Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN tolak alasan darurat, gantung parlimen rencat demokrasi

SHAH ALAM, 12 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) menolak alasan pengisytiharaan darurat dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekang penularan Covid-19 dan menggantung sidang parlimen yang merencatkan sistem demokrasi negara.

Majlis Presiden berkata undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencukupi untuk mengumpul segala sumber serta kekuatan untuk mengatasi wabak.

“Sebagai contoh, darurat tidak diperlukan hanya untuk mendapat kerjasama hospital swasta kerana sektor tersebut memang bersedia membantu kerajaan dalam kes Covid-19.

“Malah tindakan menggantung parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi dan menafikan suara rakyat,” katanya menerusi kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis Presiden turut meluah kerisauan darurat akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur selain tidak membantu mengatasi isu pengangguran dan kehilangan pendapatan rakyat.

Berkenaan isu pilihan raya pula, PAKATAN berpendapat Pilihanraya Negeri Sarawak tidak perlu dilakukan selewat-lewatnya sehingga penghujung Ogos ini manakala Pilihan Raya Umum ke-15 hanya perlu diadakan menjelang 2023.

“Muhyiddin mengusulkan darurat ketika kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen termasuk Machang (Datuk Ahmad Jazlan Yaakub) dan Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz).

“Oleh itu, alasan dikemukakan tidak dapat diterima kerana darurat memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk melakukan hampir apa sahaja sewenang-wenangnya,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Calon SPM 2020, 2021 dibenar hadir ke sekolah

SHAH ALAM, 11 JAN: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama bagi sesi 2020 dan 2021 dibenar hadir ke sekolah, tertakluk tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebenaran tersebut turut melibatkan sekolah di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berhubung perkara ini, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperincikan SOP yang akan dilaksanakan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Pada 8 November, kerajaan mengumumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda ke 22 Februari 2021. Tarikh bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga dianjak ke 8 Mac.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Lima strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Kerajaan menggariskan lima keutamaan pada 2021 dalam satu strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19 bagi memulihkan situasi di Malaysia sebaik dan secepat mungkin, kata Perdana Menteri hari ini.

Memperincikan perkara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keutamaan pertama adalah mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin Covid-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.

“Kedua, memperkukuh ekonomi prihatin rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ketiga memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan dan keempat, menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baharu 2021 bertemakan ‘Bersemangat Melangkah ke Tahun Baharu 2021’.

Muhyiddin berkata keutamaan kelima adalah memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan berikhtiar untuk meningkatkan tahap kesihatan awam di negara ini berasaskan prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Jelasnya, pencegahan awal adalah penting dan beliau turut menegaskan bahawa tatcara operasi piawai (SOP) kerajaan perlu terus dipatuhi, bersesuaian dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Menyentuh keutamaan kedua, Muhyiddin menjelaskan bagi memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara, Belanjawan 2021 telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.

“Belanjawan terbesar dalam sejarah negara ini amat kritikal bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Kerajaan akan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti bantuan tunai secara langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara,” katanya.

Beliau berkata ia bertujuan memastikan nasib golongan rentan termasuk B40, warga emas dan orang kurang upaya sentiasa terbela.

Muhyiddin berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), satu strategi komprehensif akan diumumkan pada awal 2021 bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi negara.

Mengenai keutamaan ketiga pula, Muhyiddin menyifatkan situasi politik negara sepanjang tahun ini mencabar dan memberi kesan kepada keyakinan pelabur terhadap negara dan kerana itu persefahaman dalam kalangan rakan-rakan parti kerajaan Perikatan Nasional akan terus disemai dan dipupuk, manakala perbezaan akan diuruskan dengan teliti dan cermat.

“Adalah juga diharapkan pimpinan politik dapat menunjukkan sifat bertanggunggjawab dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu gugat kestabilan politik negara,” katanya yang turut berharap pemimpin politik mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta mendengar kemahuan rakyat.

Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha memerangi rasuah dan menjunjung nilai ketelusan serta integriti, justeru sistem pelaksanaan akan dipantau supaya rakyat mendapat apa yang dijanjikan.

“Saya percaya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik mampu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Bagi keutamaan keempat, Muhyiddin berkata kerajaan akan memastikan keselamatan negara terbela dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperkukuh dan memasuki 2021, kerajaan memberi jaminan keselamatan negara dan rakyat sama ada secara fizikal atau maya di bawah radar pemantauan agensi-agensi keselamatan negara.

