Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STFC bantu Selangor depani Covid-19 lebih cekap

SHAH ALAM, 23 FEB: Kemampuan Kerajaan Negeri berdepan pandemik dibantu kecekapan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Dato’ Menteri Besar berkata agensi itu menyaran pendekatan jangka panjang meliputi pengesanan kontak, saringan besar-besaran selain menitikberatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Antara yang perlu dilakukan ialah mengubah sikap mengenai membasuh tangan, memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal, memberi maklumat pengesanan kontak dan sebagainya.

“Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (pengerusi STFC) sejak awal menyebut supaya meletakkan masyarakat sebagai asas untuk merangka tindakan atau pendekatan digunakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui wawancara dalam edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19.

Kita Selangor, majalah terbitan Pejabat Dato’ Menteri Besar, merakam detik-detik awal Kerajaan Negeri berdepan wabak Covid-19 dan perkembangannya sehingga Oktober tahun lalu.

Majalah setebal 64 halaman ini merekod detik penting, personaliti utama dan contoh program yang dijayakan sepanjang tempoh tersebut. Ia diedarkan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) wakil rakyat, pusat kesihatan, jabatan kerajaan dan orang ramai mulai minggu ini.

Sebelum ini, STFC turut melancarkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengesan kes Covid-19 tanpa menghentikan operasi kilang sekali gus mengurangkan kluster tempat
kerja.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Pendekatan Selangor depani Covid-19 jadi rujukan agensi persekutuan

SHAH ALAM, 23 FEB: Beberapa pendekatan Kerajaan Selangor dalam menangani cabaran perebakan Covid-19 menjadi ikutan agensi persekutuan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan negeri ini paling awal memperkenal tatacara operasi piawai (SOP) di pusat kuarantin sebelum ia diguna pakai Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pusat kuarantin di negeri lain pada awalnya tiada SOP tetapi Selangor ada laksana SOP dan akhirnya SOP kita turut digunakan MKN.

Buku edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19 terbitan Pejabat Menteri Besar Selangor

“Unit Pengurusan Bencana Negeri juga menjadi rujukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan sebahagian modus operandi agensi ini mengambil contoh dari Selangor,” katanya melalui wawancara dalam edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19.

Kita Selangor, majalah terbitan Pejabat Dato’ Menteri Besar, merakam detik-detik awal Kerajaan Negeri berdepan wabak Covid-19 dan perkembangannya sehingga Oktober tahun lalu.

Majalah setebal 64 halaman ini merekod detik penting, personaliti utama dan contoh program yang dijayakan sepanjang tempoh tersebut. Ia diedarkan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) wakil rakyat, pusat kesihatan, jabatan kerajaan dan orang ramai mulai minggu ini.

Amirudin menambah Selangor juga negeri pertama membuka pusat penjagaan anak-anak petugas hadapan di hospital.

“Selain itu dalam kesibukan petugas hadapan, Kerajaan Negeri memikirkan bentuk sokongan yang boleh diberikan, jadi kita tubuhkan pusat penjagaan untuk anak mereka.

“Inisiatif mewujudkan pusat jagaan antara buah fikiran diberikan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC),” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sistem POIS mampu kurangkan jangkitan Covid-19 sehingga 50 peratus

SHAH ALAM, 22 FEB: Kadar jangkitan Covid-19 membabitkan sektor perkilangan negeri ini dijangka berkurang sehingga 50 peratus jika majikan mengambil inisiatif pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem diperkenal Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC) mampu mengenal pasti kes positif selain memastikan operasi kilang terus berjalan.

“Sekarang antara pusat jangkitan di Selangor adalah dari kawasan perindustrian iaitu kira-kira 70 hingga 80 peratus. Jadi, kalau kilang dapat ikut sistem ini, saya yakin kes di tempat kerja boleh dikurangkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat wakil pengurusan kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“POIS diatur dan disusun bagaimana untuk tangani (jangkitan) daripada segi sistem dan bukan kita datang untuk hentikan operasi selepas perkara itu berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program POIS di kilang Nestle, Seksyen 15 di sini hari ini yang turut disertai EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri belum mewajibkan semua majikan mendaftar sistem tersebut namun sedia meneliti kesesuaian untuk berbuat demikian.

