Categories
AGENDA NASIONAL

Nasib banduan tamat hukuman antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Persoalan mengenai jumlah banduan yang keluar penjara selepas tamat hukuman dari 2011 hingga 2021 dijangka ditanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) kepada Menteri Dalam Negeri yang ingin tahu usaha kerajaan dalam memastikan bekas banduan itu diterima oleh keluarga dan masyarakat serta mempunyai keupayaan untuk menyara hidup tanpa diskriminasi.

Turut terkandung dalam sesi itu soalan P Prabakaran (PH-Batu) kepada Menteri Dalam Negeri mengenai jumlah rakyat Malaysia bukan Bumiputera dan Orang Asli yang sedang menjalani latihan atau bekerja sebagai Konstabel Polis Diraja Malaysia hasil program pengambilan khas untuk golongan itu.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai program terkini kerajaan melibatkan advokasi pengguna selaras dengan perubahan tingkah laku serta trend pembelian akibat pandemik Covid-19.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan dan Kementerian Luar Negeri.

Semalam, sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi hari pertama melibatkan Jabatan Perdana Menteri dengan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebanyak RM6.03 bilion menerusi undi suara selepas mendapati lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Penjara Reman hanya libat banduan setakat ini

GEORGE TOWN, 9 OKT: Kesemua kes positif Covid-19 yang direkodkan Penjara Reman Pulau Pinang setakat ini melibatkan banduan dengan enam merupakan banduan satu sel dengan lelaki yang meninggal dunia pada 5 Okt lalu, kata Pengarahnya Mohamed Jusoh Idris.

Beliau juga berkata setakat ini tiada petugas penjara itu yang disahkan positif jangkitan tersebut.

“Bagaimanapun masih ada petugas yang belum menerima keputusan mereka, manakala banduan yang dijangkiti pula sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang.

“Kami harap tindakan pantas mengasingkan serta kuarantin mereka yang kami laksanakan sebelum ini dapat membendung penularan wabak tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya proses saringan Covid-19 dan sanitasi masih dijalankan di penjara berkenaan.

Beliau juga berkata buat masa ini operasi penjara berjalan seperti biasa, dikendalikan oleh 320 petugas.

Setakat semalam, Kluster Penjara Reman dilapor merekodkan lapan kes positif termasuk seorang, iaitu kes indeks, yang meninggal dunia pada Isnin lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,126 kes aktif Covid-19 babit banduan, kakitangan penjara

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Sebanyak 1,126 kes aktif Covid-19 melibatkan banduan dan kakitangan penjara dicatatkan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata penularan dalam kalangan banduan itu bermula di Penjara Tawau, Sabah apabila seorang banduan yang baharu diterima dari Lahad Datu disahkan positif Covid-19 pada 2 Oktober lepas.

“Kluster seterusnya pula dikesan di Penjara Alor Setar pada 29 September lepas dan Jabatan Penjara mengambil serius jumlah peningkatan kes positif Covid-19 di penjara itu, yang kini melibatkan jumlah terbesar dalam kalangan banduan di sebuah penjara.

“Berikutan itu, Jabatan Penjara mengambil segala langkah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak itu dalam segala aspek penugasan kakitangan serta penjagaan banduan di seluruh negara,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya petang semalam, berkata daripada 688 kes penularan dalam negara semalam sebanyak 394 kes dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara Alor Setar. Negara semalam mencatatkan 691 kes baharu Covid-19.

Zulkifli berkata bagi memperketat SOP di penjara, beberapa langkah turut dilaksanakan melalui Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara.

“Bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara mengambil langkah tambahan dan drastik seperti pesalah kes dadah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem Program Latihan Khidmat Negara yang diwartakan sebagai penjara sementara.

”Jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 banduan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyeru orang awam di luar penjara agar bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan adalah dalam kawasan larangan yang tertutup dan dikawal ketat.

