Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jais benar solat Jumaat, fardu di masjid dan surau mulai 4 Januari

SHAH ALAM, 6 JAN: Semua masjid dan surau seluruh Selangor dibenar melaksanakan solat Jumaat serta fardu secara berjemaah berkuat kuasa 4 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap kelonggaran itu dapat dimanfaat sebaiknya oleh kariah untuk beribadah dengan aman.

“DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap agar orang ramai mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Jais,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan.

Menurutnya, baginda turut berdukacita dengan tanggapan segelintir masyarakat yang menyatakan langkah penutupan masjid dan surau telah menghalang umat Islam untuk beribadah.

“Secara faktanya masjid dan surau terus dibuka dengan diberi surat kelonggaran secara berperingkat berdasarkan situasi semasa Covid-19 dan ia akan dan kerap berubah mengikut keadaan setempat.

“Keprihatinan DYMM Sultan kepada kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat di Selangor amatlah tinggi dan baginda tidak mahu masjid dan surau menjadi tempat cetusan penularan baharu yang akan menambah bilangan kluster sedia ada,” jelasnya.

Ketetapan solat Jumaat dan fardu berjemaah adalah seperti berikut:

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais benarkan solat Jumaat, fardu berjemaah di tiga daerah

SHAH ALAM, 10 DIS: Semua masjid dan surau di tiga daerah negeri ini dibenar melaksanakan solat Jumaat serta fardu berjemaah berkuat kuasa serta-merta.

Pelaksanaan meliputi 130 masjid, 21 surau kebenaran Jumaat dan 453 surau di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dengan penjarakan 1.5 meter.

Bagaimanapun, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata ketetapan baharu itu tidak termasuk mukim Kuala Selangor berikutan situasi terkini penularan Covid-19.

“Kebenaran kehadiran jemaah solat Jumaat dan fardu ini hanya untuk warganegara sahaja,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata program pengimarahan seperti kuliah maghrib, subuh dan dhuha serta bacaan yassin turut dibenarkan, dengan syarat penceramah dari zon hijau sahaja.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan umat Islam seluruh negeri untuk meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Penguatkuasaan SOP tegas oleh pentadbir masjid dan surau, pencegahan, kawalan kendiri, doa, zikir serta munajat yang diamalkan pasti membantu mempercepat ketetapan sama di seluruh negeri,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor kecuali tiga daerah dilanjutkan sehingga 20 Disember.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Solat Jumaat: Satu pertiga kapasiti dewan di zon hijau, kuning WP mulai esok

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan dan dibenarkan sehingga satu pertiga kapasiti dewan masjid atau surau Jumaat bagi zon kuning dan hijau di Wilayah Persekutuan bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagi solat fardhu lima waktu di zon berkenaan, kapasiti dibenarkan adalah tidak melebihi 30 orang jemaah dan tertakluk kepada keluasan dewan dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Bagi Labuan yang kini dalam zon merah, jumlah jemaah solat Jumaat dihadkan pada dua belas orang dan solat lima waktu dihadkan pada tiga orang.

“Pada masa yang sama, aturan ini akan turut dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sekiranya wujudnya zon merah di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu sidang khas menerusi Facebook rasminya hari ini.

Zulkifli berkata perkara itu dipersetujui susulan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-9 yang bersidang pada 2 Nov lepas dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagi majlis akad nikah pula, Zulkifli berkata jumlah jemputan adalah tidak melebihi 30 orang dengan mengambil kira penjarakan satu meter serta tertakluk pada keluasan premis ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Katanya premis itu merangkumi pejabat agama dan juga masjid-masjid terpilih yang ditetapkan oleh Jawi.

“Jurufoto adalah dibenarkan dan tidak termasuk dalam 30 orang jemputan tetapi hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan. SOP ini berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan bermula esok,” katanya.

Zulkifli berkata bagi negeri-negeri lain, perkara itu adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing, bagaimanapun untuk tujuan penyelarasan, disarankan negeri-negeri mengikut resolusi yang telah dicapai bersama dalam Mesyuarat MKI baru-baru ini,” katanya

Sementara itu, Zulkifli turut mencadangkan supaya masjid dan surau di zon hijau dan kuning menyediakan ruang solat khusus bagi penghantar makanan dan pemandu e-panggilan yang bermusafir untuk menunaikan solat.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak pengurusan surau-surau di kawasan Rehat dan Rawat di lebuh raya dan surau pusat membeli belah di zon hijau dan kuning untuk turut dibuka, namun hendaklah mematuhi SOP yang ketat.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais tangguh solat Jumaat, fardu di masjid, surau

SHAH ALAM, 13 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat keputusan menangguhkan semua solat Jumaat, fardu berjemaah dan aktiviti di masjid dan surau di negeri ini mulai esok susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata langkah itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan memastikan pentadbir rumah ibadat berkenaan dapat memberi kelangsungan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan kepada kariah masing-masing.