“Kawalan terhadap sempadan dan pintu-pintu masuk negara akan terus diperketatkan, manakala sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan tidak akan terlepas daripada tindakan tegas. Kerajaan tidak berkompromi soal kedaulatan negara. Jenayah dalam talian seperti scammer yang makin berleluasa juga akan dipantau,” katanya.

Susulan pandemik Covid-19 telah merubah ‘the global order’, Muhyiddin berkata pada tahun depan, Malaysia memainkan peranan lebih aktif di pentas global, justeru membuka peluang untuk negara menonjolkan kepimpinan lebih dinamik di peringkat dunia.

Jelasnya sudah tiba Malaysia muncul sebagai kuasa yang disegani, berani memperjuangkan kemakmuran bersama dan keamanan sejagat secara konsisten.

Bagi keutamaan kelima, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang ingkar dan terus menyemai api kebencian antara kaum dan agama apatah lagi menghina institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Beliau berkata lima keutamaan kerajaan itu selari dengan visi jangka panjang yang terangkum dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia meterai perjanjian peroleh 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19, iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Beliau berkata ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini bersama fasiliti COVAX dan Pfizer.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan fasiliti COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30 peratus rakyat negara ini.

“Kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya menerusi rakaman video berhubung perkembangan terkini isu itu yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70 peratus rakyat.

Perdana menteri berkata melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan AS$504.4 juta (RM2.05 bilion).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perjanjian dengan Sinovac, CanSino serta Gamaleya juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat serta pembangunan negara.

“Ini termasuklah melakukan proses pembotolan vaksin dalam negara, penyelidikan dan pembangunan, serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi,” katanya.

Menurut Muhyiddin kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin mencukupi.

“Vaksin yang diperoleh ini akan dipastikan selamat dan berkesan,” tegas beliau.

Perdana menteri berkata kerajaan sedar usaha mencegah pandemik Covid-19 daripada terus menular adalah penting bagi memastikan keadaan ekonomi rakyat dan negara dapat dibaik pulih pada kadar segera.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan cadang beli vaksin Covid-19 hingga 70 peratus

TANGKAK, 13 DIS: Kerajaan bercadang meningkatkan pembelian vaksin Covid-19 agar dapat menampung keperluan imunisasi hingga 70 peratus rakyat berbanding kuantiti asal sebanyak 30 peratus, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini kerana ada negara yang sudah membeli vaksin itu dengan sesetengahnya memperoleh dalam kuantiti yang banyak melebihi jumlah penduduk mereka sendiri.

“Untuk keperluan Malaysia, kita sudah dapat 30 peratus. Saya sudah arahkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bersama (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) Khairy Jamaluddin untuk berunding supaya dapat tambah dari 30 peratus kepada 60 ataupun 70 peratus.

“Ini dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia setakat hari ini… kalau dapat ditingkatkan ke jumlah itu maka lebih terjamin rakyat kita daripada virus Covid-19,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali 2020 Dewan Undangan Negeri Gambir, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir berkata beliau telah meminta pembekal menghantar vaksin tersebut secepat mungkin dan Malaysia dijangka menerima bekalan pada Mac tahun depan.

“Berkesan tak berkesan, jangan sampai rakyat marah perdana menteri (sebab tidak beli)… orang lain sudah beli, saya pun beli juga… cepat-cepat kita beli.. (vaksin) akan sampai bulan tiga tahun depan,” katanya.

Pada 24 Nov lalu, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Dua hari sebelum itu, Malaysia memeterai perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk memperoleh bekalan vaksin tersebut bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus lagi rakyat negara ini.

Sementara itu, perdana menteri mengarahkan agar hospital sementara merawat Covid-19 dibuka semula berikutan peningkatan secara berterusan kes baharu di beberapa negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

“Ini bermakna walaupun langkah yang kerajaan ambil agak berkesan dari satu sudut, kalau dibandingkan dengan negara-negara lain kita belum dapat mengatasinya.

“Kita belum berjaya melandaikan lekuk Covid-19,” katanya menambah perkara itu dijangka mengambil masa yang lama.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata sejak hari pertama menjadi perdana menteri, beliau belum lagi dapat berehat memandangkan negara masih dalam ancaman.

“Selagi rakyat kita terancam dan diancam dengan penyakit Covid-19, saya tidak akan berehat. Saya akan bekerja… menguruskan Covid-19, menguruskan ekonomi negara,” kata Muhyiddin.

Sementara itu, perdana menteri berkata kerajaan sedang menjalankan satu kajian menyeluruh mengenai peratusan sebenar rakyat yang jatuh ke paras garis kemiskinan akibat Covid-19.