“Orang awam diminta memberikan keyakinan penuh terhadap langkah segera yang diambil pihak Jabatan Penjara di bawah kawal selia ketat daripada pihak KKM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Air mata banduan iringi takbir raya

MARANG, 26 MEI: Walau tabah dan kental jiwa seseorang banduan, air mata mereka tetap tumpah tatkala mendengar takbir Hari Raya Aidilfitri, saban tahun.

Pengalaman itu dikongsi Penguasa Penjara Marang, Ahmad Nazri Mohamad kepada Bernama baru-baru ini, setelah berkhidmat selama 32 tahun dan 16 kali menyambut Syawal bersama banduan.

Katanya, hari raya pertama adalah episod paling sayu terutama kepada banduan baharu kerana mereka tidak pernah terkurung dan terpisah dengan keluarga, namun banduan lama juga adakala berada dalam situasi sama kerana takbir hari raya membangkit ‘aura’ berbeza.

“Kebiasaan kita melihat mereka bergurau, beriadah dan sebagainya tetapi pada hari raya, terutama pada pagi raya apabila mendengar takbir raya berkumandang, kita akan dapat lihat wajah yang sayu. Masing-masing akan teringat pada keluarga, isteri dan anak-anak.

“Kerinduan itu tidak boleh dinafi walaupun disembunyikan. Sebagai pegawai penjara kita bertanggungjawab untuk menceriakan mereka supaya ia tidak memberi kesan kepada keselamatan,” katanya.

Menurut Ahmad Nazri, dalam tempoh perkhidmatan selama 32 tahun tersebut, beliau telah menyambut hari raya di dua buah penjara berasingan iaitu di Penjara Marang dan Penjara Simpang Renggam, Johor.

Kebiasaannya pada hari raya pertama, banduan beragama Islam akan dibawa ke surau untuk bertakbir dan solat sunat hari raya sebelum menjamah sarapan serta kembali ke tempat tahanan masing-masing.

Tidak seperti tahun sebelum ini, banduan kini tidak dibenarkan menerima kunjungan kaum keluarga ekoran langkah pencegahan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Biasanya pada pagi raya itu mereka (banduan) akan datang berkongsi cerita. Ketika itulah kita (pegawai) akan memainkan peranan dan memberi nasihat bahawa bukan semua orang dapat merasa gembira dan ada masa kita akan alami masa sukar,” katanya.

Sementara itu, salah seorang banduan, Azizul, 25, berkata tahun ini memberi pengalaman ketiga kepadanya dalam menyambut Aidilfitri di penjara, namun takbir raya tetap membuat hatinya pilu dan teringat kenangan bersama keluarga.

Azizul berkata walau bagaimana sedih sekalipun, dia tetap perlu menerima hakikat bahawa ia adalah realiti yang harus dihadapi kerana hukuman yang perlu dijalaninya masih panjang iaitu selama 56 tahun dan 23 sebatan ekoran merogol teman wanitanya yang berstatus juvana.

“Setiap kali mendengar takbir raya, air mata mesti mengalir. Teringat pada arwah ayah…padahal masa di luar (sebelum masuk penjara), ia bagai suatu perkara biasa. Saya betul-betul sedih.

“Di sini saya banyak mengaji al-Quran dan belajar agama. Saya rasa itu sahaja yang dapat meredakan perasaan kesal. Saya betul-betul insaf…tak mahu lakukan kesalahan ini lagi,” katanya dalam nada sebak dan sempat menyatakan mahu belajar membuat songket di penjara.

Azizul yang mempunyai fizikal dan raut wajah kacak itu berkata setiap kali ibunya berkunjung ke penjara, dia akan diingatkan untuk solat dan berkelakuan baik serta reda dengan apa yang telah berlaku.

Kata-kata itu menjadi pegangan hidupnya kini dan dia turut menasihati orang lain supaya menjauhi pergaulan bebas kerana ia mampu menjadi punca melakukan kesilapan sepertimana dirinya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia-Indonesia teliti program tukar banduan

JAKARTA, 10 DIS: Malaysia dan Indonesia sedang meneliti pelaksanaan pertukaran banduan bagi kedua-dua negara, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam pertemuan baru-baru ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pertukaran (penghantaran) banduan Malaysia dan Indonesia ini dibangkitkan Presiden Jokowi menerusi program pengurusan kepenjaraan kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini dalam rangka lawatan kerjanya ke Indonesia sejak semalam.