“Penangguhan ini akan melibatkan sebanyak 425 masjid, 278 surau kebenaran solat Jumaat dan 1,747 surau.

“…Pentadbir masjid dan surau seluruh negeri hendaklah memastikan solat fardu Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang penangguhan ini sebaliknya digantikan dengan solat Zohor di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan penangguhan semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, Subuh dan Dhuha ditangguhkan sementara berkuat kuasa waktu Subuh pagi esok.

Menurut Mohd Shahzihan hanya solat fardu lima waktu dilaksanakan dalam tempoh berkenaan dengan jemaaah tidak melebihi lima orang dan azan dilaungkan setiap waktu.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Berdosa sengaja tinggal, tidak mohon tunai solat Jumaat

SHAH ALAM, 9 SEPT: Lelaki muslim tanpa uzur syarie diingatkan tidak meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata golongan itu juga wajib membuat permohonan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.

“Hukum menunaikan solat Jumaat bagi lelaki yang mukallaf adalah wajib dan berdosa jika sengaja meninggalkannya tanpa uzur syarie dan tidak membuat sebarang permohonan.

“Dalam tempoh PKPP, solat tersebut perlu dibuat secara penggiliran kerana masjid dan surau harus mengikut penjarakan fizikal 1.5 meter. Mereka yang sudah mendapat pengesahan kehadiran wajib menunaikan solat,” katanya.

Kenyataan tersebut dipetik dari soalan lazim berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) masjid dan surau di negeri ini yang disiarkan di Facebook.

Jais memaklumkan kelonggaran hanya diberi kepada individu yang gagal setelah berusaha mendaftar untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.

“Mereka yang gagal setelah berusaha mendaftar terlepas daripada kewajipannya dan menggantikannya dengan solat Zuhur,” kata agensi tersebut.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Jaga nyawa, patuh SOP elak jangkitan Covid-19

BATU CAVES, 31 JULAI: Jemaah masjid dan surau dinasihat menjaga keselamatan diri dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata umat Islam perlu mengamal disiplin tinggi bagi memastikan rumah ibadat selamat dikunjungi.

“Sekarang kita dibenar berjemaah di masjid, jadi patuh SOP walaupun peraturan ketat demi kebaikan kita semua. Menjaga nyawa merupakan prinsip kedua terpenting selepas memelihara agama,” katanya berucap sebelum menunaikan solat Jumaat di Surau An-Nasihin Kampung Sungai Kertas hari ini.

Amirudin berkata Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga berulang kali mengingatkan umat Islam mematuhi SOP ketika meraikan Hari Raya Aidiladha.

“Jadi marilah kita bersama-sama melakukan pengorbanan kerana negara ini dan dunia masih berjuang mengekang penularan wabak,” katanya

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Umat Islam perlu berusaha hadir solat Jumaat – Mufti Selangor

SHAH ALAM, 23 JULAI: Umat Islam di Selangor yang menerima jemputan diingatkan untuk berusaha hadir menunaikan solat Jumaat seperti ditetapkan pihak berkuasa agama negeri, kata muftinya.

Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata mereka yang memenuhi syarat untuk mengerjakannya tetapi gagal berbuat demikian tanpa sebab uzur dibenarkan syarak, hukumnya berdosa.

“Umat Islam wajib menunaikan solat jumaat berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) dengan kehadiran mengikut kapasiti sebenar jemaah di masjid dan surau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Tamyes berkata penerima jemputan yang uzur perlu memaklumkan kepada pengurusan masjid bagi membolehkan kekosongan tersebut diberikan kepada jemaah lain.

“Bagi masjid atau surau yang mempunyai bilangan jemaah tidak melebihi kapasiti maksimum ruang solat, kariah di kawasan tersebut wajib mendirikan solat Jumaat walaupun tidak mendapat jemputan.

“Selain itu pihak rumah ibadat dibenarkan melaksanakan solat sunat itu perlu memastikan maklumat pendaftaran kehadiran solat sampai kepada semua ahli kariah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jarak sosial jemaah solat Jumaat kekal – Menteri

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Penjarakan sosial di antara jemaah dalam solat Jumaat akan dikekalkan buat masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata perkara itu dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan penularan wabak Covid-19.

“Untuk menjustifikasikan hal ini kami merujuk ulama-ulama sedunia temasuk Syaikhul Al-Azhar dan Mufti Mesir serta ulama-ulama di Arab Saudi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang membangkitkan mengenai tatacara operasi piawai (SOP) had jumlah jemaah solat Jumaat.

Zulkifli berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bermesyuarat tujuh kali bagi membincangkan isu berkaitan pelaksanaan ibadah agama Islam.

Beliau berkata ia sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila jawatankuasa berkenaan duduk bermesyuarat dengan sebegitu banyak dalam tempoh yang singkat.

Zulkifli berkata hasil mesyuarat itu, antaranya SOP yang dikeluarkan pihaknya dengan kerjasama MKN dan KKM.