“Sekarang ini paras garis kemiskinan sudah naik kepada RM2,208 per kapita. Bila sudah naik, lebih ramai rakyat kita yang tergolong dalam kumpulan B40 itu, golongan yang agak miskin dan miskin tegar.

“Bila Covid-19 berlaku, ramai orang yang tidak bekerja, tidak boleh berniaga, buka warung pun tak boleh, pendapatan merosot.. syarikat tidak ambil lagi pekerja,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19 diberikan percuma kepada rakyat

PUTRAJAYA, 27 NOV: Vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata pada masa yang sama, kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu dan ia hanya akan diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

“Saya dengar banyak pihak di luar sana sedang menunggu-nunggu untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 ini dan mereka hendak hidup seperti normal, tidak mudah dijangkiti dengan apa-apa penyakit.

“Pastinya kita harap dengan langkah yang kerajaan ambil untuk membekalkan vaksin ini nanti, maka lebih ramai rakyat dapat kita selamatkan daripada wabak ini pada masa depan,” katanya pada sidang media secara maya di sini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Menurut Muhyiddin, dalam kajian terbaru syarikat penyelidikan global berpangkalan di United Kingdom (UK), YouGov, seramai 82 peratus rakyat Malaysia bersedia untuk divaksinasi dan beliau berharap jumlah itu kelak akan mencapai 100 peratus.

Mengulas kriteria pemilihan vaksin yang bakal dibekalkan nanti, katanya, keutamaan diberikan kepada vaksin berkualiti tinggi, selamat digunakan selain keberkesanannya berdasarkan hasil ujian klinikal yang dilakukan oleh syarikat terlibat.

“Selain itu harga dan kos sampingan seperti keperluan peralatan dan bahan pakai buang akan diambil kira dalam pertimbangan itu.

“Cumanya dalam peringkat awal ini, vaksin yang bakal dipasarkan nanti, tentulah harganya agak tinggi sedikit dan ada perbezaan antara satu pengeluar dengan pengeluar lain.

“Jika ada peluang untuk berunding bagi mendapat harga berpatutan, kita akan lakukan untuk dapatkan kos mampu milik untuk dibiayai bukan sahaja kerajaan tetapi juga pihak swasta di negara ini,” katanya.

Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini tahun depan.

Sementara itu bagi menangani gerakan kumpulan antivaksin termasuk vaksin Covid-19, Muhyiddin berkata kerajaan mengatur strategi menanganinya di peringkat kebangsaan dan negeri dengan memperkukuhkan advokasi tentang pentingnya untuk mengambil imunisasi itu.

Katanya, ia dilakukan secara komprehensif termasuk menerusi kenyataan kepada media, laporan media, penerbitan, tv dan radio serta media sosial selain mengadakan lebih banyak seminar kesihatan, sambutan Hari Imunisasi Sedunia dan Minggu Imunisasi Sedunia.

Menurutnya untuk peringkat komuniti dan klinik kesihatan pula, langkah bersesuaian juga diambil untuk memberitahu kepada masyarakat dan pemimpin dalam komuniti tentang pentingnya rakyat perlu terlibat dalam program imunisasi itu.

Bagaimanapun, jelas perdana menteri, setakat ini program imunisasi itu tidak akan melibatkan pelajar sekolah.

Sebelum ini, Khairy ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa ketika ini pembangunan vaksin Covid-19 hanya tertumpu kepada golongan dewasa sahaja.

Tambah Khairy, mana-mana vaksin Covid-19 yang dibangunkan setakat ini belum lagi diuji kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Malaysia runding dengan 10 syarikat vaksin untuk bekalan

PUTRAJAYA, 27 NOV: Kerajaan sedang berunding secara aktif dengan 10 daripada 12 syarikat pengeluar vaksin Covid-19 yang vaksin mereka berada pada fasa ketiga ujian klinikal, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin akan menilai semua vaksin itu termasuk daripada syarikat Pfizer bagi memastikan ia dijamin selamat untuk digunakan.

“Pada masa ini ada 12 pengeluar vaksin yang vaksin mereka sedang dalam fasa ketiga ujian dan Kerajaan Malaysia sedang berunding secara aktif dengan 10 daripada mereka.

“Kerajaan akan membuat pembelian vaksin Covid-19 daripada pelbagai sumber bagi memastikan cukup vaksin untuk keperluan negara. Saya diberitahu kita memerlukan bekalan vaksin sekurang-kurangnya untuk 60 peratus rakyat Malaysia, bermakna 18 ke 19 juta orang akan dapat diimunkan buat permulaan,” katanya pada sidang media secara maya di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, tiada halangan bagi pihak fasiliti perubatan swasta untuk mendapatkan vaksin daripada syarikat yang diluluskan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri boleh membekal kepada pihak swasta jika terdapat lebihan vaksin itu.