“Ia melibatkan banyak perkara seperti pelesenan dan kebenaran beroperasi. Jadi, buat masa ini ia lebih kepada proses sukarela dan mungkin kita akan cuba selaras dan sebatikan dengan yang ada,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan garis panduan operasi kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada 6 Januari lalu, STFC melancarkan program POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

Jawatankuasa terbabit perlu merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Selain itu, platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen POIS serta menganalisis risiko pekerja bagi menyelaraskan kekerapan ujian saringan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kepung kawasan berisiko langkah baharu Selangor kekang Covid-19

SHAH ALAM, 7 FEB: Kerajaan Selangor akan menggunakan strategi baharu memutuskan rantaian Covid-19 melalui tindakan pengepungan sesuatu kawasan.

Dato’ Menteri Besar berkata cadangan Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilakukan berdasarkan data semasa diperoleh aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi mengenal pasti kawasan berisiko.

“Kita kena ‘potong’ perebakan wabak, tak boleh hanya ikut. Jadi bila kita dapat jangka lokaliti tertentu, kita boleh rancang langkah seterusnya.

“Cara ini pernah diaplikasikan di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya. Kita dapati banyak kes babitkan kawasan itu jadi kita kepung dan berjaya kawal wabak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam program bertajuk Covid-19 Fight: Red Zone Selangor disiarkan secara langsung di Facebook Wong Chun Wai malam ini.

Menurutnya, dua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dalam komuniti akan diwujudkan minggu hadapan bagi mengasingkan pesakit positif memandangkan langkah kuarantin di rumah kurang memuaskan.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada pertemuan baru-baru ini.

“Selangor akan kesan melalui SELangkah, lakukan saringan dan sokong melalui CAC atau pusat panggilan memandangkan kes tinggi. Kita tidak mahu bebankan Kementerian Kesihatan Malaysia dan klinik,” katanya.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan digesa telus salur maklumat Covid-19, contohi langkah UK

SHAH ALAM, 6 FEB: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyeru kerajaan supaya bersikap jujur dalam memberi laporan kes Covid-19.

Pengerusinya berkata Kementerian Kesihatan Malaysia serta Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah harus memberikan maklumat telus berhubung status tunggakan kes serta situasi semasa ketika ini.

Beliau turut menyarankan kerajaan mencontohi United Kingdom yang melaporkan kes berdasarkan wilayah, daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi menyampaikan maklumat tepat.

“Ia membabitkan ukuran pada setiap 100,000 populasi dan bukan melibatkan jumlah keseluruhan,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Facebook hari ini.

Kenyataan itu sebagai maklum balas artikel bertajuk “Di sebalik aplikasi SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat” dikeluarkan satu portal berita pada 3 Februari lalu.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan berkata STFC kini dibantu Pasukan Petugas Operasi Pencegahan Covid-19 (STFO) dalam menjayakan aspek operasi seperti program saringan bersasar.

“STFO dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Imaret dan kami menggunakan sumber dan kepakaran ahli mereka tanpa dikenakan bayaran.

“STFC akan terus berusaha membendung perebakan gelombang ketiga ini malah sedia kongsi kepakaran untuk negara serta negeri lain,” katanya.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

SELangkah kawal gelombang kedua, pilihan pakar kesihatan

SHAH ALAM, 6 FEB: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) membantu mengawal gelombang kedua Covid-19 di Selangor tetapi kejayaannya “tidak panjang” berikutan keengganan kerajaan persekutuan berkongsi data.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes positif kekal pada paras rendah sejak SELangkah digunakan antara 3 Mei dan pertengahan Ogos.

