fitnah dan hasutan.

“Tanpa tindakan pengawalan dan usaha pencegahan ia boleh mengakibatkan masyarakat terbiasa dengan perlakuan ini sekaligus menjadikannya sebagai suatu keseronokkan dan budaya hidup,” katanya sambil menambah kebimbangan jangka panjang ialah ideologi pemikiran generasi akan datang dipengaruhi oleh apa sahaja yang disajikan dalam media sosial.

Pada 1 Sept lepas, Kementerian Perpaduan Negara mengingatkan pengguna media sosial agar sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara, khususnya yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dalam interaksi menerusi dunia maya bagi memelihara perpaduan masyarakat dan keharmonian negara.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sikap segelintir pengguna media sosial yang tidak menjaga perkataan dan adab ketika memuat naik status dilihat membimbangkan dan boleh mengganggu- gugat keamanan negara.

“Kuasa media sosial sangat hebat dan berpengaruh, banyak pengguna yang berselindung di sebalik akaun identiti palsu dan mengeluarkan komen tidak sopan dan menyinggung. Kita perlu menambah baik amalan dan budaya media sosial, perlu ada semak dan imbang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelbagai usaha dirangka tangani ancaman siber

PUTRAJAYA, 11 FEB: Kerajaan giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani ancaman dan jenayah siber termasuk mengukuhkan prasarana keselamatan siber dan mengawal selia ekosistem komunikasi dan multimedia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) 2019-2023 diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai penggunaan peranti digital secara berhemah.

Dr Wan Azizah berkata Projek Rintis Pensijilan Profesional Modular Keselamatan Siber pula diperkenalkan bagi meningkatkan dan memperkukuhkan golongan berkemahiran dalam bidang keselamatan siber dan Industri 4.0.

“Dengan wujudnya projek ini, sedikit sebanyak ia dapat menaik taraf kompetensi pengamal keselamatan siber sedia ada, memupuk golongan profesional keselamatan siber berwibawa yang baharu serta meningkatkan daya saing dalam mempertahankan keselamatan siber negara,” katanya pada Hari Keselamatan Internet (SID) 2020 – Edisi Malaysia di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata kebergantungan kepada teknologi membawa kepada pelbagai cabaran baharu termasuk elemen keselamatan siber.

“Kini jenayah siber, keganasan siber dan peperangan siber yang berlaku di alam maya juga mempunyai impak yang besar di alam fizikal, yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Ancaman siber gugat kelestarian kesejahteraan kanak-kanak

PUTRAJAYA, 6 NOV: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan memandang serius ancaman siber terhadap kanak-kanak termasuk pengantunan kanak-kanak yang akan menggugat kelestarian kesejahteraan kanak-kanak.

Beliau berkata kanak-kanak yang menggunakan media sosial, ‘open platform education’ dan aplikasi digital dalam aspek pendidikan untuk mendapatkan makklumat dan interaksi sosial berdepan ancaman siber seperti pornografi, sexting, buli siber yang semakin menular.

“Tanpa pemantauan yang rapi oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih dewasa, kanak-kanak boleh terdedah kepada bahaya pengantunan kanak-kanak melalui internet.

“Adalah lebih menyedihkan apabila kanak-kanak ini menjadi mangsa kepada individu-individu yang dikenali, yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga dan memelihara kebajikan kanak-kanak,” katanya ketika merasmikan penutupan Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas di sini, semalam.

“Saya berharap agar semua pihak, lebih-lebih lagi ibu bapa dan ahli keluarga memberikan perhatian yang lebih kepada kanak-kanak supaya dapat mengenal pasti sekiranya terdapat unsur-unsur eksploitasi di peringkat awal,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan sebanyak 86 kes buli siber telah dilaporkan bagi 2014 hingga Oktober lepas.

Sementara itu, Dr Wan Azizah juga menerima resolusi kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas daripada wakil peserta persidangan.

Antara yang terkandung dalam resolusi bagi kanak-kanak adalah merangka satu kaedah intervensi awal dalam mengenal pasti perubahan tingkah laku pelajar sekolah yang berkemungkinan menjadi pembuli atau mangsa buli siber dan juga meningkatkan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dan konsisten bagi membendung jenayah siber yang berleluasa dalam kalangan kanak-kanak.