Pertukaran banduan itu bermaksud penghantaran pulang banduan kedua-dua negara untuk ditempatkan di penjara di negara masing-masing.

Muhyiddin berkata dalam pertemuannya bersama Menteri Hukum (Undang-undang) dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly, Indonesia bersedia melaksanakan program itu namun perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perundangan.

“(Indonesia) belum ada undang-undang atau punca kuasa untuk melaksanakan program itu dan pegawai- pegawai kementerian berkaitan akan memperhalusi cadangan pelaksanaannya nanti,” kata Muhyiddin.

Ketika ini terdapat 300 rakyat Malaysia di penjara Indonesia, manakala lebih 5,000 rakyat Indonesia ditempatkan di penjara di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permaisuri Agong titip nasihat kepada bekas banduan

PEKAN, 14 JULAI: “Tuanku permaisuri menasihatkan saya supaya menjaga rumahtangga, jaga isteri dan kelakuan. Jangan ulang kesilapan lama kerana ini peluang kedua saya untuk membaiki diri”.

Itu kata bekas penghuni Penjara Penor di sini, dikenali sebagai Mat Ngek, 40, yang menerima ucapan tahniah daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tunku Azizah berkenan menzahirkan ucapan itu semasa bertemu Mat Ngek yang baru melangsungkan perkahwinan semalam, dan isteri, Leha, 54, semasa mencemar duli melawat Pusat Tenun Pahang Diraja, Kampung Budaya Pulau Keladi di sini hari ini, tempat Mat Ngek bekerja.

“Tuanku juga berkenan berjumpa dengan isteri yang datang menemani saya hari ini. Baginda juga berkenan menyampaikan kurniaan kepada kami dan memberikan nasihat kepada kami untuk sabar melayari ujian berumahtangga.

“Baginda berpesan supaya isteri jangan mudah cemburu kerana di sini pekerjanya ramai wanita. Jasa tuanku dengan saya begitu banyak… sejak dari dalam penjara lagi kerana kemahiran menenun dipelajari di Penjara Penor,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mat Ngek dan Leha melangsungkan perkahwinan di Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan dekat sini, setelah sebulan berkenalan di laman sosial Facebook sekitar hujung Mei lalu.

Anak jati Kuala Berang, Terengganu itu berkata dia mula bekerja di pusat tenun itu pada Februari lepas, selepas tamat menjalani hukuman penjara sejak 2012 kerana menyamun.

“Raja Permaisuri Agong menawarkan kerja kepada saya dan memang kebiasaan baginda berbuat demikian kepada bantuan yang baru dibebaskan. Mungkin kerana kami sudah mempunyai kemahiran selain baginda tahu mutu hasil kerja kami.

“Saya sendiri pernah menenun persalinan untuk perkahwinan anakanda saudara Tunku Azizah, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, persalinan bersiram bagi istiadat pertabalan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selain beberapa majlis negara.

“Bagaimanapun, orang sukar untuk percaya kerana status saya. Hendak mendapat kerja pun sukar, jadi lebih baik bekerja dengan Tunku Azizah. Secara tak langsung menjauhkan saya daripada perkara yang boleh menarik saya ke jalan lama,” katanya.

Mat Ngek berkata dia mengambil masa enam bulan untuk menguasai kemahiran menenun kerana ‘kosong’ dalam kraftangan itu semasa mula-mula menjejak kaki ke penjara.

Dia mengakui senang bekerja dengan Tunku Azizah kerana keperibadian baginda yang sering memberi semangat kepada banduan untuk membaiki diri dan tidak pernah sesekali memandang rendah kepada mereka.

