Categories
AGENDA NASIONAL

STFC: Saringan Komuniti bertujuan lindungi rakyat

SHAH ALAM, 24 MEI: Saringan Komuniti diperkenalkan bertujuan melindungi kesihatan serta kebajikan rakyat akibat penularan Covid-19, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata negeri ini yang menerajui sektor ekonomi terbesar negara menyumbang kepada berlakunya penularan wabak di tempat kerja.

“Populasi Selangor yang tinggi iaitu 6.9 juta dan kesesakan pekerja serta perindustrian, bersekali dengan mobilisasi manusia yang pesat, kesemuanya terkait langsung dengan kadar penularan serta perebakan virus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Facebook menerusi segmen “Anda Tanya, Dr Dzul Jawab” menjawab soalan berkaitan rasional Selangor membuat Saringan Komuniti.

Tambahnya, golongan berpendapatan rendah (B40), bekerja sendiri selain kakitangan swasta dan kerajaan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri untuk mendapat inisiatif itu.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

STFC cadang PKP lebih bersasar di Selangor

SHAH ALAM, 19 MEI:  Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyarankan kerajaan persekutuan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih bersasar bagi membendung penularan virus dan menjaga ekonomi rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad  menjelaskan kerajaan persekutuan tidak wajar membuat penilaian berdasarkan jumlah harian kes berikutan kepadatan penduduk di negeri ini adalah 6.9 juta, apatah lagi ada banyak sektor perindustrian.

“Selangor tidak boleh dikatakan yang paling parah kes Covid-19 kerana negeri ini menduduki tempat keempat selepas Sabah, Kuala Lumpur dan Sarawak dari segi nisbah penduduk.

“Selain itu, kebolehjangkitan juga bukanlah tinggi berbanding negeri lain. Kita mahu ‘lockdown’ yang lebih tersasar, lebih efektif dan lebih berkesan,” katanya dalam sidang media bersama EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Dzulkeply juga mengingatkan kerajaan persekutuan supaya menimbang penderitaan rakyat termasuk golongan peniaga, pekerja dan pelajar yang bakal terjejas teruk jika PKP penuh dilaksanakan.

Beberapa wakil rakyat di Selangor turut menyaran kerajaan persekutuan menyediakan bantuan bagi memastikan kebajikan penduduk terpelihara sepanjang perintah kawalan dijalankan.

Semalam, Kementerian Kesihatan bercadang menguatkuasakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor jika usaha sedia ada gagal mengekang penularan wabak.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma di Lembah Jaya, Pandan Indah hari ini

SHAH ALAM, 11 MEI: Penduduk sekitar Lembah Jaya dan Pandan Indah diseru menyertai program Saringan Komuniti secara percuma hari ini bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata saringan diadakan di Dewan Lembah Jaya dan Dewan MPAJ Pandan Indah bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my,” tulisnya di Facebook.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan dimulakan di DUN Kajang dan Semenyih pada 8 Mei kemudian diteruskan di Sungai Ramal, Balakong, Teratai dan Dusun Tua.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

STFC saran hanya lima individu ziarah Aidilfitri jika rumah sempit

SHAH ALAM, 10 MEI: Hanya lima individu dinasihatkan berada dalam rumah yang sempit ketika ziarah Aidilfitri nanti, demikian nasihat Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Prof Dr Adeeba Kamarulzaman berkata kajian menunjukkan kuman lebih cepat merebak apabila ruang sempit serta tahap pengudaraan tidak baik.

“Ketika musim raya nanti, jika kawasan rumah sempit sebaik-baiknya tidak lebih dari lima orang sahaja boleh berada dalam rumah, ini kerana sejarah menunjukkan ramai yang dijangkiti Covid-19 akibat dari perjumpaan sosial seperti kenduri dan majlis berbuka puasa.

“Dalam bilik tertutup, kuman boleh berada di udara dalam tempoh tertentu sebelum ia jatuh ke tanah, pada waktu itu jika tiada penjarakan sosial dan tiada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), ia boleh menjangkiti kita,” katanya ketika forum ‘Tanya Apa Saja: Covid-19 Membunuh?’ secara langsung di Facebook, hari ini.

