Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia dan Indonesia setuju guna dron kawal sempadan

JAKARTA, 10 DIS: Malaysia dan Indonesia pada asasnya bersetuju dengan penggunaan teknologi seperti dron bagi mengawasi keselamatan dan pemantauan jenayah sempadan kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perjanjian persempadanan Malaysia dan Indonesia yang akan diperbaharui tahun hadapan, akan menjurus kepada penggunaan teknologi bagi mengawal keselamatan sempadan, dalam menangani isu sempadan demi kepentingan bersama.

“Memorandum persefahaman berkaitan persempadan antara kedua-dua negara sedang diperhalusi dan akan ditandatangani tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhyiddin dalam lawatan kerjanya ke Indonesia sejak semalam.

Hari ini beliau mengadakan pertemuan bersama Menteri Tenaga Kerja (Sumber Manusia) Indonesia, Ida Fauziyah dan Menteri Hukum (Undang-undang) dan Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly, bagi membincangkan isu kepentingan bersama.

Mengulas pertemuannya bersama Yasonna, Muhyiddin berkata Indonesia bersetuju untuk melaksanakan penggunaan dron dan penggunaan teknologi lain dalam memantau, dan penguatkuasaan sempadan kedua- dua negara.

Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam menangani isu jenayah sempadan seperti penyeludupan, penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan jenayah merentas sempadan.

“Sempadan (darat) Malaysia dan Indonesia (contohnya, di Sabah dan Sarawak dan Kalimantan) adalah lebih 1,000km, dan sudah tentulah menyukarkan pengawasan dan memerlukan penggunaan teknologi,” katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Ida Fauziyah, Muhyiddin berkata antara isu yang dibangkitkan adalah berkenaan kemasukan pekerja tanpa izin.

“Malaysia dan Indonesia sepakat, isu kemasukan pendatang tanpa izin perlu ditangani secara bersama dan serius,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia-Indonesia teliti program tukar banduan

JAKARTA, 10 DIS: Malaysia dan Indonesia sedang meneliti pelaksanaan pertukaran banduan bagi kedua-dua negara, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam pertemuan baru-baru ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pertukaran (penghantaran) banduan Malaysia dan Indonesia ini dibangkitkan Presiden Jokowi menerusi program pengurusan kepenjaraan kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini dalam rangka lawatan kerjanya ke Indonesia sejak semalam.

Pertukaran banduan itu bermaksud penghantaran pulang banduan kedua-dua negara untuk ditempatkan di penjara di negara masing-masing.

Muhyiddin berkata dalam pertemuannya bersama Menteri Hukum (Undang-undang) dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly, Indonesia bersedia melaksanakan program itu namun perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perundangan.

“(Indonesia) belum ada undang-undang atau punca kuasa untuk melaksanakan program itu dan pegawai- pegawai kementerian berkaitan akan memperhalusi cadangan pelaksanaannya nanti,” kata Muhyiddin.

Ketika ini terdapat 300 rakyat Malaysia di penjara Indonesia, manakala lebih 5,000 rakyat Indonesia ditempatkan di penjara di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji guna dron kawal keselamatan sempadan

JAKARTA, 10 DIS: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan penggunaan dron di kawasan perairan Sabah dan kawasan sempadan, bagi menangani isu-isu keselamatan.

Beliau berkata, keadaan di perairan Sabah misalnya, yang pernah berlaku kejadian culik dan jenayah sempadan memerlukan satu tindakan pengawasan lebih efisyen serta penuh siap siaga.

“Di perairan Sabah (misalnya), sempadan dengan negara jiran (Filipina dan Indonesia) terlalu panjang, lebih 1,000km. Kita boleh gunakan dron di kawasan sempadan, ini sedang kita fikirkan,” katanya dalam program majlis ramah mesra bersama warga Malaysia di Indonesia, di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, malam tadi.

Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Indonesia bermula semalam, dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama strategik dengan Indonesia berkaitan isu-isu berkepentingan bersama kedua- dua negara.

Hampir 500 rakyat Malaysia hadir pada majlis ramah mesra itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen teliti isu pelancong China, India tinggal lebih masa

BUKIT KAYU HITAM, 3 DIS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang berat isu jumlah yang tinggi melibatkan pelancong dari China dan India yang tinggal melebihi tempoh di negara ini, seperti yang dinyatakan dalam laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah menyerahkan perkara berkenaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk diteliti.

“Ada perkara boleh dijelaskan… Yang penting bila sebut ada (pelancong) tak balik, duduk lebih masa, JIM akan susun (kesan) nak tahu di mana mereka berada.

“Tindakan berdasarkan undang-undang imigresen akan dikenakan terhadap mereka, kita nak pastikan bila seseorang berada di negara ini, mesti berada dalam tempoh dibenarkan oleh JIM,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kepada KDN di sini, hari ini.

Laporan audit semalam menyebut tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lepas.

Menurut laporan itu, berdasarkan data ketibaan sepanjang tempoh berkenaan, daripada 79,799 warga China, didapati sebanyak 76,258 tidak mempunyai rekod tarikh keluar dari negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, angka mengenai warga China itu adalah kurang tepat kerana mengikut rekod pihaknya jumlah sebenar pelancong China yang masih belum keluar ialah hanya 18,341 individu.

“Perbezaan ini berlaku mungkin disebabkan mereka masuk menggunakan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) iaitu kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China dan India.

“Kemudian mereka keluar melalui sistem biasa, rekod pas lawatan sosial biasa, ada kelemahan dari segi sistem teknikal, sebab itu ada perbezaan,” katanya yang berada pada majlis sama.

Khairul Dzaimee berkata, sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Audit Negara dalam masa terdekat untuk mengemas kini jumlah berkenaan.

Sementara itu, mengenai kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, projek bernilai RM385 juta itu dimulakan pada 14 Jun 2014 dan siap sepenuhnya pada 25 Jun lepas dan beroperasi sepenuhnya pada Ogos.

Kompleks itu antaranya dilengkapkan dengan pagar keselamatan jenis ‘anti-climb’ di keseluruhan kawasannya dan dibantu dengan kira-kira 300 unit kamera litar tertutup berdefinisi tinggi dan mesin pengimbas kargo juga dipasang di laluan kenderaan berat bagi memastikan pemeriksaan lebih rapi dijalankan ke atas semua barangan yang memasuki negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia-China mahu tingkat kerjasama tangani jenayah siber

BANGKOK, 28 NOV: Malaysia dan China mahu mempertingkatkan kerjasama untuk menangani jenayah siber rentas sempadan yang semakin berleluasa dan membimbangkan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerjasama dua hala untuk membendung jenayah bukan tradisional penting untuk mengurangkan kerugian.

“Dalam perbincangan tadi, kita minta supaya Malaysia dan China bekerjasama untuk mengekang perkara ini (jenayah siber) yang memerlukan inisiatf dan langkah tertentu,” katanya kepada Bernama.

Sebelum itu, Muhyiddin mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong di luar sesi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan mesyuarat berkaitan di Bangkok.

Antara isu yang dibangkit dalam pertemuan itu termasuk kerjasama dua hala khususnya dalam menangani penipuan dalam talian, judi haram dan scam.

Baru-baru ini, Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China dan menahan 680 warga China yang menjalankan operasi aktiviti berkenaan di Cyberjaya.

Sindiket yang beroperasi sejak enam bulan lalu itu menjalankan aktiviti penipuan yang menyasar penduduk China sebagai mangsa.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Menteri Keselamatan Awam To Lam.

Beliau berkata Malaysia dan Vietnam akan bekerjasama untuk menangani isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia.

“Saya sudah membangkitkan soal pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dan meminta bantuan dan kerjasama agar perkara ini dapat dikekang atau dihapuskan.