Resolusi bagi OKU termasuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi secara langsung atau tidak langsung dalam semua aspek kehidupan, mencari kaedah berkesan dan menyeluruh berdasarkan lokasi dan status sosial bagi membantu pengesanan awal ketidakupayaan, memastikan ibu bapa, penjaga dan individu OKU mendaftarkan ketidakupayaan bagi membantu kerajaan merancang keperluan OKU.

Resolusi bagi warga emas termasuk penelitian pewujudan Akta Warga Emas yang komprehensif, meningkatkan tanggungjawab sosial dalam kalangan badan korporat untuk memperkasa peranan industri penjagaan swasta bagi warga emas dan meningkatkan kesedaran agar rakyat Malaysia bersedia untuk persaraan dengan meningkatkan tahap celik kewangan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB: Hentikan buli siber

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyeru masyarakat supaya menghentikan kes buli siber membabitkan cucu Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Amirudin berkata, beliau memandang serius perkembangan terbaru membabitkan kanak-kanak berusia 9 tahun itu yang dicemuh dan dilemparkan kata-kata kesat di media sosial terutamanya.

“Saya mengikuti perkembangan kes melibatkan Datuk Seri Zahid Hamidi. Saya percaya beliau akan dibicarakan dengan adil berlandaskan lunas undang-undang negara.

“Segala bentuk penyelewengan dan salahguna kuasa haruslah dibicarakan dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amirudin berkata, semua pihak seharusnya membiarkan proses undang-undang dilaksanakan dengan tertib.

Let the law takes its course (Biar undang-undang tentukan). Kerajaan Pakatan Harapan komited mempertahankan martabat undang-undang negara serta membicarakan mereka yang menyalahguna kuasa berlandaskan prinsip ‘rule of law’ (‘prinsip undang-undang’),” katanya.

Categories
GLOBAL

Jerman dakwa Russia dalang serangan siber

BERLIN 16 APR: Kerajaan Jerman terpaksa merumuskan, serangan siber ke atas Kementerian Luarnya berpunca daripada Russia, kata Menteri Luarnya Heiko Maas memaklumkan penyiar ZDF semalam.

Maas sebelum itu menyenaraikan siri apa yang digelarnya tindakan bermasalah oleh Moscow, termasuk ketiadaan perkembangan dalam melaksanakan gencatan senjata di timur Ukraine, serangan gas beracun di Britain, sokongannya terhadap kerajaan Syria, usaha negara itu untuk mempengaruhi pilihan raya di Barat dan serangan siber.

“Kami berhadapan serangan ke atas Kementerian Luar di mana kita terpaksa beranggapan ia berpunca daripada Russia.

“Saya fikir ia bukan hanya satu alasan namun perlu untuk merumuskan serangan itu bukan satu sumbangan yang membina,” katanya.

SUMBER: REUTERS

Categories
SUKANKINI

Permainan siber boleh jana pendapatan sampingan

OLEH SYASYA SUFIAN

SUBANG JAYA, 10 SEPT: Tanggapan bahawa permainan siber hanya aktiviti membuang masa berubah apabila aktiviti itu kini boleh menjana pendapatan sampingan untuk golongan muda.

Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Najwan Halimi, berkata Kerajaan Negeri melihat potensi permainan siber itu untuk dikembangkan dari semasa ke semasa.

“Bagi peserta mempunyai kelab tersendiri mereka menjadikan permainan siber ini sebagai bidang kerjaya disamping menerima pendapatan tetap setiap bulan yang boleh mencecah ribuan ringgit.

“Selain itu, mereka juga memperoleh pendapatan tambahan melalui pertandingan disertai. Memandangkan dulu kita hanya lihat permainan siber hanya aktiviti membuang masa tetapi kini ia sebagai medan ekonomi,” katanya.

cp2a4785-800x533Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Selangor International Cyber Games 2016 di One City Mall, Subang Jaya, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari bersama Pengarah Eksekutif MSNS, Mohd Zubir Idrus, Ketua Pegawai Eksekutif MCT Berhad, Datuk Seri Tong Seech Wi dan Ketua Pegawai Eksekutif Mineski Malaysia, Kenchi Yap.

Beliau berkata penganjuran Kerajaan Negeri dalam acara Cyber Games International 2016 buat kali ketiga menerima sambutan memberangsangkan.

“Kita menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM350,000 bagi tujuh permainan dipertandingkan.

“Ini juga merupakan salah satu inisiatif menyokong usaha Kerajaan Negeri ke arah Smart Selangor kerana kita melihat permainan siber ini menggunakan teknologi tinggi selari peredaran zaman,” katanya.

EZY