Muhyiddin berkata kerajaan juga menggalakkan syarikat pengeluar vaksin untuk membina kilang di negara ini termasuk bagi proses pembotolan vaksin.

Insentif menarik dan istimewa daripada biasa akan diberikan kepada syarikat luar yang mahu melabur bagi tujuan berkenaan, katanya.

Menyedari tentang kepentingan memerangi pandemik Covid-19, beliau berkata Malaysia juga sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menjadi pengeluar vaksin itu pada masa depan.

“Kita tidak ada masalah untuk bekerjasama di peringkat awal jika ada syarikat dari luar sana seperti China yang berminat untuk mencari rakan kongsi bersama untuk jalankan penyelidikan dan pembangunan, itu kita galakkan.

Memang ada beberapa insentif dan kita berharap satu hari nanti kita akan jadi pengeluar bukan sahaja pengguna kepada bahan perubatan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM jalani kuarantin selepas menteri agama positif Covid-19

SHAH ALAM, 5 OKT: Perdana menteri akan menjalani kuarantin di kediamannya selama 14 hari selaras saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan itu susulan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri yang disahkan terkena Covid-19 hadir dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara kelmarin.

“Hal ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan kerajaan. Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan,” katanya dalam kenyataan
hari ini.

Beliau turut menasihatkan ahli mesyuarat yang bukan kontak rapat Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menteri hal-ehwal agama, menjalani kuarantin selama 14 hari.

Muhyiddin juga memaklumkan beliau membuat saringan Covid-19 setiap dua minggu sejak April sebagai langkah berjaga-jaga dan kesemuanya disahkan negatif.

Beliau turut melakukan tiga lagi saringan dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September. Semua keputusan didapati negatif.

Dr Zulkifli disahkan positif Covid-19 hari ini dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Susulan itu, KKM menjalankan saringan ke atas semua ahli dan urus setia mesyuarat tersebut.

Kontak rapat Dr Zulkifli dalam pertemuan berkenaan diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari mulai 3 Oktober, selain dipakaikan gelang pengawasan.

Sementara mereka yang bukan kontak rapat kepada bekas mufti Wilayah Persekutuan itu dinasihat menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari sehingga 16 Oktober dan memantau kesihatan masing-masing.

Menurut Bernama, mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh perdana menteri dihadiri, antaranya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri-menteri berkaitan turut hadir bagi membincangkan perkembangan terkini wabak tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan hadir.

Categories
AGENDA NASIONAL

Geran khas untuk peniaga, tawar bantuan RM3,000

SHAH ALAM, 23 SEPT: Permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) dibuka kepada peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mendapatkan bantuan RM3,000, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia dibuka mulai 1 hingga 31 Oktober bagi memastikan peniaga mikro yang terkesan dengan penularan Covid-19 mendapat bantuan sewajanya.

“Kerajaan sebelum ini telah menyediakan GKP khusus untuk membantu mereka meringankan beban kewangan akibat penularan Covid-19 namun ada peniaga tidak sempat membuat permohonan serta tidak menepati syarat kelayakan.

“Untuk memastikan lebih ramai peniaga mikro yang layak tetapi masih belum berkesempatan mendapatkannya, kerajaan bersetuju untuk membuka semula permohonan,” katanya dalam Perutusan Khas Kita Prihatin di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata bayaran kepada pemohon yang layak akan dibuat mulai 25 November.

Categories
AGENDA NASIONAL

Program Subsidi Upah 2.0 diperkenal bantu syarikat terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu syarikat yang terjejas susulan penularan Covid-19.

Perdana menteri berkata peruntukan RM2.4 bilion disediakan bagi tujuan tersebut yang bakal memanfaatkan seramai 1.3 juta pekerja.

“Pertama, subsidi upah diberi kepada majikan yang masih terjejas serta menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lalu.

“Kedua, ia disalurkan hingga tiga bulan pada kadar RM600 sebulan sehingga maksimum 200 pekerja dan permohonan dibuka bermula 1 Oktober hingga 31 Disember,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Kita PRIHATIN.

Beliau berkata Program Subsidi Upah 2.0 dibuka untuk syarikat yang berdaftar dengan PERKESO hingga 31 Ogos lalu.