“Isu ini besar di Malaysia. Beberapa operasi sudah dilancarkan dan ramai nelayan Vietnam ditangkap tetapi isu ini masih berterusan. Sehubungan itu, kita minta kerjasama Vietnam agar perkara ini dapat ditangani,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin mahu penubuhan kumpulan kerja bersama Malaysia dan Vietnam dapat dipercepatkan supaya agenda penting khususnya dalam bidang keselamatan dan jenayah rentas sempadan dapat diuruskan dengan lebih terancang.

Sementara itu, Muhyiddin berkata AMTCC adalah landasan penting untuk menangani jenayah tradisional dan bukan tradisional secara positif dan berkesan.

“Tiada sebuah negara dapat menyelesaikan jenayah secara bersendirian kerana ia tidak hanya berlaku di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

“ASEAN dan tiga rakan dialog – China, Jepun dan Korea Selatan akan mempergiatkan kerjasama untuk menangani jenayah rentas sempadan. Kita memerlukan kerjasama rapat.

“Kita memerlukan langkah-langkah susulan dalam pelbagai bentuk agar dapat bersama menghadapi isu besar secara bersama,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin: Polis siasat pelbagai aspek kes bendera

BANGKOK, 27 NOV: Polis menyiasat isu bendera Malaysia dengan bintang pecah lima daripada pelbagai aspek mengikut Kanun Keseksaan dan tindakan sewajarnya akan diambil, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata insiden paparan Jalur Gemilang yang hanya mempunyai lima bucu bintang itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun pihak penganjur telah memohon maaf.

“Kita tidak mahu hal ini terus berlaku dan dilakukan oleh sesiapa sekali pun.

“Pihak polis sedang menyiasat daripada beberapa sudut berdasarkan peruntukan (undang-undang) yang boleh diguna pakai… kita tunggu hasil siasatan dan tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Muhyiddin berada di sini kerana menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berkaitan Jenayah Rentas Negara (AMMTC) ke-13.

Sejak Isnin, satu video berdurasi seminit 42 saat menunjukkan Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima dipaparkan di skrin ketika majlis pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak bawah 15 tahun anjuran MABA tular di media sosial.

Paparan bendera Malaysia yang silap itu ditayangkan ketika para hadirin sedang menyanyikan lagu Negaraku pada majlis pembukaan tersebut telah mendapat pelbagai kecaman dari netizen.

Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia yang salah ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 itu.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan menyifatkan inisiden itu ‘sangat memalukan’ dan kementeriannya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu sebelum memutuskan tindakan yang selanjutnya.

Presiden MABA Datuk Lua Choon Han berkata pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan itu. Kontraktor produksi siaran langsung pembukaan kejohanan itu juga ditamatkan perkhidmatan setelah didapati cuai memaparkan Jalur Gemilang yang salah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tidak pernah benar abu Chin Peng dibawa pulang

BANGKOK, 27 NOV: Kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa sahaja perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Persoalannya adakah pihak terbabit telah memaklumkan perkara itu atau ia diseludup masuk ke negara kita dengan tidak diketahui pihak berkuasa.

“Yang pasti, kita tidak mengetahui langsung (abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia). Kita hanya tahu selepas keluarga atau sahabat handai membuat kenyataan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa pihak telah membuat laporan polis dan perkara itu akan disiasat secara terperinci dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kita tidak mahu melihat isu ini berbangkit dan menimbulkan kemarahan terutamannya terhadap keluarga mangsa keganasan komunis, sama ada secara langsung dengan Chin Peng atau gerakan komunis pada zaman darurat dahulu,” katanya.