“Baginda juga pemurah dan sering membawa makanan kepada kami. Ada masanya baginda menjamu kami dengan juadah yang dimasak sendiri selain menjadi kelaziman untuk baginda bertanya kepada kami jika ada makanan yang kami mahu,” katanya.

Terdahulu, Tunku Azizah berkenan mencemar duli ke Bengkel Tenun Pahang Diraja di Penjara Penor di sini, untuk menziarah hampir 60 banduan di situ yang kesemuanya kelihatan teruja menyambut ketibaan baginda.

Baginda yang ditemani puteri sulung Sultan Terengganu, Tengku Nadhirah Zahrah Tuanku Mizan, meluangkan masa selama hampir dua jam di situ untuk meninjau proses penghasilan kain tersebut.

Baginda juga dilihat meneliti hasil kerja dan menasihatkan seorang banduan yang baharu sebulan dibenarkan mengendalikan ‘kek’ (alat tenun) yang dilihat agak gementar kerana beberapa benang yang ditenunnya putus.

“Awak baharu ya? Belajar elok-elok. Banyakkan belajar supaya benang tak putus lagi,” titah baginda.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penjara Kajang lepas dua banduan 7 hari sambut Aidilfitri

KAJANG, 4 JUN: Penjara Kajang hari ini memberi pelepasan secara berlesen selama tujuh hari buat dua banduannya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abd Kadir Rais berkata, pelepasan itu adalah satu bentuk pemulihan banduan melalui penglibatan keluarga mereka.

Perasaan diterima semula dan berada di samping keluarga adalah satu bentuk sokongan yang penting buat banduan terutamanya apabila mereka cuba kembali semula ke pangkuan masyarakat.

“Kita perlu beri mereka peluang kedua. Esok apabila merasai sambutan Hari Raya bersama keluarga ia akan menggalakkan lagi mereka melakukan sikap baik tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu.

“Sokongan komuniti ini penting supaya banduan tidak kembali semula melakukan perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam sidang media pada majlis pelepasan kedua-dua banduan itu di sini, hari ini.

Pelepasan berlesen yang diberikan Jabatan Penjara itu mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995 yang merupakan keistimewaan hanya untuk banduan yang layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Antara syarat yang ditetapkan termasuk banduan perlu berkelakuan baik, telah menjalani hukuman tidak kurang dari empat tahun dan mempunyai baki hukuman tidak lebih dari setahun.

Seorang daripada dua orang yang menerima keistimewaan itu hari ini, Muhammad (bukan nama sebenar), 36, berkata pembebasan ini satu permulaan bagi dirinya untuk mengatur kehidupan baharu setelah menjadi penghuni tirai besi selama tujuh tahun.

“Pembebasan ini bukan hanya sekadar untuk balik beraya, tetapi saya ada pelbagai perancangan yang ingin dilakukan sebagai persiapan untuk kehidupan setelah bebas nanti terutama dari sudut pekerjaan dan perhubungan bersama keluarga.

“Saya dah lalui pelbagai program pemulihan dan sebagai pelengkapnya, tempoh tujuh hari (pelepasan) ini umpama ujian bagi diri saya untuk mengintegrasikan diri semula dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis sama.

Muhammad, yang dijemput pulang oleh keluarganya pagi tadi, turut mengakui teruja untuk berbuka puasa pada hari terakhir Ramadan bersama keluarga setelah tujuh tahun tidak dapat berbuat demikian.

Dalam pada itu, Muhammad turut menegaskan bahawa pemenjaraan bukanlah satu penamat atau noktah dalam kehidupannya dan dia berterima kasih kepada Jabatan Penjara yang menyediakan program pemulihan.

“Sebagai contoh, saya terlibat dengan pogram pendidikan pengajian tinggi sehingga membolehkan saya berjaya peroleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik dari Open University Malaysia dan kini dalam proses menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Sosial bahagian Kriminologi dari Universiti Sains Malaysia,” katanya.

Seorang lagi banduan yang dilepaskan secara berlesen dijangka dijemput oleh keluarganya pada petang ini.

– BERNAMA