“Bagi permohonan baharu yang tidak pernah menerima bantuan di bawah Program Subsidi Upah sebelum ini, mereka akan layak menerima sehingga enam bulan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tidak terburu-buru buka sempadan negara

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak akan terburu-buru membuka sempadan negara.

Beliau berkata sebaliknya kawalan sempadan akan terus diperketat termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang tanpa izin bagi mengekang wabak Covid-19.

Perdana Menteri berkata walaupun kawalan sempadan negara yang ketat menimbulkan sedikit kesukaran khususnya kepada rakyat yang mempunyai urusan di luar negara, tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara daripada wabak berbahaya itu.

“Kita perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia,” katanya dalam perutusan khas situasi semasa Covid-19 yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, malam ini.

Sempadan negara masih ditutup kecuali untuk tujuan perniagaan termasuk pelaburan dan pendidikan dengan syarat-syarat pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) tertentu yang ketat.

Perdana Menteri berkata sebanyak 1,017 pelawat dari luar negara dikesan positif Covid-19 sepanjang tempoh 3 April sehingga 15 Sept.

Beliau berkata situasi Covid-19 di negara luar pula menunjukkan terdapat beberapa negara yang kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan pandemik itu.

Tegasnya, perkara sama boleh berlaku di Malaysia jika rakyat leka dan memandang remeh penularan virus berbahaya itu di peringkat global.

Muhyiddin berkata selain tindakan yang diambil kerajaan, amalan norma baharu kehidupan oleh rakyat merupakan faktor amat penting dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

“Saya berharap kita semua akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak Covid-19. Ingatkan diri kita supaya terus membudayakan amalan norma-norma baharu kehidupan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: PKP semula jika kes Covid-19 naik mendadak

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan semula sekiranya kes Covid-19 dalam negara meningkat dengan mendadak.

Beliau berkata jika PKP dilaksanakan semula, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

“Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuatkuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Nauzubillah,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan situasi semasa Covid-19 di dalam negara, malam ini.

Perutusan itu disiarkan secara langsung di beberapa rangkaian televisyen tempatan dan media sosial.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang mencatatkan kes baharu yang tinggi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan situasi semasa Covid-19 di dalam negara pada 15 September 2020. Foto BERNAMA

Justeru, Muhyiddin mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan tidak leka terhadap peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup muka serta pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang masih berkuat kuasa agar penularan wabak Covid-19 dapat dikawal.

Muhyiddin memberi gambaran situasi pandemik Covid-19 secara global yang masih menular secara aktif tidak terkecuali terjadi di negara ini.

Katanya, kes harian Covid-19 yang direkodkan di Malaysia adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar dan memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.

“Berdasarkan dapatan yang diperolehi oleh para penyelidik dari seluruh dunia dan trend kes yang dilaporkan, jangkitan dijangka berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama.

Ini mengambil kira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 secara berkesan memerlukan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan, Dengan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 pada ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri meluah kebimbangan dengan situasi semasa Covid-19 di negara ini kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang agak ketara sejak kebelakangan ini.

Orang ramai yang menerima notis menjalani saringan Covid-19 di pekarangan Wad Psikiatrik Lama, Hospital Alor Setar, Kedah pada 14 September 2020. Foto BERNAMA

“Walaupun negara kita setakat ini telah berjaya menangani penularan wabak Covid-19 dengan baik, saya berasa agak bimbang kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif yang agak ketara sejak kebelakangan ini. Sepanjang tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan.

“Peningkatan ini turut menyaksikan tiga daerah yang merekodkan 41 kes atau lebih sepanjang tempoh 14 hari yang lepas. Daerah-daerah yang dikategorikan sebagai merah ini ialah Kota Setar di Kedah dan Tawau serta Lahad Datu di Sabah,” katanya.

Muhyiddin berkata sementara itu, jumlah keseluruhan pelawat dari luar negara yang dikesan positif Covid-19 sepanjang tempoh 3 April sehingga hari ini adalah seramai 1,017 orang.

Beliau seterusnya berkongsi data-data penting termasuk 1,395,578 individu telah disampel, menjadikan kadar ujian Covid-19 yang dijalankan di Malaysia adalah 41.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

Beliau berkata secara keseluruhannya terdapat 108 kluster yang telah dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan daripada jumlah itu, 11 kluster masih aktif manakala baki 97 kluster telah diisytiharkan tamat.

“Sehingga kini, Kluster Seri Petaling yang telah diisytiharkan tamat pada 8 Julai 2020 merupakan kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini. Kluster ini telah merekodkan sejumlah 3,375 kes positif selepas seramai 42,023 individu disaring,” katanya.

-BERNAMA