“Melalui data, STFC dapat kenal pasti daerah berisiko dengan segera. Bagaimanapun kejayaan tidak panjang ekoran arahan kerajaan mewajibkan MySejahtera digunakan semua pihak,” katanya di Facebook hari ini.

Hantaran itu susukan artikel ‘Di sebalik aplikasi SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat’ terbitan sebuah portal berita pada 3 Februari lalu.

Dr Dzulkefly berkata STFC sejak itu bergantung kepada data lapuk mengakibatkan usaha memerangi virus seperti “teraba-raba di dalam bilik yang gelap atau bertinju dengan mata kami ditutup”.

Bekas menteri kesihatan itu berkata kelemahan sistem penjejakan kontak rapat MySejahtera yang mengambil masa terlalu lama antara punca tunggakan kes baru-baru ini.

“Pakar dan kakitangan kesihatan awam turut mengakui lebih cenderung menggunakan SELangkah untuk pengawalan wabak, namun mereka tiada pilihan, hanya menggunakan data mentah sebagai rujukan menjejak kontak,” katanya.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

SELangkah berkesan jejak jangkitan, sedia maklumat tambahan

SHAH ALAM, 6 FEB: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menolak tanggapan pihak tertentu yang mempersoal keberkesanan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Sebaliknya, pengerusi STFC menegaskan SELangkah terbukti berkesan menjejak kontak rapat, malah turut mengumpul maklum balas pengguna, meninjau situasi terkini dan menyediakan data semasa.

Beliau menjelaskan aplikasi berkenaan juga mampu menganalisis “sebanyak mungkin data” selain menyediakan maklumat kawasan berisiko tinggi dan kemungkinan letusan kluster baru termasuk lokasi.

“SELangkah maju sebagai aplikasi digital yang memanfaatkan sains data (data science) dan teknologi mesin (machine learning) bagi mengawal Covid-19,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Facebook hari ini.

Hantaran itu menjawab tulisan bertajuk ‘Di sebalik aplikasi SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat” yang diterbitkan sebuah portal pada 3 Februari.

Menyifatkannya sebagai “fitnah terhadap SELangkah”, Dr Zulkefly berkata aplikasi tersebut dibangunkan dengan mapan sehingga usaha penjejakan hanya memerlukan tenaga kerja minimum.

Bekas menteri kesihatan itu turut menjelaskan proses pengecaman inidividu yang terdedah kepada Covid-19 juga dapat dibuat melalui SELangkah dengan pantas supaya pencegahan dapat dibuat segera.

Beliau turut menyifatkan aplikasi MySejahtera yang dibangunkan kerajaan persekutuan “sekadar mengikuti jejak kontak rapat yang dipelopori oleh SELangkah”.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: STFC saran kerajaan lebih proaktif cegah penularan tempat kerja

SHAH ALAM, 29 JAN: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menggesa Kerajaan Persekutuan lebih proaktif mencegah penularan wabak di tempat kerja.

Pengerusinya berkata program Mengelak Penularan di Tempat Kawasan Panas (POISE) dilaksanakan di negeri ini boleh dicontohi bagi tujuan itu.

“Jawatankuasa POISE melibatkan kerjasama bersepadu antara Kerajaan Selangor, majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, merangka pelan kecemasan, ujian saringan pantas dan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada program Bicara Covid-19 menerusi Facebook malam tadi.

Bekas menteri kesihatan berkata pendekatan baharu mencegah penularan wabak perlu dilaksanakan apatah lagi program suntikan vaksin dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan.

“Pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh itu, justeru amat penting untuk negara menilai strategi baharu serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat 14,129 kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari

SHAH ALAM, 24 JAN: Selangor merekodkan 14,129 kes Covid-19 antara tempoh 11 Januari sehingga hari ini, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Agensi tersebut berkata pecahan mengikut daerah pula menunjukkan Petaling mencatat jumlah paling tinggi sepanjang 14 hari dengan 4,048 kes.

Daerah lain yang turut mencatat angka penularan empat digit adalah Klang (3,345), Hulu Langat (2,849), Sepang (1,163) dan Gombak (1,035).