Turut sama pada forum itu ialah EXCO Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pengarah Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFO), Dr Mohammad Farhan Rusli.

Dr Adeeba yang juga pakar perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya berkata beliau faham ramai yang sudah bosan dan letih kerana terpaksa berdepan dengan penjarakan sosial serta memakai pelitup muka.

“Namun jika anda tidak mahu menjadi pesakit saya di masa hadapan, teruslah patuhi semua SOP ini, sudah setahun lebih kita lalui situasi ini, pasti ramai yang sudah faham dan tahu cara-cara untuk mengelakkan daripada diri dijangkiti.

“Teruskan jaga SOP dan kita perlu ambil tindakan mencegah daripada hanya menunggu arahan kerajaan,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Dzulkefly: PKP tidak boleh lama tapi harus tegas

KAJANG, 9 MEI: Tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor ketika ini adalah singkat, namun boleh mendatangkan mudarat jika terlalu lama.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berpandangan negeri itu memerlukan sekurang-kuranya 28 hari bagi menurunkan jumlah kes Covid-19.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata PKP 1.0 pada Mac tahun lalu berjaya mengurangkan kes, namun boleh memberi kesan tidak baik khususnya kepada rakyat.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Perkara paling penting bukan memanjangkan tempoh itu terlalu lama sebaliknya penguatkuasaan, pematuhan dalam waktu itu…kerana kita tahu PKP ini memudaratkan kepada rakyat.

“Kalau betul-betul kita nak buat PKP perlu pantas, tegas, keras tetapi singkat. Jangan terlalu lama kerana beban kepada ekonomi, rakyat,” katanya ditemui pada program saringan Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian semalam.

Sementara itu, Dr Dzulkefly mengakui saringan besar-besaran ketika ini akan meningkatkan jumlah kes, namun berpotensi mengenal pasti jangkitan sekali gus mengawalnya.

“Kita akan gagal jika mengekori virus dan tidak mengatasinya. Ia hanya dapat diatasi jika kita meningkatkan ujian, selepas ujian dibuat kita tingkatkan isolasi.

“Jangan izinkan yang positif merayau, sebab itu kit ujian pantas ini penting bukan 48 jam tunggu keputusan dan dalam tempoh itu individu itu merayau. Ini menyebabkan kita gagal mengawal,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Covid-19 percuma di Semenyih, Kajang Sabtu ini

SHAH ALAM, 6 MEI: Penduduk sekitar Semenyih dan Kajang digalak menjalani saringan Covid-19 secara percuma Sabtu ini bagi mengekang penularan wabak.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan program saringan komuniti diadakan di Dewan Orang Ramai Bandar Rinching dan Dewan Cempaka Saujana Impian bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Bagi tujuan pendaftaran, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan menggunakan fungsi saringan atau daftar di screening.selangkah.my,” katanya menerusi Facebook.

Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan tersebut secara aktif di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu memanfaatkan rakyat Selangor yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap penduduk mengambil langkah proaktif dengan menjalani saringan mengikut tarikh dan memainkan peranan mengurangkan wabak di Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes mingguan wabak naik hampir 1,000, STFC pesan patuh SOP

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kes baharu Covid-19 di Selangor naik minggu ini dengan pertambahan sekitar 1,000 kes berbanding minggu lalu.

Menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), negeri itu mencatat 3,302 kes antara 10 hingga 16 April dengan 3,289 jangkitan tempatan.

Sementara sebanyak 2,335 kes direkodkan antara 3 hingga 9 April dengan 2,320 jangkitan tempatan.

“Kenaikan ini sangat membimbangkan yang tentunya didorong oleh kadar jangkitan nasional yang telah lama melanggar paras selamat,” kata pasukan itu di Facebook.

Sementara itu, STFC berkata pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di beberapa bazar Ramadan masih longgar dan penganjurannya boleh dibatalkan bagi mengelak jangkitan.

“Terus patuhi SOP bagi memastikan kes mingguan dan kadar jangkitan menurun serta tidak mempengaruhi situasi di Selangor.

“Pihak polis akan mengetatkan sekatan jalan raya terutama perjalanan merentas negeri bagi membendung wabak ini,” kata pasukan itu lagi.