Muhyiddin berada di sini untuk ​​​​​​​menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

Semalam, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan pada ketika itu telah memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Lima hari terakhir bakal saksi perubahan pengundi

PONTIAN, 9 NOV: Lima hari terakhir kempen menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini dijangka menyaksikan perubahan besar dari segi sikap pengundi di kawasan parlimen itu, sekali gus menjadi penentu kejayaan kepada parti yang bertanding.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata meskipun ada cakap-cakap menyatakan Barisan Nasional (BN) boleh memenangi kerusi parlimen itu, ia tidak boleh dinilai melalui kehadiran kepada ceramah semata-mata.

Sebaliknya, PAKATAN ada cara tersendiri untuk menilai sokongan rakyat kepada pakatan berkenaan, kata beliau.

“Semua rakan dalam PAKATAN yang bekerja, mereka tahu…situasi agak dinamik. Dalam mana-mana pilihan raya, makin hampir dengan tarikh nak mengundi, situasi bertambah lebih dinamik.

“Hari ni begini, pagi lain, petang lain, malam lain. Lima hari yang terakhir ni akan beri satu impak besar dari segi perubahan sikap pengundi terhadap parti yang bertanding,” kata Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perjalanan kempen BN yang didakwa lebih positif.

Justeru itu, beliau berharap dengan penglibatan pimpinan tertinggi PAKATAN termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bakal turun padang, akan dapat memberi ruang dan peluang untuk semua pemimpin menjelaskan secara terperinci mengenai hal berkaitan kerajaan PAKATAN termasuk di peringkat negeri.

“Jadi ini boleh meyakinkan pengundi tentang apa yang kita akan lakukan untuk tempoh yang akan datang,” kata Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto BERNAMA

PRK Tanjung Piai menyaksikan calon PAKATAN, Karmaine Sardini menerima tentangan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ketika ditanya mengenai dakwaan masih ada jarak antara pegawai kerajaan dan kerajaan PAKATAN, Muhyiddin mengakui perkara itu masih wujud memandangkan kerajaan PAKATAN baru memerintah selama setahun setengah dan memerlukan masa.

“Kita mengambil alih sebuah kerajaan yang mana telah terbentuk terbentuk di bawah BN selama 61 tahun. Dalam sistem kerajaan, ada pegawai kerajaan dalam jabatan awam dan mereka ini agak sudah biasa dengan dasar yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Jadi sebab itu, inilah perkara yang sedang kita uruskan supaya mereka faham dasar kerajaan PH. (Bagaimanapun) Mereka harus komited, kerana yang diamalkan dalam sistem demokrasi ini, pegawai kerajaan mesti taat pada kerajaan semasa.

“Tugas pegawai kerajaan adalah menguruskan pentadbiran kerajaan. Adalah tidak adil, kalau mereka telah diberi tanggungjawab itu tetapi tidak menyempurnakan,” katanya.

Justeru itu, Muhyiddin berharap agar ia dapat diselesaikan segera, sekali gus membantu kepada proses pelaksanaan dasar yang lebih berkesan.

“Yang penting bagaimana anggota pentadbiran atau pegawai kerajaan segera mewujudkan jalinan kerjasama. Saya fikir pimpinan kerajaan PH biasa bersikap terbuka,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN berusaha selesai rasa tidak puas hati semua kaum

PONTIAN, 9 NOV: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sentiasa berusaha menyelesaikan masalah semua kaum dan rasa tidak puas hati mereka, kata Timbalan Presiden PAKATAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden BERSATU itu berkata, bagi menyelesaikannya, kerajaan bagaimanapun memerlukan sokongan rakyat untuk meneruskan peranannya itu.

“Saya tahu masyarakat Tiong Hua tak berapa puas hati. Saya cakap dengan orang Melayu mereka juga beritahu rasa tak puas hati dan orang India pun turut tak puas hati,” katanya pada majlis makan malam bersama persatuan-persatuan Cina Pontian di Dewan Hai Kee di sini malam tadi.

Katanya, jika bercakap mengenai masalah, tidak akan ada orang yang akan rasa puas hati dengan apa keadaan sekalipun, tetapi yang penting adalah mencari jalan untuk selesaikan masalah.