Kes di Kuala Langat pula (757), Kuala Selangor (649), Hulu Selangor (202) dan Sabak Bernam (81).

Selangor merekodkan 950 kes baharu Covid-19 hari ini dengan 323 kes melibatkan penularan kluster, 482 saringan kontak rapat, 144 saringan lapangan dan satu kes import

Pertambahan tersebut menjadikan bilangan keseluruhan kes di negeri ini 54,334 dengan 7,231 daripadanya kes aktif.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 3,346 kes menjadikan jumlah keseluruhan 183,801 kes dengan 41,677 daripadanya kes aktif.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Lebih separuh kes di Selangor libatkan Petaling

SHAH ALAM, 24 JAN: Lebih separuh daripada 1,421 kes Covid-19 yang dilaporkan negeri ini semalam dikesan di Petaling, lapor Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Menurut agensi itu, daerah berkenaan mencatatkan 852 kes selain pengesanan kluster baharu Tapak Bina Lebuh Puteri melibatkan pekerja tapak pembinaan.

Daerah lain meliputi Hulu Langat melaporkan 314 kes, Sepang (70), Gombak (65), Klang (54), Kuala Selangor (20), Kuala Langat (19), Sabak Bernam (14) dan Hulu Selangor (13).

“Semua pihak digesa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan basuh tangan secara kerap,” tulis pasukan itu di Facebook.

Kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat kepada empat digit selepas dua hari berturut-turut mencatat tiga angka. Keseluruhannya, negeri itu melaporkan 53,384 kes sejak pandemik menular.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Kes harian tertinggi di Klang, rakyat digesa patuh SOP

SHAH ALAM, 12 JAN: Daerah Klang merekodkan 457 daripada 1,007 kes baharu di Selangor hari ini, menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor.

Data tersebut menunjukkan Hulu Langat mencatat 249 kes, Gombak (73), Sepang (66), Kuala Selangor (46), Hulu Selangor (40) Kuala Langat (38), Petaling (33) dan Sabak Bernam (empat) serta kes import (satu).

Pertambahan kes baharu menjadikan keseluruhan kes di negeri ini adalah 41,291 dengan 6,379 daripadanya kes aktif.

Sementara itu Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengingatkan masyarakat terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan sentiasa berpesan mengenai penjarakan fizikal, pakai pelitup muka serta basuh tangan secara
kerap.

Kes baharu Covid-19 di Selangor melonjak kepada 1,107 kes berbanding 557 semalam.

Penularan kluster menyumbang 363 kes termasuk 92 kes kluster baharu iaitu Kluster Jalan Manan dan Kluster Persiaran Kuala.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Penduduk Taman Sri Muda jalani saringan Covid-19 percuma

SHAH ALAM, 7 JAN: Penduduk di kawasan perumahan sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini menjalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Tinjauan SelangorKini di lokasi mendapati puluhan penduduk beratur seawal jam 8 pagi bagi menjalani ujian bersasar berlangsung di perkarangan Dewan Azalea di taman perumahan berkenaan.

Mereka yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan memeriksa suhu badan.

Lokasi saringan turut dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Saringan berakhir esok dikendalikan 35 petugas kesihatan Klinik Selcare selain dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Seperti saringan di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana dan Meru, kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) digunakan untuk mengesan jangkitan Covid-19 dalam tempoh kurang 30 minit.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lalu bagi membendung penularan wabak.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dalam kenyataan memaklumkan saringan dipergiat bagi memastikan kadar jangkitan di bawah paras lima peratus dan setakat ini ia pada tahap tujuh hingga 25 peratus.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sekiranya 20 kes positif dikesan dalam kalangan 100 individu yang menjalani saringan, ini bermaksud masih banyak kes belum dikesan dalam kalangan komuniti.

Semalam, Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi Covid-19 dalam negara selepas merekodkan 965 kes termasuk satu jangkitan import, lebih separuh daripadanya dicatat di Klang.