Grafik Twitter STFC

 

Categories
AGENDA NASIONAL

STFC pergiat promosi saringan percuma, sasar capai 50,000 peserta

KUALA SELANGOR, 11 APRIL: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC) memperhebatkan promosi saringan komuniti percuma di sekitar Puncak Alam.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu dibuat bagi memastikan sasaran 50,000 dapat dicapai menjelang Ogos ini.

“Sebanyak 5,000 risalah telah kita edar, 20 gegantung dipasang dan tiga kali siar raya oleh Jabatan Penerangan Malaysia di sekitar perumahan di Puncak Alam dilaksana.

“Sambutan memberangsangkan dan saya difahamkan saringan di sini (Puncak Alam) lebih 100 peserta telah hadir setakat jam 2 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas membuat tinjauan di program saringan komuniti di Dewan MDKS Sinar Alam, Fasa 2, Bandar Puncak Alam, semalam.

Sementara itu, seorang peserta Che Zuraimi Che Nordin, 42, berkata beliau sanggup memandu lebih sejam ke program saringan tersebut untuk membawa anaknya yang bakal masuk latihan industri.

“Saya tahu mengenai saringan ini dua hari lepas dan sebab itu sanggup datang jauh memandangkan jika kita buat di luar kos agak tinggi berbanding ini percuma,” katanya yang tinggal di Damansara Damai.

Manakala, Tamilmani, 30, berkata itu adalah kali kedua beliau menjalani ujian saringan kerana mahu tahu keadaan kesihatannya.

“Saya harap Kerajaan Negeri meneruskan usaha ini yang mana sangat membantu terutama keluarga kategori berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

POIS langkah terbaik kawal kluster tempat kerja

SHAH ALAM, 1 APRIL: Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) merupakan langkah terbaik mengawal jangkitan Covid-19 selepas kerajaan membatalkan arahan pematuhan dasar 30 peratus bekerja dari rumah.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata menerusi sistem itu, jawatankuasa ditubuhkan akan memantau persekitaran tempat kerja selain sentiasa mengingatkan pekerja supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Jelas Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sistem POIS yang lebih sistematik menggunakan kaedah pembahagian kerja mengikut tugasan juga dapat mengurangkan interaksi antara individu sekali gus merendahkan risiko jangkitan.

“Ini penting kerana jika ada pekerja berpotensi sebagai perebak utama (super spreader), individu tersebut tidak akan menjangkiti pihak lain kerana kurang interaksi antara mereka.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan garis panduan operasi kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“POIS juga mewajibkan saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) berkumpulan secara berskala. Cara ini menjimatkan kos selain membolehkan majikan bertindak lebih pantas mengikut keperluan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu berkata aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang terkandung dalam sistem itu mampu mengesan kontak berisiko sekiranya terdapat jangkitan dalam kalangan pekerja.

“Semoga semua pekerja dapat mematuhi SOP. Kebenaran sektor swasta beroperasi dengan kapasiti maksimum merupakan langkah memulihkan ekonomi dan memastikan ia terus berkembang,” katanya.

Pada 6 Januari, STFC melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi manakala SELangakah merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen sistem berkenaan.

Antara syarikat yang menyertai POIS ialah kilang Nestle di Seksyen 15 dan Celestica Malaysia di Johor dan Kedah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STFC saran lima garis panduan cegah Covid-19 di rumah ibadat

SHAH ALAM, 28 MAC: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyarankan beberapa garis panduan susulan kebenaran pembukaan rumah ibadat di negeri ini.

Anggotanya Dr Siti Mariah Mahmud berkata pengurusan rumah ibadat selain Islam perlu mengamalkan lima langkah mengekang perebakan wabak meliputi:

1. Lindungi warga emas atau orang tua
– Menyediakan tempat khusus kepada golongan berisiko tinggi berumur 60 tahun ke atas, penjarakan fizikal dua meter, memakai pelitup muka dan memastikan sistem pengudaraan berfungsi dengan elok.

2. Menambah sesi upacara rumah ibadat
– Memendekkan waktu setiap sesi upacara serta mengehadkan jumlah kehadiran berbanding sesi panjang melibatkan jumlah kehadiran yang ramai termasuk melakukan proses sanitasi setiap kali sesi berakhir.