“Sebab itu, saya hendak jelaskan di sini sempena hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti, kita kena memikirkan supaya dapat memilih calon yang berupaya menjadi wakil rakyat dan boleh tolong kita,” katanya.

Beliau berkata, jika rakyat membuat keputusan untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada pilihan raya itu, beliau percaya Wee tidak dapat membantu rakyat, kerana bukan lagi berada dalam kerajaan.

“Sebab itu, dalam PRK ini kita letakkan calon Haji Karmaine Sardini. Ini calon kita daripada PAKATAN. Walaupun beliau daripada BERSATU, dia mewakili semua parti…KEADILAN, DAP, AMANAH bermakna bergabung dalam satu,” katanya.

Katanya, dengan pemilihan Karmaine sebagai wakil rakyat, dia mampu memudahkan pelbagai urusan kerana negeri Johor dan di peringkat pusat berada di bawah pentadbiran sama.

Majlis berkenaan dihadiri kira 1,000 ahli persatuan terbabit.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PAKATAN pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, calon PAKATAN berdepan pertandingan enam penjuru melawan Wee yang mewakili BN, calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon BEBAS, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwah luar diperiksa sebelum dibenar berceramah

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Semua pendakwah luar yang datang ke negara ini untuk mengadakan ceramah keagamaan akan diteliti dan diperiksa latar belakang mereka terlebih dahulu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak kementerian turut melakukan proses semakan dengan badan-badan keagamaan berkaitan yang terdapat dalam negara bagi memastikan kumpulan pendakwah tersebut bebas daripada fahaman songsang.

“Sesiapa sahaja yang datang ke sini, walau apa bentuk ceramah sekalipun, kita pantau. Pendakwah dalam kalangan Islam, ada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri yang boleh berkuasa dan kalau mereka (pendakwah) tiada tauliah, tidak akan dibenarkan. Kalau pendakwah bukan Islam pun kita pantau juga,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas prosedur operasi standard (SOP) kemasukan paderi, pastor dan sami bagi kuil Hindu dan Granthi dari Gudhwara, Muhyiddin berkata, Jabatan Imigresen mengeluarkan Pas Lawatan (Ikhtisas) bagi kategori mubaligh kepada warganegara asing untuk tempoh 12 bulan dan boleh dilanjutkan sehingga tempoh maksimum 36 bulan.

Mengenai pengeluaran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) kepada pelarian, Muhyiddin berkata, kementerian sedang meneliti semula proses pengeluaran kad itu supaya ia hanya boleh dikeluarkan selepas mendapat kelulusan dan kebenaran Jabatan Imigresen.

“Sebenarnya mereka yang datang ke negara ini seperti Rohingya tidak ada dokumen langsung dan dari sudut antarabangsa dianggap stateless person (tiada kewarganegaraan) tetapi bila dah masuk sini (Malaysia), mereka dianggap pelarian oleh UNHCR dan mereka keluarkan kad itu,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia bukan negara anggota Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967 dan tidak tertakluk kepada apa-apa kewajipan di bawah konvensyen itu termasuk menyediakan pekerjaan kepada pelarian.

Bagaimanapun, atas dasar perikemanusiaan, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara sedang menimbang untuk memberi peluang kepada pemegang kad UNHCR bekerja dan menjalankan aktiviti ekonomi bagi tujuan menyara diri sebelum mereka dihantar ke negara ketiga.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, dasar dekriminalisasi penyalahgunaan dadah perlu dikaji dengan teliti dan terperinci sebelum boleh dilaksanakan.