Perkara itu antara lain meliputi mengenai kaedah pelaksanaan ibadah dalam bulan Ramadan; kedudukan saf solat; pelaksanaan ibadah korban; solat sunat Aidilfitri; solat musafir; perkahwinan orang Islam secara dalam talian; selain panduan hukum ujian saringan dan prosedur rawatan pesakit Covid-19 dalam bulan Ramadan.

“Mengambil kira keperluan umat Islam untuk memahami wabak Covid-19 dengan lebih mendalam dari sudut agama, saya sendiri mengambil inisiatif mengarang dua buah buku iaitu ‘Inilah Doaku’ dan ‘Soal Jawab Fiqh Covid-19’.

Kedua-dua buku ini boleh didapatkan secara percuma di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga dilaporkan lebih 50,000 pengunjung laman sesawang memuat turun buku ini tidak termasuk yang disebarkan melalui medium lain seperti WhatsApp dan Telegram Messenger,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang mahu tahu usaha yang dibuat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menyelesaikan isu agama berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor benar pertambahan jemaah ikut saiz masjid, surau

SHAH ALAM, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membenarkan pertambahan bilangan jemaah solat Jumaat dan fardu mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Shahzihan Ahmad berkata ruang solat perlu mematuhi penjarakan sosial 1.5 meter selain jemaah perlu mendaftar dan mengikut giliran.

“Bagi solat fardu, kaedah kehadiran jemaah secara terbuka dibenarkan sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dipenuhi atau diisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah kehadiran jemaah wanita pula hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Sultan Selangor berkenan semua masjid dan surau dibuka semula mulai 3 Julai lalu untuk solat Jumaat dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Solat Jumaat dan fardu berjemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah ditetapkan 1,000 orang.

Kehadiran jemaah semua masjid lain pula ditetapkan maksimum 500 orang tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat berkenaan.

Bagi surau yang ada kebenaran mengadakan solat Jumaat, bilangan maksimum 40 orang. Syarat sama terpakai untuk solat fardu berjemaah bagi surau lain. Jumlah tersebut tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: Lebih ramai daftar solat Jumaat, giliran akan sampai

SHAH ALAM, 4 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggesa lebih ramai umat Islam mendaftar bagi mendapatkan giliran menunaikan solat Jumaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarahnya berkata setakat ini pihaknya menetapkan Google Form sebagai medium pendaftaran tetapi menerima kaedah lain mengikut kesesuaian masjid sebagai jaminan setiap kariah dapat menunaikan solat berkenaan.

“Jais tidak mahu dengan penguatkuasaan dan penjarakan (sosial) sekarang akan ada individu tertentu atau yang dekat dan cepat sahaja dapat solat Jumaat.

“(Individu) kena daftar dan tunggu kad kehadiran disampaikan pentadbir masjid, baru hadir (ke masjid). Tiada kad tidak perlu hadir dan jika sudah mendaftar, giliran akan sampai juga,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau berkata setakat ini pengurusan solat berjalan lancar dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) walaupun sebahagian individu dihalang masuk kerana tidak membawa sejadah dan datang lewat selepas azan kedua.

Mohd Shahzihan mengakui akan ada mereka yang tidak dapat menunaikan solat selagi penjarakan sosial dilakukan demi mengekang penularan Covid-19.

Bermula semalam semua masjid dan surau di seluruh negeri dibenarkan dibuka semula untuk solat Jumaat dan solat fardhu selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengikut kapasiti ditetapkan.

Categories
AGAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Mufti: Boleh solat Zuhur di surau, rumah jika tiada jemputan solat Jumaat

SHAH ALAM, 4 JULAI: Jemaah yang tidak mendapat jemputan solat Jumaat boleh mendirikan solat Zuhur secara bersendirian atau berjemaah di rumah dan surau yang tiada kebenaran ibadah itu, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata jemaah dinasihatkan menunaikan solat Zuhur selepas 30 minit masuk waktu supaya tidak mendahului solat Jumaat di masjid atau Surau Kebenaran Jumaat berhampiran.

“Dalam tempoh sebelum menunaikan solat bolehlah diisi dengan bacaan al-Quran atau zikir,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bermula semalam, semua masjid dan surau di negeri ini dibuka untuk menunaikan solat Jumaat selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda juga berkenan semua masjid dan surau di Selangor dibuka semula untuk mendirikan solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar warga asing boleh solat Jumaat di masjid kampus

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pelajar warga asing di institut pengajian tinggi dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid dalam kampus, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran sama turut diberikan kepada pelajar yang pulang dari luar negara dan disahkan negatif selepas menjalani saringan.

“Kalau sudah lama berada di kampus dan tiada kluster (Covid-19) baharu di situ, jadi kita boleh benarkan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Kerajaan membenarkan pembukaan semula semua masjid dan surau di Kuala Lumpur untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah dengan kapasiti tertentu.

Langkah sama turut diikuti Selangor selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.