3. Manfaat ruang atau tempat terbuka
– Covid-19 mudah merebak di tempat padat, sesak dan tertutup, justeru pengurusan rumah ibadat perlu kreatif untuk menempatkan pengunjung.

4. Langkah pencegahan di kawasan pengudaraan tertutup
– Menambah baik sistem pengudaraan dengan membuka tingkap dan pintu, melaksanakan penjarakan fizikal dua meter serta memakai pelitup muka manakala warga emas tidak digalakkan mengunjungi rumah ibadat yang mempunyai sistem pengudaraan tertutup.

5. Mengawal interaksi pengunjung rumah ibadat
– Pengurusan rumah ibadat perlu sentiasa mengingatkan pengunjung supaya melakukan interaksi sosial di kawasan yang lebih selamat, terbuka, kurang sesak dan kurang padat selain tidak berkumpul sebelum atau selepas upacara keagamaan dijalankan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kes mingguan Covid-19 di Selangor turun lima kali berturut-turut

SHAH ALAM, 15 MAC: Kes Covid-19 secara mingguan di negeri ini turun lima kali berturut-turut sejak awal Februari, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Pada minggu pertama iaitu 6 hingga 12 Februari, sebanyak 9,198 kes baharu direkod tetapi jumlah itu turun kepada 8,031 kes dalam tempoh 13 hingga 19 Februari.

Ia diikuti 5,591 kes dicatat pada 20 hingga 26 Februari, 4,965 kes (27 Februari hingga 5 Mac) dan 4,786 (6 hingga 12 Mac).

“Syabas! Selangor mencatatkan penurunan kali kelima berturut-turut bagi kes mingguan. Ini merupakan satu isyarat yang sangat baik untuk mengembalikan negeri ini menjadi bebas Covid-19,” katanya melalui Twitter.

Bagaimanapun, STFC menegaskan penurunan itu bukanlah lesen untuk orang ramai melanggar tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Perjalanan kita masih jauh, pematuhan SOP masih penting. Pada masa sama, warga Selangor boleh terus menyertai sarigan percuma yang ditawarkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
RENCANA WAWANCARA

STFC tumpu tamatkan kluster Covid-19

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) merangka pelbagai strategi bagi membendung wabak Covid-19 di negeri ini.

Mengikut ketua portfolio epidemiologi digital dan analitik STFC, ketika gelombang pertama bermula akhir Januari tahun lalu dan kedua mulai 27 Februari tahun lalu melanda, pendekatan bersifat kawalan dan menjurus ke arah sifar kes.

Namun, Dr Helmi Zakaria berkata pendekatan berbeza diambil dalam mendepani gelombang ketiga kerana dimensinya berbeza berikutan peningkatan kes berlaku mendadak.

Pengarah Projek SELangkah Dr Helmi Zakariah menjawab pertanyaan moderator dalam program bual bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin di Media Selangor pada 28 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Tidak seperti gelombang pertama dan kedua, majoriti penduduk Selangor berhenti menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan bertukar kepada MySejahtera susulan kerajaan persekutuan mewajibkannya.

Ini mengakibatkan kaedah kawalan tidak dapat diteruskan kerana STFC tidak lagi memiliki data terkini untuk dianalisis. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula tidak berkongsi maklumat.

“Kami cuba berbincang dengan KKM untuk bantu kesan kes, namun ditolak dengan alasan mereka boleh menguruskannya,” katanya kepada SelangorKini.

Data pergerakan SELangkah juga menunjukkan pengurangan drastik sejak 2 Oktober 2020 apabila aplikasi MySejahtera diwajibkan di seluruh negara mulai 18 Ogos.

Peningkatan kes pula berlaku ketara berbanding Julai hingga September 2020 apabila kes meningkat mulai 1 Oktober hingga mencecah lebih 3,000 kes sehari.

“Kajian STFC menunjukkan kes Covid-19 mula meningkat ketika orang ramai tidak lagi menggunakan SELangkah.