Katanya, ia melibatkan perubahan besar dari segi dasar dan undang-undang dadah sedia ada, selain sebarang perubahan perlu mematuhi Konvensyen Dadah Antarabangsa agar tidak bercanggah dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kajian semula berhubung program pemulihan terutama yang melibatkan penagih tegar sentiasa dilaksanakan bagi memastikan ia berkesan dan sesuai dengan perubahan semasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kira-kira RM410 juta kerugian direkod akibat jenayah scammer

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kerugian berjumlah RM410.6 juta membabitkan 8,489 kes direkodkan berlaku sepanjang tahun lepas hingga Ogos lepas (2019) akibat kegiatan jenayah scammer.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam tempoh itu 7,833 kes melibatkan pinjaman tidak wujud juga dilaporkan berlaku melibatkan kerugian berjumlah RM71.7 juta.

“Menyedari pelbagai kes scammer yang semakin berleluasa, kerajaan berusaha menangani isu ini termasuk dengan melancarkan portal semakan ‘mule account’ (akaun palsu menggunakan identiti yang dimanipulasi) secara dalam talian melalui laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM juga telah mewujudkan akaun Facebook “Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police” untuk berkongsi maklumat berkenaan modus operandi kes-kes jenayah siber atau komersial untuk memberi peringatan kepada masyarakat mengenai kegiatan keji ‘scammer’.

“Kita juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik akaun bank rakyat tempatan yang telah memberi pinjam akaun bank mereka kepada penjenayah selain turut mewujudkan kerjasama dengan institusi kewangan dan Bank Negara untuk mengesan dan membuat tangkapan terhadap pemilik keldai akaun itu,” katanya.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PH-Sabak Bernam) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah kes ‘scammer’ termasuklah Macau Scammer, Love Scammer dan tawaran pinjaman yang tidak wujud di negara ini bagi tempoh 2018 dan 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan tegas anggota terbabit kegiatan seludup di sempadan

PONTIAN, 18 OKT: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap anggota keselamatan jika didapati terbabit dalam kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar, Perlis.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu penyeludupan di sempadan negara memang disedari bukan perkara baharu, yang agaknya sudah lama berlaku.

“Sekarang ini kalau ada maklumat baharu yang terkini yang disediakan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan gambar, video yang jelas dan boleh dicam polis.

“Maka kita boleh ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini hari ini.

Sambil berterima kasih kepada SPRM atas pendedahan berkenaan, Muhyiddin berkata penyeludupan merupakan satu daripada cabaran besar yang dihadapi anggota keselamatan terutamanya di pintu masuk negara memandangkan sempadan negara ini amat luas.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai supaya siasatan serta bukti jelas berhubung penyeludupan boleh diperoleh bagi membolehkan tindakan mengikut undang-undang dapat dilaksanakan kepada mereka yang terbabit.

Ditanya adakah perlu diwujudkan pasukan petugas susulan pendedahan isu penyeludupan itu, beliau berkata ia tidak perlu memandangkan ia merupakan sebahagian tugas anggota keselamatan, namun, kementeriannya akan meneliti fakta serta data dikemukakan SPRM untuk tindakan selanjutnya.

“Kalau ada anggota terbabit, kami tidak boleh kecualikan. Undang-undang tidak mengenal sama ada pegawai atau memang penyeludup. Kalau dia bersubahat sekali pun dan ada bukti, memang kami akan ambil tindakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau tahu ada kalanya soal logistik atau sebagainya menjadi masalah berbangkit, namun, pihaknya tidak mahu ia menjadi dalih atau sebab penguatkuasaan di sempadan tidak berkesan.

“Yang berlaku ini kadang-kadang ialah sindiket terancang. Yang penting adalah bagaimana kita nak kukuhkan organisasi,” katanya.

Hari ini, SPRM mendedahkan klip video berdurasi 11 minit berhubung kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar.

Klip video antara 2017 hingga Mei 2019 itu antara lain menunjukkan penyeludup memotong pagar sempadan dan membawa keluar barang bersubsidi, selain anggota keselamatan kelihatan tidak mengambil tindakan walaupun berlaku di depan mata.

-BERNAMA