Petugas mencatat data penting yang dibincangkan pada dinding kaca sebelum data tersebut direkodkan secara formal di Pusat Operasi SELangkah, Kuala Lumpur pada 16 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Ketika itu, tiada langkah kawalan dapat dijalankan kerana tidak ada punca data pengguna manakala data lokasi pesakit pula tidak lagi disalur KKM sejak 2 Oktober tahun lalu,” kata Dr Mohd Helmi.

Justeru, STFC merangka strategi mitigasi atau pengurangan bagi mengawal secara meluas kes Covid-19 daripada terus merebak menggunakan kaedah yang sesuai dengan keadaan semasa, menggantikan kaedah kawalan.

Pendekatan STFC kali ini berkonsep ‘Saringan Luas, Saringan Awal’ bermaksud saringan komuniti secara bersiri termasuk program saringan di kilang dan tempat kerja melalui POIS (Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas).

Kekerapan saringan menyebabkan kes positif Selangor melonjak dan dijangka berlarutan hingga pertengahan bulan. Namun, ia dalam jangkaan STFC. Pendek kata, lebih banyak, lebih luas saringan, lebih baik untuk negeri meskipun angka harian melonjak untuk tempoh tertentu.

Situasi itu lebih baik berbanding negeri lain yang mencatat peningkatan kes mendadak tanpa saringan luas dan awal seperti Selangor. Umpamanya, Perak yang merekod 1,215 kes positif pada 21 Februari.

Untuk menjayakan strategi mitigasi, STFC menggariskan tiga petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dipenuhi iaitu:

Kurangkan kes sporadik

Hentikan kluster dalam dua generasi

Mengurangkan kematian

Untuk mengurangkan kes sporadik atau kes positif tanpa dikait dengan mana-mana kluster, STFC sedaya upaya menurunkan kadarnya. Ini penting supaya kes sebegini tidak pula mewujudkan kluster baharu.

Mengikut statistik terkini STFC, kes sporadik, lazimnya membabitkan individu yang sakit di rumah dan rela hati ke klinik atau hospital untuk rawatan, turun selepas saringan meluas dijalankan sejak 30 Januari.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan garis panduan operasi kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bagi kluster sedia ada pula, STFC juga berusaha memastikan jangkitan tidak melangkaui dua generasi melalui Saringan Komuniti atau POIS. Seterusnya, kluster itu dapat ditamatkan seawal mungkin.

“Sebanyak 69 daripada 98 kluster utama dapat ditamatkan dengan awal dalam tempoh tidak melebihi purata jangka hayat dua generasi (iaitu 43 hari) bagi semua kluster yang melibatkan Selangor,” kata Dr Helmi.

Beliau merujuk enam daripada tujuh kluster utama iaitu Sungai Redan, Jalan Datuk, Pasar Jalan Sentosa, Tapak Binaan Hevea, Rantau Cempaka dan Taman Tasik Sungai Chua.

“Satu lagi kluster utama iaitu Bah Manggis masih perlu diurus dengan rapi kerana ia bermula semasa ‘data blackout’,” katanya.

Dr Helmi menjelaskan Kerajaan Negeri bertujuan menyelamatkan banyak nyawa melalui kekerapan saringan dan POIS walaupun angka harian mencatat peningkatan kes.

“Sebagai contoh, saringan di sebuah kilang besar yang mempunyai 1,000 pekerja termasuk pekerja asing. Dan 100 pekerja didapati sakit sebelum disahkan positif Covid-19, maka kita akan saring 900 lagi untuk hentikan keluk kes dalam dua generasi.

Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove di Meru Klang pada 26 Ogos 2020. Foto: BERNAMA

“Kemudian kita buat saringan komuniti di kawasan perumahan berdekatan kilang itu dan berkemungkinan ada dalam kalangan penduduk tidak tahu mereka terdedah. Selepas saringan, kita hantar ke pusat kuarantin untuk dipantau doktor. Lebih awal didiagnosis lebih tinggi kebarangkalian pulih dari jangkitan teruk dan elak kematian.

“Biar nombor harian tinggi asalkan kes sporadik rendah, kluster tamat awal dan kadar kematian rendah,” kata Dr Helmi.

Beliau turut mengajak orang ramai kembali menggunakan aplikasi SELangkah yang kini ditambah baik termasuk boleh mengimbas kod QR MySejahtera.